Adsense

Rabu, 19 Januari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Sedekad pelayaran

Posted:

Sedekad pelayaran <i>American Idol</i>

Sedekad pelayaran American Idol

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan STAR WORLD


JENNIFER LOPEZ


BIARPUN dikritik hebat dan dikatakan pengaruhnya sudah semakin berkurangan, tiada siapa yang dapat menafikan impak besar yang terhasil menerusi American Idol (AI).

Terasa benar pantas masa berlalu dan tanpa disedari tahun ini menandakan program realiti paling popular di dunia itu sudah pun berusia 10 tahun.

Tiada siapa menyangka AI mampu bertahan selama sedekad dan sehingga kini rasanya masih belum dapat menandingi kehebatan AI sebagai program realiti paling berpengaruh.

Semuanya bermula pada tahun 2002 apabila Fox memperkenalkan sebuah program pencarian bakat baru untuk mencari bintang mega yang dapat menawan dunia.

Idea yang dicetuskan oleh Simon Fuller, konsep AI sebenarnya diambil daripada francais Pop Idol yang mula diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 2001.

Merasakan potensi rancangan itu lebih besar di Amerika Syarikat, Fuller dan teman baiknya, Simon Cowell kemudiannya bercadang menjual hak penyiaran itu kepada beberapa stesen televisyen Amerika Syarikat.

Namun, malang sekali apabila ia ditolak mentah-mentah kerana pihak stesen televisyen merasakan konsep itu tidak mampu menarik perhatian ramai.

Tetapi tidak bagi ketua rangkaian televisyen Fox, Rupert Murdoch apabila dia cukup tertarik untuk membeli rancangan itu selepas dipujuk oleh anak perempuannya, Elisabeth yang merupakan peminat setia rancangan Pop Idol.

Selama setahun memikirkan konsep dan perubahan yang mahu dilakukan untuk rancangan itu, maka lahirlah American Idol: The Search of the Superstar pada tahun 2002.

Tanpa perlu mengambil masa yang lama, rancangan itu dengan pantas meraih populariti daripada penonton sehingga menjadi salah satu rancangan paling ramai ditonton di Amerika Syarikat ketika itu.

Ditambah pula dengan konsep pengundian yang dianggap baru ketika itu dan kemunculan Cowell, si mulut lancang yang terkenal dengan komen pedas menjadikan AI sebuah tontonan yang cukup menarik.

Kejayaan AI musim pertama itu telah mendorong pihak Fox tidak berfikir lama untuk meneruskan rancangan itu untuk musim-musim seterusnya.

Sekadar menyegarkan kembali ingatan pembaca dan peminat setia AI, musim pertama menyaksikan Kelly Clarkson mendapat undian mutlak rakyat Amerika Syarikat sehingga diangkat sebagai juara sulungnya.

Kemudian, legasi itu diteruskan oleh Ruben Studdard selaku juara AI2, Fantasia Barrino (AI3), Carrie Underwood (AI4) dan Taylor Hicks (AI5).

Untuk musim keenamnya pula menyaksikan Jordin Sparks dipilih sebagai juaranya dan diikuti oleh David Cook (AI7), Kris Allen (AI8) dan Lee DeWyze (AI9).

Seperti mana musim pertama, lapan musim seterusnya juga menyaksikan bilangan mereka yang hadir untuk uji bakat sentiasa bertambah setiap tahun.

Semuanya menyimpan hasrat untuk menjadi seorang bintang mega yang bukan hanya terkenal di negara mereka tetapi juga di seluruh dunia.

Kejayaan sembilan juara terdahulu menjadi memberi inspirasi kepada mereka untuk mencuba nasib dalam mengubah hidup mereka ke arah yang lebih baik.

Kini, AI kembali untuk musim kesepuluh. Ramai yang meletakkan harapan yang cukup tinggi bagi melihat musim terbaru ini akan dapat mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi AI di awal kemunculannya.

Apatah lagi, tonggak utama AI yang menjadi perhatian saban tahun kini bertukar wajah apabila pihak produksi sepakat memilih penyanyi dan aktres jelita, Jennifer Lopez sebagai salah seorang pengkritik tetap musim ini.

Bukan itu sahaja, rocker legenda yang juga vokalis utama kumpulan Aerosmith, Steven Tyler juga terpilih bagi memberikan satu pendekatan baru dalam AI musim terbaru ini.

Hanya Randy Jackson yang masih setia bersama AI selama 10 tahun selain pengacara kacak, Ryan Seacrest.

Memang nampak janggal apabila tiada lagi kelibat Paula Abdul dan Simon Cowell yang dilihat menjadi nadi kepada AI sejak ia mula bersiaran.

Begitu juga dengan dua lagi bekas pengkritik tetap AI, Ellen DeGeneres dan Kara DioGuardi yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program realiti unggul itu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Jzelynn yang sebenar

Posted:

Jzelynn yang sebenar

Jzelynn yang sebenar

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar: Noor Azlina Jaafar


Walaupun bertubuh kecil, Jzelynn menyimpan harapan besar untuk sebaris dengan artis bukan Melayu yang pernah mencipta nama seperti Francissca Peter, Jaclyn Victor dan Karen Kong.


KEMBARA seni penyanyi kecil molek ini, Jzelynn atau nama penuh Jenice 'Zelynn, bukan semudah seperti disangkakan ketika awal pembabitannya 15 tahun lalu.

Dilahirkan sebagai anak kacukan Cina - Siam, kerjaya seninya terpaksa ditempuhi dengan pelbagai onak dan duri dalam mengejar cita-cita bergelar penyanyi.

Bermodalkan rancangan hiburan Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1999 sebagai platform, Jzelynn atau lebih mesra dengan sapaan Jez ini menjangkakan cita-citanya itu akan mudah dicapai.

Apatah lagi dia pernah dilamar oleh seorang komposer terkenal sebagai artis rakaman dan dijanjikan dengan pelbagai kata-kata manis.

Malangnya, janji hanya tinggal janji. Album yang dirancang penghasilannya akhirnya hanya tinggal memori pahit untuk ditelan walaupun proses rakaman lagu yang bakal dimuatkan telah pun selesai.

Alasan komposer itu, pasaran bagi penyanyi bukan Melayu tidak begitu memberangsangkan ketika itu.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Jez mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya bersama syarikat rakaman tersebut atas persetujuan bersama.

Menurutnya, demi mencapai hasratnya yang diidamkan sejak kecil itu, Jez nekad menyambung pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media (Penyiaran) di Universiti Indiana State, Amerika Syarikat.

"Setelah tamatpengajian, saya terus bekerja di beberapa buah organisasi demi mencari modal untuk menyambung langkah yang pernah terhenti sebelum ini.

"Mujur, tahun ini meninggalkan kenangan manis buat saya apabila akhirnya, album sulung saya, Percayalah berjaya disiapkan dengan duit saya sendiri.

Bersemangat

"Bertambah manis, walaupun dikeluarkan dalam bentuk digital, album tersebut berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records dan Best Digital Album di Voice Independent Music Awards 2010," katanya yang fasih berbahasa Melayu itu.

Kejayaannya itu lantas menyuntik semangat yang membara buat Jez apabila pada 13 November lalu, dia melancarkan album keduanya yang berjudul This Is Me .

Mengulas lanjut mengenai album terbarunya itu, Jez memberitahu, ramai peminatnya yang dikenali menerusi laman sosial Facebook memintanya agar menghasilkan sendiri lirik-lirik lagu yang menyentuh hal peribadinya.

"Disebabkan dorongan itulah yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengeluarkan album kedua walaupun album pertama baru dilancarkan awal tahun lalu.

"Saya sahut galakan yang diberikan peminat itu untuk menghasilkan lirik buat lima daripada tujuh buah lagu yang dimuatkan dalam album ini.

"Kesemua lima lagu itu menceritakan kisah hidup saya. Sebab itulah judulnya This Is Me (Inilah Saya).

"Walaupun dua buah lagu bukannya hasil tulisan saya, tapi saya turut terlibat dalam susunan muziknya," cerita anak jati Pulau Pinang itu.

Selain Jez yang terlibat selaku penerbit utama album tersebut, tunjang belakang yang menguatkan penerbitannya ialah Sham Kamikaze, Martin, Jamie Wilson dan Cheong W.L.

Berbicara tentang album yang menampilkan pelbagai genre lagu, Jez menambah, gabungan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Hokkien diharap dapat menambat hati peminat dari pelbagai bangsa.

"Walaupun sasaran utama adalah pasaran Melayu, saya percaya ia boleh menarik minat bangsa lain untuk mendapatkan album ini.

"Saya juga mempelbagaikan genre agar ia tidak terhad dan untuk semua peminat," katanya yang pernah dinobatkan sebagai Ratu Cantik Genit 2000 bagi negeri Kedah.

Berpuas hati dengan perkembangan kariernya kini, Jez berharap peminat boleh menerimanya dan tidak menolak kebarangkalian untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan jika diberi peluang.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.