Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Jejaka Melayu pilihan MarshaMARSHA kini memiliki syarikat sendiri yang dikenali sebagai Marsha Londoh Entertainment. UMUM sudah mengetahui bahawa penyanyi yang berasal dari Tamparuli, Sabah itu adalah pemenang tempat keempat rancangan realiti Akademi Fantasia 3 (AF3) pada tahun 2005 yang lalu. Seangkatan dengan beberapa penyanyi seperti Mawi, Felix dan Amylea dalam rancangan tersebut, Marsha sebenarnya cukup bernasib baik apabila namanya masih lagi menjadi sebutan ramai dan terus kekal dalam industri hiburan tanah air. Selain kerap menerima undangan menyanyi, dia juga turut dikenali sebagai seorang pelakon dan turut terpilih untuk menjadi duta beberapa produk terkenal. Bagaimanapun, dunia nyanyian masih lagi tetap menjadi pilihan utama. Namun, jauh di sudut hatinya ialah di saat-saat menantikan masa yang sesuai untuk menghasilkan sebuah album. "Setiap orang yang bergelar penyanyi pastinya mengimpikan untuk memiliki album sendiri. Begitu juga dengan saya yang sudah agak lama bertapak dalam industri ini. "Bayangkan sepanjang lima tahun bergelar seorang penyanyi, saya lebih banyak terbabit dengan penghasilan album berbentuk kompilasi yang menggabungkan saya dengan beberapa penyanyi lain," ujarnya. Menurut Marsha, pernah sehingga ada suatu ketika dia seperti sudah berputus asa untuk terus menanti. Namun, dia banyak diberikan dorongan dan semangat oleh ahli keluarga dan pengurusnya. Ujarnya, tahun 2011 cukup bermakna buat dirinya dan kini dia sudah boleh boleh menarik nafas lega dengan kemunculan album terbarunya yang berjudul, Yang Pertama. "Selama ini memang ramai yang sudah bertanya terutamanya peminat tentang bila saya akan menghasilkan album sendiri. Jadi, dengan kemunculan album ini juga akan menjawab semua persoalan mereka. "Semenjak tamat AF3 dan bernaung di bawah Maestro, memang impian saya ingin ada album sendiri. Tapi tak sangka hanya lima tahun selepas itu baru impian saya terlaksana," ujarnya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran album tersebut minggu lalu. Tambah Marsha, dengan kemunculan album berkenaan juga adalah sebagai hadiah kepada para peminatnya yang banyak menyokong kerjayanya dalam industri hiburan selama ini. Istimewa
Yang Pertama merupakan mini album (EP) yang mengandungi lima buah lagu seperti Bila, Ruang Kedua, Janji, Tak Perlu Selamanya dan Bersama Kita. Ia dijangka berada di pasaran pada awal Februari ini. Memilih tanggal 11 Januari 2011 sebagai tarikh untuk majlis pelancaran album barunya itu, beritahu Marsha, tarikh berkenaan adalah secara kebetulan sahaja dan tiada apa-apa yang istimewa pada hari tersebut. Sebaliknya, dia menjelaskan apa yang lebih istimewa adalah albumnya itu sendiri. Selain merupakan album komersial sulungnya, setiap lagu yang terkandung dalam album tersebut juga membawa maksudnya yang tersendiri. "Misalnya lagu Bila, ia adalah lagu pertama gubahan saya sendiri berdasarkan inspirasi dalam hidup saya. Ia begitu istimewa kerana pembikinan lagu ini dipenuhi dengan aura-aura kegembiraan sewaktu proses rakaman. "Sementara lagu Ruang Kedua pula, ia merupakan projek pertama saya dengan Alibi Music yang turut bertindak memasarkan album saya ini. Ia adalah lagu duet saya bersama penyanyi kelahiran Perancis, Julian Cely," ujarnya. Akui Marsha, dia sememangnya sangat teruja dan berdebar menanti kemunculan album berkenaan tidak lama lagi di pasaran dan tidak sabar menanti sebarang reaksi daripada para peminatnya. Sewaktu majlis pelancaran albumnya itu juga, Marsha sempat menghiburkan para tetamu termasuk wartawan dengan menyanyikan tiga buah lagu iaitu Bila, Janji dan Ruang Kedua yang dinyanyikan bersama Zahid AF2. Sementara itu, ketika ditanya mengenai projek yang akan dilakukannya selepas ini, Marsha memberitahu dia berhasrat untuk menghasilkan album EP berbahasa Inggeris pula. Jelasnya, buat masa ini projek berkenaan masih lagi dalam perancangan dan tujuannya untuk menghasilkan album Inggeris adalah sebagai percubaan untuk menembusi pasaran urban. "Buat masa ini lagu-lagu untuk album Inggeris itu sudah ada dan kini masih lagi dalam proses memilih. Lagipun banyak lagu yang diberikan sehingga saya terpaksa teliti untuk memilih lagu yang sesuai," ujarnya yang akan muncul dalam filem Cun pada bulan Mac ini. PRODUK Akademi Fantasia. Marsha berduet mendendangkan lagu, Ruang Kedua bersama Zahid. Kerjasama Bagi memastikan pengedaran album Yang Pertama berjalan dengan lancar, Marsha melalui syarikatnya, Marsha Londoh Entertainment telah menjalinkan kerjasama dengan Alibi Music Sdn. Bhd. Jelas Marsha, syarikatnya itu sekadar bertindak sebagai penerbit album tersebut, manakala Alibi Music pula membantu dari segi pengedaran dan promosi. "Memandangkan syarikat saya masih tiada pengalaman dalam penghasilan album, maka pihak Alibi Music telah bersetuju menjadi pengedar album saya ini di samping sebagai penasihat kepada syarikat saya," ujarnya. Mengenai syarikat yang ditubuhkannya pada bulan September 2008 itu pula, Marsha menjelaskan hanya dia satu-satunya artis di bawah Marsha Londoh Entertainment dan tidak merancang mencari penyanyi lain untuk menyertai syarikatnya itu buat masa ini. Tambah Marsha, syarikat itu ditubuhkan adalah untuk menguruskan perjalanan kariernya sebagai seorang artis serta menjaga hal ehwal kewangan dirinya. | ||
Posted: Tom enggan hipokritOleh NOOR ASHREEN ISMAIL CHE MOKH (kanan) percaya kemunculan Tom dengan album terbarunya ini bakal menghangatkan dunia muzik tanah air. PADA tahun lepas, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram mencetus kontroversi apabila dia cedera dipukul oleh ahli keluarga pasangan suami isteri muda yang sebelum itu akibat mencari perlindungan di rumahnya. Lantas ada yang bertanya siapakah Tom yang tiba-tiba sahaja menjadi 'panas' gara-gara isu tersebut, sedangkan sumbangannya dalam dunia hiburan belum diketahui umum. Mahu melupakan episod hitam itu, justeru, Tom, 25, kini muncul untuk membuktikan dirinya merupakan pejuang dalam industri muzik tanah air. Namun, kata juara rancangan realiti MyStarz LG musim ketiga itu, dia mahu dirinya dikenali dengan bakat yang ada dalam diri bukannya kerana kontroversi murahan. "Tom bukan mencari kontroversi untuk dikenali kerana kontroversi yang melanda diri Tom itu datang secara tidak sengaja. "Apa pun, sememangnya Tom reda dan lebih percaya bakat yang Tom miliki boleh bawa Tom pergi jauh," ujar janda muda beranak satu itu. Dengan membuktikan bakat yang sememangnya wujud dalam dirinya, kini Tom tampil dengan album baru berjudul Redha yang telah dilancarkan pada penghujung Disember lepas. Kasut tumit tinggi Semasa pelancaran yang telah dilangsungkan di Hard Rock Café, Kuala Lumpur itu, Tom telah menyampaikan dua buah lagu, Redha dan Noktah Percintaan masing-masing daripada genre balada. Di samping itu juga, klip video single pertamanya, Lagu Untuk Kuala Lumpur telah ditayangkan buat pertama kalinya untuk tatapan umum. Lagu itu merupakan ciptaan bersama gabungan generasi baru dan lama iaitu LY dan Noh Hujan serta liriknya oleh Rafidah. Tom agak bertuah kerana kedua-dua lagu bergenre balada dalam album tersebut ditulis dan diadun oleh gabungan mantap penulis lirik dan komposer tersohor 90-an, LY dan Baiduri. Antara penulis lirik dan komposer yang turut manyumbang hasil nukilan mereka bagi menjayakan album sulung ini ialah Taja (Meet Uncle Hussein), Tun Teja, Manusia Putih, Adi, Wan dan Ayoy (6ixth Sense). Selain Lagu Untuk Kuala Lumpur, lagu-lagu lain dalam album tersebut termasuklah Redha, Noktah Sandiwara, Cinta (Firdausi) dan Harus Akhiri.
Dalam pada itu melirik kepada gaya Tom yang tidak berubah dari dulu, penyanyi genit ini ternyata begitu setia dengan imej rock dirinya itu. Tenang menjawab mengenai persoalan itu, Tom menegaskan, selama ini imej yang ditampilkannya itu ialah dirinya yang sebenar. "Sememangnya Tom sukakan pakaian 'sempoi' begini dengan bersepatu sukan. Tom tidak biasa pakai kasut bertumit tinggi. Dari kecil memang Tom begini bukan kerana Tom ubah di atas genre rock yang Tom bawa," katanya yang juga sering kelihatan memakai jean dan baju T tanpa lengan. Kurang gemar imej anggun Tom mengakui bahawa dia kurang gemar dengan imej yang memerlukannya bergaya dengan gaun yang anggun. Tegasnya: "Tom tidak mahu hiprokrit kerana bagaimana orang lihat Tom di luar, begitulah Tom yang sebenar-benarnya iaitu berseluar pendek dan memakai baju T tanpa lengan. Tom rasa tidak perlu untuk tukar imej dan menjadi orang lain." Sementara bagi Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad atau Che Mokh, Tom dilihat sebagai mempunyai aura dan kemantapan vokal yang tersendiri yang akan membolehkannya menjadi pewaris takhta ratu rock Malaysia pada masa akan datang. "Boleh dikatakan Tom merupakan satu-satunya bakal pewaris takhta Ratu Rock dengan memiliki keunikan vokal dan gaya nyanyiannya. "Oleh itu, kami di Warner Music Malaysia gembira menerima Tom di bawah pengurusan syarikat kami," ujarnya yang menjangkakan album Redha daripada Tom itu pasti dapat menambah kehangatan industri muzik Malaysia. "Tom merupakan satu lagi nama yang harus diberi perhatian bukan hanya untuk sebulan dua, akan tetapi untuk beberapa tahun akan datang," ujar Che Mokh penuh keyakinan. | ||
Posted: Kejutan di sebalik jangkaanBarisan pelakon Glee penuh teruja dengan tiga kemenangan yang diraih siri TV popular itu terutama Anugerah Siri, Muzikal atau Komedi Terbaik. MENEPATI jangkaan, filem The Social Network menepati ramalan ramai apabila mendominasi Anugerah Golden Globe Awards 2011 yang berlangsung kelmarin. Berlangsung di Hotel Beverly Hilton, Amerika Syarikat, Ahad lalu, majlis Golden Globe kali ke-68 yang membuka tirai untuk 2011 itu menyaksikan filem arahan David Fincher itu meraih empat anugerah daripada enam pencalonan yang diterima. Selain memenangi anugerah utama iaitu kategori Filem, Drama Terbaik, The Social Network yang berdasarkan kisah pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg itu turut merangkul anugerah bagi kategori Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Skor Asal Terbaik. Namun, filem tersebut gagal memenangi kategori Aktor Filem Drama Terbaik menerusi pencalonan yang diraih pelakon utamanya, Jesse Eisenberg. Sebaliknya, ia dimenangi oleh pelakon veteran, Colin Firth yang berjaya membawakan wataknya dengan cukup berkesan sekali menerusi filem The King's Speech. Sementara, Anugerah Aktres Filem Drama Terbaik pula dimenangi Natalie Portman dengan penuh bergaya apabila dia berjaya menewaskan calon lain yang termasuklah dua pemenang Golden Globe dan Oscar sebelum ini iaitu Halle Berry (menerusi filem Frankie And Alice) dan Nicole Kidman (Rabbit Hole). Hasil lakonan Natalie menerusi filem Black Swan itu turut mengalahkan dua calon lain iaitu Jennifer Lawrence (Winter's Bone) dan Michelle William (Blue Valentine). Aktor dan penerbit eksekutif filem, The Social Network, Kevin Spacey (kiri) bersama empat penerbit bersama filem itu (dari kiri) Cean Caffin, Dana Brunetti, Scott Rudin dan Michael De Luca. Ternyata ia merupakan kejayaan kedua bagi pelakon yang sedang hamil itu menerusi Golden Globe. Sebelum ini, Natalie pernah memenangi kategori Aktres Pembantu Terbaik menerusi filem Closer pada tahun 2005 yang lalu. Turut membuat kejutan pada anugerah berkenaan adalah filem The Fighter. Filem yang mengisahkan kehidupan seorang petinju profesional itu merangkul anugerah berganda iaitu Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik masing-masing menerusi lakonan Christian Bale dan Melissa Leo. Bagi kategori televisyen, drama bersiri popular, Glee merangkul tiga anugerah iaitu Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik serta Drama Komedi Terbaik. Drama bersiri HBO, Broadway Empire pula merangkul dua anugerah menerusi Drama Bersiri Terbaik dan Pelakon Lelaki Drama Terbaik - RONI HIDAYAT RIDWAN |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |