Utusan Online - Hiburan |
'Filem saya untuk diri sendiri' Posted: 'Filem saya untuk diri sendiri'Oleh ABD. AZIZ ITAR
U-WEI Saari mula dikenali sebagai pengarah dalam bidang lakonan tanah air menerusi drama berjudul Bukan Gantung Diri yang diarahkannya pada tahun 1987. Perempuan, Isteri dan .... pula merupakan filem pertama arahannya pada 1993. Selepas itu namanya terus mengharum sebagai antara pengarah filem tersohor di negara ini. Sejak 24 tahun lalu sehingga kini, dia aktif mengarahkan drama dan filem cereka. Yang terbaru ialah filem Hanyut dengan kosnya mencecah RM11 juta. Biarpun telah mengarahkan enam buah filem sejak 18 tahun lalu, tetapi U-Wei banyak menerima kritikan kerana jalan cerita yang dipaparkan dalam karya-karyanya dikatakan agak berat. Pengarah berusia 56 tahun itu suka menampilkan jalan cerita yang berkisar tentang rasa dan pengamatannya mengenai subjek sosio budaya dalam filem-filem arahannya. Isu-isu tentang budaya Melayu dan gaya garapannya ke arah filem seni yang amat luas skopnya itu juga seolah-olah menggambarkan U-Wei berada dalam dunianya yang tersendiri. Ada yang mengatakan U-Wei hanya syok sendiri ketika mengarahkan filem kerana hanya mementingkan apa yang dia rasa. Bukannya apa yang dimahukan penonton. Tuduhan itu dibuat berdasarkan isu-isu berat tentang bangsa dan budaya Melayu yang dipaparkan dalam filem-filem arahannya seperti Kaki Bakar (1995) dan Jogho (1998). Malah, U-Wei mengakui matlamatnya bikin filem adalah untuk dirinya sendiri. Selepas itu barulah dia berharap manfaatnya dikongsi dengan pihak-pihak lain. "Bagi saya, setiap filem yang saya hasilkan adalah untuk saya sendiri. Selepas itu barulah saya mahu berkongsi apa yang saya tampilkan dalam filem itu dengan masyarakat. "Contohnya, kalau kita melahirkan anak, anak itu untuk siapa? Tentulah ia untuk kita. Selepas itu terpulanglah kepada anak itu untuk memberi manfaat kepada masyarakat atau pun tidak. "Itu adalah falsafah saya membikin filem. Saya juga tidak kisah kalau ada orang kata saya buat filem kerana syok sendiri," katanya dalam satu pertemuan dengan Mega di Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada pertemuan di studio peribadi miliknya yang menempatkan puluhan lukisan, ukiran dan arca itu, U-Wei juga tidak kisah apabila mendapat pelbagai kritikan atas filem-filem arahannya. Bagi pengarah yang berasal dari Mentakab, Pahang itu, dia menghasilkan filem bagi mencernakan apa yang dirasakan tentang kecintaannya terhadap budaya dan bangsanya. "Sama ada filem saya menarik ditonton atau tidak. Ia perkara subjektif untuk diperkatakan apatah lagi dalam filem. "Bagi saya pujian dan kutukan itu sama sahaja merdu bunyinya. Saya sudah biasa dengan semua itu. Saya juga sudah bersedia pada bila-bila masa dengan semua itu. "Apa yang saya lakukan itu semuanya kerana rasa keprihatinan saya tentang bangsa saya. Saya menyalurkannya melalui bahasa filem. Sama ada orang faham atau tidak terpulanglah. "Ujian yang terbaik tentang sesebuah filem ialah masa yang akan menentukannya. Saya hanya membuat filem sedaya upaya saya dan juga dengan sejujur-jujurnya," ungkapnya. | ||
Posted: Keistimewaan Yuna di mata QiOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
MELIHAT kepada personalitinya yang mudah mesra dan ceria itu, barangkali tiada siapa akan menyangka umurnya bakal menginjak 34 tahun. Malah, apabila Qi Razali tanpa selindung memberitahu umurnya itu kepada pihak media pada petang yang dingin itu, semua yang hadir bagaikan tidak percaya. "Betul. Tahun ini saya akan berusia 34 tahun. Ibu saya pun sudah mula bertanya bilakah saya akan menamatkan zaman bujang. "Mungkin saya akan memikirkan tentangnya apabila mencecah usia 35 tahun. Saya tidak menafikan memang saya mahu mendirikan rumah tangga dan memiliki keluarga sendiri. "Lebih-lebih lagi, adik-beradik saya yang lain semuanya sudah berkahwin dan memiliki anak sendiri. Hanya tinggal saya seorang sahaja," ujar anak bongsu daripada empat adik-beradik itu sambil disulami ketawa kecil. Sengaja mengusik Qi adakah bakal suri yang akan menjadi ibu kepada anak-anaknya nanti adalah Yuna yang merupakan wanita paling dekat di hatinya masa ini, sekali lagi jawapannya hanya tawa riangnya. "Percayalah, baik saya atau Yuna, masing-masing belum memikirkan soal berpacaran atau perkahwinan. Tidak terlintas langsung di fikiran kami kerana hubungan kami masih lagi baru. "Namun saya mengaku memang berkawan rapat dengan Yuna dan saya begitu selesa apabila berada di sampingnya. "Tetapi itu bukan bermakna kami sedang bercinta. Soal untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan kami itu tidak pernah langsung kami fikirkan buat masa ini. "Kami lebih selesa untuk berkawan. Kami pun sebenarnya mempunyai minat yang sama terutamanya aspek muzik," cerita Qi atau nama penuhnya, Qushairi Mohammed Razali penuh jujur. Anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang itu ditemui pada sidang akhbar program Field Trip USA! musim kedua terbitan 8TV yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini. Sebelum ini, bekas anggota kumpulan OAG itu pernah dikaitkan dengan beberapa wanita iaitu Irene Santiago dan pasangan pelakonnya dalam drama bersiri Blogger Boy, Julie Woon. Memang topik utama perbualan kami petang itu adalah untuk mengetahui sejauh manakah keseriusan Qi dalam hubungannya dengan Yuna. Hubungan Qi dan Yuna sudah mula diperkatakan terutama sekali apabila mereka kelihatan hadir bersama pada Shout! Awards yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada November, tahun lalu. Hadir dengan pakaian yang sedondon sememangnya cukup menguatkan lagi naluri pihak media untuk mengatakan mereka sebenarnya bercinta. Cerita Qi, mereka mula berkenalan sejak masing-masing terlibat dalam program realiti, Kawanku Bintang Coca-Cola di mana Yuna sebagai salah seorang juri manakala Qi pula adalah pengacara rancangan itu. Agenda seni 2011 UNTUK tahun 2011, Qi mengakui diari seninya sudah penuh diisi dengan pelbagai agenda yang akan membawanya jauh berkelana ke serata dunia. Tidak berapa lama lagi, Qi akan berlepas ke Buenos Aires, Argentina bagi menjalani rakaman program baru kendaliannya, Art Attack. Akan berada di sana selama lima minggu, Qi menyifatkan peluang beraksi dalam rancangan popular itu sebagai satu anjakan baru selama dia bergelar seorang anak seni. "Saya sekadar mencuba nasib pada mulanya dengan menghadiri uji bakat dan Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya. "Sejak dari dulu lagi, saya memang suka menonton rancangan itu dan kagum dengan kebolehan serta kreativiti luar biasa pengacaranya, Neil Buchanan ketika mengacarakan Art Attack," kata Qi lagi. Sebaik sahaja selesai semuanya, Qi akan meneruskan kembaranya ke Amerika Syarikat (AS) bagi melunaskan tanggungjawabnya sebagai hos program Field Trip USA! musim kedua. Ternyata, Qi cukup teruja apabila diberi peluang sekali lagi untuk mengendalikan rancangan itu yang memberikan pengalaman baru untuknya. "Saya memang tidak sabar lagi untuk ke AS untuk program ini kerana ia memang benar-benar menyeronokkan. Ia juga membuka mata saya terhadap negara itu yang sebenarnya memiliki keunikannya tersendiri," jelasnya penuh girang. Tahun 2011 juga akan menyaksikan Qi kembali meneruskan minatnya dalam bidang muzik apabila akan melancarkan single terbarunya. Berkonsepkan indie pop dan dance, Qi tidak menafikan pengaruh muzik OAG juga ada di dalam lagu terbarunya nanti. "Insya Allah, saya merancang untuk mengeluarkan single ini sebelum saya ke Argentina dan sekitar bulan Ogos nanti barulah saya akan tampil dengan album penuh. "Setakat ini saya sudah ada tujuh hingga lapan buah lagu yang semuanya saya tulis sendiri," ujar Qi yang bercadang untuk menampilkan lagu Niat sebagai single Melayu pertamanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |