Adsense

Isnin, 17 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Sudah lali kontroversi

Posted: 16 Jan 2011 02:57 AM PST

Hip

Fasha Sandha

Fasha Sandha

Di sebalik pelbagai cerita panas, Fasha masih bertahan dalam senarai Top 5 ABPBH2010

SEKALI lagi Fasha Sandha dihambat kontroversi. Terkini disebabkan penyebaran gambar berbikini di internet ketika bercuti di Bali, Indonesia tatkala sambutan tahun baru namun seperti biasa, aktres yang sinonim dengan watak wanita teraniaya itu lebih senang mendiamkan diri.

Akui Fasha atau nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, 26, lebih baik dia mengunci mulut daripada memberi sebarang penjelasan kerana enggan membiarkan isu terbabit terus diperbesarkan hingga semakin melarat apatah lagi masyarakat luar tidak memahami situasi yang berlaku. Memburukkan lagi keadaan apabila dia tidak muncul pada sebuah majlis yang turut menghimpunkan ramai selebriti baru-baru ini, tetapi hanya memaklumkan kepada penganjur pada saat akhir hingga mengakibatkan seorang pereka fesyen yang dipertanggungjawabkan menyediakan persalinan untuknya terpaksa menarik diri.

Menambahkan pula perisa kontroversi, desas-desus bertebaran menyatakan ada di antara anggota keluarga terdekatnya datang ke sebuah pejabat akhbar yang menyiarkan gambar pelakon drama bersiri Nastasha itu, bagaimana pun tujuannya tidak diketahui.

"Maaf tiada komen terhadap semua isu ini. Saya sudah fikir masak-masak untuk tidak mahu mengulas apa-apa. Cukuplah, selama ini pun sudah banyak kontroversi berlaku dan saya enggan memanjangkan perkara itu.

"Jika buka mulut pun, ia boleh timbulkan pelbagai lagi spekulasi, jadi lebih baik saya diam. Biarlah kalau orang luar mahu membuat sebarang andaian.
"Saya tidak ingin sebarang jawapan saya nanti disalah erti. Soal ada keluarga terdekat datang ke pejabat akhbar, itu pun saya enggan komen," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman lima finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di Holiday Villa Subang Hotel & Suites, Rabu lalu.

Mengenakan persalinan serba merah, aktres berkenaan berulang kali meminta maaf kerana tidak dapat memberi komen kepada setiap pertanyaan media walau pun selepas saja gambar berbikini itu dipaparkan, dia memaklumkan hanya akan menjawab persoalan pada majlis berkenaan, bukannya menerusi telefon.

Diaju sekali lagi mengenai tujuan anggota keluarganya mengunjungi pejabat akhbar berkaitan, Fasha berkata, dia sendiri tidak mengetahui sama ada mereka datang ke tempat seperti diperkatakan atau sebaliknya, malah tetap berterusan memberi penegasan enggan memberi sebarang ulasan.

"Saya tidak tahu apa-apa dan enggan memberikan cakap lebih lanjut. Paling penting keluarga dan peminat sentiasa berdiri di belakang saya memberikan sokongan.

"Malah saya tidak mahu kenang perkara yang sudah berlalu. Perkara terpenting adalah bagaimana mahu membalas jasa mereka (peminat)," katanya lagi.

Tetap dicalon dalam ABPBH2010

AKUI wanita cantik ini, berkat dorongan dan semangat peminat juga dirinya saban tahun masih disenaraikan sebagai finalis ABPBH dan tahun ini Fasha dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.

Kejayaannya pada anugerah yang bersandarkan undian peminat itu bermula sejak 2005 menerusi kategori TV dan bintangnya yang semakin bersinar melayakkan gadis berkenaan membolot trofi sama selain anugerah Pelakon Filem Wanita Popular bagi 2006 dan 2007.

Pada ABPBH2010, nama Fasha dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular bersama-sama dengan Lisa Surihani, Noorkhiriah, Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah.
Ternyata berdasarkan senarai itu, mereka ialah barisan nama yang tidak akan memberi laluan mudah kepada Fasha memenangi gelaran Pelakon TV Wanita Popular.

"Inilah ujian yang perlu saya hadapi sebaik saja menyandang gelaran artis. Ia sebenarnya asam garam kehidupan. Tumpuan saya kini hanya pada kerja selain keluarga dan perniagaan berkaitan salun yang bakal beroperasi Februari nanti," katanya.

Memilih lokasi di Wangsa Walk, dalam kesibukan menjalani penggambaran drama bersiri Samson & Delaila, Fasha turut merancang strategi menubuhkan Cinta Hair Salon & Beauty yang dijangka dapat beroperasi pada 14 Februari ini.

"Buat masih ini premis yang akan dikendalikan empat kakitangan itu masih pada peringkat pengubahsuaian, malah saya sendiri akan mengambil kursus jangka pendek berkaitan penjagaan kecantikan dan rambut untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam bidang ini," ulasnya lagi dengan penuh semangat.

PROFIL

Nama: Nur Fasha Sandha Hassan
Tarikh Lahir: 28 Mac 1984
Tempat Lahir: Johor Bahru
Kerjaya: Pelakon dan Model
Filem: Black Maria, Bintang Hati, Berlari Ke Langit, SH3, Anak Mami Kembali, Gong, Bujang Senang, Nana Tanjung, Cinta, Cicak-Man, Cicakman 2 Planet Hitam, Badai Pasti Berlalu, Skrip 7707, Anak Halal, Evolusi KL Drift, Nana Tanjung 2, 4 Madu
Drama: Kasih, Relaku Pujuk, Songket Cinta Bertenun Duka, Natasha, Natasha 2, Dengan Nama Cinta, Rumah Itu Duniaku, Mentari Jingga, Usia, Seiras, Impak Maksima, Sutera Maya, Kehangatan Lantana, Chinta, Bagaikan Sumayyah
Iklan: Maybelline, Maxis, Petronas, Nokia, Fair&Lovely, Darlie, Pantene, Sunsilk (versi Indonesia)
Pengiktirafan: Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 (ABPBH2005), Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH20 06, Pelakon TV Wanita Popular serta Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2007


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bukan hendak bermegah

Posted: 16 Jan 2011 02:52 AM PST

Hip

Rabecca, Nor Azam buat tiga majlis berbeza bagi meraikan keluarga, rakan

MALAM tadi, pasangan pengantin baru, Rabecca Nur Al-Islam dan suaminya, Nor Azam Sulaiman mengadakan majlis resepsi pernikahannya di puncak Menara Kuala Lumpur. Malam kelmarin, pasangan ini juga diraikan dalam satu majlis yang cukup meriah di Hotel Flamingo, Ampang atas tujuan yang sama.

Dan malam Jumaat lalu, pelakon jelita ini juga mengadakan majlis ringkas di kediaman barunya di Sering Ukay, Ukay Perdana, sempena majlis pernikahannya dengan peguam yang juga ahli perniagaan itu. Begitulah hebatnya majlis perkahwinan pelakon drama bersiri Jangan Tegur ini. Selama tiga malam berturut-turut dia dan suami diraikan. Itu tidak termasuk mengenakan barangan kemas tajaan Chopard yang menjadikan majlis perkahwinan mereka tampak mewah.

Bagaimanapun, si empunya diri agak kurang selesa apabila kemewahan majlisnya itu menjadi bahan bualan.

"Tujuan saya mengadakan majlis selama tiga hari tiga malam berturut-turut ini bukanlah kerana mahu menunjuk-nunjuk atau nak beritahu orang ramai bahawa saya banyak duit. Itu tidak benar sama sekali! Kami memilih untuk berbuat demikian kerana saya mahu meraikan hari bersejarah saya ini bersama insan yang tersayang.

"Untuk majlis pernikahan ini, ia adalah untuk meraikan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Sebelah siang tadi, kami adakah majlis tahlil diikuti dengan khatam al-Quran. Majlis malam esok di Grand Ballroom, Hotel Flamingo pula khusus untuk rakan artis, serta pihak media yang selama ini memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya.
"Manakala untuk majlis resepsi di Menara Kuala Lumpur, ia untuk mereka yang dekat dengan kami seperti keluarga dan juga rakan sekerja suami. Kami mahu semua pihak yang mengenali kami, jauh dan dekat dapat sama-sama meraikan hari bahagia kami ini," jelas Rabecca ketika ditemui sejurus selepas majlis pernikahan berakhir.

Rabecca yang dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Masjid Al-Ridhuan Hulu Klang, Muhammad Ibrahim, menerima mas kahwin RM333.33 serta 13 dulang hantaran dibalas 15, manakala jumlah hantaran dirahsiakan atas permintaan pihak lelaki.

Memandangkan tiada majlis pertunangan diadakan sebelum ini, setengah jam sebelum lafaz ijab dan kabul disempurnakan, Rabecca sempat juga merasai nikmat bergelar tunang apabila ibu pengantin lelaki, Datin Norlia Marzuki, menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya.

Tampil anggun mengenakan persalinan rekaan Calvin Thoo, rona bahagia jelas terpancar pada wajah wanita berusia 24 tahun ini. Senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir seolah-olah menterjemah bahawa keputusannya untuk menamatkan zaman solo bersama Nor Azam cukup tepat walaupun mengetahui status lelaki yang berasal dari Sarawak itu ialah duda beranak dua.

"Saya memang bersedia untuk menjadi isteri. Soal dia sudah ada anak, itu bukanlah masalah buat saya kerana saya juga ada memelihara seorang anak angkat, Nor Adam Daniel. Memang saya sukakan kanak-kanak.

"Dan alhamdulillah, anak-anak suami juga dapat menerima saya dengan baik. Cuma dalam soal mendidik anak-anak, saya sangat tegas dengan mereka manakala Azam lebih memanjakan mereka," kata Rabecca yang mengakui terpikat dengan Nor Azam kerana sifat kebapaan yang dimiliki lelaki itu.

Bersikap terbuka soal kontroversi

BUKAN mudah apabila beristerikan seorang selebriti, lebih-lebih lagi apabila si suami bukan dari cabang kerjaya yang sama. Banyak duri dan ranjaunya. Malah andai tidak diiringi dengan sifat sabar, pasti berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam rumah tangga.

Memilih Rabecca sebagai suri dalam hidupnya, Nor Azam turut ditanya bagaimanakah dia berdepan dengan pelbagai gosip yang pernah dilemparkan pada isterinya sebelum ini, terutama apabila soal imej seksinya dipersoalkan khalayak.

"Bagi saya, biarlah saja Rabecca yang menjadi perhatian kerana dialah artis, bukannya saya. Biarlah saya menjalani kehidupan sendiri, lebih low profile.
"Soal keseksian yang sering diperkatakan, secara jujurnya saya tak anggap dia seksi," ujar lelaki berusia 42 tahun ini sambil mengukir senyuman manis.

Sambil mengakui terpikat dengan kecantikan yang dimiliki pelakon itu, Nor Azam juga menegaskan yang dia tidak akan menghalang Rabecca daripada meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan kerana amat memahami minat dan kehendak wanita yang amat dicintainya itu.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.