Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Duta kanta lekapTIDAK sia-sia dia menjadi pengguna kanta lekap lebih sedekad yang lalu. Bukan hanya kerana matanya mempunyai masalah rabun, namun bagi Noorul Huda Abdul Wahab atau dikenali umum sebagai Nurul, 'kegilaan' dirinya menggunakan kanta lengkap pelbagai warna lebih kepada untuk berfungsi sebagai penyerlah dan pelengkap gaya. "Saya sudah menggunakan kanta lekap sebagai pelengkap dan penyerlah gaya sejak tahun 1995, yang jika dihitung sudah mencecah 15 tahun," bicaranya. Sudah tentu sepanjang tempoh tersebut, sudah pelbagai jenama kanta lekap sudah digunakannya. Namun, kanta lekap daripada jenama ColourVue ternyata telah membawa sinar baru buatnya. Ini kerana dia bukan sahaja mampu terus bergaya dengan kanta lekap pelbagai warna, tetapi dia juga telah dilantik menjadi duta kanta lengkap jenama tersebut. Apa yang membanggakan dirinya ialah dia merupakan duta pertama ColourVue di Malaysia! "Saya sudah seperti jatuh cinta dengan kanta lengkap jenama ini sejak mula-mula diperkenalkan seorang rakan, Nora semasa sesi bergambar bersama majalah In-Trend pada April tahun lalu." ungkapnya. Disebabkan terlalu menyukai produk jenama ini dan demi menghargainya sebagai satu produk yang sangat bagus, Nurul, 34, nekad bertemu wakil jenama tersebut untuk memberi penghargaan dan pujian terhadap produk yang digunakannya itu. "Daripada situlah pihak ColourVue menawarkan kepada saya untuk menjadi duta produk tersebut. Jadi, apa salahnya untuk menjadi duta kepada produk yang memang saya gemari," ujar Nurul.
Tambahnya: "Sejak memakai jenama ini, saya memang sukakannya dan memang saya tidak akan bertukar kepada jenama yang lain. Bukan kerana saya menjadi duta, tetapi memang ia produk yang bagus. "Selain mempunyai variasi pilihan warna yang pelbagai dan menarik, keselesaan juga menjadi penyebab mengapa Nurul gemarkan jenama ini. Menurut Nurul, kanta lengkap itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. "Kanta lengkap jenama ini (terasa) sangat halus, kadangkala saya tidak sedar yang saya sedang memakainya. Ia juga mampu tahan lebih lama sehingga 12 jam. "Walaupun memakai dalam jangka waktu yang lama, mata saya tidak berasa sakit mata," jelasnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Neo Studio, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini. Siapa sangka, tuah menyebelahi Nurul. Daripada minatnya yang mendalam sebagai pengguna kanta lengkap ColourVue, dia kini menjadi duta produk tersebut dengan mengikat kontrak selama dua tahun. Nafas baru Bukan itu sahaja, berita menggembirakan yang dikhabarkan Nurul sempena tahun 2011 ini. Berbicara mengenai karier nyanyiannya, Nurul memberitahu dia kini tampil dengan album solo baru yang sudah berada di pasaran sejak 11 Januari lalu. Album solo kedua yang diberi judul, Nurul itu memuatkan enam buah lagu, yang mana salah satu daripadanya merupakan minus one lagu yang digemari peminatnya iaitu Kerana Terluka.
"Ia sebenarnya merupakan album mini Nurul yang memuatkan enam buah lagu dan satu daripadanya merupakan minus one, lagu Kerana Terluka. Ia turut dimuatkan dalam album tersebut, khusus buat peminat saya yang meminati lagu ini. "Selain versi minus one, Kerana Terluka versi nyanyian turut dimuatkan dalam album ini yang merupakan versi yang diberi nafas baru," jelasnya. Menurut Nurul lagi, salah sebuah lagu dalam album tersebut yang berjudul Andaiku Kenaliku, ditulis liriknya oleh isteri kepada penyanyi Yassin iaitu, Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain. Menegaskan dirinya masih lagi setia dengan genre pop balada, ujarnya, selaian lagu Kerana Terluka, Andaiku Kenaliku dan Kerana Terluka versi minus one, album itu juga turut menampilkan lagu yang berjudul Tangis Syukur, Matahariku dan Duniaku. Mengakui dirinya sedang giat mempromosi album tersebut, menyebabkan dirinya agak sibuk berbanding kebiasaannya. "Saya membuat promosi album sendiri sebab itu saya kini sedikit sibuk. Syukur, pengurus saya, Bad banyak membantu dalam hal ini," ujarnya yang sedang menghitung waktu menantikan hari pelancaran album berkenaan yang dijangka pada penghujung bulan ini. Menghela panjang nafasnya, Nurul menuturkan semenjak meneruskan kehidupan sebagai seorang ibu tunggal, dia kini sibuk mencari rezeki bagi menyara kehidupannya dan keluarga. "Saya kini sedang bekerja keras untuk kehidupan sendiri dan anak. Insya-Allah saya akan teruskan karier saya dalam bidang nyanyian selagi terdaya. Walaupun saya berstatus ibu tunggal, namun saya tetap gembira menjalani kehidupannya saya ini," ungkapnya.
Puntianak terbang Tidak sekadar menerusi dunia muzik, Nurul tidak melepaskan peluang mencari rezeki yang halal menerusi dunia lakonan. Jujur meluahkan kata, Nurul memberitahu, selain nyanyian, bidang lakonan juga turut menjadi kerjaya seninya. "Nurul sebenarnya sudah lama terlibat di dalam bidang ini. Mungkin kelibat diri ini jarang dilihat di layar lakonan kerana Nurul akan terima tawaran jika ada masa dan tengok juga jika keadaan mengizinkan," jelasnya yang pernah menjadi pelakon utama dalam filem Sate pada tahun 1997. Apa yang menarik, Nurul bakal muncul menerusi filem terbaru hasil garapan pengarah yang pernah menunjukkan hasil pengarahan yang memberangsangkan menerusi filem Histeria iaitu James Lee. Filem genre seram komedi berjudul, Tolong Awekku Pontianak itu menyaksikan Nurul melakonkan watak Nadia, puntianak jahat yang sentiasa mengganggu penduduk di sebuah kampung. "Walaupun bergenre komedi, dalam filem ini, saya memegang watak sebagai puntianak serius yang jahat," tuturnya yang cukup teruja bercerita tentang lakonannya dalam filem yang turut menampilkan lakonan Sazzy Falak, Zahiril Adzim, Liyana Jasmay dan Jehan Miskin itu. Beritahu Nurul lagi, dia cukup seronok berlakon dalam filem itu, terutama kerana berpeluang melakukan sendiri aksi puntianak terbang tanpa menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri. "Saya seronok melakonkan watak Nadia kerana sebagai puntianak yang boleh terbang, saya yang lakukan aksi terbang itu tanpa dibantu pelakon lagak ngeri. "Seronok dapat berlakon bersama barisan pelakon filem ini dan di bawah arahan pengarah James Lee kerana dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya," bicara Nurul dalam senyum, cukup untuk menjelaskan betapa dia telah melalui pengalaman yang mengujakan sepanjang penggambaran filem tersebut. | ||||||
Posted: Fungsi Rumah Aktor SenimanOleh SAHLIZAH MOHAMED SERAMAI 30 pelajar meraih peluang untuk menimba ilmu di bawah kelolaan Rumah Aktor Seniman. BAGI melahirkan pelapis-pelapis baru dalam dunia lakonan yang berilmu, berkualiti, mampan dan mantap, Persatuan Seniman Malaysia, telah memperkenalkan Rumah Aktor Seniman yang bertujuan untuk memberi pengkhususan ilmu lakonan yang penuh kehalusan seni dan etika. Kursus yang menawarkan program latihan peringkat sijil itu akan diadakan dalam jangka masa 13 minggu iaitu lapan jam setiap minggu. Seramai 30 orang pelajar akan menjalani kursus tersebut yang akan diadakan di Taman Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran melalui penglibatan secara telus daripada pihak industri dan tenaga pengajar profesional serta jalinan kerjasama dari Aswara. Para pelajar akan turut dilatih untuk memantapkan penggunaan vokal dan mengenali perasaan serta deria rasa selain memberi latihan langsung melalui monolog untuk membantu pelajar cara menghafal dan memahami maksud dialog dan perwatakan. Sebanyak empat mata pelajaran akan diikuti oleh semua pelajar iaitu teori, pergerakan, vokal dan persembahan serta asas lakonan. Bagi menjayakan kursus tersebut, Presiden Seniman, Harun Salim Bachik akan memegang peranan sebagai penasihat, manakala penyandang jawatan pengarah projek ialah Yusof Kelana dan pelakon berpengalaman, Zul Huzaimi pula dilantik sebagai pengetua Rumah Aktor Seniman. Menurut Harun, pelajar yang sedia ada telah diuji bakat terlebih dahulu dan bukan semua yang hadir terpilih untuk mengikuti kursus itu. "Kami tidak ambil sebarangan. Semuanya melalui uji bakat dan kami juga tidak mahu ambil dalam bilangan yang ramai kerana bimbang sukar untuk memberi fokus kepada pelajar nanti. "Sememangnya ramai yang ingin menjadi pelakon terutama golongan remaja dan dalam program ini, kami tidak mahukan pelajar yang hanya inginkan populariti kerana apa yang penting ialah bakat yang terpendam dalam diri mereka.
"Saya tidak mahu mereka semua hanya belajar ala kadar kerana saya mahu mereka menjadi pelakon yang bagus," katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran Rumah Aktor Seniman di Finas, baru-baru ini. Sementara itu, Zul Huzaimi yang memikul tanggungjawab selaku pengetua memberitahu, kebanyakan pelajar yang menyertai kursus itu mempunyai bakat lakonan, namun mereka tidak menyedari akan anugerah itu. "Bagi saya, apa yang penting ialah matlamat mereka untuk menjadi pelakon. Dalam masa yang sama, saya juga ingin menghasilkan pelakon yang mempunyai pemikiran dan berilmu. "Saya akui saya memikul satu tanggungjawab yang amat besar untuk melahirkan pelakon yang berilmu dan berkualiti dan saya juga ingin melahirkan rasa bangga kerana masih ada lagi generasi yang mahukan ilmu," jelasnya dengan serius. Kursus tersebut telah bermula sejak 22 Januari lalu dan selepas tamat, mereka yang ingin meneruskan pengajian perlu menduduki ujian sebelum meneruskan pembelajaran mereka di Aswara. | ||||||
Posted: Jason Mraz sokong gay
JASON Mraz mengaku telah melamar kekasihnya, Tristan Prettyman untuk berkahwin. Bagaimanapun, mereka yang telah bertunang sebelum Krismas tahun lalu tidak akan berkahwin selagi cinta sejenis golongan gay tidak diberi hak untuk berkahwin seperti pasangan normal. Hal itu diluahkan penyanyi yang cukup popular dengan lagu I'm Yours kepada Us Weekly. Katanya: "Saya dan Tristan bersetuju untuk berkahwin dalam majlis yang akan dihadiri oleh kaum keluarga, sahabat dan komuniti kami. Tapi kami tidak akan berkahwin selagi perkahwinan sejenis golongan gay tidak diluluskan. "Selepas hak mereka (golongan gay) terbela, barulah kami akan berkahwin. Saya rasa membenarkan perkahwinan sejenis adalah satu langkah besar dalam undang-undang dalam memberi hak kepada individu itu." Bagaimanapun Jason bukanlah satu-satunya artis yang menyokong hubungan sejenis ini. Sebaliknya artis Barat seperti Elton John yang sudah pun berkahwin dengan pasangan sejenisnya. David Furnish. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |