Adsense

Rabu, 26 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jodoh Fazura

Posted: 25 Jan 2011 04:14 PM PST

Hip

pix_gal0
Cinta kian mekar, namun wanita ini terus berahsia siapa jejaka bertakhta di hatinya

DARI riak wajah dan bahasa tubuhnya, dapat dihidu bahawa aktres jelita ini sedang hangat dilamun cinta. Sepanjang wawancara bersamanya berlangsung, senyuman manis tidak pernah lekang dari bibir limau seulas miliknya itu. Masih ramah, sedikit nakal dan suka mengusik, Nur Fazura yang mula dikenali menerusi filem Bicara Hati ini seakan menterjemahkan kepada khalayak, dirinya kini dalam fasa mengulit bahagia.

Malah sewaktu ditemui pada majlis Green Cheongsam Showcase yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini, berkali-kali dia menegaskan bahawa tahun 2011 yang sudah hampir sebulan menyingkap tirainya bakal membawa kebahagiaan dan kegembiraan buatnya.

Ditanya apakah keterujaan itu ada kaitan dengan pengumuman tarikh perkahwinan seperti yang diharapkan kebanyakan pihak, Fazura dengan segera menafikannya. "Kebahagiaan yang saya lalui hari ini tiada kaitan dengan soal perkahwinan. Sebaliknya ia kerana perasaan cinta yang semakin hari semakin subur dalam jiwa. Macam mana saya mahu bercakap soal perkahwinan andai saya sendiri tidak tahu siapakah calon jodoh saya?

"Apa yang boleh saya lakukan hanyalah berdoa semoga saya mendapat jodoh yang baik. Jangan risau, andai saya ditakdirkan bertemu jodoh, saya pasti akan berkahwin juga," ujar Fazura sebagai mengulas khabar angin kononnya dia bakal bersara daripada bidang lakonan kerana mahu mendirikan rumah tangga.

Meskipun ramai yang sedia maklum dengan siapa bintang filem Gol dan Gincu ini menjalinkan hubungan, namun untuk berlaku adil pada empunya diri, soalan itu tetap diajukan kepada pelakon cantik berkenaan. Biarlah nama si jejaka keluar daripada daripada mulut aktres kelahiran Pahang Darul Makmur ini sendiri.

Namun seperti biasa, tiada jawapan pasti yang diterima. Sebaliknya, dengan niat berjenaka, dia menyebut nama-nama aktor kacak Hollywood yang disifatkan sebagai kekasihnya.
Begitulah Fazura, begitu kemas menyimpan rahsia dan amat berhati-hati apabila berbicara soal peribadi. Seperti yang pernah disuarakan sebelum ini, dia memang tidak mahu lagi kisah peribadinya menjadi perbualan ramai. Justeru, tegasnya, tahun ini ialah tahun untuk dia mencari duit sebanyak mungkin, dengan cara mengusahakan sebuah projek yang ada kaitan dengan dunia fesyen.

"Bagaimanapun, sebelum sampai ke fasa itu, biarlah saya tumpukan sepenuhnya perhatian saya pada kerjaya lakonan dan juga projek saya sendiri. Insya-Allah, jika segala-galanya berjalan lancar, saya akan muncul dengan sebuah produk yang ada kaitan dengan pakaian," ujar Fazura yang enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai projek terbarunya itu.

Bukan kerana mahu bersara tetapi kata Fazura, dia kini sudah berada pada tahap seorang yang amat selektif dalam memilih watak. Dan disebabkan sikap memilihnya itu jugalah, jarang wajahnya kelihatan di layar perak mahupun kaca televisyen.

"Saya masih banyak menerima tawaran, tapi balik-balik saya ditawarkan watak yang sama, yang pernah saya lakukan sebelum ini. Kalau boleh saya mahu watak lain. Contohnya, watak yang nampak baik tapi sebenarnya seorang pembunuh," katanya yang bakal muncul dengan sebuah filem terbitan Red Communication Sdn Bhd.

Bercerita lanjut mengenai karier lakonannya, Fazura berkata, dia juga akan berangkat ke Tanah Suci pada 20 Februari depan kerana mahu menjalani penggambaran drama arahan Erma Fatima, Tahajud Cinta dan Kitab Cinta.

"Memang sudah lama saya berhajat untuk ke Makkah untuk menunaikan umrah. Alhamdulillah, permintaan saya dimakbulkan Tuhan. Kali pertama saya mengerjakan umrah ialah ketika usia saya 12 tahun. Sebelum ini, saya pernah mendapat undangan Datin Paduka Umie Aida untuk sama-sama mengerjakan umrah, tapi pada masa itu keadaan tidak mengizinkan

"Lagipun selain mahu mengerjakan umrah, saya menerima tawaran ini kerana ia memerlukan saya bertudung, iaitu satu watak yang belum pernah saya lakonkan," kata pemenang anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) dan terbaru, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 2010.

Jangan perlekeh artis

MELIHAT kepada penampilannya yang sentiasa bergaya dengan pelbagai jenama antarabangsa, ramai yang membuat andaian Fazura hidup senang lenang kerana mempunyai teman lelaki yang kaya-raya. Namun, tuduhan nakal itu disangkal sekeras-kerasnya. Sambil memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya menghentikan tohmahan, Fazura juga meminta khalayak tidak memandang rendah golongan artis.

"Entah mengapa masyarakat hari ini begitu mudah menilai golongan artis. Jika nampak artis itu bergaya lebih sedikit dan memandu kereta mewah, mereka akan terus melabelkan artis itu ditaja.

"Jangan ingat golongan artis ini 'sengkek' sangat. Kami ada pendapatan sendiri. Sebenarnya, ramai artis kita yang memang mewah hasil pendapatan mereka dalam bidang seni, seperti tawaran berlakon, menyanyi dan mengacara yang tak pernah putus. Tapi biasalah, masyarakat kita memang suka berprasangka," luah Fazura.
Menurut Fazura lagi, disebabkan tanggapan seperti itulah dia mahu terus bekerja walaupun selepas bergelar isteri.

"Mungkin tidak selamanya saya mahu menjadi pelakon. Tapi, ia tidak bermakna saya mahu goyang kaki di rumah. Jika saya mendirikan rumah tangga kelak, saya tetap akan berkerja, dengan membuka perniagaan sendiri. Saya tak mahu berharap seratus peratus kepada suami. Lagipun saya sudah biasa pegang duit sendiri. Saya sudah mula berdikari sejak usia saya 17 tahun lagi," tegasnya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Peminat tidak lupa orang lama

Posted: 25 Jan 2011 04:10 PM PST

Hip

Anuar Zain, Raja Azura, Linda Onn terus bersaing dengan bakat baru

BIARPUN ramai wajah baru menguasai senarai lima finalis atau Top 5 dalam 16 kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), orang lama masih mencuri perhatian pengundi apabila ada di kalangan personaliti yang lebih dulu mengungguli majlis pengiktirafan ini tetap bertahan atau dicalonkan kembali.

Hakikatnya, kehadiran bakat baru tidak sesekali menyingkir terus pelakon, penyanyi mahu pun personaliti radio dan televisyen yang terlebih dulu makan garam kerana dalam apa juga situasi, peminat tetap mengiktiraf calon pilihan bersandarkan hasil kerja serta populariti mereka sepanjang tahun lalu.

Raja Azura yang sinonim dengan panggilan Kak Engku bukan saja dicalonkan ke peringkat akhir buat kesekian kalinya, malah dalam ABPBH edisi terbaru, dia muncul personaliti dengan pencalonan terbanyak - tiga kategori! Selain kategori Penyampai Radio Popular dan Pengacara TV Popular, Raja Azura juga disenaraikan ke peringkat akhir dalam kategori Pelakon Komedi Wanita Popular. Selain dirinya, seorang lagi artis yang dicalonkan dalam tiga kategori pada ABPBH 2010 ialah Ana Raffali (Artis Baru Wanita, Artis Duo / Berkumpulan dan Penyanyi Wanita Popular).

Pernah membawa pulang empat trofi ABPBH sejak dicalonkan bermula 1993, pencalonan kali ini, katanya agak mengejutkan apabila turut dipilih bagi kategori penyampai radio yang diakui impak daripada segmen pagi Sinar FM, kendaliannya bersama-sama Salih Yaacob dan Khairil Rashid.

"Ketika mula menyertai keluarga Sinar FM pada 12 Februari 2007, ia hanya stesen radio nombor lima. Namun kini Sinar menduduki tangga pertama, malah paling menggembirakan apabila mengenangkan, daripada lebih 4 juta pendengar yang mengikuti segmen pagi di semua stesen radio, 3.4 juta ialah pengikut setia kami.

"Sesungguhnya saya bersyukur dengan penerimaan peminat yang sentiasa bersama kami dan secara peribadi, pemilihan saya dalam tiga kategori juga adalah hasil sokongan mereka yang selama ini membuatkan saya terus kuat mengharungi dunia seni," katanya.
Bagi Anuar Zain yang dicalonkan semula selepas kali terakhir bersaing dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular pada 2007, pencalonan tahun ini dianggap sebagai bonus kerana album barunya yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul bakal diedarkan bulan depan.

Begitupun, calon akhir lain yang terdiri daripada bakat yang digilap program realiti iaitu Faizal Tahir, Shahir, Black dan Aizat tetap dianggap sebagai pesaing hebat kerana masing-masing mempunyai reputasi memberangsangkan, sebaik kaki melangkah ke gelanggang seni suara.

"Aizat pernah memenangi kategori ini manakala Faizal Tahir sudah beberapa kali dicalonkan sebagai finalis. Shahir dan Black juga mempunyai ramai peminat setia. Bagi saya, dicalonkan semula selepas empat tahun sudah tentunya satu penghargaan kerana ia sedikit sebanyak menunjukkan, Anuar Zain masih diingati ramai.

"Inilah juga masanya untuk saya terus dekat dengan penyokong yang selama ini setia menyuntik semangat. Mungkin saya akan 'turun' pada lokasi jelajah ABPBH untuk bertemu mereka," katanya yang merangkul trofi kategori sama pada 2003.

Pendengar ikut ke mana saja

LINDA Onn yang pernah membolot trofi Penyampai Radio Wanita Popular sejak kategori diperkenalkan pada 2001 hingga pada 2006, sebelum kategori itu dimonopoli pula Fara Fauzana hinggalah ABPBH tahun lalu, mengakui sangat berterima kasih kepada pendengar yang setia mengikuti celotehnya.

Bagi wanita tinggi lampai ini, kalah menang berada di tempat kedua kerana paling penting ialah ingatan peminat yang meletakkan semua finalis pada kedudukan sekarang. Bahkan dia melihat pengiktirafan yang dianjurkan Berita Harian umpama hadiah kepada seluruh penggiat seni dan penyiaran.

"Nampaknya pendengar tetap mengikuti celoteh saya walau di mana juga stesen radio yang saya pergi. Kini selepas bersama keluarga Suria FM, kesetiaan mereka juga masih tidak berbelah bagi membuatkan saya semakin bersemangat memberikan hasil kerja terbaik.

"Jika menang saya anggap ia sebagai bonus dan jika kalah, ia bukan perkara yang menyedihkan kerana melihat finalis lain saya pasti cabarannya cukup sengit. Nama seperti Fara Fauzana, Abby Fana, Raja Azura dan Sharifah Aleya memang punya kekuatan tersendiri," akuinya jujur.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.