Adsense

Khamis, 20 Januari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Konsert sulung selepas 33 tahun

Posted: 19 Jan 2011 07:02 AM PST

SEMUANYA kerana 33. Tempoh 33 tahun, 33 pemuzik dan 33 lagu. Itulah simbolik di sebalik Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 5 dan 6 Februari ini.

Ironinya, semua itu berlaku tanpa dirancang. Angka itu hanya disedari selepas memperoleh senarai penuh nama pemuzik yang terbabit serta mencongak jumlah lagu ingin disampaikan dan tanpa disangka, semuanya kebetulan.

"Ya memang semuanya berlaku secara kebetulan dan saya hanya menyedari perkara ini selepas menyenaraikan barisan pemuzik dan pilihan lagu yang
ingin disampaikan.

"Mengikut feng shui orang Cina, 33 juga membawa erti 'kehidupan-kehidupan'. Sekian lama tidak muncul dalam persembahan yang besar, saya harap penganjuran konsert solo di IB ini akan dapat mengembalikan ingatan terhadap nama Francissca Peter dalam persada seni di Malaysia," katanya kepada Rap, ketika ditemui Isnin lalu.

Ditanya lagi, mengapa konsert itu tidak diadakan ketika menyambut ulang Jubli Perak pembabitannya sebagai anak seni, Fran berkata ketika itu dia belum mendapat peluang.

"Hanya tahun ini saya mendapat peluang untuk masuk ke IB bersama orkestra. Dulu kami berdepan banyak masalah untuk mencari penaja.

"Selain itu, agak sukar untuk mendapatkan slot di IB yang sentiasa dipenuhi pelbagai aktiviti pementasan. Selepas bersabar, saya mendapat slot pada kekosongan pada 5 dan 6 Februari ini.

"Sewaktu perbincangan tempoh hari, ada pihak yang mencadangkan agar saya menggunakan judul Konsert Keunggulan 30 Tahun Francissca Peter tapi pengurus saya tak setuju kerana pengalaman saya lebih tiga tahun dari angka itu.

"Akhirnya kami sepakat untuk menggunakan judul Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter seiring pengalaman 33 tahun dalam muzik," katanya bakal menginjak usia 50 tahun September nanti.

Ditemui di IB bagi memenuhi sesi fotografi khas bersama Harian Metro yang juga akhbar rasmi konsert berkenaan, Fran berbangga apabila dimaklumkan pihak IB bahawa dialah artis bukan Melayu tempatan pertama yang berpeluang mengadakan konsert solo di Panggung Sari.

Dapat dilihat riak wajah serta nada suara pelantun lagu Aku Hanya Pendatang dan Sekadar Di Pinggiran ini begitu teruja untuk menjayakan konsert berbayar terbitan Eye Design itu.

"Ini bukan saja konsert terbesar yang saya jayakan tetapi juga konsert sulung selepas 33 tahun menjadi penghibur.

"Saya memang pernah diundang menyanyi tetapi pembabitan saya lebih kepada 'opening gambit' atau 'closing act'.

"Berbeza kali ini apabila saya akhirnya berpeluang beraksi dalam konsert solo sendiri. Istana Budaya memang satu tempat yang tidak pernah saya impikan selama ini," ujarnya yang nampak lebih tembam dari dulu.

Konsert berdurasi dua setengah jam itu disifatkan Fran sebagai hadiah istimewa buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya.

Mendapatkan khidmat sahabat lamanya, konsert ini menampilkan gubahan muzik merdu susunan Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik.

"Konsert ini mengembalikan nostalgia lama kerana saya kembali bekerjasama dengan Ramli. Ia juga boleh dianggap hari perhimpunan dengan peminat setia yang pernah membesar dengan lagu-lagu saya.

"Khabarnya sekumpulan peminat dari Sarawak mahu datang satu bas, selain peminat saya yang kini berada di United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat yang enggan terlepas.

"Seperkara yang cukup manis dan membuatkan saya terharu adalah individu yang terbabit dalam penganjuran konsert ini. Mereka terdiri daripada peminat setia saya selama ini.

"Pada persembahan malam itu, saya turut mengundang penari asal yang pernah muncul dalam muzik video Oh La La Tropika," katanya.

Terus pada pengisian konsert ia terbahagi kepada lima segmen. Pun begitu, tidak semua mahu didedahkan oleh Fran buat masa ini sebagai satu kejutan.

"Apa yang boleh saya katakan, pada malam konsert itu nanti, ada satu segmen saya kembali berpadu suara dengan pasangan duet saya, Royston Sta Maria (Roy) yang diterbangkan khas dari Australia.

"Kami akan memperdengarkan lagu-lagu hits yang dimuatkan dalam album duet kami, Siapa Dia Sebelum Daku (1982) dan Bersama Pertemuan Ini (1983).

"Bukan itu saja terdapat satu segmen yang didedikasikan buat kanak-kanak dari Yayasan Salam dan Organisasi Kebajikan Antarabangsa World Vision Malaysia.
"Malam itu juga saya akan memperdengarkan secara ekslusif lagu terbaru saya yang belum pernah diputarkan di mana-mana radio tempatan.

"Selebihnya adalah rangkaian lagu akan didendangkan terdiri daripada hit saya seperti Sekadar Di Pinggiran, Kerna Terpaksa, Mawar Terpinggir dan Aku Hanya Pendatang.

"Ada juga lagu medley dirangkumkan dengan susunan muzik menarik oleh Ramli," katanya.

Kata Fran, bukan saja Roy, dia turut cuba mengundang Jamal Abdillah untuk terbabit dalam konsert ini memandangkan lagu duet mereka, Kehebatan Cinta, sangat popular.

Bagaimanapun, Jamal tidak dapat bersama kerana jadual seninya yang bertindih dan baru saja selesai menjayakan konsert solo juga di IB, baru-baru ini.

Mengharapkan segala-galanya berjalan lancar, Fran berdoa agar diberikan kesihatan yang baik sebelum dan sepanjang konsert berlangsung.

"Menjelang konsert ini saya hanya mengharapkan diberikan kesihatan yang baik kerana kalau kesihatan terjejas bermakna nyanyian kita pun akan bermasalah. Saya tak mahu kecewa.

"Saya perlu pastikan dari sekarang mendapatkan tidur yang cukup selain mengelak mengambil makanan berminyak. Persiapan ini sudah pun saya lakukan demi memastikan yang terbaik pada malam konsert itu nanti," katanya.

Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter menawarkan harga tiket bermula RM99, RM149, RM189, RM239 dan RM299 yang boleh dibeli secara online di www.francisscapeter-concert.com, wwww.airasiaredtix.com dan www.ticket2u.biz
atau menelefon 03-4147 8600.

Pada hari konsert nanti, Eye Design juga akan menjual beberapa barangan ekslusif, antaranya kompilasi kesemua album Fran dalan bentuk 'box set' pada harga istimewa. Tawaran ekslusif dihasilkan Warner Music Malaysia dan tidak tidak dijual di mana-mana kedai muzik.

PROFIL

NAMA: Luciana Francissca Peter
NAMA KOMERSIAL: Fran
UMUR: 49 tahun
KETURUNAN: Serani - kacukan Ceylon-Scotland dan Cina

ALBUM SOLO:

  • Komputer Muzik (1984)
  • Aku Hanya Pendatang (1985)
  • Sekadar Di Pinggiran (1986)
  • Kau Bintang Ku (1987)
  • Fran Harapan (1988)
  • Pasti Kembali (1989)
  • Now's The Time (1989)
  • Mawar Terpinggir (1993)
  • Captured by a Smile (1995)
  • Setinggi Angkasa (1997)
  • Masih Merindu (2005)

    ALBUM DUET:

  • Siapa Dia Sebelum Daku (1982)
  • Bersama Pertemuan Ini (1983)

    ALBUM KOMPILASI:

  • Suara Rindu (1990)
  • Siri Legenda (1994)
  • 10 Tahun Gemilang (1997)
  • Alunan Mesra (1999)
  • Every Journey Travelled (2000)
  • A Christmas Gift (2002)
  • Dulu, Kini dan Selamanya (2007)
  • Berlian (2008)
  • Memori Hit Roy & Fran (2008)
  • Nostalgia Abadi (2009)
  • Memori Hit Francissca Peter (2009)
  • Cinta 101 (2010)
  • Keunggulan (2010)
  • Sukma Rindu (2010)
  • Komputer Muzik (2010) edaran semula

    PENCAPAIAN: Juara Asian Song Festival 1987

  • Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1987
  • Juara Keseluruhan - Anugerah Juara Lagu 1986 - menerusi Sekadar Di Pinggiran
  • Tempat Ketiga Keseluruhan - Anugerah Juara Lagu 1987 - Kerna Terpaksa
  • Naib Juara Keseluruhan - Anugerah Juara Lagu 1988 - Diriku Terbelenggu

  • Jualan Album

  • Anugerah Platinum Berkembar 2 untuk album Sekadar Di Pinggiran
    Anugerah Platinum untuk album Kau Bintangku, Fran Harapan & Pasti Kembali
    Anugerah Emas untuk album Aku Hanya Pendatang & Mawar Terpinggir

    PAKAIAN TAJAAN: Ezuwan Ismail - 012 2646871 ezuwanismail@yahoo.com
    SOLEKAN: Tiar Zainal - 0136284835 dan tiarzainal@gmail.com
    LOKASI: Istana Budaya

    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    UUM tuan rumah FFVPM

    Posted: 19 Jan 2011 06:23 AM PST

    BERSESUAIAN dengan penubuhannya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut membantu pembangunan bakat muda yang memilih bidang perfileman sebagai kerjaya pilihan.

    Sejak 2003 Finas menyokong penganjuran Festival Filem Video Pelajar Malaysia (FFVPM) yang bermatlamat memastikan kesinambungan bakat seni dan daya kreatif pada pengkarya muda khususnya mahasiswa institut pengajian tinggi tempatan (IPT).

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Finas, Fatimah Ahmad, setiap tahun sebuah IPT menjadi tuan rumah dimana tahun 2010 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpilih.

    Tahun 2011, giliran Universiti Utara Malaysia (UUM) pula sebagai tuan rumah FFVPM ke-8.


    "UUM menjadi tuan rumah pada 3 hingga 6 Mac ini. Bagi memastikan kelancaran festival ini kami mengalu-alukan penyertaan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berminat bertanding.


    "Tarikh akhir untuk penyertaan pada 15 Februari dan setiap penyertaan mestilah dibuat menerusi IPTA/S masing-masing.

    "Sebanyak tujuh IPTA/S pernah menjadi tuan rumah sebelum ini. Semua IPT sudah ada jurusan perfileman dan kami menyokong festival ini yang bermatlamat menggilap bakat baru dunia perfileman yang bakal mengganti karyawan seni sedia ada. Hasil daripada festival ini dapat dilihat dengan kemunculan pelakon berbakat seperti Farid Kamil, Iqram Dinzly dan Cut Mutia," katanya pada sidang media baru-baru ini.

    Tambah Fatimah, Finas mengiktiraf hasil kerja pelajar agar mereka lebih kreatif dalam berkarya dan kemuncaknya mereka diberi penghargaan dalam bentuk anugerah. Selain itu ia juga memberi peluang golongan ini berkongsi idea secara terus dengan penggiat filem tanahair.

    "Di samping hasilkan karya berkualiti, kami juga mahu mereka kembangkan bakat selaras dengan hasrat Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim untuk bangunkan industri perfileman tempatan. FFVPM8 yang bertema Cendekia Senima Ke Persada Dunia ini hanya dibuka kepada IPT
    di Malaysia dan penyertaan tidak dihadkan jumlahnya kepada mana-mana IPTA/S," katanya.

    Fatimah juga menyampaikan wang sebanyak RM100,000 daripada Finas bagi menjayakan festival ini. Sebanyak lapan kategori hadiah utama dipertandingkan iaitu Kategori Filem/ Video Terbaik Keseluruhan yang menawarkan hadiah berbentuk trofi, wang tunai RM1,500 berserta sijil dan Kategori Anugerah Khas Juri (3 pemenang) yang menawarkan trofi berserta sijil.

    Kategori lain yang dipertandingkan, Kategori Filem/ Video Pendek, Kategori Filem/ Video Dokumentari, Kategori Filem/ Video Iklan, Kategori Filem/ Video Animasi, Kategori Filem/ Pengumuman Khidmat Awam dan Kategori Klip Video Terbaik, menawarkan hadiah berbentuk trofi, wang tunai RM1000 dan sijil.

    Hadiah iringan sebanyak 9 kategori iaitu Anugerah Pengarah Harapan, Anugerah Penyunting Terbaik, Anugerah Penataan Seni Terbaik, Anugerah Penataan Bunyi Terbaik, Anugerah Skrip Terbaik, Anugerah Kostum Terbaik, Anugerah Sinematografi Terbaik, Anugerah Muzik Terbaik dan Anugerah Grafik Terbaik turut di perkenalkan yang menawarkan hadiah trofi, wang tunai RM500 dan sijil.

    Sementara itu, Pensyarah Kolej Sastera dan Sains, Lt Norhissam Sulaiman selaku Jawatankuasa Aktiviti Festival berkata, pelbagai agenda sudah diatur oleh UUM bagi menjadikan acara ini meriah dan bermanfaat kepada pelajar yang terbabit.

    "Acara pada 3 Mac akan diisi dengan seminar yang membabitkan pelajar bidang media dan perfileman. Kami akan ketengahkan kertas kerja sebagai bahan pembentangan. Tayangan filem terpilih turut diadakan pada malamnya. Acara hari kedua akan diisi dengan preview hasil karya pelajar yang bertanding dan forum mengenai filem Malaysia pada sebelah malamnya.

    "Hari ketiga akan diisi dengan konvensyen seniman yang dipengerusi oleh speaker dari Indonesia yang turut menampilkan penggiat seni terkenal tanah air dan malamnya akan diadakan penutup dan penyampaian Anugerah FFVPM8 yang akan dihadiri oleh Dr Rais. Penganjuran acara ini mirip Festival Filem Malaysia dan juri yang terbabit terdiri daripada penggiat seni dan pensyarah akademik.

    "UUM sebenarnya sudah ada Kursus Perfileman dan Penyiaran dan kami jadi tuan rumah kerana nak mempromosi program ini yang baru tiga tahun diperkenalkan. Sebelum ini kami sudah bekerjasama dengan Finas antaranya dalam kursus penulisan skrip dan penganjuran FFVPM8 adalah kemuncak kepada kerjasama kami.

    "Ini sejajar dengan matlamat UUM yang berhasrat jadi Universiti Bertaraf Penyelidikan pada 2013 dan Universiti Bertaraf Antarabangsa pada 2015," katanya.

    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.