Adsense

Khamis, 20 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Sedekad mencari idola

Posted: 19 Jan 2011 03:08 PM PST

Hip

DARI kiri, Ryan Seacrest, Jennifer Lopez, Steven Tyler dan Randy Jackson.

DARI kiri, Ryan Seacrest, Jennifer Lopez, Steven Tyler dan Randy Jackson.

American Idol musim ke-10 lebih hangat dengan kehadiran JLo dan Steven Tyler

SEDEKAD kekal sebagai program realiti popular bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun, American Idol membuktikan, dengan suntikan bakat yang hebat, juri yang memikat serta corak persembahan yang hangat, pencapaian itu tidak mustahil mampu diraih, seterusnya kekal mendapat perhatian peminat.

Pada 20 Januari ini pula, edisi ke-10 program pencarian bakat nyanyian di Amerika Syarikat itu bakal menemui penonton Star World, jam 6 petang, yang dipancarkan menerusi satelit. Episod baru akan disiarkan setiap Khamis dan Jumaat, jam 6 petang, dengan siaran ulangannya pada 8 malam. Lebih membanggakan, bukan saja disiarkan secara langsung, malah Star World turut membawakan program itu kepada penonton di Asia lebih awal daripada peminat lain. Keseronokannya pasti bertambah apabila American Idol musim ini dilabel sebagai paling segar dan menarik, sepanjang sejarah penganjurannya.

Bukan sekadar bakat, malah peminat juga akan dapat menyaksikan kehadiran dua juri baru yang pasti menambahkan lagi kehangatan program berkenaan. American Idol 10 sudah semestinya lebih panas dengan drama dan persaingan sengit, bukan saja di kalangan peserta, malah jurinya juga.

Lebih-lebih lagi, bakat yang mencuba nasib kali ini pasti lebih pelbagai, apabila had umur kelayakan diturunkan kepada 15 tahun. Lalu, apakah pertandingan musim ini akan melahirkan juara muda yang mampu memberikan saingan sengit kepada artis remaja sedia ada seperti Justin Bieber, Miley Cyrus dan sebagainya?

Barisan jurinya dikemas kini dengan kehadiran aktres yang pernah dicalonkan untuk anugerah Golden Globe, yang juga penyanyi dengan jualan album berjuta unit, Jennifer Lopez. Tidak ketinggalan menduduki kerusi panas itu ialah penyanyi yang pernah menjulang beberapa anugerah Grammy yang juga vokalis Aerosmith, Steven Tyler.
Bagaimanapun, Randy Jackson yang dianggap antara personaliti paling berpengaruh dalam dunia muzik masih kekal sebagai juri buat kesekian kalinya.

"Saya tidak percaya, American Idol sudah pun berusia hampir 10 tahun. Saya sangat teruja untuk menjayakan musim terbaru ini dan tentu sekali kami akan menjadikannya edisi paling cemerlang. Musim ke-10 bakal tampil sebagai musim paling hangat." kata Jackson.

Kemunculan Lopez tentu sekali akan menambahkan dimensi baru kepada senarai juri, berdasarkan pengalaman luasnya dalam dunia hiburan antarabangsa. Memainkan dua peranan sekali gus, bintang jelita ini bertindak sebagai juri di samping bergelar tenaga pengajar. Pengalamannya sejak sekian lama dalam mencipta nama sebagai artis terkenal sudah semestinya memberikan manfaat besar kepada peserta.

"Selama sembilan tahun, saya cukup seronok menonton artis muda bersaing bagi mendapatkan peluang mencapai impian mereka. Daripada pengalaman saya sendiri, saya sedar betapa sukarnya untuk seseorang itu berjaya. Justeru, saya cukup teruja untuk mencungkil, seterusnya membentuk peserta kali ini dalam mengejar cita-cita bergelar juara," kata Lopez.

Legenda rock, Tyler, pula pastinya akan membawa tenaga luar biasa dan sukar diramal kepada barisan juri Idol, dek akar umbinya yang kukuh dalam dunia muzik berkenaan. Statusnya sebagai ikon rock, yang dicapai hasil keanggotaannya dalam kumpulan tersohor itu, serta pengalaman selama empat dekad dalam dunia muzik tidak syak akan menyuntik semangat kepada bakat baru untuk lebih menyerlah dalam usaha mereka bergelar idola terbaru Amerika.

"Saya menghabiskan sebahagian besar hidup saya dengan menjayakan siri jelajah, bersama-sama empat lelaki yang menilai saya hampir setiap hari. Kadangkala ia menyakitkan hati, namun semua itu menjadikan saya lelaki yang lebih kuat.

"Saya ingin memberikan semua orang secebis kasih sayang sebelum saya memutuskan siapakah yang dihantar pulang dalam kekecewaan. Jika anda tidak sukakan apa yang saya cakap, jangan marah, tetapi jadilah penyanyi lebih baik. Saya bersedia untuk sama-sama berusaha menjadikan impian bakat baru ini sebagai kenyataan, jika mereka memiliki segala semangat dan keinginan diperlukan," katanya.

Berpuluh ribu peserta sekali lagi akan memenuhi stadium dalam usaha mendapatkan tiket emas, yang memberikan laluan selamat buat mereka menyertai saingan peringkat kumpulan di Hollywood.

Setiap tahun juga, penonton akan terhibur dengan kemunculan calon yang tidak sedar mereka bukan penyanyi berbakat, serta mereka yang sanggup mengenakan kostum bukan-bukan demi menutup kekurangan, dalam menarik perhatian juri pertandingan. Tidak kurang juga peserta yang hebat berdrama, semuanya demi mengecap populariti dan mencapai impian. Lalu, apakah musim terbaru ini akan turut meriah dengan kemunculan peserta sedemikian? Sama-sama kita nantikan.

Sebagai satu daripada medan terbaik dalam menghasilkan bakat terhebat di Amerika, lebih banyak penekanan akan diberikan kepada pembentukan diri peserta untuk menjadi bintang pujaan seterusnya. Pengerusi Interscope Geffen A&M Records, yang juga pengasas bersama Beats Audio dan seorang daripada penerbit muzik paling prolifik, Jimmy Iovine, akan menyertai American Idol musim baru ini, sebagai mentor.

Penonton akan dapat mengikuti rakaman belakang tabir di mana peserta pertandingan mendapatkan bimbingan daripada Iovine dalam memperbaiki kemahiran dan keupayaan diri. Pengalaman lelaki itu dalam membentuk karier cemerlang beberapa artis ternama Amerika tentunya tidak akan persiakan begitu saja.

Juara lalu dan perkembangan terkini mereka:

Musim pertama: Kelly Clarkson - Sebaik saja selesai siri jelajah All I Ever Wanted pada tahun lalu, yang menyaksikan dirinya turut singgah di Malaysia, Kelly kini bekerja keras di studio untuk menyiapkan album kelima.

Musim kedua: Ruben Studdard - Ruben menyelesaikan konsert jelajahnya bersama naib juara, Clay Aiken, Timeless, pada 2010, yang menyaksikan mereka beraksi di 17 lokasi seluruh Amerika Syarikat. Ruben akan tampil bersama album baru pada tahun ini.

Musim ketiga: Fantasia Barrino - Fantasia hadir bersama album studio ketiga, Back To Me, tahun lalu dan dia juga mengadakan siri konsert solo pertamanya untuk menyokong album berkenaan. Dia turut membintangi siri realiti berjudul Fantasia For Real yang kini memasuki musim kedua.

Musim keempat: Carrie Underwood - Carrie mencatat memori indah tahun lalu apabila mengikat tali pertunangan bersama Mike Fisher. Dia juga terus bersinar dalam dunia muzik country, dengan menjadi hos bersama Anugerah Muzik Country ke-44, November lalu. Dia turut menggondol trofi keenam Anugerah Muzik Amerika, di samping memenangi enam trofi pada Anugerah Country Amerika, masing-masing dalam kategori Artis Terbaik, Artis Wanita Terbaik, Album Terbaik (Play On), Single Artis Wanita Terbaik (Cowboy Casanova), Video Artis Wanita Terbaik (Cowboy Casanova) dan Artis Jelajah Terbaik.

Musim kelima: Taylor Hicks - Taylor agak menyepikan diri selepas muncul bersama album studio kedua, The Distance, pada 2009.

Musim keenam: Jordin Sparks - Jordin menjayakan siri jelajahnya di Amerika bagi mempromosikan album kedua, Battlefield. Dia turut bekerjasama dengan bintang Australian, Guy Sebastian, menerusi lagu duet Art of Love yang berjaya mencatat jualan platinum di negara terbabit. Kini dia sedang menyiapkan album ketiga pula.

Musim ketujuh: David Cook - David kini bertungkus lumus menyiapkan album studio kedua, yang menyaksikan dirinya bekerjasama dengan ramai nama besar termasuk Chantal Kreviazuk dan John Rzeznik daripada Goo Goo Dolls.

Musim kelapan: Kris Allen - Kris menjayakan siri jelajah solonya pada 2010 sebagai sokongan kepada album sulung yang menggunakan namanya sebagai judul. Dia turut dicalonkan dalam kategori Artis Muzik Baru Terbaik pada Anugerah People's Choice tahun lalu.

Musim kesembilan: Lee DeWyze - Lee masih lagi menikmati kegemilangan bergelar juara. Dia muncul bersama album sulung, Live It Up, pada November 2010. Single pertama, Sweet Serendipity, kini kencang diputarkan di radio. Dia juga diumumkan pemenang Male Reality/Variety Star pada Anugerah Teen Choice tahun lalu.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bercuti bersama finalis ABPBH 2010

Posted: 19 Jan 2011 02:46 PM PST

Hip

INGIN merasai pengalaman melancong bersama bintang ke pulau legenda? Peminat pelakon, Lisa Surihani dan Shaheizy Sam, serta penyampai radio, Faizal Ismail, dipelawa memeriahkan percutian ekslusif Gemilang Bersama Bintang (GBB) menjelajah Pulau Langkawi selama tiga hari dua malam bermula 27 Januari ini.

Detik merehatkan diri sambil menikmati udara segar di pulau terbabit pasti berbeza apabila pengangkutan serba selesa yang disediakan POTO Travel & Tours Sdn Bhd, membolehkan artis dan peminat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.

Tentu saja pengembaraan menaiki bas dua tingkat yang dilengkapi segala kemudahan untuk keselesaan penumpang itu menjadi lebih bermakna apatah lagi dengan pemandangan nan menghijau di sepanjang perjalanan ke Kuala Perlis, tempat jeti berlabuh. Pasti mereka yang hanya 'mengenali' bintang Adnan Sempit, Sam; aktres jelita, Lisa Surihani; serta penyampai Hot FM yang lebih dikenali sebagai FBI dari jauh teruja apabila kesempatan mengunjungi pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri berdarah putih itu turut ditemani wajah-wajah popular.

Tiga serangkai yang juga calon akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 itu akan menyertai rombongan berkenaan bermula pada hari pertama lagi iaitu di Matic Jalan Ampang, lokasi tempat berhimpun semua peserta, sebelum menaiki bas persiaran menuju utara jam 11 malam.

Bagi mereka yang berminat memeriahkan acara ini, kadar RM580 dikenakan kepada peserta dewasa selain RM385 dan RM355 (kanak-kanak bertilam dan tidak bertilam) dilengkapi pakej lengkap termasuk pengangkutan dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis, penginapan dua malam di Hotel Seaview, feri serta sarapan pagi dan makan malam.

POTO Travel & Tours turut menyediakan program lawatan menarik ke tiga pulau di sekitar Langkawi iaitu Dayang Bunting, Singa Besar dan Beras Basah, selain membawa rombongan menaiki kereta kabel Gunung Mat Cincang serta lokasi wajib lain seperti Makam Mahsuri, Dataran Lang, kilang gamat dan Padang Mat Sirat.
Tidak lengkap ke Langkawi jika tidak merasai keenakan ikan bakar segar yang baru diangkat dari laut apabila pada hari pertama kaki dijejak ke pulau percutian itu, anggota rombongan akan dibawa menikmati makan tengah hari di restoran yang terkenal dengan makanan lautnya.

Dijadualkan rombongan pulang ke Kuala Lumpur pada 30 Januari selepas jam 11 pagi untuk bertolak ke jeti Kuah sebelum meneruskan perjalanan ke ibu negara namun seperti mana ketika datang, pemandangan indah bakal mengiringi kepulangan.

Bagi sesiapa yang berminat menyertai percutian eksklusif ini, tempahan dibuka hingga 24 Januari dan bayaran penuh perlu dikemukakan secara tunai ke akaun Maybank 5144 0480 2849 atau RHB 264 179 0000 5069, manakala cek berpalang di atas nama POTO TRAVEL & TOURS SDN BHD.

Sebarang pertanyaan juga boleh dikemukakan ke 03- 9200 6640/03-8888 8640 atau emel ke info@pototravel.com.my/putrajaya@pototravel.com.my.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.