Adsense

Jumaat, 21 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ingin kembali

Posted: 20 Jan 2011 12:32 PM PST

Hip

Selepas empat tahun, Erra Fazira teringin muncul bersama album baru

EMPAT tahun lalu, penyanyi dan pelakon jelita Erra Fazira menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman SRC sebagai artis baru naungan mereka. Syaratnya, Erra dikehendaki menghasilkan lima album bersama syarikat berkenaan. Namun pejam celik, pejam celik, sehingga kini bayang album pun masih lagi tidak kelihatan. Apa sudah jadi dengan kontrak yang dipersetujui itu?

Tertanya-tanya juga apakah album baru Erra memang tidak akan muncul di pasaran kerana khabarnya, sehingga kini ia belum siap sepenuhnya. Rasanya ramai peminat ibu kepada Engku Aleesya ini yang tidak sabar menantikan kelahiran buah tangan penyanyi ini. Kali terakhir Erra muncul dengan album terbaru adalah pada 2006, yang memuatkan lagu popular seperti Harapan Hanya Impian.

Namun sama seperti judul lagu popularnya itu, harapan pemilik nama penuh Fazira Wan Chek ini untuk menyaksikan album sulungnya bersama syarikat rakaman tempatan itu bagaikan tidak kesampaian apabila kontraknya bakal berakhir sekitar tahun ini. Dan, perkara ini turut membimbangkan Erra kerana dia sendiri memang sudah gian untuk merakamkan lagu baru.

"Sebelum ini memang Erra sudah merakamkan beberapa lagu termasuk meminta lagu dari kumpulan Ungu untuk dimuatkan dalam album baru. Namun disebabkan kesibukan Erra berlakon dan juga melahir serta membesarkan anak, pembikinan album Erra terpaksa ditangguhkan. Dari sehari ke sehari, ada saja aktiviti yang perlu Erra lakukan sehingga Erra tidak sedar kontrak bersama SRC sudah pun hampir tamat.

"Bukan tidak boleh untuk meneruskan projek album ini, tetapi lagu yang sudah Erra rakamkan rasanya tidak sesuai untuk trend sekarang. Maklum sajalah, Erra rakamkan lagu itu kira-kira dua atau tiga tahun lalu, jadi Erra rasa muziknya sudah tidak lagi relevan dengan apa yang diminati orang ramai ketika ini. Mungkin Erra akan mencari material baru untuk disesuaikan dengan cita rasa penggemar muzik hari ini," cerita aktres ini ketika ditemui pada majlis Tahun Baru Cina Green Cheongsam anjuran Rafflesia The Pearl Centre di pusat beli-belah The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru.
Pada petang itu, Erra yang baru saja dilantik sebagai seorang daripada Mentor bagi musim terbaru program realiti terbitan TV3 itu menggayakan busana Cheongsam hijau paras lutut rekaan Riffai, yang menampakkan penampilannya persis wanita China era 50-an.

Katanya, walau apapun terjadi, dia tetap akan meneruskan hasrat mengeluarkan album solonya itu secepat mungkin.

"Jika kontrak Erra dengan SRC tamat dan album Erra masih belum dapat disiapkan, Erra akan tetap meneruskan projek itu walaupun terpaksa menerbitkannya sendiri. Untuk itu, Erra sekarang sedang dalam proses mencari lagu dan jika ada komposer yang berminat untuk bekerjasama dengan Erra, ia amat dialu-alukan.

"Tapi, kalau kontrak Erra disambung dan SRC masih berminat untuk menerbitkan album itu, Erra rasa ia tak menimbulkan sebarang masalah kerana sekurang-kurangnya lagu yang Erra dapat nanti boleh dimuatkan terus dalam album berkenaan," kata Erra yang sempat menghasilkan sebuah lagu raya dengan syarikat rakaman terbabit, berjudul Gema Lebaran.

Selain ingin memberikan fokus pada penerbitan album solonya, wajah ekslusif Astro ini juga merancang untuk menerbitkan lebih banyak drama dan telefilem di bawah syarikat penerbitannya sendiri.

"Sekarang ini Erra mencari lebih banyak penulis skrip untuk menghasilkan drama untuk syarikat Erra. Bukan tidak ada skrip yang datang, tetapi kami ingin mencari lebih banyak lagi cerita menarik. Jadi kalau ada sesiapa yang berminat untuk menghantar skrip mereka, dipersilakan," ujarnya.

Ditanya apakah dia sendiri ada mencuba untuk menulis skrip, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara ini hanya tergelak besar mendengar soalan itu.

"Erra ada juga mencuba, tetapi kebanyakannya hanyalah sinopsis semata-mata. Kalau nak diikutkan memang banyak sinopsis yang Erra sudah hasilkan, namun untuk menulis skrip itu saja yang agak memakan masa sedikit," katanya.

Sedia tambah cahaya mata

USAH lagi dibangkitkan cerita kononnya pasangan popular ini sedang berdepan dengan masalah rumah tangga kerana baik Erra mahu pun suaminya, Engku Emran, mereka sudah pun menjelaskan bahawa ikatan perkahwinan yang terjalin sejak tiga tahun lalu masih lagi kukuh. Bersama cahaya mata yang semakin membesar, Erra sekali lagi menegaskan, tidak ada apa yang lebih menggembirakannya apabila dikelilingi insan tersayang.

Justeru, apakah Erra dan Emran tidak bercadang untuk menambah anggota keluarga keluarga memandangkan anak sulungnya itu sudah mencecah usia lebih setahun.

"Memang kami ada bercadang untuk mempunyai seorang lagi cahaya mata. Aleesya juga semakin membesar. Lagipun usia Erra sendiri kian meningkat dan Erra tak mahu menunggu terlalu lama untuk menambah anak. Bagaimanapun, ia bukanlah perlu dilaksanakan seberapa segera. Namun, jika diizinkan Tuhan, Erra mahu mengandung tahun ini juga," ujar Erra.

Bercerita mengenai keletah anak sulungnya itu, aktres terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini menjelaskan Aleesya sudah menunjukkan minat dalam bidang seni.

"Selain gemar menggoyangkan badannya apabila mendengar muzik, dia juga sudah mula nak menyanyi. Walaupun tak tahu apa biji butir yang keluar daripada mulutnya, tapi Erra seronok melihat situasi itu. Memang melucukan!" katanya sambil tertawa kecil.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Erra, Elly punya karisma sendiri

Posted: 20 Jan 2011 12:22 PM PST

Hip

Esma Daniel cari keserasian, akui babak Dr Mahathir umum undur diri paling mencabar

WALAU hanya setengah jam, fragmen Muzikal Tun Mahathir (MTM2) yang menonjolkan detik percintaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hingga mereka disatukan memancing perhatian hadirin, terutama tetamu kehormat, Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Noorainee Abd Rahman.

Tanpa kostum atau props yang melatari pentas, cukup sekadar penonjolan babak tertentu, ia tetap memancing perhatian hadirin yang datang bersempena majlis penyerahan cek hasil pementasan MTM1 dan sesi memperkenalkan penaja MTM2, tiga hari sebelum pementasan sebenar berlangsung. Menyaksikan Esma Daniel dan Ezany Nizarif yang membawakan watak Dr Mahathir dalam era berbeza seakan membawa penonton menelusuri perjalanan kehidupan mantan Perdana Menteri itu biarpun hanya secubit cuma adegan ditonjolkan, berbanding dua setengah jam untuk keseluruhan pementasan, namun ia cukup meninggalkan kesan.

Esma yang turut terbabit dalam pementasan pertama pada September lalu mengakui begitu teruja untuk beraksi apatah lagi kali ini gandingannya adalah pasangan baru, Elly Mazlein sebagai Dr Siti Hasmah dewasa yang menggantikan pelakon popular, Erra Fazira.

Sekali pun berpengalaman lebih luas jika dibandingkan teman seangkatan lain, akui aktor berusia 41 tahun itu, dirinya masih perlu belajar dari bawah seperti mana pendukung watak lain kerana dalam sesebuah pementasan, apabila gandingan bertukar ganti, mereka perlu mencari keserasian.

"Sememangnya antara Erra Fazira dan Elly Mazlein punya karisma tersendiri. Malah sebagai teman segandingan, saya seronok berpeluang beraksi dengan dua aktres berbeza yang membawakan watak sama kerana masing-masing mampu menonjolkan perwatakan isteri tokoh negarawan dalam perspektif sendiri.
"Apa pun saya tidak anggap sedikit pengalaman yang saya ada ini membezakan saya dengan pelakon lain kerana saya masih perlu bermula daripada bawah - mendalami watak dan perwatakan, selain mengenali gandingan lebih dekat memandangkan keserasian yang mampu menghidupkan lagi penceritaan," katanya.

Begitupun, babak paling mencabar baginya tentu saja detik Dr Mahathir mengumumkan pengunduran diri daripada kabinet yang perlu ditonjolkan kepada khalayak penonton sebagaimana situasi sebenar dengan disaksikan jutaan mata apabila ia turut disiarkan di televisyen tempatan dan luar negara.

"Babak pengunduran Tun pastinya punya detik kenangan tersendiri kerana saya juga antara jutaan rakyat Malaysia lain yang mengalirkan air mata melihat paparan itu di kaca TV. Seakan ia baru semalam berlaku sekali gus memori yang masih segar di ingatan ramai pastinya cukup mencabar untuk direalisasikan di atas pentas.

"Namun saya anggap semua ini cabaran untuk menguji sejauh mana kemampuan saya menangani emosi bersilih ganti terutama bagi babak berkenaan. Saya pasti dapat merealisasikan babak itu menerusi sokongan teman lain bersama seluruh produksi MTM2," katanya lagi.

Tiada watak picisan

MENJALANI latihan sejak sebulan lalu, nama lain yang turut menjayakan muzikal ini ialah Sarimah Ibrahim (susur/pencerita), Datuk Jalaluddin Hassan (master/bapa), Azean Irdawaty (Mak Bidan) dan AC Mizal (Aziz/teman Chedet).

Kemunculan mereka tentu saja antara pemangkin pementasan muzikal terbabit.

Seperti diperakui penerbitnya, Siti Rohayah Attan, setiap pelakon sama ada watak utama atau sampingan mempunyai kekuatan tersendiri malah dalam MTM2, tiada istilah karektor picisan kerana walau keluar hanya dalam satu babak, mereka mampu menghidupkan lagi pengkisahan hidup tokoh kesayangan ramai itu.

"Sememangnya kami sudah bersedia dari segi mental dan fizikal, malah saya melihat dalam tempoh latihan yang singkat semua mampu menonjolkan hasil terbaik dan diharap segala persediaan selain penambahan watak tukang cerita membantu penonton lebih memahami perjalanan cerita.

"Kali ini kita akan kurangkan penggunaan visual apabila penyambungan kisah akan diceritakan penglipur lara yang hanya mengambil masa singkat, menyelit antara babak, selain ditonjolkan sendiri pelakon supaya penonton lebih merasai sendiri laluan detik terpenting dalam susur galur kehidupan Tun suami, isteri," katanya.

Bagi Azean Irdawaty yang membawakan watak Mak Bidan yang menyambut kelahiran negarawan itu, beraksi bersama produksi Rohayah cukup membanggakannya apatah lagi terbabit dengan pengkisahan negarawan yang tentu saja undangan yang tidak mampu ditolak.

"Saya sudah lama bekerja dengan Rohayah dan kali terakhir menerusi teater Bukan Dejavu kira-kira empat tahun lalu. Biarpun Mak Bidan hanya muncul di pentas kira-kira dua minit, saya rasakan wataknya cukup kuat kerana dia yang menyambut kelahiran seorang tokoh negara.

"Apabila Rohayah menghubungi saya dan memaklumkan mengenai watak ini, saya menyahut cabarannya. Watak ini saya namakan Kak Dah, yang mungkin membawa makna Hamidah, Bedah atau Kedah sendiri, manakala karektornya pelupa yang secara simbolik memberi peringatan Melayu mudah lupa," kata aktres disegani itu.

Menyingkap semula pembabitan pelakon yang mesra disapa Kak Yan itu. jelas kemunculannya pasti dinantikan apatah lagi sejak akhir-akhir ini aksinya jarang dapat diikuti di kaca televisyen memandangkan tumpuan masa kini lebih terarah kepada keluarga dan perniagaan.

Medan terbaik pupuk semangat patriotik

SEMENTARA itu, pada majlis sama Puan Sri Noorainee menyampaikan sumbangan RM40,000 hasil kutipan pementasan MTM1 kepada tabung pendidikan Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (ASWARA) dan Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM). masing-masing menerima RM30,000 serta RM10,000.

Noorainee yang juga Penaung Kehormat Muzikal Tun Mahathir berkata, pementasan musim kedua yang berlangsung selama sembilan hari hingga 30 Januari ini, mampu menarik kehadiran seluruh lapisan masyarakat sekali gus menjadi medan terbaik mengukuhkan semangat patriotik.

MTM2 terbitan CTRA Production diarahkan Rosminah Tahir dengan sokongan Ismail selaku penulis skrip dan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebagai pengarah muzik, manakala Berita Harian serta New Straits Times (NST) sebagai akhbar rasmi. Ia dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula malam ini, jam 8.30 malam.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan berkenaan boleh mendapatkan tiket berharga RM32, RM52, RM82, RM102, RM152 dan RM302 menerusi www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-4026 5558 atau 03-4147 8600.

INFO: MTM2

  • Akan dipentaskan bermula 21 hingga 30 Januari bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.
  • Tiket untuk menyaksikan pementasan itu sudah mula dijual berharga dari RM32, RM52, RM82, RM102, RM152 dan RM302 atau boleh ditempah dengan melayari www.ticket2u.biz.
  • Keterangan lanjut mengenai muzikal ini boleh layari laman web www.muzikaltunmahathir@blogspot.com.
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.