Adsense

Rabu, 3 November 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Hentikan fitnah terhadap saya - Nabil

Posted:

Hentikan fitnah terhadap saya - Nabil

Hentikan fitnah terhadap saya - Nabil

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM



KALAU sudah dinamakan pelawak, apa jua situasi sekali pun dia mampu menderaikan gelak tawa orang di sekelilingnya.

Itulah personaliti juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 27, ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini untuk mempromosikan single sulungnya, Lu Pikir La Sendiri.

Usai menjalani sesi fotografi, Nabil terus diterjah dengan soalan mengenai hubungan cintanya bersama model dan pelakon jelita, Irma Hasmie yang telah pun terjalin sejak tiga tahun lalu.

Lantas, apabila diajukan soalan bilakah tarikh keramat itu, Nabil tidak pula memberikan jawapan terbaik bahkan hanya berkata, "belum bersedia lagi."

"Tahun 2010 pun sudah sampai ke penghujungnya. Sehingga kini pun belum ada perancangan ke arah itu.

"Jadi 2011 pun saya belum pasti majlis itu akan berlangsung kerana saya agak sibuk menjalani beberapa penggambaran drama dan filem.

"Tapi yang pasti, saya akan mengahwini Irma walaupun tanpa adanya ikatan pertunangan," jelas Nabil mengenai perhubungannya dengan Irma.

Namun, pada Ahad lalu, sebuah akhbar tempatan (bukan terbitan Kumpulan Utusan) mendedahkan bahawa hubungan di antara mereka berdua sudah pun menemui titik noktah.

Kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh kekasihnya, Irma yang mendakwa melihat sendiri kecurangan Nabil bersama seorang pramugari di kondominium miliknya di Changkat View, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur.

Bagaimana pun, Nabil ketika membalas balik laporan itu menafikan semua itu dan sekeras-kerasnya mengakui, hubungannya dengan Irma masih lagi seperti biasa.

Enggan mengulas lanjut, Nabil cuma memberitahu, cerita mengenai kecurangannya itu adalah fitnah semata-mata dan dia ingin menjadikan Irma sebagai isterinya.

Tambah Nabil, mungkin kejadian itu merupakan dugaan baginya sebelum mengharungi bahtera sebagai pasangan suami isteri yang sah.

Tampil dengan single sulung

Setelah bergelar pelawak dan pelakon, anak muda ini melangkah pula ke satu lagi cabang seni iaitu nyanyian.

Bagaimanapun, penghasilan single sulungnya, Lu Pikir La Sendiri bukanlah lagu pertama yang dirakamkannya.

Sebelum ini, Nabil pernah muncul secara kolaborasi bersama Imran Ajmain dan Diana Danielle menerusi lagu Radio.

Namun, singlenya kali ini lebih mengujakan memandangkan ia sebuah lagu yang diciptakan oleh Ajai untuk dirinya.

Menurut Nabil, lagu itu cukup bermakna kerana setiap bait liriknya merupakan rentetan perjalanan hidupnya bermula daripada seorang orang biasa, sehinggalah dia terkenal sebagai seorang selebriti.

"Secara keseluruhannya, lagu ini menceritakan kisah hidup saya. Kisah sebelum dan selepas saya menjadi artis.

"Penceritaannya secara bersahaja dengan mengetengahkan rentak rap sebagai mediumnya dan komedi sebagai konsepnya.

"Saya bukanlah penyanyi yang bagus. Jadi saya memilih genre rap kerana ia tidak menguji vokal saya. Lagi pun ia lebih santai," katanya dengan nada berseloroh.

Cerita Nabil, ketika masih bersaing dalam Raja Lawak 2, Ajai sudah berminat untuk mengambilnya menjadi artis rakaman di bawah label miliknya, Wake The Baby.

"Dalam satu episod, kami ditugaskan untuk mereka sebuah lirik yang berunsurkan komedi dan menyanyikannya di Gelanggang Raja Lawak.

"Pada masa itu, Ajai yang juga juri undangan tertarik dengan idea saya dan sejurus tamat rancangan itu, dia terus bertanya sama ada saya berminat untuk merakamkan lagu berbentuk komedi.

"Setelah difikirkan, saya bersetuju. Tapi saya perlukan masa untuk memberi komitmen terhadap lakonan terlebih dahulu sebelum komited untuk menyanyi," kata Nabil.

Diakui Nabil sendiri bahawa dia bukanlah penyanyi yang baik, bekerja dengan Ajai sudah semestinya agak mencabar kerana komposer itu pasti mementingkan kualiti sesuatu produk yang dihasilkannya.

Namun jelas pelawak itu, walaupun Ajai seorang yang tegas, komposer itu masih bersikap profesional dan dia serasi untuk bekerja dengannya.

"Banyak kali juga proses rakaman dilakukan, tapi Ajai tidak marah. Malah, dia akan ajar saya cara yang betul untuk mengekspresikan riak muka saya mengikut bait lirik yang ditulis.

"Ajai juga turut menyumbangkan suaranya dalam lagu ini," ceritanya.

Lantaran itu, Nabil kini sibuk dengan rangka mempromosikan singlenya itu. Pada 7 November ini, dia akan berada di kompleks membeli belah The Store, Sungai Buloh, Selangor pukul 3 petang untuk sesi bertemu peminat dan mempromosi single itu.

Karakter serius

Terkenal sebagai pelakon komedi popular, sudah pasti tawaran untuk berlakon sama ada drama mahu pun filem sering kali diterimanya.

Setelah lakonannya dilihat menerusi beberapa buah filem seperti Sifu & Tongga, Lu Pikir La Sendiri de Movie, Jin Notti dan Momok The Movie, ternyata karakter lucu yang ada dalam dirinya tidak boleh dipisahkan.

Buktinya, sudah dua kali berturut-turut dia dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Lelaki Popular menerusi Anugerah Bintang Popular yang diadakan pada tahun ini dan tahun lalu.

Namun, karakternya itu yang hanya menumpukan watak komedi dilihat sebagai kekangan kepadanya untuk mencuba watak yang lebih serius agar seperti mana kredibiliti seorang pelakon yang versatil.

Bagi Nabil, jauh di sudut hatinya, dia menginginkan satu watak yang serius seperti yang dilakonkan oleh pelawak serba boleh, Afdlin Shauki.

Katanya, filem Lu Pikir La Sendiri de Movie merupakan lakonan pertamanya yang menguji kebolehannya untuk berlakon secara serius.

"Walaupun ia sebuah filem komedi, watak saya bukanlah keseluruhannya kelakar.

"Saya diberi peranan untuk membawakan watak serius menerusi filem itu. Namun, respons yang diterima untuk watak itu tidak memberangsangkan.

"Peminat lebih sukakan saya kekal dengan watak komedi. Kalau saya serius pun mereka kata saya buat lawak," jelas Nabil yang bakal menjalani penggambaran filem komedi terbarunya, Bujang Terlajak bersama Saiful Apek dan Johan.

Perbualan dengan Nabil pada petang itu diteruskan lagi dengan beralih pula mengenai karier seninya selaku pengacara.

Ujarnya, pengalamannya mengacarakan program gameshow seperti Ewah Ewah dan Pondok Pondok lebih sesuai baginya yang sukakan gaya lebih santai untuk mengendalikannya.

Untuk beralih kepada sebuah program besar seperti Raja Lawak atau majlis-majlis anugerah, Nabil menjelaskan, dia belum lagi bersedia kerana memerlukan lebih banyak masa untuk mempelajari selok belok program seperti itu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ismail pemuzik gergaji

Posted:

Ismail pemuzik gergaji

Ismail pemuzik gergaji


PEMUZIK gergaji... Ismail Jejaka.


PELIK tapi benar. Barangkali ramai yang tidak menyangka gergaji juga mampu mengeluarkan bunyi-bunyian merdu seperti instrumen muzik lain.

Dengan hanya memetik mata-mata gergaji menggunakan ibu jari disertai kemahiran melentur bilahnya dengan cara tersendiri ternyata nada yang cukup merdu mampu dihasilkan.

Hal ini diakui oleh Ismail Jejaka yang mungkin merupakan satu-satunya pemuzik di negara ini malah mungkin juga satu-satunya didunia yang memperjuangkan penggunaan gergaji dalam karya muziknya.

Siapa sangka dengan hanya menggunakan gergaji yang harganya tidak sampai RM10, beliau mampu menjadikan muzik sebagai sumber pendapatan keduanya selepas kerjaya tetapnya sebagai ahli perniagaan.

Sebetulnya, pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1979 membuka lembaran buat Ismail.

Pertandingan berkenaan membuka ruang buatnya memulakan kerjaya bermain muzik setelah berjaya bergelar juara.

Percubaan berani Ismail ternyata berjaya memukau penonton. Bermodalkan RM8.50 membeli gergaji dan penggesek biola Cina, Ismail menggesek gergajinya mengalunkan lagu Hamidah diiringi orkestra Datuk Ahmad Nawab ketika itu.

Biar tidak popular di Malaysia, namun dia sudah ke merata negara memenuhi pelbagai undangan persembahan termasuklah Thailand, Filipina, Singapura dan Hong Kong.

"Di negara ini peminat lebih suka kepada penyanyi sehinggakan pemuzik dilupakan sedangkan tugas pemuzik lebih penting daripada penyanyi," kata Ismail yang kerap membuat persembahan bermain muzik di Bandung, Indonesia.

Bermuzik menggunakan gergaji jelas Ismail, tidak semudah yang disangka kerana risiko kecederaan selain nota-nota lagunya perlu diselangi dengan perasaan dan jiwa tersendiri.

Ismail sebelum ini pernah menghasilkan sebanyak tiga buah album berjudul Inspirasi Ismail Jejaka yang diterbitkan oleh Ahmad Nawab pada tahun 1988 dan album kedua oleh pemuzik S. Atan serta Arkib Negara pada tahun 2006.

Terbaru, Ismail muncul dengan album ketiga yang dirakamkan di Bandung, Indonesia yang diterbitkan oleh Eka Chandra berjudul Inspirasi Ismail Jejaka dengan Gergaji Ajaib dan terjual lebih 80,000 unit.

Bakat seninya bukan hanya statik di negara ini bahkan turut berkembang ke negara jiran, Indonesia. Dua tahun lalu Ismail telah membuat persembahan di Dewan Great Eastern, Bandung, Indonesia bersama Victor Hutabarat.

Kepada yang berminat mengundang Ismail membuat persembahan dalam acara tertentu atau ingin mempelajari teknik bermain muzik dengan gergaji boleh menghubungi Ismail Jejaka di talian 017-3130640, 016-2257025 atau 012-3716529.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.