Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Aiman, Izara mesra bersama

Posted:

Aiman, Izara mesra bersama

MENUNTUT di sebuah kolej yang sama, Aamir dan Zara saling membenci antara satu sama lain. Namun, kedua-duanya terpaksa menjadi pasangan suami isteri menerusi perkahwinan yang sudah diaturkan oleh keluarga masing-masing.

Ia merupakan rentetan kisah drama bersiri Vanila Coklat yang pernah disiarkan di TV3 pada awal tahun ini sehingga mempopularkan dua nama pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Aiman Hakim Ridza dan Izara Aishah.

Biarpun mereka baru kali pertama digandingkan bersama-sama menerusi drama tersebut, ternyata keserasian yang ditonjolkan telah memberi impak yang positif sehingga kini mereka semakin dikenali ramai.

Malah, kemesraan yang ditampilkan semasa sesi fotografi bersama Kosmo! yang diadakan di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor baru-baru ini menunjukkan mereka berdua semakin serasi bersama.

"Saya tidak nafikan drama Vanila Coklat telah berhasil melonjakkan nama saya dan Izara. Malah, saya akui selepas membintangi drama tersebut semakin banyak tawaran berlakon yang diterima.

"Mengenai gandingan bersama Izara pula, saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian bersama. Biarpun saya dan Izara boleh dilabelkan sebagai pendatang baharu, tetapi kami telah memberikan yang terbaik dan gembira kerana lakonan kami diterima ramai," ujar Aiman yang baru berusia 23 tahun itu.

Melihat kepada keserasian yang sudah terjalin antara dirinya dan Izara, pelakon kelahiran Johor Bahru, Johor itu menyatakan dia tidak kisah untuk terus digandingkan bersama dalam mana-mana drama, asalkan mendapat watak dan jalan cerita yang menarik.

Malah, kedua-duanya juga baru-baru ini turut digandingkan dengan sebuah telefilem khas Vanila Coklat Raya sempena Aidilfitri yang telah ditayangkan pada hari raya pertama yang lalu.

"Berkenaan dengan filem Vanila Coklat yang pernah dirancang untuk dihasilkan, saya memang masih lagi mengharapkan agar ia dapat direalisasikan kerana ia merupakan permintaan daripada peminat sendiri," jelasnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai sambutan lebaran pada tahun ini, Aiman menjelaskan ia pastinya memberi kelainan apabila buat kali pertama dapat meraikannya sebagai seorang artis.

BAGAIKAN pasangan kekasih di alam realiti, Aiman dan Izara tidak kekok sebagai pasangan suami isteri dalam drama Vanila Coklat.


"Kalau diikutkan memang terdapat banyak perbezaan ketara kerana kini orang lebih mengenali diri saya dan tidak dinafikan perasaan berdebar itu tetap ada kerana semakin ramai yang sudah mengenali diri saya.

"Bagaimanapun, saya tetap berasa gembira dan seboleh-bolehnya mahu dapat mendekati lebih ramai peminat yang menyokong kerjaya saya dan cuba untuk melayan sebaik mungkin kalau ada yang berkesempatan datang beraya ke rumah," ujarnya.

Menurut Aiman, pada tahun ini juga dia tidak pulang berhari raya ke kampung halamannya di Batu Pahat, Johor. Sebaliknya dia sekeluarga menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja.

Masih menyanyi

Sebelum berkecimpung dalam dunia lakonan, pastinya ramai yang sudah tahu bahawa Aiman terlebih dahulu mencuba terbabit dalam bidang nyanyian dengan menyertai Mentor musim kelima pada tahun lalu.

Bagaimanapun, nasibnya dalam program realiti TV nyanyian tersebut tidak menyebelahinya apabila dia gagal meneruskan saingan ke peringkat seterusnya, biarpun mendapat bimbingan daripada penyanyi terkenal, Rahim Maarof.

Ditanya sama ada dia masih lagi berminat untuk menceburi bidang nyanyian memandangkan sudah dikenali sebagai pelakon, Aiman memberitahu dunia nyanyian masih lagi tersemat dalam jiwanya.

"Selepas tamat menyertai rancangan Mentor 5 dahulu saya masih tetap mendapat undangan untuk membuat persembahan termasuk muncul dengan single berjudul Khalimah Janji. Cuma sekarang ini rezeki saya nampaknya lebih terarah kepada bidang lakonan pula.

"Buat masa ini biarlah saya tumpu kepada lakonan sahaja terlebih dahulu. Sekiranya ada tawaran untuk menghasilkan album atau single, mungkin saya akan mempertimbangkannya terlebih dahulu," jelasnya.

Makin selesa

Bagi Izara pula, sambutan lebaran pada tahun ini ternyata lebih bermakna dan menganggap tahun ini cukup bertuah buat dirinya.

Berbanding dengan pasangannya dalam drama tersebut yang pertama kali merasai nikmat Aidilfitri sebagai seorang artis, Izara mengakui gembira kerana dia semakin dikenali ramai gara-gara impak terhadap drama berkenaan serta tawaran berlakon yang semakin banyak diterimanya.

"Tidak dinafikan menyambut hari lebaran sebelum bergelar artis dan sekarang memang jauh berbeza. Namun, kini saya berasa semakin selesa dan tidaklah terlalu kekok kalau meraikannya bersama peminat.

"Bagaimanapun, persiapan untuk menyambut lebaran pada kali ini terpaksa dilakukan pada saat-saat akhir memandangkan sepanjang bulan puasa saya agak sibuk dengan pelbagai aktiviti dan penggambaran," jelasnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai sambutan hari raya pada tahun ini, Izara memberitahu dia sekeluarga menyambutnya di Johor Bahru, Johor selama beberapa hari sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur.

DUA figura muda dan popular ini mengakui teruja menyambut Aidifitri pada tahun ini.


Ditanya mengenai pengalaman paling menarik yang pernah dilalui sewaktu menyambut lebaran, Izara menyatakan saat-saat dapat berkumpul dengan ahli keluarga yang lain termasuk bersama sepupu merupakan kenangan paling indah yang dirasai.

Bagaimanapun, suasana kemeriahan tersebut kini semakin kurang dirasai memandangkan kebanyakan sepupunya sudah ramai yang mendirikan rumah tangga dan pulang berhari raya ke kampung pasangan masing-masing.

"Kalau dahulu setiap kali tibanya Aidilfitri saya antara individu yang paling teruja. Yang paling menarik sehingga ke hari ini saya masih lagi mendapat duit raya, meskipun usia saya sekarang sudah mencecah 20 tahun," ujarnya.

Sementara itu, pelakon berkenaan menyatakan selepas cuti berhari raya dia akan terbabit dengan penggambaran dua filem, malah memberitahu jadualnya lakonannya agak padat sehingga hujung tahun ini.

Menurut Izara, biarpun dirinya agak jarang dipalit dengan sebarang cerita kontroversi, namun dia gembira kerana tawaran lakonan yang diterima sehingga kini masih lagi tidak putus-putus.

"Saya bersyukur kerana kerjaya seni saya sekarang semakin berkembang, namun ia tidak bermakna saya sudah berada di zon selesa. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dan berharap agar mendapat lebih banyak tawaran dengan watak-watak yang berbeza.

"Lagipun sebagai seorang pelakon baharu saya perlu mencuba apa sahaja watak memandangkan saya masih lagi dalam proses pembelajaran.

"Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang memang banyak menyokong kerjaya seni saya," ujarnya.

Ia tak buruk - Que

Posted:

Ia tak buruk - Que

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


QUE bersama dua orang anaknya, Qalif dan Ratu serta isteri, Linda pada majlis sambutan ulang tahun Ratu tahun lalu. Anak ketiga mereka, Cleopatra tiada dalam gambar.


SIAPA tidak sayang anak! Begitu juga perasaan pelakon berbakat besar, Que Haidar apabila baru-baru ini nama cahaya mata keduanya yang dilahirkan tiga bulan lalu menjadi pertikaian banyak pihak.

Ada yang mendakwa nama Tengku Cleopatra Haidar sangat kebaratan dan tidak sesuai diberikan untuk seorang yang beragama Islam, malah ramai yang menyarankan dia memilih nama yang lebih mencerminkan nilai Melayu dan Islam.

Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, yang juga memiliki dua orang anak bersama guru tarian, Linda Jasmine iaitu Qalif Khan (anak hasil perkahwinan pertama Linda) dan Tengku Ratu Haidar, 4, tampil memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya kepada Kosmo! ketika ditemui di sebuah majlis anjuran Lord's Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Que sedar atau tidak akan kata-kata sesetengah pihak yang kurang senang apabila anda menamakan puteri kedua dengan nama Tengku Cleopatra sempena nama permaisuri Mesir suatu ketika dulu?

QUE: Sebelum memilih nama itu, kami sudah memikirkan baik buruk dan sudah memahami maksud di sebalik nama itu. Ertinya kekuatan bapa atau glory of father daripada bahasa Greek.

Jadi apa masalahnya? Saya rasa tidak perlu timbul isu sesuai atau tidak sesuai nama yang saya beri kepada anak saya. Apakah nama yang sesuai dan melambangkan orang Johor atau orang Malaysia?

Apabila ada juga sesetengah pihak yang menilai pemilihan nama yang sesuai mencerminkan akhlak seseorang anak, bagaimana pandangan anda?

Tidak ada kena-mengena nama seseorang dan personaliti. Jika dibentuk dengan cara yang baik, maka akan jadi baiklah seseorang itu. Nama itu pun bukan membawa maksud sesuatu yang buruk. Contohnya nama bapa saya iaitu Tengku Haidar yang bermaksud singa, tapi bagi saya dia lelaki paling mulia dan baik yang pernah saya kenali dalam hidup. Jadi bukan nama orang yang menilai personaliti.

Anda ada alasan sendiri untuk tidak mempedulikan kata-kata orang sekeliling?

Saya menghiburkan masyarakat sejak usia 16 tahun lagi dan sekarang sudah tiba waktu untuk saya berasa gembira dengan keputusan dan kehidupan saya. Saya gembira memilih nama Tengku Cleopatra Haidar untuk anak saya dan keluarga saya juga gembira. Ini masa saya dan inilah saya sekarang! Saya gembira untuk memanggilnya dengan nama itu.

Pandangan anda terhadap komen-komen negatif di internet berkenaan pilihan nama Cleopatra?

Saya tidak anggap perkara itu besar dan saya rasa orang yang memberikan komen di internet tidak berapa pandai. Anak saya seorang Islam dan saya sendiri yang qamat Tengku Cleopatra Haidar. Saya rasa tidak menjadi masalah.

Terkilan atau sedih dengan perkara ini?

Saya sedih apabila kebanyakan yang memberikan komen terdiri daripada kaum Melayu dan bagi saya mereka berfikiran sempit. Tapi tidak kurang juga ada yang memuji. Saya agak terperanjat sebenarnya dengan respons negatif segelintir pihak, tapi tidak mengapa kerana ia tidak memberi kesan pun.

Memandangkan anda sekarang sudah semakin menyepi daripada dunia seni, mungkin anda ada perancangan lain selain daripada berlakon?

Tawaran berlakon masih ada, cuma saya terlalu cerewet. Saya perlu pastikan skrip, karakter, pengarah dan pelakon lain menepati kriteria yang saya inginkan. Saya melihat keseluruhan aspek kerana saya kini mempunyai keluarga yang perlu diberikan perhatian dari segi masa. Saya mahukan sebuah naskhah yang mempunyai pengisian ke arah kemasyarakatan dan bermakna untuk memberi pendidikan kepada penonton.

Selain meluangkan masa bersama keluarga, apa aktiviti lain buat masa sekarang?

Saya masih menantikan tayangan filem Rock 2 pada bulan Mac tahun depan. Selepas pementasan Primadona, saya ada terfikir untuk berlakon dalam beberapa buah teater lain, tapi belum diputuskan buat masa sekarang. Saya belum sedia untuk menjadi pengarah kerana risikonya tinggi dan biar betul-betul bersedia. Buat masa sekarang kebanyakan projek saya masih dalam proses perbincangan.

Rekod Ek Tha Tiger

Posted:

Rekod Ek Tha Tiger

GANDINGAN Katrina Kaif dan Salman Khan dalam Ek Tha Tiger menjadi fenomena masa kini.


FILEM milik Kabir Khan, Ek Tha Tiger yang menggandingkan pasangan Salman Khan dan Katrina Kaif mencipta rekod apabila memperoleh sebanyak RM56.4 juta (Rs 100 crore) hanya lima hari tayangan!

Kutipan luar biasa tersebut bukan satu kejutan, sebaliknya telah dijangka. Ia turut menjadikan filem tersebut sebagai filem Bollywood paling pantas meraih kutipan pecah panggung.

Selain itu, Ek Tha Tiger menjadi filem pecah panggung terbesar lakonan Salman, sekali gus memecah kutipan pecah panggung filem lakonannya sebelum ini, Bodyguard iaitu sebanyak RM50 juta (Rs 87 crore).

Pemerhati filem meramalkan, untuk tempoh tayangan sepanjang Aidilfitri ini, Ek Tha Tiger dijangka mencapai kutipan lebih RM100 juta (Rs 150 crore) dan mampu memecah rekod kutipan filem 3 Idiots yang mempunyai kutipan bersih sebanyak RM220 juta (Rs 200 crore).

"Kutipan yang mereka peroleh sejak ia mula ditayangkan pada 15 Ogos lalu memang merupakan satu rekod yang luar biasa. Dijangkakan, kutipan akan terus bertambah dan tidak mustahil filem ini akan menjadi filem pecah panggung paling hebat abad ini," ujar seorang pemerhati filem.

Sementara Ek Tha Tiger mengalami fenomena yang luar biasa, sebuah lagi filem yang ditayangkan serentak dengan filem tersebut, Gangs of Wasseypur Part II, gagal meraih perhatian penonton.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan