Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


MIB3 lebih banyak emosi

Posted: 23 May 2012 07:08 AM PDT

SIKAP dan telatahnya begitu ceria, mesra dan kelakar - sama seperti yang sering kita lihat dalam filem-filem lakonannya. Kalau boleh kita mahu melepak seharian dengannya untuk bertanyakan pelbagai soalan mengenai kerjaya mahupun yang bersifat peribadi. Dia nyata bukan 'spesies' yang membosankan.

Jadi peluang yang diberikan kepada pihak media antarabangsa termasuk Harian Metro selama 20 minit untuk duduk semeja dengannya di hotel The Ritz-Carlton, Cancun, Quintana Roo, Mexico, baru-baru ini selepas dia muncul pada sidang media pada hari yang sama, adalah sesuatu yang sangat berharga. Bertubi-tubi soalan dilemparkan kepadanya sampaikan dia sendiri tidak menang tangan menjawab.

Namun aktor yang saya maksudkan - Willard Christopher Smith Jr. atau nama komersilnya, Will Smith - tetap ramah dan 'cool', tidak ubah seperti seperti Agent J berkacamata hitam yang dilakonkan dalam siri Men In Black (MIB) yang sekarang sudah sampai kepada sekuel ketiga (MIB3). Filem terbaru ini mula ditayangkan di Malaysia hari ini.

Sebaik saja melabuhkan diri ke kerusi, Will, 43, terus menerima ucapan tahniah daripada kami yang sudah menonton filem itu pada malam sebelumnya di kompleks pawagam Cinemark yang terletak di pusat beli-belah La Isla Shopping Mall.


"Terima kasih, terima kasih. Saya sangat gembira kamu semua sudah menontonnya (MIB3) dan terhibur. Kamu juga kena lihat versi 3D. Saya sendiri pun tak sabar-sabar menunggu filem ini ditayangkan (kepada umum)," kata Will dalam kata-kata pertama mengulas filem sains-fiksyen (sci-fi) komedi arahan Barry Sonnenfeld itu.


Kali terakhir sekuel filem itu dihasilkan adalah 10 tahun lalu selepas kali pertama diperkenalkan kepada peminat pada 1997. Seperti mana kisah sebelumnya, MIB3 masih menggandingkan Will bersama aktor handalan Tommy Lee Jones yang memegang peranan sebagai Agent K, duo penghapus makhluk asing perosak yang datang ke bumi.

Bagi Will, walaupun sudah sedekad tidak muncul dalam francais filem itu, dia masih teruja untuk kembali membintangi MIB3 kerana keunikan cerita, pelakon dan juga format 3D yang sangat mengagumkan.

"Saya suka saga MIB kerana bagi saya, ia francais komedi fantasi terbaik pernah saya lakonkan selama ini. Bukan itu saja, dalam MIB3, ia turut menyelitkan elemen menyentuh emosi penonton berbanding dua filem yang lepas.

"Semuanya kini semakin matang dan kalau hendak dinyatakan siapa yang sebenarnya lucu dalam MIB, orang itu tidak lain daripada pengarahnya sendiri, Barry Sonnenfeld yang berjaya membuatkan filem ini menjadi sangat lucu," ujar Will lagi yang bercakap dengan nada yang cukup jelas.

Tambahan pula dalam MIB3 muncul seorang lagi aktor handalan, Josh Brolin sebagai Agent K ketika muda, Will menganggap sekuel kali ini lebih 'tricky', mantap dan menarik.

Selama empat tahun tidak berlakon (kali terakhir beraksi dalam Seven Pounds), Will akui sepanjang tempoh itu dia banyak memerhati, berfikir serta menumpukan perhatian kepada keluarganya selain menjadi seorang produser.

Antara filem yang diterbitkannya sepanjang 'berehat' daripada lakonan adalah Lakeview Terrace, The Secret Life of Bees, Karate Kid dan This Means War.

"Empat tahun tidak berlakon memberikan saya peluang untuk bersama keluarga. Ia masa yang bagus untuk saya menjadi suami dan ayah kepada anak-anak saya (Trey, Jaden & Willow). Jaden sibuk berlakon dan manakala anak perempuan saya (Willow) pula menceburi bidang nyanyian. Malah saya sempat menemani Willow membuat konsert jelajah dengan Justin Bieber.

"Dari segi tugas, kami juga seronok menerbitkan filem Karate Kid. Pada tempoh itu saya turut membuat banyak kajian, bacaan dan melihat pembikinan filem daripada sudut berbeza. Malah saya dan Jaden sempat ke Cuba dan di sana kami melihat seni menjadi teras dan cara hidup rakyat mereka. Ini memberikan satu pengalaman hebat buat diri saya," katanya.

Selama menjadi artis, ramai peminat tahu Will bermula sebagai seorang penyanyi dan rapper dengan nama The Fresh Prince. Namanya mula dikenali apabila membintangi siri TV popular NBC, The Fresh Prince of Bel-Air pada 1990 sehingga 1996.

Seterusnya dia beralih kepada filem dan bermulalah penguasaannya sebagai seorang bintang ternama. Will satu-satunya aktor Hollywood yang lapan filemnya mencapai kutipan 'box-office' melebihi AS$100 juta (RM300 juta) secara berturut-turut. Pada April 2007, majalah Newsweek melabelkan Will sebagai aktor paling hebat dan berpengaruh di Hollywood.

Antara filem hit lain lakonan beliau termasuklah Bad Boys, Independence Day, I, Robot, The Pursuit of Happyness, I Am Legend, Hancock, Ali, Wild Wild West, Enemy of the State, Shark Tale dan Hitch.

Lalu bagaimanakah perasaan anak kelahiran West Philadelphia ini apabila digelar sebagai seorang bintang terhebat di dunia?

"Sebenarnya sudah menjadi impian saya sejak kecil lagi untuk menjadi orang yang berjaya. Ini didorong oleh apa yang saya lihat ketika saya berumur enam tahun. Dulu saya selalu melihat nenek saya terpaksa keluar bekerja secara syif di sebuah hospital pada waktu tengah malam.

"Sejak itu saya berazam untuk tidak melihat mana-mana wanita dalam 'jajahan' keluarga saya perlu keluar kerja di tengah malam ketika saya sendiri sedang nyenyak tidur. Mungkin itulah antara faktor penggalak yang membuatkan saya mahu menjadi apa yang anda lihat sekarang," jelasnya yang memperisterikan aktres Jada Pinkett.

Ditanya pula mengenai apa yang ditakutkan dalam hidup ini, Will berkata dia lebih takut apabila 'ditakutkan' oleh orang mahupun keadaan di sekelilingnya.

"Bagi saya ketakutan bukan sesuatu yang benar. Ia adalah mainan perasaan kita sendiri. Kalau saya berdepan dengan ketakutan, saya akan cuba sedaya upaya untuk mengatasinya dengan segera. Manusia memang selalu membiarkan diri mereka diburu ketakutan.

"Ada satu pengalaman yang saya lalui tidak lama dulu di Jamaica. Di sebuah kafe yang terletak di tepian sebuah jurang yang tinggi, saya melihat semua orang asyik terjun ke dalam air. Saya memang rasa takut melihat perbuatan mereka. Akhirnya saya dicabar untuk terjun sedangkan saya sendiri memang tak tahu berenang!

"Tapi saya cuba juga lawan perasaan takut itu dan berjaya terjun. Sebenarnya ketakutan dalam minda kita biasa akan lebih teruk daripada situasi sebenar. Apapun saya akan belajar berenang tidak lama lagi kerana Jaden sendiri cakap kalau tak tahu berenang, jangan haraplah saya boleh selamat seorang diri di dalam air!" katanya sambil ketawa.

Sekalipun banyak gosip melanda dirinya selama ini, Will berkata dia memang tidak dapat menangkis apa yang diperkatakan orang kepadanya kerana masyarakat kadangkala lebih mempercayai gosip walaupun dia cuba bercakap benar dan letih membuat penafian.

"Satu ketika, ada orang bertanya benarkah saya membeli satu unit tingkat atas sebuah pangsapuri tapi saya cakap itu hanyalah gosip dalam akhbar. Namun orang itu tetap anggap saya mungkin masih nak berahsia. Saya tegaskan bahawa saya bukan hendak berahsia kerana itu bukan rumah saya. Jadi di sini, apa lagi yang boleh saya buat kerana walaupun penafian itu datang daripada mulut saya sendiri, orang di luar masih lagi was-was dan tetap percayakan gosip," katanya.

Kembali kepada MIB3, Will kini hanya mengharapkan agar semua peminat saga MIB akan keluar beramai-ramai menyaksikan filem terbarunya itu yang turut ditayangkan di banyak pawagam bertaraf IMAX seluruh dunia.

Selain Mexico, karyawan MIB3 juga sudah muncul dalam beberapa tayangan perdana filem itu di Moscow, London, Seoul serta Tokyo dan sambutan hangat sentiasa diberikan peminat.

MIB3 diedarkan di negara ini oleh Sony PIctures Releasing International (Malaysia).


Kurangkan kisah cinta

Posted: 23 May 2012 06:53 AM PDT

MELIHATKAN gambar pelakon dan pengacara, Qushairi Mohammed Razali atau Qi di awal paparan klip video lagu Sparkle dendangan Yuna, cukup menjelaskan status hubungan mereka. Pun begitu, ia tidak bermaksud untuk Yuna mencanangkan kebahagiaannya kepada umum kerana perkara itu sudah lama diketahui.

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Terukir Di Bintang ini, cukuplah kisah percintaannya diperkatakan. Ujarnya, tidak perlu lagi diuar-uarkan lebih lanjut. Yuna memaklumkan untuk tahun pertama, dia tidak kisah untuk berkongsi apa saja bersama peminat tetapi sekarang sepatutnya dikurangkan.

"Saya tidak mahu kisah cinta ini terlalu digembar-gemburkan kerana takut nanti peminat bosan. Lagipun, buat masa ini kami berdua belum memikirkan untuk melangkah ke fasa seterusnya kerana kesibukan masing-masing. Sekarang terlalu banyak kerja perlu saya uruskan, begitu juga dengan dia.

"Apa yang boleh dikatakan, bagi perkembangan selanjutnya kami kena tunggu dulu sehingga semua urusan selesai. Namun, bila masanya itu tidak tahulah bila," kata Yuna turut menjelaskan Qi sudah tahu dan OK saja gambarnya digunakan dalam klip video itu.


Terdahulu, Yuna hadir pada majlis pelancaran klip video terbarunya itu yang diilhamkan menerusi The Sparkle Project dengan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy Note di ibu kota, kelmarin.


Yuna yang juga duta telefon pintar itu mengakui dia berpuas hati dengan rakaman dibuat dan berasa bangga kerana menjadi artis pertama yang dipilih menghasilkan klip video menggunakan telefon pintar.

"Pada mula dimaklumkan mengenai rakaman itu, saya terfikir juga sejauh mana hasilnya nanti. Boleh ke rakaman klip video terhasil dengan menggunakan telefon? Apapun, selepas terbabit menjayakannya dan melihat hasil rakaman itu, ternyata ia cukup mengagumkan dan saya menyukainya.

"Bahkan, saya menyifatkan ia adalah klip video terbaik pernah saya hasilkan dalam satu projek besar setakat ini. Saya sangat kagum walaupun proses rakaman berlangsung dalam tempoh satu hari. Malah, lebih daripada 10 rakaman dibuat dan syukur salah satu daripadanya adalah hasil terbaik.

Pada sesi sidang media itu juga, Yuna turut ditanya mengenai insiden keretanya dipecah masuk pada Khamis lalu yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM5,000 berikutan radio kereta dan gitar milik artis baru di bawah naungan syarikatnya, Diandra Arjunaidi turut dicuri.

Pun begitu, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai, 26, yang dihubungi wakil media pada hari kejadian bagi mendapatkan penjelasan kisah sebenar enggan mengulas.

Justeru, keengganannya menimbulkan dakwaan Yuna cuba mengelak daripada wakil media. Malah, turut dikhabarkan Yuna terkilan dengan laporan segelintir media berkaitan kejadian itu.

"Saya tiada niat mahu mengelakkan diri daripada wartawan. Namun, pada hari kejadian itu saya terlalu sibuk dan banyak urusan perlu diselesaikan. Ditambah lagi, saya juga terbabit menjayakan penggambaran iklan.

"Oleh itu, sebaik mendapat tahu kereta kena pecah, saya terus membuat laporan polis dan beberapa perkara lain. Jadi, apabila dihubungi wartawan, memang saya tidak berkesempatan memberi komen lanjut. Justeru, Wawa yang memberi komen bagi pihak saya dan diharapkan media tidak salah faham," katanya.

Menyentuh dakwaan mengatakan Yuna tidak suka dengan laporan dibuat media, dia mengakuinya. Katanya, dia berasa terkilan kerana dalam laporan itu turut menulis jenis kereta dan lokasi kejadian iaitu di rumah Pan (pemain gitar kumpulan muziknya).

"Apabila tahu mengenai laporan itu, saya rasa agak sedih kerana kalau boleh tidak mahu kejadian itu dihebahkan oleh media. Ia berkaitan soal keselamatan dan saya bimbang bahaya kepada diri saya, keluarga dan sesiapa saja yang memandu kereta itu nanti," katanya.

Ditanya mengapa pula dia menghebahkan kejadian itu di laman twitter miliknya jika tidak mahu kejadian itu menjadi perhatian, Yuna berkata dia tweet dengan niat mahu berkongsi kisah itu dengan peminatnya serta mengingatkan mereka supaya lebih berhati-hati.

"Ini kerana, kejadian curi seperti itu adalah biasa dan boleh berlaku kepada sesiapa saja," kata Yuna turut meluahkan rasa syukur kerana pencuri itu tidak melarikan keretanya.

Sehubungan itu, hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Bahagian Telefon Mudah Alih Samsung Malaysia Electronics, Vincent Chong. Malah, turut disampaikan hadiah kepada pemenang bertuah yang menyertai The Sparkle Project dianjurkan Samsung.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan