Adsense

Rabu, 25 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Mahu jadi ahli perniagaan

Posted: 24 Apr 2012 06:51 AM PDT

ANTARA pesona diri dan jenama dibina ketika menyertai satu program realiti, dia lebih dikenali ramai menerusi nama pentasnya. Memperkenalkan diri sebagai Keena Mentor, fikiran peminat pantas mengingat kembali populariti gadis ini bersama mentor, Awie ketika bersama mengharunginya tiga tahun lalu.

Berbanding pengalaman awal ditimba di pentas nyanyian, Keena semakin mengatur langkah mencari pelbagai peluang untuk menempatkan dirinya agar tidak ketinggalan di kalangan artis baru yang sedang mencipta nama.

Sebolehnya, dia tidak mahu istilah artis program realiti umpama mi segera dilupakan sejurus program disertai berakhir. Di kalangan peminat, Keena sebenarnya masih dekat di hati mereka kerana dia antara artis Mentor yang sibuk dengan aktiviti seni.

Gadis berusia 25 tahun ini mengatakan, dia gembira dan bersyukur kerana masih menerima jemputan mengadakan persembahan pentas untuk pelbagai acara termasuk majlis korporat.


Di sebalik fokus pada bidang nyanyian, mungkin tidak ramai yang tahu dia juga semakin aktif berlakon. Sepanjang tiga tahun menjadi artis, dia sudah membintangi 10 drama termasuk terbaru, selesai menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod, Cinta Liasari arahan Wan Cromox.


Katanya, dia masih memberi keutamaan pada nyanyian tetapi pada masa sama berusaha mengasah bakat berlakon dan memasang impian untuk mencuba bidang pengacaraan.

"Ketika ini saya masih bersama syarikat rakaman, Dream Music. Mengikut kontrak, saya sepatutnya menghasilkan dua single. Buat masa ini, saya sudah hasilkan single Cinta Luluh pada tahun lalu.

"Saya akan terbabit dalam dua single baru dan akan masuk studio untuk rakaman dalam masa terdekat. Saya sebenarnya puas apabila berpeluang mengasah bakat dalam pelbagai bidang seni.

"Selepas menyanyi dan berlakon, saya mahu mencuba nasib menjadi pengacara. Sejak tiga tahun lalu bersama Mentor, masih ada peminat yang kenal saya apabila bersua," kata duta Celcom Kolony ini.

Keena atau nama sebenar, Suriana Ab Wahab menyatakan dia selesa berada pada tahap sekarang walaupun beranggapan kurang popular. Apa yang penting, dia berusaha mengimbangi kerjaya seni dengan bermacam-macam aktiviti dan bersyukur masih menerima peluang serta tawaran baru.

"Saya seorang yang suka mencuba perkara baru. Saya juga penulis novel dan sudah menyiapkan Cinta Luluh dan Kasih Asyikin manakala novel ketiga, Misteri Saka Tua masih dalam proses menyiapkannya.

"Saya mula menghasilkan novel ini sejak tahun lalu dan minat menulis ini bermula sejak zaman sekolah. Peluang menghasilkan novel pertama, Cinta Luluh hadir ketika saya terbabit dengan penggambaran filem Tokak, arahan Sabree Fadzil.

"Ketika itu, produser Datuk Marina Mahammad tertarik membaca cerita saya dan kemudian berminat menerbitkannya dalam bentuk novel. Apabila berpeluang menceburi penulisan novel, saya berazam mahu bekerja keras mencapai impian dan meraih kepuasan sendiri tanpa hanya mengambil kesempatan pada orang lain untuk berjaya," katanya yang pernah menang pidato peringkat sekolah menengah.

Keena yang baru menjayakan satu acara persembahan sempena pertandingan Battle of the Bands di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras pada 22 April lalu, juga memasang impian ingin menjadi ahli perniagaan.

Katanya, dia berhasrat menceburi bidang perniagaan atas talian (online) menerusi jualan barangan rekaan sendiri seperti beg galas, aksesori badan, baju dan sebagainya.

"Sambil menyanyi, berlakon dan menulis novel, saya sempat melukis sekadar suka-suka. Tidak sangka apabila saya paparkan hasil lukisan saya di facebook, ada peminat yang suka dan mahu membelinya.

"Sejak pertengahan tahun lalu, saya mula menjual lukisan karya saya. Setakat ini, saya mempunyai 30 lukisan bermotifkan abstrak, pemandangan, hitam putih dan subjek manusia manakala tiga daripadanya sudah dijual.

"Saya sendiri paling menyukai lukisan abstrak dan komen yang saya terima terhadap karya saya suatu yang positif. Jika tiada keberatan, saya akan melancarkan perniagaan atas talian ini pada Julai nanti," katanya yang mempunyai dua akaun facebook, Keena Mentor dan Keena Mentor II.

Mengenai drama terbaru, Cinta Liasari terbitan Juanridz Pictures Sdn Bhd, Keena membawa watak Liza sebagai isteri Imran, lakonan Buzen. Drama siaran RTM ini turut dijayakan pelakon berpengalaman, Ridzuan Hashim, Dian P Ramlee, Fazreen, Leez AF4, Sharifah Shahora, Kapten Mohd Nor dan Zazly Majid.

Katanya, dia seronok menimba pengalaman baru dalam bidang lakonan termasuk ketika menjalani penggambaran drama ini di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Trivia Keena

  • Mula berlakon sejak usia 18 tahun dan pernah menjadi pelakon tambahan filem Cinta Fotokopi.
  • Menyanyi sejak usia 10 tahun dan pernah menang pertandingan Bintang Kecil Negeri Kelantan.
  • Arwah datuk yang juga pemain muzik tradisional menjadi pendorong terbabit dalam bidang seni.
  • Ingin menjadi pelukis dan penulis novel sekiranya bukan penyanyi atau pelakon.
  • Sejak sekolah rendah, Keena bercita-cita mahu menjadi penyanyi dan pelakon.



  • Produser perlu akur kehendak stesen

    Posted: 24 Apr 2012 06:44 AM PDT

    CADANGAN Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) pada kerajaan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) agar mewujudkan garis panduan merujuk soal bayaran stesen TV kepada produser nampaknya kurang mendapat sokongan stesen swasta, Media Prima Berhad (MPB).

    Begitu juga, pendirian sama dipegang stesen satelit Astro yang menyatakan mereka lebih selesa menggunakan garis panduan sendiri dalam menyelesaikan isu berbangkit ini.

    Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh atau Khai berkata, pembayaran jumlah yang diberikan kepada produser bergantung pada kandungan drama yang diterbitkan.

    Sambil merujuk pada perkembangan teknologi Astro yang berkembang canggih menerusi pengenalan siaran definisi tinggi (HD), jumlah bayaran lebih tinggi juga diberikan kepada produser yang mempunyai kandungan drama atau program

    yang menarik.

    "Secara kasar, jumlah bayaran diterima produser dengan stesen lain lebih kurang sama. Siapa yang dapat lebih itu bergantung pada perbincangan antara stesen TV dengan produser.

    "Pihak Astro dengan MPB ada mengadakan perbincangan secara tidak formal sebelum ini untuk membincangkan isu ini dan saya berpandangan, setiap stesen TV mempunyai cara dalam menetapkan soal bayaran.

    "PTVM juga ada menghantar surat kepada Astro agar mengkaji soal bayaran. Namun, Astro melihat apa yang dinyatakan PTVM mengenai jumlah bayaran tidak tepat," katanya.

    Dalam temu bual eksklusif diadakan di pejabatnya di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Khai menyatakan Astro mempunyai kadar harga berbeza yang dibayar mengikut kandungan program yang diterbitkan.

    "Saya percaya PTVM sendiri tahu sistem bayaran dilakukan Astro dan dalam meneliti isu ini, bukan semua produser tidak berpuas hati dan begitu juga sebaliknya.

    "Astro sebenarnya lebih jelas dalam aspek penerbitan program seperti drama yang dibuat mengikut permintaan. Setiap saluran drama di Astro mempunyai genre berbeza seperti Warna lebih pada komedi, Prima merujuk pada kisah masyarakat, Ria khusus untuk golongan muda manakala Oasis mengambil pendekatan Islamik.

    "Namun, apa saja kandungan atau idea yang ingin diterbitkan produser boleh dihantar kepada Astro tetapi ia juga bergantung pada jumlah siaran yang terhad diperuntukkan setiap tahun," katanya.

    Memahami sistem penerbitan program diminta Astro secara lebih mendalam sebelum soal bayaran ditekankan, Khai menjelaskan, setiap kertas cadangan dihantar dinilai berdasarkan merit iaitu merujuk pada kesesuaian idea itu dengan kehendak saluran.

    "Cita rasa penonton masa kini berbeza dibandingkan tahun lalu. Ini termasuk pengurus setiap saluran mempunyai strategi masing-masing mengenai program atau drama yang mereka mahukan.

    "Astro mempunyai sistem, setiap produksi perlu menghantar kertas cadangan secara 'online' iaitu astro.proposal.astro.com.my. Dua tahun lalu, Astro pernah mengadakan pertemuan dengan produser membincangkan pelbagai perkara termasuk isu ini.

    "Segelintir produser menyatakan pertemuan seperti ini perlu diadakan semula tetapi buat masa ini, Astro berasakan ia cuma diadakan kembali jika ada perubahan atau penjenamaan semula program yang Astro inginkan," katanya.

    Khai berkata, sambutan diterima produser terhadap sistem 'online' ini cukup positif apabila lebih 600 kertas cadangan daripada 200 produksi diterima pada tahun lalu. Selepas berjaya di peringkat pertama iaitu kertas cadangan diterima, produser turut diminta hadir untuk proses 'pitching'.

    "Produser boleh menokok tambah apa yang mereka mahukan ketika proses pitching. Malah, produser juga perlu berani membuat rundingan seperti penjual mahukan harga tinggi manakala pembeli inginkan harga lebih murah.

    "Proses pemilihan kertas cadangan yang layak dibuat secara tulus. Setiap dua minggu, perjumpaan diadakan antara pengurus saluran, penyelidik dan ketua bahagian program berbincang setiap idea yang dibentangkan.

    "Ketika perbincangan dilakukan, nama produser tidak disebut. Jika ada keputusan 50/50 dicapai dalam perjumpaan itu, produser itu diminta membuat pembentangan sekali lagi," katanya.

    Khai menyatakan, produser perlu akur dan tahu selera penonton termasuk kehendak stesen TV agar karya yang ingin diterbitkan diterima dan mampu meraih bayaran lebih tinggi.

    Katanya, cadangan melaksanakan garis paduan untuk diselaras antara stesen TV suatu yang sukar dilaksanakan. Ini kerana ia bergantung pada kehendak dan cara stesen TV yang berbeza.

    "Mengapa perlu ada kadar harga bayaran sebegitu sedangkan produser tahu berapa kos yang diperlukan. Soal hak cipta menjadi isu apabila ada produser menyatakan mereka tidak dapat menyimpan hak selepas dijual kepada stesen TV.

    "Mengambil contoh penerbitan filem, produser sanggup mencari duit atau dana sendiri untuk menampung kos produksi.

    Ini bermakna, sekiranya produser ingin menyimpan hak milik, mereka juga
    harus berani mencari geran tanpa bergantung pada stesen TV.

    "Produser tidak faham apabila mendapat bayaran stesen TV, karya diterbitkan sebenarnya sudah menjadi hak stesen TV itu sendiri. Dalam menyelesaikan kemelut ini, produser perlu ambil tahu cara atau sistem stesen TV itu dan belajar bagaimana menjual karya mereka agar diterima pada harga lebih tinggi," katanya.