Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Keserasian eksperimen Go Gerila!

Posted: 18 Apr 2012 05:16 AM PDT

MUZIK adalah jiwa dan sebuah kehidupan buat adik-beradik ini. Walaupun si abang pernah berhempas-pulas menghabiskan pengajian dalam jurusan perakaunan dan perbankan di Universiti Queensland di Brisbane, Australia, namun cintanya terhadap muzik melangkaui kelulusan itu.

Lantas apabila si adik, Aizat tersingkir dari pentas Akademi Fantasia (AF) musim kelima, ia peluang terbaik buat Anas mencambah minatnya dalam muzik dengan bergabung mencipta karya.

Meskipun tidak mendapat keizinan ayah pada awalnya, namun kini selepas berjaya membina empayar muzik bersama, Aizat dan Anas akhirnya membuktikan cinta dan kesungguhan dalam memperjuangkan minat terhadap lapangan seni tidak sia-sia.

Jelas Anas yang menyifatkan muzik adalah titik kepuasan buatnya, mereka berdua tidak pernah termimpi angan-angan bersama adiknya, Aizat yang ingin memperkenalkan bakat bermain muzik, akhirnya direalisasikan dengan laluan yang sempurna seperti sekarang.


Mengakui ia umpama bulan jatuh ke riba, kejayaan demi pencapaian yang diterima adalah penyuntik semangat untuk terus mengorak langkah ke hadapan.


"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan apa yang pernah kami impikan sebuah persembahan dan bermain muzik di depan peminat, akhirnya menjadi kenyataan. Kiranya apa yang lakukan dengan meletak sepenuh fokus kepada kerjaya seni ini membuahkan hasil dan bukanlah sesuatu yang sia-sia.

"Memang keinginan dan minat saya adalah muzik, namun saya tinggalkan sementara kerana ingin menyelesaikan pembelajaran sebelum ini. Bagaimanapun, tatkala Aizat diumumkan tersingkir dari AF, saya segera menghubunginya untuk mencipta beberapa lagu bagi diletak dalam album solonya. Bayangkan, saya masih sempat mencuri masa mencipta lagu walaupun ketika itu masih lagi belajar di Australia.

"Lantas apabila album pertama Aizat mendapat sambutan dan namanya semakin kukuh sebagai penyanyi muda berbakat besar, ia satu lagi ruang terbaik untuk saya terus menyokongnya dari belakang. Seterusnya, kami berdua terus duduk berbincang dan merencanakan perjalanan seni nyanyian Aizat. Saya berdiri
di belakang selaku pemuzik dan penyumbang lagu buatnya.

"Kunci kepada segala-galanya adalah kesungguhan dan minat yang tidak pernah henti dalam jiwa. Insya-Allah apa yang kita impikan akan dapat direalisasi jika niat itu ikhlas," katanya.

Selain mengagumi vokal tersendiri Aizat, anak muda berusia 25 tahun ini turut menyifatkan kerjasama bersama adiknya itu memberikan rasa serasi yang tinggi hingga mengundang kreativiti luar biasa. Malah Aizat turut bersyukur kerana memiliki abang yang menyokongnya.

"Ini adalah satu kerjasama yang cukup hebat dan menyeronokkan. Mana tidaknya, abang saya sendiri menjadi pendukung kerjaya di belakang. Kami sama-sama membesar dan memegang impian yang sama untuk menjadi pemuzik satu hari nanti. Siapa sangka, hari ini impian kami terlaksana dan lebih manisnya, kami mengejar bersama.

"Apa yang menariknya, kami punya ruang yang besar untuk berbincang. Jika ada saja idea, akan terus kami bincang bersama di rumah atau di studio Kasi Gegar Entertainment. Hubungan sebagai adik-beradik juga membuatkan kami punya keserasian yang cukup baik kerana sudah cukup mengenali perangai dan perwatakan masing-masing.

"Ego kami ketepikan setiap kali berurusan mencipta karya. Pendapat Aizat saya terima dan begitu juga sebaliknya. Pendek kata, proses kerjasama kami lebih kepada saya merealisasikan apa yang bermain di imaginasi Aizat dan mencantikkannya lagi menerusi teknik menghasilkan lagu dan aspek teknikal bagi memastikan apa yang diilhamkan kedengaran jauh lebih baik.

"Bagaimanapun, saya begitu berbangga kerana Aizat seorang yang cukup kreatif dan sentiasa punya idea yang luar biasa untuk memastikan setiap karya sentuhannya tersendiri," katanya tersenyum.

Anas dan Aizat hadir bersama dua lagi temannya yang kini bersatu untuk Go Gerila! bagi program terbaru tayangan TV9, Versus minggu lalu untuk sesi fotografi.

Menyifatkan Versus adalah pentas terbaik untuk mereka berdua mencurahkan kreativiti, baik Aizat mahupun Anas bersedia memberikan saingan bagi merebut hadiah utama wang tunai berjumlah RM200,000.

Aizat dan Anas menerusi Go Gerila! yang turut disertai penyanyi muda Amir Jahari, Ashroff Shariff selaku pemain gitar utama dan dua lagi teman mereka, Pito dan Ruvi akan bersaing dengan empat lagi kumpulan lain termasuk 6ixth Sense, Black Parallax, Hujan dan Sofazr.

Jelas Aizat, soal hadiah yang dijadikan habuan bukanlah keutamaan Go Gerila! sebaliknya Versus dilihat sebagai gelanggang buat mereka melakukan eksperimen terhadap muzik bagi memberikan dimensi yang berbeza.

"Pertama kali rasanya muzik dan ideologi kami disatukan dengan tiga teman yang lain yang juga mempunyai kreativiti masing-masing. Amir umpamanya mempunyai hala tuju muziknya sendiri dan begitu juga yang lain. Lantas apabila kami semua disatukan untuk mewujudkan sebuah jalur muzik dalam Versus, saya yakin ia akan memberikan satu perspektif yang berbeza.

"Inilah peluang buat saya dan Anas untuk melebarkan lagi empayar muzik sedia ada kerana sebelum ini kami hanya berkarya berdua saja. Mungkin apabila disatukan dengan ideologi muzik mereka, kami akan mula terdedah dengan sesuatu yang tidak pernah dicuba selain meneroka elemen muzik lain yang lebih baik dan menarik. Kerana itu juga kami sifatkan Go Gerila! sebagai satu gabungan eksperimen untuk melahirkan satu muzik yang jauh lebih dinamik.

"Go Gerila! memperjuangkan eksperimen muzik dengan elemen rock & roll dan pelbagai rentak lain termasuk Brit Pop dan alternatif. Saya yakin peminat yang selama ini mengikuti perjuangan muzik kami akan menerima percubaan kami kali ini," katanya.

Go Gerila! akan tampil dengan lagu Mat Disco pada malam ini dalam minggu kedua Versus dalam tema Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad selepas tampil hebat minggu lalu dengan lagu Biso Bonar.

Jangan lupa menyaksikan Go Gerila! bersama 6ixth Sense, Black Parallax, Hujan dan Sofazr dalam menyahut cabaran menterjemahkan karya kreatif mereka dalam gubahan lagu menerusi Versus yang kembali bersiaran untuk minggu kedua malam ini jam 10.30 malam di TV9 (Saluran 119 di Astro).




‘Penat jadi hamba dadah’

Posted: 18 Apr 2012 04:58 AM PDT

PEMINAT rock alternatif mesti kenal dengan penyanyi yang dilahirkan pada 1978 di Kuching, Sarawak ini. Muhamad Radhi Razali atau lebih mesra dengan panggilan Radhi OAG mencipta nama besar melalui gabungan irama 60-an dan alternatif 90-an. Maka lahirlah lagu hit 60's TV.

Kes rumah tangga yang jadi bahan paparan utama akhbar tempatan turut mengundang kontroversi. Begitu juga apabila bapa kepada seorang anak ini menyerah diri ke Rumah Pengasih, membuatkan peminatnya lega kerana itu jalan terbaik untuk menjauhkan diri daripada najis dadah.

Pertemuan di Bilik 7, baru-baru ini jelas membuktikan Radhi tetap seperti dulu, mesra, ceria dan mudah bekerjasama. Cuma dalam setiap perbualannya diselitkan dengan Subhanallah, Masya-Allah dan Alhamdulillah. Kini dia semakin menghargai erti sebuah kehidupan.

Pengenalan Bilik 7 kali ini sungguh berbeza. Radhi dibawa masuk oleh anggota polis ke bilik siasatan dengan keadaan mukanya tertutup.


Gempak! Satu gimik yang sangat menarik Bilik 7 yang mahu mencipta dramatik!


Radhi tahu bahawa konsep Bilik 7 bukan membuka aib selebriti, tapi memberi peluang dan ruang untuk mereka berterus-terang. Dia bersetuju dan bersedia membuka cerita kerana ini adalah satu platform mendekati peminatnya yang sudah lama menunggu produk terbaru OAG.

Dulu wajah Radhi nampak pucat dan kurus, tapi sekarang sedikit berisi dan wajahnya segar berseri! Ini adalah petanda dia bebas daripada simptom dadah sepenuhnya!

Apa yang membuatkan Radhi mengambil dadah ketika berada di puncak? Itu antara soalan panas yang disediakan penerbit Bilik 7, Engku Azmin Engku Zaini. Dia tidak terkejut mendengarkan soalan itu, tapi dengan wajah ceria dia memulakan pengakuan sebenar.

"Saya terbabit dengan pengambilan dadah kerana terpengaruh dengan gaya hidup rock star Barat seperti idola kumpulan rock saya. Ketika itu saya hanya membayangkan saya ingin menjadi seperti mereka begitu hebat dalam menulis lagu, membuat rakaman berkualiti dan persembahan yang mendapat sambutan.

"Tapi ternyata cara itu salah serta merugikan kerjaya dan wang ringgit," kata Radhi dalam nada kekesalan yang tak mampu diucapkannya.

Radhi mula mengambil dadah sejak berusia 15 tahun dan kenapa baru sekarang ini terlintas untuk berhenti dan membuang tabiat buruk itu? Terkebil-kebil dia hendak menjawab soalan itu, mungkin sukar untuk membuka keseluruhan rahsia yang tertutup rapat.

"Saya mahu berubah kerana anak dan rumah tangga. Kesedaran itu sudah lama ada dalam diri, tapi saya belum bersedia. Itu adalah perkataan paling sesuai. Apabila rumah rumah tangga saya tak mampu dipertahankan, diikuti paparan kes perceraian kami yang menjadi tumpuan akhbar dan TV, menimbulkan keinsafan yang mendalam. Saya hilang segala-galanya!

"Saya sudah penat menjadi hamba dadah. Niat berhenti itu memang ada, tapi kadang-kadang waktunya tidak sesuai. Dan hidup saya menjadi tidak terurus akibat dadah. Pelbagai dugaan yang saya lalui untuk mendapatkan 'barang'. Dalam kepala saya hanya memikirkan dadah, bagaimana hendak mendapatkannya dan mencari duit untuk membelinya.

"Dadah menjadi keutamaan, saya tak boleh hidup tanpanya. Pernah terjadi saya terkincit dalam seluar ketika ditahan polis. Ketika itu saya rasa sangat takut. Peliknya, itu masih belum lagi menyedarkan saya," katanya.

Dia pernah berkali-kali cuba berhenti walaupun sedar bukan mudah bagi penagih tegar sepertinya berbuat demikian.

"Saya pernah cuba berhenti ambil dadah. Berjaya untuk beberapa bulan kemudian jatuh dan ambil semula. Dulu lain, mungkin sebab saya masih muda. Kini saya dah berusia dan anak pun dah berusia tujuh tahun. Saya mesti lakukan sesuatu.

"Semuanya ini datang daripada Allah! Tiba-tiba saya tergerak hati untuk berhenti sebelum ditangkap polis dan ditempatkan dalam penjara atau pusat pemulihan. Saya tak mahu semua itu berlaku pada saya. Terus terang saya lakukan semua ini demi kasih sayang saya pada anak, Muhammad Rifdhi Musli.

"Saya tak mahu anak saya mengikut jejak saya. Percaya tak, saya pernah lihat sendiri teman saya boleh hisap dadah bersama anaknya yang berumur 9 tahun dan saya tak mahu ia berlaku pada saya. Ya, Allah jauhkan itu semua!

"Maka dengan tawakal dan reda, tanpa paksaan daripada sesiapa saya pergi sendirian ke Rumah Pengasih. Hanya itulah tempat terakhir untuk saya minta bantuan. Alhamdulillah, kehadiran saya diterima dengan senang hati. Semua penghuni di situ memberi saya sokongan moral," katanya.

Di Rumah Pengasih, Radhi menemui jalan keluar. Selepas beberapa bulan tinggal di situ, sikapnya mula berubah.

"Alhamdulillah, kehidupan saya lebih tenang tanpa dadah. Kehadiran saya di sini bukan sebagai selebriti, tapi manusia yang memerlukan bantuan. Dari hari pertama lagi saya minta agar tidak diberikan sebarang keistimewaan. Saya melalui detik penyembuhan itu dengan semangat yang tinggi.

"Awal pagi saya sudah bangun. Sebelum ini saya bangun lambat tapi di sini, kami bangun sebelum Subuh untuk solat berjemaah. Diikuti senaman dan membuat kerja-kerja harian. Menjelang jam 11 barulah ada masa untuk berehat. Jadual saya sentiasa padat tapi saya gembira. Ini membuatkan saya mampu atasi ketagihan itu.

"Saya juga sering diundang ke sekolah, kolej dan universiti untuk memberi ceramah kempen jauhi dadah. Saya senang lakukan semua ini demi keinsafan yang timbul dari dalam diri saya semoga tidak ada remaja di luar sana yang terjerumus dalam najis dadah," sambungnya.

Biasanya penagih yang sudah berhenti dan akan jatuh semula apabila dipujuk rakan yang masih menagih. Radhi sedar situasi itu, bagaimana cuba diatasi sebaik mungkin.

"Saya optimis dengan kekuatan jati diri dan mampu mengatasi masalah penagihan ini. Doakan saya agar dapat bertahan untuk selama-lamanya. Sesekali saya terfikir sudah banyak duit yang saya bakar! Seandainya, saya tidak mengambil dadah dari dulu mungkin saya sudah memiliki beberapa buah rumah dan kereta.

"Bayangkan begitu banyak duit yang saya gunakan untuk memenuhi ketagihan. Menyesal? Dah terlambat!

Ada lagi yang dikongsikan Radhi dalam Bilik 7 malam ini, pada jam 9 malam hanya di ntv7, Saluran Ceria Anda!




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan