Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Teringin watak serius

Posted: 18 Apr 2012 02:52 PM PDT

Hip

Akhbar, bilik air tempat Johan dapat idea lawak

DUDUK berbual dengan pelakon, pengacara dan pelawak ini, lebih banyak ketawa yang kedengaran. Setiap perbualan pasti disulami lawak jenaka yang menggeletek hati. Ada saja bahannya untuk membuat orang sekeliling terhibur dengan keletahnya.

Pendek kata, hidup pemilik nama penuh Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau lebih dikenali dengan nama Johan Raja Lawak ini sentiasa ceria dek sifat kelakar yang ada padanya. Justeru tidak hairanlah andai trofi Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 menjadi miliknya. Kemenangan itu bukan kejutan kerana diakui, Johan memang pelakon komedi yang bagus. Lihat saja bagaimana dirinya menyerlah menerusi program Maharaja Lawak serta pementasan Lawak Ke, Der? yang dijayakannya bersama Zizan di Istana Budaya, bulan lalu.

Itu tidak termasuk gaya penyampaiannya sewaktu mengendalikan program JoHaRa di stesen radio Era.fm setiap pagi, yang memang melucukan. Semua itu mungkin menjadi faktor mengapa trofi yang sebelum ini dipegang Zizan berpindah ke tangannya. Bagaimanapun, tentu tidak ramai yang sedar, bakat Johan bukan terhad pada lawak jenaka semata-mata. Dia juga mampu menjadi seorang yang serius.

"Komedi memang sebahagian daripada hidup saya, tetapi saya juga boleh membawakan watak serius. Namun masalahnya, tiada siapa yang mahu menawarkan watak begitu. Mungkin kerana saya sering tampil dalam program lawak, maka kebanyakan pengarah atau penerbit melabelkan saya sebagai pelakon komedi.

"Entah mengapa, sehingga kini tiada pengarah atau produser berani untuk menawarkan saya watak sedemikian. Sebagai pelakon, saya teringin juga mencuba watak serius, bagi menambahkan warna dalam corak lakonan," kata pelakon berusia 27 tahun ini.
Biarpun ramai yang mengatakan trofi itu memang layak untuknya, namun kata Johan, dia tidak berangan-angan setinggi itu kerana baginya masih ramai yang layak dan berpeluang memenanginya.

"Justeru, apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya tak tahu nak kata apa. Memang terkejut, lebih-lebih lagi apabila mereka yang dicalonkan bersama saya ialah nama besar, seperti Afdlin Shauki. Apapun, saya tetap anggap Afdlin sebagai sifu dan amat menghormatinya," kata suami kepada pelakon Ozlyn Wati ini.

Mengulas dakwaan modal lawak jenakanya lebih kepada mengenakan individu, Johan menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

"Bahan lawak jenaka saya bukanlah dibuat tergesa-gesa, tetapi saya rangka terlebih dulu apa yang ingin dikatakan. Kebanyakan idea datangnya daripada akhbar yang saya baca. Dari situ, saya akan olah bahan itu menjadi jenaka.

"Selain itu, idea juga datang ketika saya berada dalam tandas. Ya, di situ saya boleh dapat banyak dapat idea melucukan. Bila idea itu datang, saya akan suruh isteri menulisnya dalam buku, supaya saya tak lupa," katanya sambil ketawa besar.

Adat mereka yang bergelar popular, pastinya kemenangan itu akan membuatkan status mereka naik setingkat lagi. Dalam erti kata lain, pastinya bayaran yang akan dikenakan selepas menang anugerah akan meningkat. Dijolok pertanyaan cepu emas itu, Johan menegaskan, nilainya masih seperti biasa dan tiada apa yang akan merubahnya.

"Rasanya, setakat ini bayaran yang saya terima cukup setimpal dengan apa yang saya berikan. Dalam soal harga, saya masih boleh berbincang," katanya berterus terang.

Terdahulu, Johan dan artis naungan Astro lain seperti Aaron Aziz, Zizan dan Hafiz, yang turut menggenggam trodi pada malam kemuncak ABPBH 2011 di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu, diraikan dalam majlis cukup meriah bertemakan Glitz dan Glamor, di Bandar Sunway, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh; Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan merangkap Pengerusi Bersama ABPBH2011, Hanizam Abdullah dan penerbit filem terkemuka, Datuk Yusof Haslam.

Peluang bersih nama rempit

Posted: 18 Apr 2012 02:44 PM PDT

Hip

DAVID (tiga dari kanan) bersama artis dan beberapa bekas pelumba negara yang memeriahkan pelancaran Rempit United, semalam.

DAVID (tiga dari kanan) bersama artis dan beberapa bekas pelumba negara yang memeriahkan pelancaran Rempit United, semalam.

David terbit dokumentari papar realiti golongan sering undang kontroversi

ENAM tahun lalu, produser kental, David Teo, kecewa apabila tajuk filem terbitannya, Remp-it V3 terpaksa ditukar kepada V3 Samseng Jalanan. Semalam, dia mengaku mula berasa lega apabila perkataan berkenaan tidak lagi dipandang serong, malah sudah pun digunakan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Rempit United.

Pertubuhan yang sudah mencapai angka keahlian seramai 200,000 orang, daripada persatuan dan kelab bermotor membabitkan golongan berusia antara 16 hingga 30 tahun itu juga menerima sokongan tidak berbelah produser daripada syarikat Metrowealth Pictures terbabit.

Sebelum dokumentari itu dipaparkan, ia perlulah melalui meja perbincangan bersama badan NGO lain, kerajaan dan pihak berkaitan lain bagi mencapai satu kajian yang adil terhadap isu ini. - David Teo

Katanya, persetujuan itu diambil bagi membuktikan kebenaran bahawa tidak semua golongan rempit hanya mengundang gejala negatif.

"Saya melihat penubuhan NGO seperti ini mampu untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap golongan rempit. Dulu, sebelum saya menerbitkan filem Remp-It, semua orang tidak peduli apa itu rempit sehinggalah ia dilahirkan dan mengundang kontroversi.

"Saya membawa artis yang berlakon dalam filem saya seperti Adnan Sempit, bagi menjadi ikon untuk mendekati golongan ini. Tidak semua rempit itu jahat kerana jenayah atau perkara negatif itu dilakukan segelintir pihak saja," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran NGO berkenaan yang mendapat sokongan syarikatnya, di Kuala Lumpur.

Katanya, kerjasama itu juga jelas menunjukkan keberaniannya membuktikan pandangan serong masyarakat terhadap golongan itu tidak tepat sama sekali.
Susulan kerjasama bersama Rempit United yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, produser ini melahirkan hasrat menerbitkan dokumentari dan drama berasaskan inti pati kisah golongan yang sering disalahertikan itu.

"Antara sumbangan dan program yang akan mewarnai Rempit United ialah kelahiran dokumentari yang memaparkan realiti dan liku hidup yang dilalui golongan ini, termasuklah mereka yang terbabit secara tidak langsung dengan kewujudan mereka, seperti polis.

"Tetapi sebelum dokumentari itu dipaparkan, ia perlulah melalui meja perbincangan bersama badan NGO lain, kerajaan dan pihak berkaitan lain bagi mencapai satu kajian yang adil terhadap isu ini," katanya sambil memberitahu, dokumentari sejam berkenaan akan disiarkan di stesen televisyen.

Selain itu, barulah ia disusuli penerbitan drama berkisarkan rempit. Ia akan menggunakan pelakon yang sudah berpengalaman membawakan watak golongan itu seperti Shaheizy Sam dan Intan Ladyana.

"Saya sebenarnya sudah lama memendam hasrat untuk melahirkan dokumentari seperti ini dan akhirnya ia akan terlaksana juga. Lagipun, realiti yang dipaparkan dalam dokumentari itu dapat menjelaskan sudut pandang semua pihak," katanya.

Antara artis yang akan menyertai kempen permulaan yang akan dilaksanakan di Kuala Terengganu sekitar Jun ini ialah Zizan Razak, Sam, Intan, Sari Yanti, Nora Danish dan Ilia Iryani.

"Saya menggalakkan artis di bawah Metrowealth untuk menyertai kempen ini dan sebagai tanda sokongan, artis ini akan hadir memberikan kata semangat dan motivasi kepada golongan rempit untuk membuktikan siapa mereka sebenarnya, serta menangkis pandangan buruk terhadap mereka selama ini," katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Presiden Rempit United, Wazi Abdul Hamid, serta pelumba veteran negara, M Meganathan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan