Adsense

Rabu, 14 Mac 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Irma Hasmie Sahkan Bakal Bertunang

Posted: 13 Mar 2012 09:53 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie mengesahkan bakal bertunang dengan jejaka pilihan hatinya pada tahun ini namun enggan mendedahkan identiti lelaki tersebut.

Irma dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online berkata, dia akan menjelaskan butiran mengenai jejaka berkenaan kepada umum semasa majlis pertunangan itu nanti.

"Ya, Insya-Allah (akan bertunang), cuma tunggu masa majlis nanti baru saya akan cerita," ujarnya ringkas.

Pada Sabtu, sebuah portal hiburan melaporkan Irma bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya dalam beberapa minggu lagi.

Pasangan itu dilaporkan memilih tarikh 27 Mac 2012 sebagai hari bersejarah itu yang dijadualkan akan berlangsung di kediaman keluarga Irma di Sungai Buloh, dekat sini.

Laporan itu turut menyebut Irma terpaut hati dengan jejaka berkenaan ketika sama-sama menunaikan Umrah di kota suci Mekah baru-baru ini.

Bagaimanapun, Irma ketika ditanya mengenai majlis dan bakal tunangnya enggan mendedahkan sebarang maklumat ketika ini dan meminta pihak media menunggu masa sesuai.

"Saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan sebelum majlis itu berlangsung. Maaf, harap doakan yang terbaik dan dipermudahkan dalam segala urusan," ujarnya.

Irma sebelum ini pernah bercinta dengan aktor Farid Kamil dan penyampai radio Suria FM iaitu Nabil (Raja Lawak) sebelum hubungan itu terputus di tengah jalan.

Pelakon yang manis menggayakan tudung itu juga pernah digosipkan mempunyai hubungan istimewa dengan pereka fesyen terkenal iaitu Ezuwan Ismail selepas sering kelihatan bersama.

Hubungan Keluarga Melia Aimiellia Pecah-Belah Kerana Video Bogel

Posted: 13 Mar 2012 09:51 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon muda yang dikaitkan dengan kontroversi video bogel di beberapa laman blog, Melia Aimiellia (Melia) berkata pendedahan cerita mengenainya itu di muka hadapan sebuah tabloid pada Isnin telah menyebabkan hubungan keluarganya kini berpecah-belah.

Pelakon berusia 19 tahun itu berkata, dia tidak menduga kontroversi tersebut bukan sahaja menjejaskan periuk nasinya sebagai pelakon, malah turut memutuskan hubungan silaturahim di antara ibu bapanya dan sanak saudara yang lain.

"Saya akui kontroversi ini bukan sahaja mengaibkan, malah turut memporak-perandakan kehidupan saya sekeluarga. Bayangkanlah, apabila isu dibesarkan sehingga terpampang di muka hadapan akhbar semalam (Isnin), ibu bapa saya mula dihujani pelbagai panggilan dan kecaman daripada sanak saudara dan kenalan.

"Apa yang saya kesalkan, apabila saudara mara lebih mempercayai laporan-laporan tersebut berbanding penjelasan darah daging mereka sendiri," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Pelakon filem Karipap-Karipap Cinta itu berkata, susulan kecaman dan pertikaian anggota keluarga yang lain, mereka sekeluarga kini lebih selesa untuk menghadapi situasi genting itu tanpa sokongan dan kepercayaan ahli keluarga yang lain.

"Ia mengakibatkan hubungan keluarga ibu bapa menjadi tegang dan terputus. Ibu bapa saya kecewa apabila keluarga mereka sendiri bukan sahaja tidak memberikan sokongan moral malah mengecam mereka dengan kata-kata kesat.

"Biarlah, apa pun yang terjadi, kami anak beranak akan hadapi perkara ini bersendirian," katanya dengan nada sebak.

Melia berkata ekoran impak terburuk yang melanda keluarganya itu, dia bertekad untuk tidak melepaskan pengendali blog berkenaan yang bertanggungjawab sehingga mencetuskan kontroversi ini.

"Terlalu banyak percanggahan fakta pada kenyataan yang dikeluarkan pengendali blog itu pada akhbar tersebut. Saya mempunyai bukti dan rekod perbualan kami sebelum ini.

"Saya tidak akan berdiam diri. Saya sudah membuat laporan polis dan menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya yang terjejas tanpa sebarang tawaran lakonan pada waktu ini.

Pengendali sebuah laman blog hiburan pada Isnin membuat pendedahan di sebuah akhbar dengan menafikan telah membuat teknik pertindihan gambar (superimpose) terhadap wajah Melia Aimiellia untuk dikeluarkan pada blog berkenaan.

Ia sebagai menepis dakwaan artis tersebut yang menuduh mereka cuba menjatuhkannya dengan melakukan tenik tersebut.

Sementara itu sumber polis berkata, mana-mana individu tidak kiralah penulis bloq ataupun orang awam boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 922 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem iaitu menyimpan dan memiliki bahan lucah.

Malek Noor Akhirnya Jadi Suami Kepada Pakar Pediatrik

Posted: 13 Mar 2012 09:49 PM PDT

PETALING JAYA: Hanya dengan sekali lafaz, bekas ahli bina badan negara Datuk Malek Noor akhirnya selamat bergelar suami kepada Pakar Pediatrik, Dr Wan Asma Wan Ismail.

Kedua-dua pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Wan Ismail Wan Ahmad,87, di kondominium, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini kira-kira pukul 11 pagi, Isnin.

Dr Wan Asma,52, bertugas di Hospital KPJ Pakar Perdana, Kota Bharu manakala Malek atau nama sebenarnya Abdul Malek Mohamaed Noor,56, kelihatan berseri-seri dengan pakaian sedondon berwarna putih gading.

Menariknya pada perkahwinan tersebut pengantin lelaki hanya memberikan senaskhah al-Quran sebagai mas kahwin tanpa wang hantaran disertai lima dulang hantaran berbalas sembilan daripada pengantin perempuan.

Dr Wan Asma memberitahu beliau tidak memerlukan wang hantaran kerana segala kelengkapan sudah beliau miliki.

Apa yang penting beliau berharap perkahwinan mereka berdua kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.

"Kami berdua bersetuju tiada wang hantaran kerana saya tidak perlukan semua itu," katanya.

Dalam pada itu Dr Wan Asma berkata, beliau tidak berhasrat berpindah ke ibu negara mengikut suaminya kerana sudah selesa dengan pekerjaannya di pusat perubatan tersebut. Bagaimanapun setiap hujung minggu dia akan berjumpa dengan suaminya di Kuala Lumpur.

"Saya akan pergi ke Kuala Lumpur untuk berjumpa suami setiap hujung minggu. Kalau suami ada masa, dia akan datang ke Kota Bharu pula," ujarnya.

Sementara itu Malek berharap agar perkahwinan tersebut menjadi yang pertama dan terakhir dalam dirinya selepas sekian lama hidup membujang.

Dr Wan Asma mempunyai tujuh orang anak berusia 11 hingga 30 tahun serta empat orang cucu dan sudah tiga tahun menjanda manakala Malek memiliki seorang anak angkat iaitu Nik Nuramalin Aisyah Nik Mahmud berusia 2 tahun.

Pasangan tersebut berkenalan selepas berhubung atas urusan perniagaan pada November tahun lalu sehinggalah Malek membuat keputusan merisik pada Februari lepas.

Majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan di Hotel Renaissance, pada malam Isnin.

Selain aktif dalam sukan bina badan, Malek pernah berlakon beberapa buah filem termasuklah Ujang (1989), Juara (1991), Rimba Malam (1992) dan Sahabat (1992).

Fitnah Video Bogel, Tawaran Berlakon Melia Aimiellia Dibatalkan

Posted: 13 Mar 2012 09:31 PM PDT

PETALING JAYA: Penyebaran video bogel yang dikatakan milik aktres muda Melia Aimiellia (Melia) di beberapa laman blog sebelum ini menyebabkan pelakon itu menanggung kesusahan apabila tawaran berlakon yang diperolehnya dibatalkan.

Melia atau nama sebenarnya Noor Melia Aimiellia Zaidi, 19, berkata dia sekeluarga juga turut berasa terganggu dengan persepsi buruk dan kecaman masyarakat ekoran fitnah berkenaan.

"Kesan daripada penyebaran video fitnah itu bukan sahaja mencemar nama dan reputasi saya sekeluarga, malah ia turut menjejaskan periuk nasi saya sebagai pelakon.

"Bayangkanlah, kini saya tidak mendapat sebarang tawaran kerana banyak syarikat produksi ragu-ragu dan takut untuk mengambil saya berlakon. Mereka risau jika drama lakonan saya akan digam atau tidak ditonton akibat tuduhan itu.

"Apa yang lebih menyedihkan apabila ada pihak produksi yang mempersendakan saya dengan mengajak saya 'tidur' bersama kerana video tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Melia berkata pada awalnya dia mengakui enggan mengambil pusing perkara itu kerana sejak awal lagi dia sudah menjelaskan bahawa gadis yang berbogel dalam video tersebut bukan dirinya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan bertambah rumit apabila ia mula menggugat kerjayanya sehingga memaksa heroin filem Karipap-Karipap Cinta (2011) ini membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan ke atas blog-blog terbabit.

"Saya sudah beri tempoh kepada pengendali beberapa blog-blog untuk memadam dan membuang entri laporan fitnah itu.

"Malangnya, tiada usaha daripada mereka. Tahap kesabaran saya ada batasnya, jadi saya perlu mengambil tindakan bagi membersihkan semula nama saya," katanya.

Pelakon itu turut memberitahu, dia mengesyaki penyebaran video tersebut merupakan satu komplot oleh kumpulan pemilik blog hiburan yang berpakat untuk menjatuhkan dirinya dengan menyebarluaskan lagi penyebaran video berkenaan.

"Saya dapat rasakan ada muslihat yang mencurigakan di sebalik penyebaran video itu. Apabila saya bertanya kepada dua blog yang memulakan penyebaran video itu, mereka tidak mengetahui sumber asal rakaman tersebut.

"Ketika diminta mengalihkan video itu, mereka padam entri tersebut buat sementara waktu tetapi tidak lama kemudian ia dimuat naikkan semula dan tersebar ke blog-blog lain pula," katanya.

Ditanya adakah dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua blog berkenaan, Melia berkata dia akan mempertimbangkannya selepas mendapat keputusan siasatan SKMM selepas melaporkannya pada Khamis lalu.

"Berkemungkinan saya akan ambil tindakan undang-undang ke atas blog-blog itu tetapi saya akan ikut prosedur yang dicadangkan SKMM hasil siasatan itu nanti.

"Memandangkan perkara ini sudah mencemarkan nama dan maruah saya dan kerjaya, tindakan tegas wajar diambil sebagai pengajaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Almy Nadia Lebih Kuat Kerana Anak Angkat

Posted: 13 Mar 2012 09:30 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia menganggap kehadiran anak angkatnya yang dipelihara sejak tiga tahun lalu berjaya mengubah dirinya menjadi seorang wanita yang lebih matang dan bersemangat kuat.

Almy berkata, anak yang diberi nama Nur Afrina Darwisya itu turut mengajarnya erti kematangan dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang wanita.

"Sejah setahun kebelakangan ini saya sibuk memberi tumpuan kepada anak angkat saya ini. Kehadirannya benar-benar telah mengisi kehidupan saya," katanya kepada mStar Online pada Majlis Pelancaran Wanita Inspirasi TV3 di sini pada Khamis.

Bercerita lanjut mengenai anak angkatnya itu, Almy berkata kanak-kanak itu diambil daripada salah seorang saudaranya dan mula menjaga sejak dilahirkan.

Tambahnya jika sibuk dengan jadual penggambaran, tugas menjaga Nur Afrina diberikan kepada ibu Amly yang tinggal di Pulau Pinang.

"Setiap kali habis penggambaran atau apa-apa kerja saya akan terus balik naik bas atau menaiki kereta api untuk balik ke Pulau Pinang bagi bertemu dengan anak," ujarnya.

Tambahnya, dia masih dalam proses mendapatkan hak penjagaan kekal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap kanak-kanak tersebut dan dalam proses mendaftarkannya sebagai anak angkat secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Setahun menghilang daripada khalayak, Almy membuat kemunculan di Majlis Pelancaran Wanita Inspirasi TV3 di Full House Kota Damansara di sini pada Khamis. Gambar Ihsan TV3

"Jika Afrina dapat menjadi hak kekal saya, saya berhasrat untuk membawa ibu saya dan anak angkat saya itu mengerjakan Umrah," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penerimaan kekasihnya iaitu pelakon Fizz Fairuz tentang keputusannya untuk mengambil anak angkat, Almy memberitahu Fizz tidak menghalang dan menerima Afrina dengan baik.

Bagaimanapun kekasihnya itu belum pernah berjumpa dengan Afrina kerana dia berada di Pulau Pinang.

"Fizz langsung tiada masalah dengan perkara tersebut dan menyokong tindakan saya untuk mengambil Afrina sebagai anak," ujarnya.

Sempat ditanya mengenai hubungannya dengan Fizz, Almy menjelaskan mereka masih lagi bercinta cuma tidak menunjukkan kemesraan itu di hadapan khalayak dan media.

Mereka memilih untuk bersikap 'low-profile' dan enggan mendedahkan terlalu banyak mengenai kisah cinta mereka kepada umum.

"Saya sedar pelbagai tohmahan orang buat mengenai hubungan kami dengan mengatakan bahawa kami telah putus cinta. Rasanya tak baik berkata begitu kerana ia boleh menjadi satu doa buat saya dan Fizz," jelasnya.

Perkahwinan Fasha Sandha Dengan Anak Ramli Ngah Talib Tanpa Tajaan

Posted: 13 Mar 2012 09:29 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Fasha Sandha mengambil pendekatan untuk tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak apabila enggan menerima sebarang tajaan bagi majlis perkahwinannya dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli yang dirancang pada bulan depan.

Fasha berkata, segala kelengkapan perkahwinan termasuk empat persalinan busana untuk majlis itu akan dibayar sendiri oleh bakal suaminya yang sejak awal-awal lagi memaklumkan agar tidak mengharapkan penaja.

"Saya dan bakal suami tidak akan menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak kerana bakal suami ingin mengeluarkan sendiri perbelanjaan untuk majlis perkahwinan kami nanti.

"Tambahan pula kami tidak mahu terhutang budi dengan mereka yang ingin berbuat demikian dan biarlah apa yang ada nanti datang daripada kami sendiri," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Wajah Inspirasiku TV3 di sini.

Tambah Fasha, dia dan Rizal atau lebih dikenali dengan panggilan Jejai juga tidak mengimpikan sebarang majlis besar-besaran tetapi hanya berpuas hati dengan acara yang serba sederhana.

"Saya tidak mengimpikan gelaran weeding of the year sebaliknya berpuas hati dengan majlis sederhana kerana lebih mudah untuk menyapa dan bertemu dengan tetamu.

"Sebarang sidang akhbar juga tidak akan diadakan untuk hebahan mengenai perkahwinan ini kerana menghormati permintaan bakal suami," ujarnya.

Dalam pada itu, Fasha memberitahu dia dan Jejai yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib itu akan bernikah di rumah pasangan tersebut di Ampang, dekat sini.

Fasha berkata, pada hari tersebut turut diadakan resepsi pertama bagi meraikan hari bahagia mereka sebelum mengadakan dua lagi majlis di Perlis dan di sebuah destinasi yang masih dirahsiakan lokasinya untuk kenalan terdekat.

Bagaimanapun pelakon itu masih enggan mendedahkan tarikh sebenar pernikahan mereka.

"Majlis resepsi di Kuala Lumpur akan diadakan selepas akad nikah di rumah yang dibelikan oleh Jejai kepada saya dan dua acara lagi menyusul di Perlis dan sebuah lokasi luar Malaysia untuk kenalan terdekat.

"Tarikh untuk tiga acara itu tidak dapat didedahkan lagi buat masa ini tunggulah selepas kad kahwin diedarkan," katanya.

Sementara itu, Fasha memberitahu persiapan perkahwinannya masih berjalan dan tidak mengkhususkan sebarang tema untuk hari bahagianya itu nanti.

Fasha memberitahu, cuma majlis di Perlis bersama-sama ahli keluarganya akan berkonsepkan tradisional atas keinginannya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Fasha memberitahu dia dan bakal suaminya akan berbulan madu di Pulau Redang selepas perkahwinan mereka dan mengakui menerima lamaran Jejai selepas kali kedua lelaki itu berbuat demikian.

Jejai sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Nora Danish pada 2006 tetapi hubungan mereka hanya bertahan selama dua tahun. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki Putera Rayqal Ramli yang kini berusia lebih dua tahun.

Sharifah Nadia Berlakon Dengan Izin Suami

Posted: 13 Mar 2012 09:28 PM PDT

SHAH ALAM: Pelakon yang pernah membintangi filem Diari Romeo iaitu Sharifah Nadia kembali ke dunia lakonan selepas tujuh tahun meninggalkan industri ini bukan kerana masalah rumah tangga.

Nadia, 32, berkata, dia mengambil keputusan untuk kembali aktif adalah kerana merindui dunia lakonan selain mendapat keizinan daripada suaminya iaitu Lob Mahatdir.

"Selepas berkahwin pada tahun 2005 suami tidak pernah menghalang untuk saya terus berlakon tetapi keputusan untuk meninggalkan industri adalah datang dari diri sendiri selain ingin memberikan perhatian kepada keluarga.

"Jadi pandangan bahawa saya mempunyai masalah rumah tangga adalah tidak benar sama sekali," ujarnya kepada mStar Online.

Nadia ditemui ketika hadir di pelancaran drama musim terbaru berjudul Opah di sini pada Selasa lalu.

Kali terakhir muncul dalam drama rantaian Menara Gading di TV1 pada 2005, Nadia bagaimanapun berkata selepas berkahwin dia tidak terus meninggalkan bidang lakonan sebaliknya masih mengambil tawaran kecil cuma kehadirannya tidak disedari.

Bagaimanapun, Nadia memberitahu sepanjang dia memberikan perhatian kepada keluarga, dirinya masih menerima banyak tawaran namun ditolak dengan baik.

"Projek yang saya ambil adalah yang kecil-kecil sebagai mengisi kerinduan saya terhadap lakonan dan kebanyakannya adalah daripada terbitan RTM," katanya.

Dalam pada itu, Nadia memberitahu dia langsung tidak menyesal meninggalkan dunia hiburan sebelum ini kerana bahagia berada di samping suami dan anak-anak.

Nadia memberitahu, dia puas dapat melihat anak-anaknya iaitu Lob Ahmad Dani (6 tahun), Puteri Anis Khairah (5 tahun) dan Lob Umar Faiq (3 tahun) membesar di depan matan dan memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka.

"Sekarang ni mereka dah besar barulah boleh aktif balik dalam bidang lakonan itu pun kena pertimbangkan tawaran kerana keluarga adalah keutamaan saya," ujarnya.

Sementara itu, ditanya hasratnya selepas membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan, Nadia berkata, buat masa ini dia hanya akan menerima satu atau dua tawaran dalam setahun sebagai permulaan.

Nadia berkata, dia tidak mahu terburu-buru mengaut semua tawaran yang datang tetapi akan lebih selektif sesuai dengan statusnya sebagai isteri dan ibu.

Nadia bakal muncul dalam musim terbaru siri Opah yang akan ditayangkan di TV1 bermula September depan disamping pelakon seperti Fadilah Mansor, Shaharuddin Thamby dan Zizan Nin.

Fadilah Mansor Gugup Pegang Watak 'Opah'

Posted: 13 Mar 2012 09:27 PM PDT

SHAH ALAM: Pelakon Fadilah Mansor menjelaskan gementar untuk membawa watak utama sebagai Jenab dalam musim terbaru siri Opah yang pernah popular sekitar tahun 1980-an.

Fadilah, 50, berkata, perasaan itu timbul kerana menyedari siri itu pernah menjadi rantaian itu.

"Walaupun musim terbaru ini adalah berkisar mengenai generasi kedua keluarga Opah tetapi saya masih gementar kerana menyedari siri ini pernah menjadi ikutan ramai.

"Pun begitu, saya tetap akan memberikan persembahan terbaik dalam menjayakan drama ini," ujarnya kepada mStar Online.

Fadilah ditemui selepas majlis pelancaran drama bersiri Opah musim terbaru di sini pada Selasa.

Dia bagaimanapun yakin dapat membawa watak sebagai Jenab yang turut dipanggil Opah iaitu anak kepada Opah lakonan Allahyarham Zaiton Hussien dengan baik selain cuba membawa watak itu tanpa terpengaruh dengan pelakon terdahulu.

Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah memegang watak wanita kampung kerana sering mendapat tawaran serupa.

"Dari segi lakonan tiada masalah, Insya-Allah kerana saya bukan memegang watak asal Opah tetapi anaknya iaitu Jenab yang dalam musim baru ini turut di panggil Opah," ujarnya.

Musim terbaru ini adalah kelangsungan daripada siri-siri terdahulu dengan memaparkan kehidupan anak-anak Opah dan cucu-cucunya sebagai tunjang utama.

Bakal disiarkan di TV1 bermula September depan, Opah turut menampilkan pelakon lain seperti Shaharuddin Thamby, Zizan Nin, Aida Khalida dan Sharifah Nadia.

Sementara itu, Fadilah memberitahu dia tidak berfikir panjang saat dilamar oleh pihak RTM untuk membintangi drama 13 episod itu.

Ujarnya, apabila diberitahu ia adalah musim terbaru siri Opah dia terus menerimanya.

"Saya sendiri gemar menonton siri itu dahulu dan apabila mendapat tawaran dari RTM terus saya terima tanpa berfikir panjang," katanya.

Tambahnya, dia sedang giat membuat persiapan untuk sesi penggambaran drama tersebut yang bermula pertengahan bulan ini.

Dalam perkembangan lain, Fadilah berkata dia juga sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri sebanyak 80 episod berjudul Adam & Hawa terbitan Global Networks untuk siaran Astro selain beberapa projek lain.

"Alhamdulillahlah walaupun tidak berapa terkenal dalam bidang lakonan tetapi rezeki masih ada," ujarnya.

Rem Tidak Trauma Selepas Gagal Berkahwin

Posted: 13 Mar 2012 09:26 PM PDT

KUALA LUMPUR: Penyanyi Rem berkata kegagalannya untuk berkahwin kira-kira tiga tahun lalu tidak meninggalkan trauma pada dirinya ataupun sudah serik untuk berumah tangga jika diizinkan.

Rem atau nama sebenarnya Ramzani Kassim, 37, berkata selepas insiden itu dia lebih selesa untuk menyerahkan urusan tersebut kepada takdir dan ketentuan Tuhan.

"Bukan hendak kata saya sudah trauma atau serik untuk berkahwin tetapi apa yang berlaku sebelum ini banyak mengubah persepsi dan pemikiran saya.

"Pasti ada hikmah mengapa saya tidak jadi berkahwin sebelum ini walaupun perancangan ke arah itu sudah dilaksanakan. Jika ada jodoh, tentulah saya tidak keberatan untuk berkahwin," katanya ketika ditemui di Hard Rock Cafe, di sini, Rabu.

Penyanyi lagu Semua Orang Tahu itu berkata, insiden tersebut bagaimanapun membuatkan dia lebih relaks dalam menjalani perhubungan dan tidak perlu tergopoh-gapah untuk berkahwin.

"Saya akui sedang menjalin hubungan dengan seseorang tetapi saya tidak mahu gelojoh memikirkan soal kahwin buat masa ini.

"Tiada apa yang perlu dikejarkan kerana saya juga kini sibuk untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian. Biarlah hubungan kami berjalan secara semula jadi," katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya, Rem berkata dia bakal mempromosikan single terbarunya, Nanti Bila Kaya ciptaan Fyn Jamal secara menyeluruh pada tahun ini walaupun kurang mendapat sokongan daripada pihak radio swasta.

"Lagu itu sudah siap sejak tahun lalu tetapi kurang dikenali kerana tidak mendapat putaran yang menyeluruh daripada stesen radio terutamanya swasta. Pada tahun ini, saya merancang untuk mempromosikan single ini sepenuhnya menggunakan platform Internet dan laman sosial.

"Sebelum ini, promosinya tergendala kerana penerbitan dan promosinya melibatkan kos saya sendiri. Saya berharap sangat promosi menggunakan platform digital ini dapat mendekati golongan muda juga," katanya.