Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Tidak mampu tutup mulut orang

Posted:

Tidak mampu tutup mulut orang

Tidak mampu tutup mulut orang

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR


TASHA Shilla bersama teman seperjuangannya, Izara Aishah yang juga antara bintang muda popular masa kini.


USIA pembabitannya dalam bidang lakonan baru mencecah dua tahun. Tetapi populariti yang dikecapi mengalahkan artis mampan negara.

Berbekalkan wajah manis yang bisa mencairkan hati lelaki dan menjadi mangsa cemburu kaum sejenis, Tasha Shilla dilihat kini sebagai pelakon generasi baru yang meningkat naik dan menjadi perhatian ramai pihak.

Entah mengapa, sedang enak diulit populariti dan menuju ke puncak kemasyhuran, nama Tasha terus dihambat dengan cerita kurang enak sehingga membayangi kariernya.

Pelbagai cerita yang sering dikaitkan dengan anak jati Kuala Lumpur ini daripada ditaja oleh orang kenamaan sehinggalah dia dikatakan mengamalkan cara hidup songsang dengan kaum sejenisnya.

Satu yang harus dipuji tentang Tasha, dia sedikit pun tidak melenting mahupun meradang dengan cerita-cerita yang bertebaran.

Bagi Tasha, tiada sebab untuknya berbuat demikian kerana tahu dia di pihak yang benar. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah memberikan penjelasan sebaik mungkin bagi menjernihkan keadaan.

"Saya sendiri tidak faham kenapa ada sahaja dusta dan fitnah yang sering dilemparkan kepada saya. Walhal, saya menjadi pelakon kerana mahu mencari rezeki selain berkongsi bakat yang ada kepada masyarakat.

"Namun, saya sedar sebagai seorang yang sering menjadi perhatian masyarakat, saya tidak mampu mengelak daripada diperkatakan orang. Asalkan tidak tersasar daripada landasan dan tidak memalukan keluarga, saya tidak ambil peduli apa yang diperkatakan tentang saya," kata Tasha tanpa selindung.

Baru-baru ini, nama Tasha menjadi sebutan apabila dia dikatakan beraksi ghairah dengan membuat tarian tiang dalam satu majlis yang diadakan di sebuah kelab malam terkemuka.

Sebelum itu, dia didakwa meminum arak secara terbuka di sebuah restoran dan terbaru, Tasha dikatakan menjalani kehidupan sebagai seorang lesbian.

Lebih menghairankan Tasha apabila dia dikatakan suka mencuri pakaian di lokasi, sedangkan sebahagian besar koleksi pakaian untuk setiap drama adalah miliknya.

Sambil menghela nafas panjang, Tasha yang mula dikenali menerusi drama rantaian Gemilang arahan Kabir Bhatia berasa hairan dan pelik bagaimana orang luar lebih tahu akan cerita peribadinya berbanding dirinya sendiri.

"Ingin saya katakan di sini, apa yang diperkatakan tentang saya sebelum ini semuanya tidak benar. Saya hanya mampu ketawa apabila ada yang berkata saya membuat aksi ghairah dan tarian tiang itu sedangkan saya hanya menyambut majlis hari jadi.

"Begitu juga dengan dakwaan meminum arak itu di mana ketika itu saya menemani kawan atas satu urusan perniagaan. Kebetulan mereka yang hadir pada majlis itu adalah berketurunan Inggeris.

"Sudah pasti, mereka memesan arak dan saya sebagai tetamu di situ, adalah tidak manis seandainya saya menghalang mereka untuk meminumnya. Adakah hanya kerana perkara itu saya terus dikatakan meminum arak sehingga mabuk? Sungguh tidak masuk akal," ujar Tasha atau nama sebenarnya, Natashasheila Abd. Razak.

Begitu juga dengan cerita kononnya dia ditaja oleh orang kaya berpangkat Datuk yang telah memberikan kemewahan kepadanya sejak dia mula menjadi artis lagi.

Jelas Tasha, dia menganggap perkara itu sangat melucukan kerana bagaimana dia hidup dalam kemewahan dan ditaja pada ketika dia masih tinggal bersama keluarganya.

Biarpun memiliki kunci kebebasan untuk membuat apa sahaja, bagi Tasha dia lebih selesa untuk berada di bawah lindungan keluarganya.

Sebagai seorang figura awam, dia berkawan dengan sesiapa sahaja tidak mengira status mahupun latar belakang. Jika soal itu dipandang serong oleh masyarakat, kata Tasha, dia tidak mampu menutup mulut orang.

Sekadar bertanyakan kepada Tasha apabila dia mempunyai musuh sehingga ada yang cuba menjatuhkannya lantaran nama semakin harum dan mekar ketika ini, Tasha menggelengkan kepala.

"Saya sendiri tidak tahu jika ada yang mahu berbuat demikian. Sejak dari awal lagi, saya memang sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana saya cukup sedar bahawa rambut sama hitam, tetapi hati berbeza-beza.

"Sampaikan ibu bapa saya sendiri bertanyakan mengapa banyak cerita yang kurang enak selalu datang?

"Apa yang saya mampu katakan kepada mereka ini adalah dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi sebagai seorang anak seni. Barulah saya sedar untuk berjaya bukannya mudah dan apa yang dilalui sekarang ini hanyalah cebisan.

"Alhamdulillah, biarpun diuji rezeki saya terus mencurah dengan pelbagai tawaran drama. Saya menceburi bidang seni untuk mencari rezeki yang halal dan tidak mahu dikenali dengan cerita kontroversi. Saya mahu elakkan kerana tidak mahu peminat bosan dan jelik," jelas Tasha yang pernah membintangi filem Ratu the Movie arahan Profesor Abd. Razak Mohaideen tahun lalu.

Pentas artis popular beradu

Posted:

Pentas artis popular beradu

Pentas artis popular beradu


ADAKAH Stacy dan Adira mampu bertahan sehingga ke pentas akhir untuk bergelar juara pertama Mania!?


SEKALI lagi, nama komposer dan penyanyi popular Indonesia, Ahmad Dhani menjadi sebutan apabila dia dipilih sebagai salah seorang mentor dan penerbit muzik untuk rancangan realiti terbaru terbitan Astro, Mania!.

Selain Ahmad Dhani, dua karyawan tempatan yang terpilih untuk menerajui rancangan tersebut adalah Datuk M. Nasir dan Aubrey Suwito.

Tahun lalu, nama Ahmad Dhani cukup hangat diperkatakan apabila dia menjadi calon utama yang disebut-sebut sebagai Pengetua Akademi Fantasia musim kesembilan.

Namun, selepas mendapat tentangan hebat pelbagai pihak, namanya 'digugurkan' sebaliknya rockers unggul negara, Amy Search terpilih sebagai pengetua terakhir program itu.

Lalu, apakah yang membuatkan Astro mahu terus memilih Ahmad Dhani dalam penerbitan program terbarunya? Sudahkah mereka bersedia untuk berhadapan dengan tentangan sebagaimana polemik yang tercetus tahun lalu?

Pentas artis popular beradu


ADAKAH Stacy dan Adira mampu bertahan sehingga ke pentas akhir untuk bergelar juara pertama Mania!?


Persoalan yang timbul kini, apakah dengan pemilihan Ahmad Dhani sebagai salah seorang ikon untuk Mania! membuktikan bahawa negara ketandusan karyawan yang layak untuk menerajui Mania!?

Bagai menjangkakan soalan itu akan diajukan, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani telah memberikan hujahnya sendiri.

"Kami memilih Ahmad Dhani kerana mempunyai perancangan yang besar untuk Mania!. Apatah lagi ini merupakan program asal cetusan kami dan kami mahu membawa francais ini jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Jika tidak silap saya, Mania! merupakan program seumpama- nya yang menampilkan barisan artis popular berentap dan beradu kuasa di satu pentas dengan mengambil tiga orang pemuzik handalan sebagai mentor.

"Sudah pasti, Ahmad Dhani salah seorang daripada mereka dan kami percaya dengan bakatnya dalam bidang muzik serta kejayaan yang telah dikecapinya selama ini akan membantu Mania! untuk melangkah setapak langkah lagi," jelas Nizam sewaktu ditemui usai majlis pelancaran Mania! di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah M. Nasir, Aubrey dan 12 orang artis yang dipilih untuk menyertai musim pertama Mania!.

Barisan artis yang dimaksudkan ialah Alyah, Shila Amzah, Stacy, Jaclyn Victor, Hafiz Suip dan Hazama.

Selebihnya termasuklah Atilia, Akim, Adira, Awi Rafael serta dua kumpulan muzik popular, Estranged dan Kristal.

Mengulas lanjut tentang pemilihan artis untuk Mania!, Nizam Sani menjelaskan apa yang penting bagi pihaknya adalah komitmen.

Sambil mengakui telah menyenaraikan ramai nama-nama besar dan popular tetapi kata Nizam, kebanyakan daripada mereka tidak dapat menyertainya.

"Sebagai contoh, Yuna dari awal lagi memberitahu dia tidak boleh menyertai Mania! kerana kesibukan dan komitmennya di Amerika Syarikat. Jadi, soal itu yang amat kami titik beratkan.

"Dengan hadiah kemenangan sebanyak RM500,000 untuk juara Mania!, saya yakin ia akan memberi dorongan dan semangat kepada artis untuk membuat persembahan terbaik.

"Ingin juga saya jelaskan kepada peminat di luar sana agar undilah penyanyi kesayangan anda berdasarkan bakat dan kredibiliti mereka sebagai penghibur. Bukannya kerana populariti semata-mata," katanya tentang program yang menggunakan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) 100 peratus itu lagi.

Ahmad Dhani yang ditemui pula berkata dia mengambil keputusan untuk melibatkan diri dalam Mania! kerana merasakan program itu mampu mencabarnya sebagai seorang anak seni.

Sedar bahawa hampir kesemua 12 artis yang bertanding untuk Mania! belum cukup dikenalinya, teraju utama kumpulan Dewa 19 ini tidak mahu menjadikan itu sebagai kekangan.

Dalam masa yang sama, Ahmad Dhani turut menjelaskan dia mempunyai beberapa projek bersama Astro sebelum namanya dicanang sebagai pengetua AF9 dan Mania!.

"Apabila diberi peluang ini, saya sendiri tidak sabar untuk melihat bagaimana hasilnya. Ini merupakan pentas yang menggabungkan artis-artis popular yang pastinya memberikan satu penontonan yang menarik.

"Saya tidak fikir akan berhadapan dengan masalah kerana saya percaya yang bertanding dalam program ini adalah mereka yang berpengalaman dan tahu selok-belok dunia seni. Lainlah kalau ia acara melibatkan peserta amatur yang masih baru.

"Bagi diri saya sendiri, sebagai seorang karyawan, ini merupakan penglibatan pertama dalam program seumpama ini. Saya pasti ia mempunyai momentum naik turunnya," jelas Ahmad Dhani yang mahu penyanyi di bawah bimbingannya nanti mengikut rentak seperti mana yang ditetapkannya.

Ketika ditanya tentang potensi artis tempatan untuk melebarkan sayap seni mereka ke Indonesia dengan adanya dirinya dalam Mania!, Ahmad Dhani berkata semuanya terserah kepada Astro.

Bagi M. Nasir dan Aubrey pula, mereka tidak melihat kehadiran Ahmad Dhani sebagai satu masalah besar sebaliknya ia adalah peluang untuk membawa muzik Nusantara ke peringkat lebih tinggi.

"Muzik adalah universal dan apa yang penting untuk menaikkan tahap industri muzik kita. Jadi, mengapa tidak kita berkongsi idea untuk menjadikan muzik itu sebagai penyatuan masyarakat," ujar Aubrey yang memang dikenali sebagai salah seorang komposer dan penerbit yang disegani kerana kualiti muziknya.

Sementara itu, kumpulan Estranged menyifatkan penglibatan mereka dalam Mania! adalah untuk mencari peluang baru dalam mengembangkan lagi bakat seni mereka.

Apatah lagi selama berkecimpung dalam dunia seni, mereka belum pernah bekerjasama dengan mana-mana komposer dan penerbit muzik lain dan menerusi Mania! mereka mahu merasai pengalaman itu.

Bagi Jaclyn pula, dia mempunyai sebab untuk menyertai Mania! yang pada hematnya sebagai sebuah program yang unik.

"Saya mahu keluar dari zon selesa saya dan mencuba untuk bekerjasama dengan penerbit muzik ini terutama Ahmad Dhani dan M. Nasir yang belum pernah saya cuba sebelum ini," kata juara Malaysian Idol musim pertama ini optimis.

Mania! yang akan bermula pada 17 Mac ini akan menyaksikan Ahmad Dhani, M. Nasir dan Aubrey memilih empat penyanyi di bawah bimbingan mereka dalam satu format pemilihan yang akan ditentukan nanti.

Setiap minggu, penyanyi ini akan bertanding melagukan setiap karya yang telah digubah susunan muziknya oleh ketiga-tiga penerbit ini selain lagu-lagu baru yang akan didendangkan.

Namun begitu, Mania! turut memperkenalkan Hot Seat yang akan menyerapkan tiga penyanyi lagi di mana undian dilakukan secara dalam talian menjadikan jumlah peserta Mania! seramai 15 orang.

Untuk memilih tiga orang penyanyi itu, seramai 20 orang calon sudah dikenal pasti dan apa yang perlu dilakukan, peminat perlulah mengundi peserta yang dirasakan layak untuk mengisi tiga kekosongan itu.

20 orang yang terpilih itu terdiri daripada bekas peserta program realiti seperti Akademi Fantasia dan Mentor iaitu Idayu, Akma, Noni, Ebi, Shawal, Riz, Toi, Nadia, Aishah dan Aril.

Calon selebihnya pula adalah Daus, Maulana, Azri, Kay, Lena, Erul, Fina, Chaq, Fiq dan Mohd. Undian sudah pun dibuka sejak 20 Februari lalu dan akan tamat pada 16 Mac ini di www.mania.com.my.

Selain hadiah RM500,000 untuk juara, Mania! turut mempertaruhkan RM200,000 (naib juara) dan RM100,000 (tempat ketiga).

Sementara itu, penerbit muzik yang berjaya membimbing mana-mana penyanyi di bawah bimbingan mereka dan menjadi juara akan memenangi RM300,000.

Mania! yang akan dihoskan oleh Aznil Nawawi akan mula bersiaran secara langsung setiap hari Sabtu bermula 17 Mac ini di Astro Ria.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan