Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Ezlynn & Adam nak berbasikal di Sepanyol

Posted: 21 Dec 2011 04:17 AM PST

SESUDAH lebih sebulan menempuh gerbang perkahwinan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Hi Hi, Bye Bye, Ezlynn kelihatan semakin berseri-seri di samping suami tersayang yang merangkap pengurusnya, Adam Fahmy Shamsudin.

Pasangan yang sama ceria itu selamat diijabkabulkan di Sime Darby Convention Center, Bukit Kiara, Damansara, Kuala Lumpur pada tarikh cantik, 20.11.2011 lalu.

Kini Ezlynn atau nama sebenar, Azline Ariffin, 30, dan Adam, 35, bakal mengikut jejak langkah pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey apabila butik barang kemas terkenal, Rafflesia The Pearl Centre bakal menaja majlis resepsi mereka menerusi satu acara persandingan yang penuh gilang gemilang pada 11 Januari depan.

Apa yang menarik, tajaan mewah itu meliputi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki bagi pasangan mempelai berkenaan selain hiasan dewan serta jamuan enak untuk tetamu yang hadir.


Selain itu, busana pengantin berona emas yang bakal diperagakan penyanyi bersuara merdu itu juga nyata bukan calang-calang kerana ia akan dihiasi mutiara daripada Rafflesia.


Ezlynn akan menyarungkan dua gaun pengantin mewah, sehelai berwarna kuning 'champagne' bertatahkan Mutiara Laut Selatan manakala sehelai lagi rona keemasan yang berhiaskan Mutiara Hitam Tahiti dengan setiap butir berharga RM80,000 hingga RM100,000 manakala Adam akan bergaya dengan sut Lord's Tailor.

Majlis persandingan bertemakan Sepanyol Di Musim Luruh itu akan memilih rona emas, kuning dan coklat. Ia juga akan menampilkan hidangan lazat dengan tema makanan set Mediterranean.

Antara menu hidangan itu ialah Fresh Tiger Prawn Cocktail & Waldorf Salad with Orange Citrus Dressing, Creamy Pumpkin Soup with Salmon Strip, Oven Baked Norwegian Salmon with Seafoof Ragout, Tomato Salsa with Creamy Mashed Potatoes & Sweet Potatoes dan disudahi dengan pemanis mulut, Chocolate Mousse Cake Torte with Raspberry Coulis.

Ia hasil sentuhan Junior Sous Chef Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur, Chef Abu Suffian Mohd Lazim.

Pada masa sama, majlis persandingan Ezlynn menjadi lebih bermakna dengan kehadiran kek perkahwinan yang paling mahal dalam sejarah perkahwinan di Malaysia apabila kek itu akan ditaburi mutiara Rafflesia.

Pegawai publisiti Rafflesia, Bill Bora berkata, kek indah itu akan menjadi satu sejarah buat pasangan terbabit.

Selain itu, bintang jelita, Neelofa turut mencipta kasut tumit tinggi yang akan dipakai Ezlynn pada majlis itu nanti.

Walaupun Rafflesia menaja keseluruhan majlis itu, Ezlynn dan pasangannya tetap berbincang untuk mendapatkan kepuasan dan cita rasa mereka sendiri.

"Semoden mana pun majlis ini dan apa pun tema yang dipilih, saya mahu ia dimulakan dengan doa selamat serta kami juga mahu kedua-dua orang tua kami hadir di majlis ini," kata Ezlynn ketika ditemui pada majlis memperkenalkan menu hidangan itu, malam kelmarin.

Jika pada majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza lima tahun lalu Ezlynn sempat menyumbangkan lagu, dia turut menaruh harapan agar Siti akan turut menyanyi sebagai hadiah buat dirinya dan Adam.

"Selain Siti, saya juga teringin rakan artis seperti Adibah Noor, Anuar Zain dan Alyah menyanyi untuk majlis resepsi saya itu. Dengan tema Sepanyol, kalau boleh biarlah semua lagu Latin disampaikan pada malam itu.

"Saya juga akan menyanyi pada malam itu," kata Ezlynn sambil membetulkan skirt hitam pendeknya yang kembang itu.

Menariknya, bercakap soal bulan madu, mereka berdua ingin pergi makan angin ke Sepanyol dan mahu berbasikal untuk mengembara ke pekan kecil di negara menarik itu.

Sudah mula intai produk bayi

MENJELASKAN lebih lanjut mengenai kehidupan mereka selepas berumah tangga, Ezlynn berkata, dia masih sibuk dengan pertunjukan pentas.

"Walaupun begitu, kami berdua sempat mencuri masa membeli perkakas rumah dan barang keperluan harian bersama. Selain itu, kami berdua juga sudah mula intai produk keperluan bayi. Entahlah rasa teruja sangat walaupun kami belum ada perancangan untuk menimang anak dalam masa terdekat ini," ujarnya.

Pasangan sama cantik sama padan ini mengharapkan sepasang cahaya mata untuk menceriakan hidup mereka berdua tetapi tidak kisah kalau dikurniakan cahaya mata yang ramai.

"Perubahan ketara saya selepas berkahwin adalah memasak untuk suami. Saya juga seronok belajar masak daripada ibu mentua beberapa masakan kegemaran Adam seperti ayam masak halia, daging masak kicap dan sambal udang.

"Selain itu, Adam juga tidak cerewet soal makanan sebab dulu dia biasa tinggal di Australia selama empat tahun dan selalu ke luar negara. Dia makan saja apa yang saya masak tanpa mengomel.

"Peliknya, selepas berkahwin Adam sudah boleh makan makanan pedas kerana sebelum ini dia memang tak makan pedas. Mungkin dah berjangkit daripada saya yang suka makan pedas," ujar Ezlynn.

Bercerita mengenai perjalanan karier seninya, Ezlynn mengucapkan kesyukuran dengan segala limpah rezeki yang dikurniakan Allah SWT walaupun kini sudah memegang status isteri.

Menurut Adam yang turut menjadi pengurus kepada pelakon Juliana Evans, kerja menguruskan karier isteri sendiri tidak seperti pekerjaan lain kerana ia memerlukan komitmen, dedikasi dan tanggungjawab yang lebih.

Ezlynn akui sangat tenang dan yakin dengan masa depannya diuruskan suami sendiri kerana ia dapat mengurangkan risiko pengurus sentiasa bertukar ganti dan tidak kekal lama yang kerap berlaku di kalangan artis masa kini.

"Selain itu, kelebihan yang kami peroleh ialah kami sentiasa dapat bersama sebab saya rasa setiap pasangan berkahwin kalau boleh mahu luangkan masa berkualiti bersama-sama dan ini agak sukar bagi pasangan lain kerana mereka bekerja berasingan," tambah Ezlynn.

Dalam kesibukan merencana majlis persandingan, Ezlynn tidak lupa kepada bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya.

"Walaupun saya sudah bergelar isteri, karier nyanyian tetap menjadi keutamaan kerana suami sudah memberi keizinan untuk bergerak aktif dalam bidang ini.

"Selain itu, saya turut berminat untuk terus berlakon kerana bidang seni ini tidak terhad kepada bidang nyanyian saja. Oleh itu, saya mahu melebarkan bakat lakonan saya untuk dinilai penonton," jelas Ezlynn.

Sebelum ini, Ezlynn membintangi filem seperti Zombi Kampung Pisang, Diva Popular, Bilut dan sebuah lagi filem yang akan ditayangkan iaitu Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit.

Single terbaru Ezlynn juga akan menemui peminatnya pada Februari depan berjudul Dusta. Single terbaru ini adalah hadiah buat peminat setianya yang sudah lama ternanti-nanti lagu terbaru daripada penyanyi serba boleh itu.

Ezlynn turut dalam proses mengumpul material untuk album terbaru dan masih lagi mencari lagu daripada komposer yang dapat menghasilkan lagu yang menepati genre dan jiwa penyanyi berambut kerinting itu.

Sementara itu, Ezlynn dan Adam turut bersama-sama berganding bahu membangunkan syarikat Ezlynn Entertainment Sdn Bhd yang menguruskan perjalanan karier lebih ramai artis tempatan dan model komersial.

Syarikat itu mempunyai anak syarikat yang akan menguruskan acara perkahwinan atau bertindak sebagai 'wedding planner'.

PROFIL

NAMA PENUH: Azline Ariffin
NAMA KOMERSIAL: Ezlynn
UMUR: 30
TARIKH LAHIR: 27 September 1981
ASAL: Ulu Kinta, Perak, dibesarkan di Setapak, Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
PENCAPAIAN: Lagu Hi Hi Bye Bye memenangi Anugerah Juara Lagu 2003 bagi kategori Pop Rock, Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Era dan Anugerah Planet Muzik Pernah mewakili negara ke Shanghai International Music Festival tahun 2004 dan memenangi Anugerah Excellent New Singer.

PROFIL

NAMA PENUH: Adam Fahmy Shamsudin
UMUR: 35
PENDIDIKAN: Ijazah Bachelor of Business (Business & Marketing) dari University of Newcastle, Australia (1999)
PEKERJAAN: Pengarah serta rakan kongsi Ezlynn Entertainment Sdn Bhd dan pengurus artis



Full content generated by Get Full RSS.

Peminat tak kedekut

Posted: 21 Dec 2011 04:05 AM PST

CARTA industri muzik tanah air menunjukkan perkembangan positif menerusi kejayaan penganjuran konsert membabitkan artis tempatan dan luar negara.

Apa yang dapat diperkatakan, sambutan paling ketara sepanjang 2011 adalah peningkatan atau mentaliti baru terhadap kehadiran peminat menyaksikan konsert berbayar yang kembali menyemarak.

Hakikatnya, baik generasi lama atau baru, mereka tidak kedekut keluarkan duit asalkan mendapat kepuasan setiap kali menonton persembahan berkualiti.

Pendek kata, sepanjang 2011 ini, ada saja konsert dapat disaksikan mereka, pilih saja yang mana suka, baik artis luar atau tempatan. Hampir setiap bulan ada saja artis menjayakan konsert masing-masing.


Apa dapat dilihat, kemasukan artis luar turut memberi inspirasi buat artis tempatan meningkatkan 'standard' dari segi imej, penyampaian persembahan dan kualiti sistem bunyi.


Kehadiran konsert artis antarabangsa seperti artis rap, Pitbull di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 1 Disember lalu antara kehadiran penonton pelbagai bangsa paling tinggi dapat dicatat.

Bukan itu saja, artis pop, Mizz Nina muncul untuk persembahan pembukaan (opening act) penyanyi Amerika Syarikat berkepala botak ini.

Kumpulan pop urban Indonesia, Maliq & D'Essentials yang tidak memasarkan CD diskografi mereka di sini, turut mendapat sambutan baik, apatah lagi dihangatkan dengan kumpulan Ahmad Ahmad dan kumpulan Tilu sewaktu menjayakan konsert sulung mereka di KL Live Center pada 16 Disember lalu.

Kumpulan rock, Whitesnake yang terkenal dengan aksi permainan gitar
solo, hadir bersama bekas vokalis Deep Purple, David Coverdale tampil pada
konsert Live In Kuala Lumpur di Stadium Putra, Bukit Jalil, 30 Oktober lalu.

Sebelum ini, kehadiran artis luar tidak putus-putus. Mac lalu, konsert Crazy Love Tour Michael Buble mendapat sambutan baik peminat tempatan dan luar negara ketika berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

Pada 24 Mei, Kenny G mencatat 'sold-out' konsert sewaktu beraksi di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Pemain saksofon genre jazz R&B dan juga pemenang Grammy ini memukau penonton yang mahukannya kembali semula ke sini.

Kumpulan heavy-metal Jepun, Loudness yang muncul julung kali dalam King Of Pain World Tour 2011, tidak ketinggalan membuat peminat tersenyum lebar menerusi konsert hebat di KL Live Center pada 24 Julai.

Ini adalah sejarah baru muzik Malaysia kerana turut menampilkan jemputan khas, Amy Search bergandingan dua lagu bersama vokalis, Minoru Niihara. Loudness antara kumpulan menampilkan muzik paling berat selain konsert 'underground' yang jarang diberi publisiti oleh media perdana di Malaysia.

Malah Elton John yang tidak pernah datang dan Richard Marx kembali semula ke Malaysia selepas sedekad, tidak ketinggalan memukau penonton di Arena of Stars, Genting Highlands pada 22 November lalu.

Itu belum termasuk konsert beberapa kumpulan K-Pop Korea yang membuat peminat seperti 'histeria'. Kehadiran Beast, 4Minute dan G.Na di Stadium Negara pada awal tahun, antara bukti kegilaan generasi muda menyaksikan persembahan 'live' K-Pop yang menjana pendapatan berbilion Won terhadap industri muzik Korea.

Dari segi persembahan konsert tempatan, kumpulan rock n roll atau dikenali Raja Rock Malaysia, Search mencipta sejarah baru mencatat kehadiran lebih 30,000 penonton sepanjang tiga konsert jelajah Fenomena 30 Tahun Search.

Tiga konsert di Semenanjung diadakan di Batu Kawan (Pulau Pinang), Larkin (Johor Bahru) dan Pusat Konvensyen Mines, Seri Kembangan Kuala Lumpur yang dianggap paling berjaya dalam sejarah mana-mana kumpulan rock tempatan yang berusia tiga dekad ini.

Konsert Makan Malam Amal Tiga Sahabat Datuk Sharifah Aini di Hotel Royale Chulan juga mencatat sejarah tersendiri apabila konsert ini diadakan berlanjutan hingga jam 1.30 pagi!

Lebih sebak apabila Ning Baizura, menjual kereta untuk memastikan konsert Ning Live In KL pada 2 Disember mencapai hajatnya memberi kepuasan terbaik demi peminat. Nyata, 'mass appeal' terhadap dua penyanyi ini masih tinggi sekalipun
ramai artis muda meningkat naik yang kini mampu mencipta lagu dan menulis lirik sendiri.

Pada masa sama, isu muzik bukan sesuatu yang mudah apabila membabitkan pertandingan kerana penilaian subjektif yang wujud. Ini dapat dilihat sewaktu isu pemulangan Lagu Terbaik dimenangi Yuna diserahkan kepada Anuar Zain seminggu kemudian.

Pada majlis kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) pada 12 November, lagu Penakut nyanyian

Yuna dinobatkan sebagai pemenang tetapi dilucutkan kemenangannya akibat kesilapan teknikal oleh penganjur.

Sekalipun jawatankuasa pengelola AIM18 mengakui kesilapan, apa yang pasti, Anuar membuat keputusan tidak akan menyertai mana-mana pertandingan kerana tidak ada apa lagi hendak dibuktikannya.

Namun secara keseluruhannya, penutup tirai tahun ini juga bakal menyaksikan Search menjayakan konsert terakhir Fenomena 30 Tahun Search di Kuching pada
31 Disember dan minggu ini, bandar rock n roll, Tawau akan menyambut kehadiran mereka pada 24 Disember.



Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan