Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Merlin lebih dramatik

Posted: 21 Dec 2011 03:24 PM PST

Hip

Keakraban di lokasi rahsia persefahaman

DI dalam siri televisyen, Merlin, hubungan antara ahli sihir muda bernama Merlin dengan tuannya, Arthur digambarkan cukup akrab dan hakikatnya situasi sama berlangsung di luar skrin apabila kedua-dua pendukung watak utama, Colin Morgan serta Bradley James sememangnya bersahabat baik.

Empat musim berganding bahu menjayakan produksi sama membuatkan mereka boleh berkongsi apa saja namun yang pasti, masing-masing sentiasa berusaha mempertajamkan skil lakonan demi memastikan kisah epik pengembaraan itu terus meraih perhatian ramai. Mengakui menghilangkan tekanan berada di set dalam tempoh lama dengan menjadikan lokasi sebagai tempat menyeronokkan, gurauan dan usikan nakal antara rahsia melupakan lelah.

"Apabila bekerja kami sentiasa ketawa malah tidak semua babak tegang kerana adegan lucu Arthur dan Merlin dilihat mampu mengurangkan debaran penonton yang disogokkan pertarungan atau babak mendebarkan dan secara teknikalnya ia juga dapat meredakan keletihan kami.

"Boleh dikatakan kami tidak terasa seperti bekerja kerana berada di bawah pengarah seperti Alice Troughton, Alex Pillai, Justin Molotnikov dan Jeremy Webb umpama suntikan segar terhadap skil lakonan kami ," kata Colin sambil tertawa.

Mereka diwawancara khas secara langsung oleh beberapa wakil media Malaysia menerusi laman maya Skype terus dari United Kingdom ke Seri Pentas Bandar Utama dalam sesi yang berlangsung kira-kira setengah jam.
Daripada temu bual secara maya ini, kedua-duanya menggambarkan musim terbaru Merlin sebagai semakin matang, penuh drama serta lebih aksi pertarungan berbanding tiga musim terawal.

Berbeza dengan James yang tidak nampak perubahan dari rupa fizikalnya, Colin pula kelihatan agak macho dengan imej jambang namun yang pasti mereka ramah melayani pertanyaan media baik mengenai siri berkenaan mahu pun sisi peribadi.

"Ya, tempoh yang lama di lokasi membuatkan kita mengenali rakan lain dengan lebih dekat. Bukan saja Colin, saya juga seronok berdampingan dengan Angel Coulby (Guinevere), Katie McGrath (Morgana Pendragon), Nathaniel Parker (Agravaine de Bois), Anthony Head (Uther Pendragon) dan ramai lagi.

"Selain pengarah yang sedia mendengar komen atau idea, antara pelakon juga saling melontarkan buah fikiran. Kami banyak berbincang biarpun sebenarnya lebih banyak berlawak daripada berkongsi pandangan secara serius," tambah Bradley.

Mengorek lagi rentetan episod demi episod kerana dikhabarkan selepas Arthur menduduki takhta Merlin bakal membongkar kebolehan keajaibannya, masing-masing sekadar berpandangan sambil tertawa kecil.

Akui Colin yang juga kelahiran Republik Ireland, biarlah menjadi rahsia kerana kuasa jahat yang cuba menakluk Camelot selain usaha Morgana dan sekutu jahatnya membawa sebarang kemungkinan apatah lagi selepas terbukanya pintu laluan sakti ke dimensi lain.

"Kalau saya buka mulut satu persatu mengenai plot, tentu ia tidak lagi mendebarkan kerana setiap episod menjanjikan kepuasan tambahan pula dalam musim ini kuasa jahat bergabung untuk merampas Camelot dan jajahannya.

"Penonton juga tentu tidak menjangka karektor Merlin bakal berubah apabila dalam usaha menyelamatkan Arthur dan Camelot, dia berdepan pelbagai dugaan yang menyebabkan dia perlu membuat pilihan sama ada menonjolkan kemampuan sebenar atau terus berahsia," dedahnya memberi sedikit petanda.

Bagi James, watak anak raja yang sudah bergelar raja itu semakin mencabar apabila dia perlu bertempur di medan perang dengan menonjolkan skil menunggang kuda dan aksi lawan pedang yang hebat.

Begitupun, babak lasak tidak membimbangkan aktor berusia 28 tahun itu sebaliknya perlu memakai kostum pahlawan Camelot yang berat antara situasi yang membuatkan pergerakannya perlu diseimbangkan.

"Bertuah jadi Merlin sebab tak perlu pakai kostum, cukup dengan jubah labuh tetapi saya perlu mengenakan persalinan serba sarat berjam-jam lamanya. Bayangkan kalau cuaca panas, berpeluh satu badan," kongsinya yang tetap tertawa mengenang pengalaman di lokasi.

Cuma tambahnya paling mencabar dalam episod kali ini adalah ketika menjalani penggambaran di istana lama di Wales yang sepanjang penggambaran dipenuhi ramai pelawat apabila ada di antara mereka mengganggu tugasan.

"Pancaran cahaya kamera dan bunyi bising adalah masalah yang perlu kami tangani. Saya menghargai sokongan ramai tetapi sikap segelintir pengunjung kadangkala merosakkan agenda pada hari berkenaan.

"Namun kami melihat perkara itu dari sudut positif sekali gus menunjukkan maklum balas peminat kerana ketika musim terawal dulu lokasi warisan itu kurang pengunjung sebaliknya sekarang ia cukup meriah dan semakin terkenal," kata Bradley lagi yang terharu dengan sambutan penonton termasuk di Malaysia.

Perbualan juga terarah kepada persediaan menyambut Krismas yang hanya tinggal beberapa saja hari lagi yang menurut mereka bakal diraikan bersama keluarga tersayang.

Siri Shine TV dan BBC Wales, episod pengenalan Merlin musim ke empat bermula pada 16 Disember lalu selama dua jam bermula 10 malam manakala episod seterusnya dapat diikuti di slot Mega Movie setiap Ahad waktu yang sama mulai 18 Disember.

Menonjolkan tema The Darkest Hour Is Just Before The Dawn, siri pengembaraan fantasi British itu bakal memaparkan sisi gelap dan personaliti berbeza setiap karektor.

(Temubual secara maya ini diadakan sempena penyiaran musim terbaru Merlin di TV3)

INFO

TV3 menyiarkan siri Merlin musim keempat, dengan dua episod pengenalan mulai 16 Disember lalu, jam 10 malam dalam slot Mega Movie serta episod seterusnya pada setiap Ahad, pada waktu yang sama.

Full content generated by Get Full RSS.

Hafiz ada ‘barang’ baru

Posted: 21 Dec 2011 03:14 PM PST

Hip

Giat promosi lagu terbaru Watak selepas kejayaan Masih Jelas, Noktah Cinta, Awan Nano

SELEPAS tiga lagu solonya, Masih Jelas, Noktah Cinta dan Awan Nano mendapat sambutan hangat dan reaksi positif, penyanyi muda berambut kerinting ini sekali lagi tampil dengan 'barang' baru berjudul Watak.

Satu demi satu lagu solonya mendapat sambutan memberangsangkan termasuk kejayaan Awan Nano, yang meraih lebih pendengar secara global, Hafiz atau Mohd Hafiz Mohd Suip akan berkunjung ke Jakarta awal tahun depan bagi mempromosikan lagu terbarunya. Tuah badan, hasil duetnya bersama Nidji menerusi lagu Laskar Pelangi di suatu persembahan lewat ini, membuatkan peluang bekerjasama dengan syarikat rakaman dari negara seberang terbuka luas.

Langkahnya kini dilihat lebih utuh selepas beberapa kejayaan diciptanya termasuk memenangi anugerah Vokal Terbaik dan tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu yang ke-25 (AJL25) dengan lagu Noktah Cinta.

Lagu solo pertamanya, Masih Jelas layak hingga ke peringkat akhir pada anugerah sama sebelumnya. Kali ini sekali lagi lagu taruhannya, Awan Nano layak ke peringkat akhir AJL26 yang akan berlangsung pada 29 Januari depan.

Ini adalah pencapaian membanggakan apabila Hafiz berjaya tiga kali berturut-turut sertai anugerah yang bukan saja mempertaruhkan kekuatan seni cipta lagu, malah kekuatan vokal seseorang penyanyi itu.
Berkongsi perasaan, Hafiz bersyukur kerana ketiga-tiga lagu solonya itu mendapat penerimaan yang baik dan ini mendorongnya mengekalkan persembahan terbaik pada anugerah yang disertainya.

"Lagu Awan Nano mempunyai struktur yang kuat dan kemungkinan daripada penghayatan yang saya bawakan, lagu itu menjadikan lebih bermakna.

"Lagu ini juga menyentuh kehidupan yang lain dan karakter di muka bumi ini, lalu sedikit sebanyak membangkitkan kesyahduan setiap pendengar. Dengan izin tuhan dan adanya rezeki, mungkin saya akan mengulangi kemenangan lalu serta semestinya saya menjanjikan persembahan terbaik," katanya yang ditemui di Konsert Akhir Reunion AF di Setiawangsa, baru-baru ini.

Pada malam konsert itu juga, Hafiz rasa sedih kerana berakhirnya program realiti yang menggilap bakat ramai bintang.

"Saya pun dilahirkan menerusi program ini. Semestinya saya rasa bersyukur, berbangga walaupun kini ia sudah menjadi memori. Menyertai AF adalah pengalaman terbaik dan berterima kasih kepada pihak yang menyediakan landasan untuk kami mewarnakan lagi pentas hiburan tanah air.

"AF adalah program yang menjadi ikutan orang ramai, tidak kira lingkungan usia, dari remaja hingga yang berkeluarga dan dengan penamatan program ini bermakna berhentinya fenomena. Namun di sebalik itu kami tidak akan melupakan AF, kerana inilah asal usul kami," tambahnya lagi.

Boleh dikatakan, Hafiz adalah segelintir peserta AF yang sinarnya tidak pudar sejak menjuarai AF musim ketujuh pada 2009. Tidak sekadar mengungguli bersama barisan peserta AJL26, Hafiz juga dicalonkan sekali lagi pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) dalam pencalonan awal bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Agak terkejut apabila diberitahu mengenai perihal tersebut, Hafiz mengakui dirinya tidak tahu menahu dirinya tersenarai di kalangan 20 penyanyi lelaki popular tanah air. Pada masa sama, dia bersyukur kerana diberi peluang sejak 2009 lagi untuk terus memeriahkan dunia hiburan tempatan.

Di sebalik kejayaan yang diperoleh sebagai penyanyi, Hafiz meletakkan sisi peribadinya di tepi dan mengharapkan kerjayanya lebih dijadikan perhatian berbanding hal percintaannya bersama Adira.

Sama seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, dia akui hubungannya bersama bintang AF8 itu tidak lebih daripada sekadar kawan biasa dan sememangnya mereka tidak mempunyai sebarang ikatan sebelum ini.

"Dari dulu saya pernah katakan kami masih dalam tempoh mengenali hati budi masing-masing, walaupun saya mengaku saya rapat dengannya tapi itu tidak bermakna kami bercinta. Kami mahu lebih fokus dengan kerjaya dan karier seni masing-masing.

"Perkara ini sepatutnya tidak menjadi isu kerana saya pun mahu menjalani kehidupan seperti biasa. Saya akui sisi peribadi saya menjadi perhatian orang ramai kerana status sebagai artis tapi kes seperti ini tidak sepatutnya menyekat kegiatan harian saya.

"Saya sama seperti orang lain mempunyai perasaan dan saya tidak suka perkara seperti ini diperkatakan serta sebaiknya ia diletakkan di tempat kedua selepas kerjaya," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan