Adsense

Khamis, 4 Ogos 2011

:: MYARTIS.COM ::

:: MYARTIS.COM ::


10 JAWAPAN KHAIRUL FAHMI...

Posted: 03 Aug 2011 02:07 PM PDT

Berikut adalah 10 jawapan Khairul Fahmi mengapa dia memutuskan pertunangan dengan Elia. Malah jawapan ini juga sebagai membalas tuduhan yang dilemparkan kepadanya di media. Bagaimanapun, soal siapa benar atau siapa salah hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Bak kata orang: bangkai gajah yang disorok bawah karpet, pasti akan berbau jua..!

1. Keputusan Nekad Putus Tunang

"Sebenarnya keputusan saya mahu putuskan tali pertunangan dengan Elia, bukanlah keputusan yang dibuat secara terburu-buru. Saya sendiri sudah pun berbincang dengan keluarga saya. Malah, saya sendiri ada menghubungi Elia untuk berbincangkan tentang keputusan penting ini.

Namun, Elia seakan tidak memberikan sebarang kata-kata sama ada mahu atau tidak. Dia memberikan tanda tanya kepada saya. Terpulanglah jikalau dia mengatakan saya tidak ada berbincang dengannya.

Insya Allah, dalam masa terdekat ini keluarga saya akan datang berjumpa dengan keluarga dia untuk mengesahkan perkara ini dengan lebih rasmi. Apapun, saya memohon maaf andaikata keputusan ini menyinggung hati banyak pihak. Saya merasakan ini adalah keputusan yang terbaik buat Elia, saya, keluarga dan sesiapa saja yang terlibat secara langsung atau tidak.

2. Tiada Kena Mengena Orang Ketiga

Sudah pun saya jelaskan sebelum ini, keputusan putus tunang tiada kena mengena dengan orang ketiga. Apatah lagi dengan wanita yang bernama Dahlia itu. Saya mengaku memang saya berkawan dengan Dahlia. Namun hubungan saya tidak lebih sebagai abang dan adik. Lagi pun, Dahlia adalah kawan sekampung saya. Umur dia baru saja 18 tahun. Saya pun rapat dengan famili Dahlia dan menganggap mereka sebagai keluarga angkat.

Minta maaf semua kerana saya tak boleh nak jelaskan lebih panjang tentang kes orang ketiga ini. Saya takut, jika makin saya buka mulut perkara yang tidak sepatutnya diketahui umum tersebar tanpa pengetahuan saya. Malah, saya tak mahu orang berprasangka buruk lagi terhadap kami berdua. Cukuplah sampai di sini saja. Saya tak mahu aibkan orang. Biarlah saya telan sendiri kepahitan yang menghantui diri saya ini. Apapun, saya berterima kasih kepada pihak yang mengambil berat tentang diri saya terutama sekali pihak media."

3. Tuduhan Dirinya Sebagai Kaki Perempuan

"Sebaik saja saya mendengar dakwaan tentang saya ni kaki perempuan, saya nak tergelak dan tertanya-tanya bagaimana cerita sebegini boleh tersebar. Setiap hari, jadual saya sibuk dengan latihan bola sepak sehinggakan saya tiada masa untuk bersosial bersama dengan rakan-rakan rapat. Sampaikan saya tiada masa untuk pulang ke kampung. Malah, bila saya diberikan cuti, saya lebih gemar pulang ke kampung dan berehat bersama keluarga di Kelantan.

Tentang gambar-gambar saya dengan perempuan yang tersebar itu, saya hanya boleh cakap, ada antara wanita dalam gambar itu saya sendiri tak kenal siapa namanya melainkan dia adalah kawan saya. Saya cuma tahu wanita-wanita itu adalah peminat saya yang menyokong karier saya sebagai penjaga gol kebangsaan.

Saya boleh mengaku, adakala saya keluar dengan teman perempuan lain selain Elia tetapi waktu itu saya keluar beramai-ramai bersama kawan saya yang lain. Mungkin, jika ada orang ternampak saya keluar berdua saja kerana waktu itu kawan saya yang datang bersama pergi ke tempat lain. Jadi, ia secara kebetulan saja. Apapun, salah ke saya ni nak keluarga berbual dengan perempuan. Sebagai umat Islam, saya tahu batas pergaulan lelaki dan perempuan.

4. Isu facebook

Disebabkan terlalu sibuk, saya sendiri tiada masa untuk mengemas kini facebook saya. Untuk pengetahuan semua, sekarang ini facebook saya tidak lagi diaktifkan bukanlah kerana saya. Saya sendiri tak tahu akaun saya sudah tiada lagi. Apa yang saya tahu, akaun Facebook saya sudah pun dihacked.

Jadi, saya minta kepada semua penyokong saya, agar jangan terlalu mempercayai apa yang tertulis di ruangan facebook itu. Sekarang ini, saya masih belum berkesempatan untuk membuat akaun baru. Insya-Allah, bila masa sesuai, saya akan mewar-warkan pada semua tentang akaun facebook saya yang baru.

5. Tidak Menjawab Panggilan Telefon Dari Elia

Saya tidak pernah sekali pun mengelak panggilan telefon dari Elia. Mungkin jua, masa dia menelefon saya waktu itu, saya sedang sibuk dengan latihan dan perbincangan. Terus-terang, komitmen saya makin besar. Mungkin, apa yang Elia sampaikan itu adalah salah faham saja. Sebelum saya membuat keputusan menghubungi media Jumaat lalu (29 Julai 2011), saya memang ada menelefonnya.

6. Campurtangan Pihak Keluarga

Untuk memilih siapakah yang bakal menjadi suri dalam hidup kita perlulah menitik beratkan banyak perkara. Jadi, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Sungguhpun saya dah berkahwin nanti, sebagai lelaki, tanggungjawab saya lebih besar pada keluarga.

Memang benar, apa yang berlaku sebelum ini ada melibatkan campurtangan dari kedua-dua belah pihak. Namun, biarlah saya seorang saja yang tahu. Sekali lagi, saya tak mahu mengaibkan orang lain. Saya hanya mampu melafazkan terima kasih kerana mereka sangat mengambil berat tentang saya.

7. Berpegang-tangan, berikan kasut dan kereta lama kepada Dahlia

Semua tuduhan ini adalah fitnah semata-mata. Saya tidak pernah membuat semua perkara ini. Malah, saya bukanlah kekasih baru Dahlia atau pun Sugar Daddy kepada Dahlia. Saya tidak pernah membelikannya kasut baru. Malah, saya sendiri tak ada pun memberikan kereta lama saya pada Dahlia. Kereta itu ada pada kakak saya dan kereta tersebut adalah kereta lama saya sebelum saya beli kereta baru. Kereta itu pun atas nama kakak saya bukan saya.

8. Sudah Lupa Diri

Sebagai hamba Allah, kita tak boleh lari dari melakukan kesilapan. Jika benar orang mendakwa dan lihat saya ni sudah lupa diri, saya minta maaf. Namun, sebagai manusia yang ada pendirian, saya rasa saya masih lagi Apex yang dulu. Insan dicipta tidak sempurna. Adakala manusia tidak sedar adakah perkara itu benar atau pun salah. Kadang-kala perkara itu benar bagi saya tetapi tidak bagi orang lain.

Apa yang saya tahu, saya bukan Apex yang dulu sebab kini ramai yang yang mual kenali diri saya. Saya tahu ini adalah tanggungjawab yang diberikan kepada saya. InsyaAllah, saya akan pikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Namun, saya tahu bukan mudah nak puaskan hati semua orang. Apa yang saya boleh lakukan, hanya melakukan sesuatu yang boleh mengharumkan nama negara ke peringkat lebih tinggi.

9. Gila Glamor dan Cari Publisiti Murahan

Saya bukan gila glamor dan cari publisiti murahan. Apa yang saya peroleh sekarang ini adalah hasil penghormatan ikhlas dari anda semua. Saya tak pernah pun terhegeh-hegeh untuk cari populariti. Saya hanya laksanakan tugasan saya sebagai penjaga gol kebangsaan.

Keputusan putus tunang ini pun diberitahu media kerana saya tahu, media adalah orang terdekat yang boleh memberitahu kepada semua orang cerita sebenar saya. Saya mahu berlaku adil pada diri saya, keluarga saya, keluarga Elia dan semua penyokong saya.

10. Memohon Maaf

Saya masih belum berjaya lagi. Saya masih lagi berusaha untuk menjadi terbaik. Kalau boleh saya mahu cipta sejarah baru. Apapun, saya tidak akan lokek untuk meminta maaf andaikata perkara yang berbangkit ini datang dari kesilapan saya. Mungkin, waktu itu saya tak sedar apa yang saya katakan sebelum ini membuatkan hati orang lain terluka. Saya hanya mampu meminta maaf. Tak kisahlah sebesar zarah seseorang itu melakukan kesalahan, sebagai makhluk yang dicipta Allah, meminta maaf adalah jalan terbaik.Saya harap, semua dapat terima dengan segala penjelasan ini.

Selepas ini, saya mahu terus berbakti kepada negara dan mahu lebih fokus pada karier. Namun, saya tahu saya tak boleh lari dari berkongsi kisah peribadi saya. Insya-Allah, jika perlu saya akan berkongsi. Kepada pihak media yang lain, saya mohon maaf kerana tidak dapat memberikan kerjasama. Saya terharu dengan keprihatinan anda semua. Saya tahu, anda semua hanya melakukan tugasan anda. Kalau saya ditempat anda, mungkin jua saya melakukan perkara yang sama. Sekali lagi, saya minta maaf kepada semua dan terima kasih kerana menyokong saya tanpa putus.





.