Adsense

Isnin, 22 Ogos 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Avar Yasavi Ceburi Lakonan Kerana Kurang Hero

Posted: 21 Aug 2011 06:37 PM PDT

PETALING JAYA: Pendatang baru Avar Yasavi atau nama sebenarnya Uzzair Ismail, 27, mengakui terpanggil untuk menceburi bidang lakonan kerana berasa bosan melihat wajah-wajah aktor yang sama saja membintangi kebanyakan drama dan filem tempatan.

"Berdasarkan pemerhatian saya, negara kita memang kekurangan aktor yang berkaliber dan layak bergelar hero. Sebab itu, kita asyik lihat muka-muka yang sama saja dalam drama atau filem tempatan.

"Atas dasar itu, saya mahu menceburi bidang lakonan bagi menawarkan variasi selain dapat memeriahkan lagi dunia lakonan tanah air," katanya yang ditemui di Menara Star, di sini, baru-baru ini.

Tambah bekas aktivis teater di Makam Mahsuri, Langkawi ini, dia menyifatkan lamaran syarikat produksi Elements Pictures Sdn Bhd untuk menggalas watak hero dalam filem terbaru, Putra sebagai satu cabaran yang tidak mampu untuk ditolak.

"Apabila penulis skripnya Dr Abu Hassan yang mewakili Elements Pictures menawarkan peluang untuk menjadi pelakon dan hero filem Putra pada Januari lalu, saya sangat terkejut dan gementar.

"Secara asasnya memang saya ada pengalaman lakonan di pentas teater selama tiga tahun setengah tetapi tidak pernah berlakon dalam drama atau filem.

"Filem dan teater adalah dua medium berbeza namun atas semangat untuk menyahut cabaran dan memeriahkan industri lakonan, saya terima lamaran itu dan mahu menjadi hero pelapis pada masa depan," katanya.

Sebagai persiapan awal sebelum terlibat dengan penggambaran filem arahan Bob Singah itu pada Oktober depan, Avar berkata, jadual hariannya kini terisi dengan kelas lakonan dan sesi latihan di gimnasium bagi memantapkan lagi fizikalnya.

"Filem itu genre pertarungan neo epik. Apa yang paling penting adalah imej dan susuk fizikal si hero juga perlu tampak sasa dan tegap. Sebab itu, saya sedang giat membentuk badan di gimnasium.

"Selain itu, saya juga akui tekanan dan tanggungjawab berat yang bakal digalas untuk filem ini.

Cinta & Kerjaya Dalam Diri Qushairi

Posted: 21 Aug 2011 06:37 PM PDT

SEBELUM ini, Qi atau nama sebenarnya, Qushairi Mohammed Razali hanya dikenali sebagai si penulis blog dan pelukis komik menerusi drama Blogger Boy pada dua tahun lalu.

Senyap buat seketika, tahun ini, wajah Qi lebih kerap dipaparkan di televisyen sebagai pengacara mengendali pelbagai program yang antaranya seperti Jalan-Jalan Cari Makan musim ketiga (JJCM3), Bazaar @ Ramadhan dan Field Trip USA.

Rezeki Qi tidak terhenti begitu sahaja. Sebaliknya dia diberi peluang mewakili Asia mengendalikan program kanak-kanak, Art Attack yang akan disiarkan bermula 16 September depan di Disney Channel (Astro saluran 615).

Bagaimanapun, terlalu kerap terpampang di televisyen juga membuatkan dirinya kurang senang kerana risau jika penonton-penonton rimas dengan penampilannya yang kerap.

Kata Qi, memandangkan dia mempunyai bakat sebagai pengacara, lakonan dan muzik, dia mahu mengimbangkan ketiga-tiga bidang tersebut agar peminat-peminatnya tidak bosan dengan dirinya.

"Kalau boleh, saya tak mahu melakukan satu perkara sahaja walaupun pengacaraan merupakan fokus utama saya, maklumlah, takut peminat bosan pula.

"Nak kata mahu menjaga nilai eksklusif juga tidak. Bagi saya, biarlah peminat boleh melihat saya daripada pelbagai sudut. Mungkin selepas JJCM3, saya akan berehat seketika dan berlakon pula," ujarnya.

Bercerita pula mengenai pengacaraan Art Attack, Qi juga tidak sangka dia dipilih selepas melakukan beberapa uji bakat.

Bagaimanapun, penggambaran yang diadakan selama hampir dua bulan di Argentina memberi satu pengalaman yang besar buat anak kelahiran Pulau Pinang ini.

"Terasa seperti kanak-kanak semula apabila mengendalikan program Art Attack ini. Ini kerana saya perlu membuat demonstrasi karya-karya seni khas untuk kanak-kanak.

"Sedikit berbeza pengacaraannya berbanding dengan program-program lain, skrip Art Attack lebih berformat dan saya perlu bercakap menggunakan perkataan yang mudah difahami oleh kanak-kanak," ujarnya.

Dalam pada itu, Qi bukan sahaja menunjukkan kepakaran melukis dan membuat kraftangan seni dalam Art Attack sahaja, tetapi dia juga mengajar pelbagai ilmu kraft yang dipelajari menerusi program tersebut kepada anak-anak buah kesayangannya.

"Bagi saya, seni lukis amatlah penting dalam kehidupan. Begitu juga dengan kanak-kanak yang kini terdedah dengan komputer dan permainan video, ia adalah satu perkara yang tidak menyihatkan.

"Lagipun, melukis dan mewarna dapat menyihatkan serta meningkatkan daya pemikiran kanak-kanak yang sedang membesar," tegasnya.

Muncul dengan single terbaru

Bagi yang belum mengenali Qi, dia sebenarnya merupakan bekas pemain dram kumpulan OAG.

Dan ternyata, minatnya dalam muzik tidak pernah terpadam walaupun sibuk dengan kerjaya pengacaraannya.

Setiap kali mempunyai masa terluang, gitar merupakan teman di sisi untuk menghasilkan pelbagai karya lagu dan tidak lama lagi, Qi bakal muncul dengan single lagu terbaru berjudul Jatuh dalam masa terdekat nanti.

"Mesti ramai yang terkejut apabila mendapat tahu saya akan keluarkan single. Tapi ramai yang tidak tahu bahawa ketika bersama OAG dahulu, saya merupakan penyanyi latar untuk lagu-lagu OAG.

""Lagu tersebut sudah lama dihasilkan, cuma tak sempat nak membuat pelancarannya. Mungkin selepas Aidilfitri nanti, saya akan hantar lagu tersebut ke stesen-stesen radio untuk dimainkan.

"Selain itu, ada kemungkinan juga saya akan menukar tajuknya kerana ada beberapa penyanyi menggunakan judul Jatuh pada lagu mereka," katanya.

Menarik lagi, Qi dan kekasihnya, Yuna juga sedang merancang menghasilkan lagu duet bersama.

"Setakat ini kami baru sahaja menyiapkan lagu melodinya sahaja. Memandangkan Yuna kini berada di Amerika Syarikat, maka kami sering menghantar e-mel jika ada pembaharuan pada lagu tersebut," ujarnya.

Yuna memahami

Mengusik Qi dengan soalan kisah cintanya dengan Yuna yang semakin mekar itu, kata Qi, dia bersyukur kerana mempunyai seorang kekasih yang mudah memahami.

Walaupun bercinta jarak jauh, hal tersebut bukanlah satu isu buat mereka berdua jika saling mempercayai antara satu sama lain.

"Sekarang ini, kami masih lagi mengejar cita-cita masing-masing. Alhamdulillah, perhubungan kami semakin rapat.

"Walaupun bercinta jarak jauh, itu bukan menjadi satu masalah kerana kita mempunyai telefon dan Internet untuk berhubung," ujarnya.

Ditanya adakah dia akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini memandangkan usianya sudah 34 tahun, kata Qi, perhubungan cinta mereka sedang dalam perjalanan ke arah itu tetapi tidak dalam masa terdekat ini.

"Niat dalam perhubungan kami memang mahu ke arah perkahwinan tetapi sekarang ini, masing-masing sedang mengejar cita-cita.

"Saya percaya, jika sudah sampai masanya, maka bersatulah kami. Memang kami ada berbincang tentang hal ini, te

Watak Antagonis Tonjol Tasha Shilla

Posted: 21 Aug 2011 06:36 PM PDT

SERING mendapat watak antagonis, pendatang baru Tasha Shilla Razak mengakui kekuatannya dalam memegang watak tersebut lebih menyerlah. Malah melalui watak-watak jahat itu juga namanya sedang meniti di bibir pengarah-pengarah drama dan filem tempatan.

Wanita berusia 24 tahun yang memegang watak Cikgu Ruhana dalam drama Gemilang ini juga mengakui raut wajah garang dimilikinya menjadi nilai tambah untuk mendapat watak tersebut.

"Saya akui watak-watak antagonis telah membuatkan nama saya lebih dikenali, sebelum ini saya banyak membawakan watak-watak baik tetapi ramai tidak sedar kewujudan saya.

"Selepas berlakon dalam drama Gemilang dan Sahara nama saya semakin dikenali dan banyak tawaran yang saya terima terutamanya membawakan watak sebegitu," jelasnya.

Bagaimanapun, Tasha tidak mahu kemampuannya hanya terbatas kepada satu-satu watak sahaja. Kini dia cuba membuktikan bakat terpendam bukan hanya melakonkan watak jahat dan dibenci orang tetapi juga watak lemah-lembut dalam drama bersiri Ramadan Terakhir yang sedang ditayangkan di TV3.

"Sebagai pelakon saya mahu bakat saya diterokai dengan lebih banyak lagi, bukan sahaja dengan watak antagonis.

"Tapi buat masa sekarang saya tidak boleh terlalu memilih kerana masih lagi baru, tapi jika diberi peluang saya mahu watak-watak yang mencabar kemampuan saya," katanya.

Kemunculan bakat-bakat baru dalam industri hiburan tempatan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, masing-masing datang dengan pakej lengkap sebagai seorang artis.

Justeru itu, Tasha yang sedar tentang persaingan tersebut yakin dengan kelebihan yang ada pada dirinya dapat membezakan dia dengan artis muda lain.

"Saya banyak persaingan dalam industri lakonan tapi saya yakin dengan usaha, disiplin dan bakat menjadikan kita lain daripada pelakon lain," tuturnya.

Bercerita tentang teman istimewa, Tasha mengakui belum bertemu seseorang untuk mengisi hatinya.

Katanya dia lebih memilih untuk bercinta selepas berkahwin, malah dia juga tidak menolak jika pasangan hidupnya ditentukan oleh keluarga.

"Sekarang saya tiada masa untuk bercinta kerana terlalu fikir pasal kerjaya dan kalau boleh saya tidak mahu bercinta terlalu lama.

"Saya tidak kisah jika pilihan hidup saya ditentukan oleh keluarga kerana saya percaya dengan restu mereka kehidupan lebih bahagia," katanya.

Melalui asam garam kehidupan artis, Tasha mengakui ada cakap-cakap belakang mengatakan dia memasuki bidang seni hanya untuk mencari lelaki kaya atau VIP.

Namun dia tidak pernah mengambil pusing dan menganggap perkara tersebut hanya sekadar omongan kosong.

"Jika saya mahu mencari lelaki kaya sejak dahulu lagi semasa saya bekerja sebagai jurujual di sebuah butik terkemuka sebelum menjadi artis.

"Tapi bukan itu yang saya cari, hala tuju saya jelas ingin berada dalam industri adalah untuk mempertaruhkan bakat yang ada," katanya.

Buah Tomato Serikan Wajah Elizad

Posted: 21 Aug 2011 06:35 PM PDT

PEMERGIAAN arwah ibu tersayang, Nazariah Mohd Salleh,62, pada 4 April lalu meninggalkan kenangan pahit buat pelakon Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 27.

Namun kehidupan harus diteruskan, biarpun episod duka baru berlalu walaupun dia mengakui sehingga ke saat ini masih tidak dapat melupakan belaian dan kasih sayang seorang ibu.

Mengakui bulan Ramadan tahun ini memberikan seribu kelainan apabila insan tersayang tiada di sisi, pelakon filem Gangster, Berlari Ke Langit dan Rock ini tetap meraikannya bersama-sama keluarga adiknya di Ampang, Selangor.

Apabila ibu sudah tiada, saya merasai kelainan sewaktu berbuka puasa kerana sebelum ini pasti saya risaukan ibu yang mengidap Parkinson.

"Jadi, suasana Hari Raya Aidilfitri tahun ini juga dirasakan suram apabila meraikannya tanpa ibu. Saya mungkin akan menumpang beraya di rumah kawan kerana adik-beradik lain sudah berkahwin dan beraya dengan keluarga masing-masing," katanya kepada OopStarz!

Memandangkan Elizad tidak mempunyai tawaran berlakon selepas selesai penggambaran drama Jamilah, I Love You! di Astro Ria dan drama komedi sempena Hari Raya di TV9, dia banyak menumpukan kepada ibadat puasa dan melakukan solat terawih.

Sambil berbual, Elizad sempat berkongsi tip untuk berpuasa bagi mereka yang menghidapi penyakit gastrik sepertinya.

"Biasanya saya mengamalkan tabiat bersahur setiap kali bulan Ramadan. Saya sedar, kita tidak boleh membiarkan perut kita kosong jika menghidapi gastrik. Jadi, saya sebelum bersahur saya akan makan ubat terlebih dahulu sekitar pukul empat pagi.

"Kalau tidak nanti perut saya akan masuk angin dan membuatkan saya akan berasa mual," katanya.

Menurut Elizad lagi, dia tidak banyak makan nasi dan kurang mengambil makanan berat lain. Biasanya dia turut mengamalkan pengambilan pil suplemen untuk menambah tenaga di bulan Ramadan agar terus bertenaga," katanya.

Berkongsi tentang petua kecantikan pula, Elizad menggunakan buah tomato untuk menyerikan muka dengan memprosesnya terlebih dahulu.

"Saya membuat topeng muka menggunakan tomato yang dihancurkan dengan menggunakan sudu dan kemudian menyimpannya dalam peti ais agar ia tidak busuk.

"Saya amalkan petua ini tiga hari sekali untuk melicinkan kulit serta menjadikan kulit nampak kemerah-merahan.

"Sebelum ini, muka saya selalu nampak pucat. Walaupun muka telah disapu mekap, tetap tidak kelihatan berseri.

"Setelah mendapat petua daripada pembantu rumah, saya mencuba petua ini bermula tahun lepas. Nampaknya ia mendatangkan hasil," katanya.

Bimbang usia 30 tahun

Beberapa tahun lagi, usia Elizad bakal mencecah 30 tahun. Disebabkan faktor itu, dia selalu berasa resah lebih-lebih lagi dirinya belum berkahwin.

Sebagai persediaan awal, Elizad mengamalkan pengambilan suplemen dan krim kelangsingan daripada farmasi untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik.

"Saya jarang ada peluang untuk ke gimnasium, jadi saya mengambil langkah untuk makan pil pelangsingan badan dan menyapu krim pada bahagian yang berlemak. Saya juga menyapu sabun kolagen pada badan.

"Pembantu rumah saya selalu berpesan supaya orang bujang seperti saya dapat menjaga kecantikan sebelum berkahwin bagi mengelakkan wajah nampak tua sebelum usia," ceritanya.