Adsense

Isnin, 22 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Fizz beraya ke rumah Almy

Posted: 21 Aug 2011 09:13 AM PDT

PERNAH satu ketika, aktor handalan Fizz Fairuz pernah berkata bahawa sudah tiba masanya untuk dia serius dan terus memandang ke depan tanpa perlu melayan segala kontroversi lagi.

Bukan kerana kecewa, terkilan mahupun serik, sebaliknya pelakon yang terkenal menerusi lakonan bersahaja dalam drama rantaian berhantu, Nur Kasih ini enggan membebankan fikirannya dengan hal remeh yang memenatkan.

Lantas bertemu kembali dengannya petang Rabu lalu, anak jati kelahiran Raub, Pahang ini cuba mengelak daripada bercakap soal kontroversi.

Fizz hari itu digandingkan dengan seorang lagi aktor berbakat besar, Jehan Miskin. Masing-masing tidak henti berkongsi cerita dan pengalaman lampau.


Namun, kesimpulan selepas lama berborak, baik Fizz mahupun Jehan sendiri terpaksa akur dengan hakikat kisah peribadi mereka akan disingkap untuk kongsi bersama masyarakat. Mahu atau tidak, itulah realiti menjadi seorang anak seni.


Celah Fizz, itulah lumrah yang terpaksa ditelannya meskipun jauh di sudut hati, tersembunyi perasaan yang kecewa setiap kali dihambat kisah negatif.

"Awal dulu memang sakit hati juga, tapi sekarang saya sudah rasa macam kalis peluru dengan segala kontroversi atau spekulasi yang datang. Mungkin ia berkait rapat dengan kematangan diri," kata Fizz tersenyum.

Terlanjur bercerita soal spekulasi, terbaru Fizz juga bintang drama siri Stanza Cinta yang sedang rancak ditayangkan di TV3 dikatakan mula beralih arah cintanya. Selepas lebih lima tahun menyemai kasih bersama dramatis Almy Nadia, tidak semena-mena timbul pula khabar angin yang mengatakan aktor popular ini meninggalkan kekasihnya untuk seorang lagi dramatis baru.

Bagaimanapun, sebaik dilontarkan persoalan itu, Fizz hanya tersenyum dan tenang mengatur bicara. Selain menganggap cerita yang timbul adalah isu mengarut, malah aktor berusia 32 tahun ini menafikan sekeras-kerasnya akan dakwaan kononnya dia sudah berpisah dengan Almy.

"Memang saya pernah dengar cerita-cerita ini daripada teman dan kenalan namun tidak langsung saya ambil peduli. Bukan kerana tidak gusar atau mengambil mudah sebaliknya saya malas dan penat untuk melayan kisah yang tidak betul seperti ini. Entah dari mana dan sumber mana yang menyebut tapi hakikatnya saya tak pernah pun memutuskan hubungan dengan Almy.

"Kami sudah lebih lima tahun bersama dan mustahil untuk saya melepaskan Almy begitu saja. Kami sudah serasi bersama dan kenal antara satu lain. Malah, sekarang pun saya sudah bersedia untuk membawanya ke peringkat yang lebih jauh kerana sebelum ini masing-masing sibuk dan gigih mengukuhkan nama.

"Insya-Allah kalau diberi rezeki dan keizinan, saya akan mengakhiri hubungan ini dengan cara yang baik tidak lama lagi," katanya yang enggan mengulas lebih lanjut.

Jika diimbau kembali perjalanan seni dua aktor kacak ini, kedua-duanya bukan asing dengan kontroversi dan seribu satu spekulasi selebriti. Ada saja yang datang melanda, dari kisah kononnya besar kepala, bercinta dan kemudiannya putus kasih hinggalah timbul pula desas-desus kononnya hubungan yang terjalin diganggu pihak ketiga.

Namun menariknya, masing-masing hanya tersenyum dan mula mencatur langkah sendiri dalam mengelak untuk terus dihentam.

Jehan pula sebelum ini sering kali dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita dan kemudiannya putus hanya menyifatkan setiap kisah yang timbul adalah satu permainan seni yang tidak perlu disimpulkan menjadi kronik.

"Semua itu adalah asam garam dunia seni dan saya bersyukur kerana apa yang pernah dilalui sebelum ini dijadikan sebagai satu pengalaman dan seterusnya pengajaran dalam mematangkan diri. Jujurnya, saya tidak mahu lagi dilabelkan seperti itu sebaliknya kini ada lebih baiknya semua cerita yang keluar hanya berfokus pada kerjaya semata-mata," jelas Jehan.

Mengalih sedikit perbualan dan menyentuh soal persiapan menjelang Aidilfitri, Fizz yang kini sibuk di lokasi filem Syaitan Nirajim yang turut membariskan pelakon popular lain termasuk Nabila Huda dan Wan Sharmila tidak sabar untuk pulang ke kampung halamannya di Raub, Pahang bersama keluarga.

Menyifatkan kedatangan Aidilfitri adalah sebuah majlis perhimpunan keluarga yang begitu menyeronokkan, jejaka berusia 32 tahun ini cuba untuk mengintai peluang beraya ke rumah kekasih hatinya yang jauh di Pulau Mutiara.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana setiap kali datangnya Syawal, ia bagai sebuah permulaan kerana setiap perkara kerana ini satu-satunya peluang untuk saya berhimpun bersama sanak-saudara dan berkunjung ke rumah teman-teman. Itulah kemanisan dan keindahan Aidilfitri yang saya fikirkan rugi jika dilepaskan.

"Tahun ini tiada bezanya kerana seperti tahun-tahun sebelumnya, saya bersama ahli keluarga akan pulang ke kampung halaman. Saya akan cuba untuk pulang lebih awal kerana merancang ingin mencari batang buluh dijadikan lemang bersama sepupu dan saudara di kampung. Jika ada kelapangan pasti saya mengadakan rumah terbuka seperti tahun lalu.

"Insya-Allah saya juga akan beraya ke rumah Almy tahun ini kerana sebelum ini saya memang tidak berkesempatan untuk ke sana bertemu keluarganya ketika Aidilfitri. Jika tiada masalah atau perancangan lain, saya memang akan
ke rumah keluarganya tahun ini," katanya.

Berbanding Jehan pula yang akan beraya bersama keluarganya di Kuala Lumpur dan berkunjung ke rumah sanak-saudara lebih banyak berkongsi soal kerjanya yang makin bertimbun meskipun tinggal beberapa hari saja menjelang Syawal.

Walaupun sibuk dan berkejar-kejar menyiapkan pelbagai projek yang sedang diusahakan di bawah syarikatnya, Mastermind Group Sdn Bhd, anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini berasa puas dan gembira dengan pencapaian jalur perniagaannya.

"Alhamdulillah saya baru saja selesai dengan program televisyen K-Pop Talent Show yang kini ditayangkan di Astro Hitz selepas hampir tiga bulan kami bertungkus-lumus menyiapkannya. Reaksi penonton juga baik dan jika ada rezeki, ia akan disambung ke musim kedua pula," katanya yang menunjukkan sedikit tayangan promosi program pencarian bakat tarian Korea di Malaysia terbitan syarikatnya.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Mohd Jehan Miskin
TARIKH LAHIR: 4 Disember 1979
USIA: 32 tahun
TEMPAT LAHIR: Gelugor, Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Sarjana Muda (Kepujian) Sains Komputer dari University of Lincolnshire, Humberside, United Kingdom
KERJAYA: Model, pelakon, pengacara, penerbit dan Pengarah Urusan syarikat produksi Mastermind Group Sdn Bhd
FILEM: Qaisy & Laila, Gong, Nana Tanjung, Anak Halal, Skrip 7707, Tolong Awek Aku Pontianak, Cun, Hikayat Merong Mahawangsa. Apokalips
DRAMA: Awan Dania, Mertua vs Menantu, Miftahul Jamilah 5 Jingga, Manjalara, Kasih Di Bawah Bayu, Frontpage, Seiras, Dan Jendela Pun Terbuka, Bunga Senja, Traffic Light, Sutra, Bintang Yang Seribu, Pabila Cahaya Bersinar Semula, Begitulah Cinta, Nasrul Genius, Temukan Ertinya, Dengan Nama Cinta

PROFIL

NAMA SEBENAR: Mohd Fairuz Zainal Abidin
TARIKH LAHIR: 22 Oktober 1979
USIA: 32 tahun
TEMPAT LAHIR: Raub, Pahang
KERJAYA: Pelakon dan pengacara
FILEM: Gerak Khas The Movie, Orang Minyak, Anak Halal dan Nur Kasih
DRAMA: Stanza Cinta, Mentari Corporation, Peluang Kedua, Puteri, Famili Ceria, Dua Hati, Kaizer, Kaber Hero Kaber Zero, Anak Betong, A.D.A.M, Kekasihku Seru ,Nur Kasih
Program televisyen: Oh Rupanya

Masa untuk berubah

Posted: 21 Aug 2011 09:01 AM PDT

HARI ini genap 22 hari kita berpuasa, bermakna tinggal seminggu lagi kita akan meraikan Aidilfitri. Bagaimanapun, teka-teki di kalangan orang industri filem mengenai siapakah yang bakal menduduki kerusi Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) masih belum ada jawapannya.

Beberapa calon disebut-sebut sebelum ini tetapi rasanya jawapan paling hampir mengenai calon yang akan menggantikan tempat KP sebelum ini, Mohd Mahyidin Mustakim ialah pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Nama itu disebut-sebut sejak setahun lalu apabila kontrak Mahyidin tamat tetapi apabila ura-ura itu mendapat maklum balas hebat daripada orang industri, perkara itu berlalu selama setahun dan khidmat Mahyidin disambung dan disambung lagi.

Kini, kerusi itu masih kosong sejak 1 Ogos lalu dan nama Ahmad Idham sekali lagi disebut-sebut bakal menduduki kerusi yang disifatkan agak panas itu.


Sebelum ini ada yang meragui kesediaan Ahmad Idham dengan pelbagai persoalan seperti sanggupkah Ahmad Idham melupakan tugasnya sebagai pengarah dan melepaskan jawatannya dalam syarikatnya, Excellent Pictures kerana dia adalah pengarah paling berjaya ketika ini.


Filem-filem arahannya mendapat kutipan box-office dan aktif mengarah satu demi satu filem. Kalau bukan dengan Metrowealth Pictures (MIG), untuk filem terbitan syarikatnya. Sebagai KP Finas yang bertanggungjawab memajukan industri filem, sudah tentu tidak wajar untuknya membabitkan diri dalam penerbitan filem.

Kemungkinan juga Ahmad Idham diberi ruang untuk menyusun strategi selama setahun ini menyediakan bekalan sebelum dilantik secara rasmi sebagai KP. Ternyata dalam tempoh itu, Ahmad Idham sempat menyiapkan 8 Jam untuk MIG dan tiga filem sendiri, Hantu Bonceng, Jangan Pandang-pandang dan Gerimis Mengundang.

Filem 8 Jam bakal ditayangkan pada Aidilfitri ini. Rasanya-rasanya, Ahmad Idham bakal memulakan tugasnya di Finas selepas Aidilfitri, mungkin pertengahan September atau awal Oktober.

Dengarnya, ia sudah dipersetujui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Pelancongan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan hanya menunggu masa paling sesuai untuk memulakan tugas. Malah Ahmad Idham juga dikatakan sudah diperkenalkan kepada kakitangan Finas.

Selain menyediakan bekalan filem, rasanya, saat ini paling sesuai untuknya hilang seketika dari dunia filem memandangkan filem arahannya akhir-akhir ini kurang mendapat sambutan. Bermula dengan Damping Malam diikuti Senjakala yang gagal mencatat kutipan membanggakan sebagaimana filem sebelum ini.

Ahmad Idham harus terima hakikat, kini zaman kebangkitan pengarah muda yang sebelum ini dibimbingnya seperti Ismail Bob Hasim yang melakar kejayaan melalui Ngangkung dan Farid Kamil (Kongsi).

Kalangan pengarah pelapis kini mula menunjukkan taring mereka dan makin ramai yang sedar, kehadiran pengarah muda mampu memberi kelainan kepada industri filem berbanding sebelum ini dikuasai pengarah sama hingga berputar di kalangan orang yang sama.

Datuk Yusof Haslam nampaknya lebih selesa memberi peluang itu kepada anak-anaknya, Syamsul dan kini Syafiq, produksi lain juga mula memberi peluang kepada anak muda seperti MIG melalui Skim 10 Pengarah Muda, berjaya melahirkan Ismail Bob Hasim, Farid Kamil, Pierre Andre, Azhari Zain dan Hashim Rejab.

Begitu juga Primeworks Studios, mencuba bakat baru melalui Wan Hasliza untuk Penunggu Istana, Aidilfitri Mohd Yunus (Klip 3GP), Asrul Hisyam (Sesuatu Yang Tertinggal) dan terbaru, Faizul A Rashid melalui filem seram, Syaitan Nirrojim yang baru saja selesai penggambaran, minggu lalu.

Karya sulung Faizul ini dilihat agak berat dari judulnya dan mengangkat kisah perbuatan syirik dan khurafat dalam mengejar harta dan kekayaan, hingga saya tertarik untuk mengetahui siapa sebenarnya Faizul ini.

Difahamkan, Faizul lulusan Master Of Arts in Film dari Universiti Of Wales, United Kingdom dan mempunyai kepakaran dalam bidang pasca produksi, menghasilkan suntingan lebih 10 filem, antaranya Duyung, Skrip 7707, Otai dan Empat Madu, semuanya arahan A Razak Mohaideen.

Ini bermakna Faizul anak didik Razak dan pernah diberi peluang menjadi penolong pengarah untuk filem Ablasa dan Bujang Senang.

Ternyata Razak yang menjadi pensyarah filem di Universiti Teknologi Mara (UiTM), membimbing ramai anak muda apabila mengambil mereka sebagai penolong pengarah untuk filem arahannya tetapi sayang tiada yang berjuang bersama-sama Razak.

Selama ini, produksi milik Razak bersaudara, LineClear Pictures, tidak memberi peluang kepada mereka untuk bergelar pengarah hingga akhirnya disambar produksi lain seperti MIG, KRU Studis dan Primeworks.

Sudah tiba masanya untuk LineClear membuka pintu kepada muka baru untuk bergelar pengarah dan penulis skrip kerana selama ini dari produser, menulis skrip dan mengarah, semuanya dikuasai tiga bersaudara, Razak, Latiff dan Shukor. Kalau Yusof memberi peluang kepada anak-anaknya, mungkin Razak boleh beri peluang kepada anak-anak muridnya pula.