Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Had aktiviti seni buat sementara

Posted: 02 Aug 2011 06:55 AM PDT

SENARIO menyambut Ramadan dan meraikan Aidilfitri sebagai orang popular sudah sinonim dengan Erra Fazira dan Ziana Zain. Dua nama ini pernah mencetuskan fenomena sebagai bintang filem melalui Sembilu dan Sembilu 2.

Kehadiran Ziana dan Erra ketika menjayakan program Mega Raya 2011 terbitan Astro Production Sdn Bhd, baru-baru ini tetap mencuri tumpuan. Walaupun sudah berkeluarga dan ramai muka baru yang muncul, Ziana dan Erra tetap menjadi pilihan untuk menjayakan program raya.

Kini, walaupun punya anak, kerjaya seni tetap di hati mereka, tetapi keutamaan sudah berbeza. Bagi Ziana, Ramadan ditumpukan pada aktiviti keluarga dan perkara lain ditolak ke tepi buat sementara. Apa yang difikirkan ialah memperuntukkan masa berkualiti dengan keluarga.

Naluri seorang ibu yang mengalir dalam dirinya membuatkan ibu kepada empat anak, Muhammad Aiman, Muhammad Amar serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti NurQaseh tidak keberatan menjayakan program berbentuk amal membabitkan anak yatim.


"Saya hadkan aktiviti seni kerana anak sudah besar. Dulu saya tak kisah, tapi sekarang persiapan untuk mereka berpuasa sangat penting. Ini yang saya dulukan berbanding perkara lain.


"Bagaimanapun, saya luangkan masa menjayakan persembahan amal untuk anak yatim di Sungai Wang Plaza, Bukit Bintang pada 10 Ogos dan pada 20 Ogos pula akan berada di Plaza Masalam, Shah Alam untuk acara serupa. Untuk hari raya, saya hanya buat yang ini saja selain program Mega Raya Astro 2011.

"Susah untuk saya terima yang lain kerana suami bekerja. Saya penat kerana anak membesar. Saya perlu siapkan mereka serta menghantar dan mengambil di sekolah," katanya.

Sebagai ibu, keletah anak sering menjadi perhatian terutama apabila menjelang Aidilfitri. Kata artis berusia 43 tahun ini, anak-anak lelakinya mula bercerita mengenai jenis pakaian yang diminati, namun berbeza buat anak perempuan yang nampak kurang teruja.

Mengenai persediaan menyambut lebaran, Ziana masih memikirkan warna tema yang bakal dipakai buat keluarganya.

"Perkara ini kadangkala akan terlintas juga. Selalunya saya akan tengok mana yang cantik untuk dipilih nanti. Persiapan raya, keluarga saya yang buat. Abang Armin memang tak kisah warna apa pun. Cuma, dia pesan jangan bagi pakai baju Melayu warna pink (merah jambu) saja," katanya ketika ditemui.

Katanya, destinasi untuk merayakan Aidilfitri belum ditentukan kerana jadual bekerja suaminya belum diperoleh. Yang pasti mereka akan beraya di rumah ibu bapanya di Shah Alam kerana nenek Armin di Raub, Pahang sudah tiada.

"Syukur saya dan adik-beradik lain masih dapat meraikannya bersama ibu bapa. Cucu Pak Zain seramai sembilan orang pun sudah buatkan keadaan jadi kecoh. Untuk hari raya, persediaan dilakukan kami lima beradik secara berkongsi wang.

"Seorang daripada kami akan tawarkan diri untuk beli kuih- muih, manakala juadah untuk Aidilfitri iaitu kuah kacang daging dan rendang kari ayam hitam dimasak secara gotong- royong. Masing-masing menggunakan kepakaran sendiri memasak," katanya yang tidak bercadang mengadakan majlis rumah terbuka.

Ziana mengakui sambutan Syawalnya tidak boleh terlalu lama kerana pada 30 September dia akan bergandingan dengan adiknya, Anuar, mengadakan konsert hari raya buat peminat Singapura yang bakal berlangsung di Esplanade.

"Menariknya tiket untuk persembahan ini sudah habis dijual. Acara ini memang saban tahun dibuat untuk peminat di sana. Selepas itu saya akan terbabit dengan program bengkel kecantikan anjuran SlimWorld di Seremban pada 8 Oktober diikuti Melaka pada 9 Oktober," katanya yang baru selesai berduet dengan Sohaimi Mior Hassan merakamkan semula lagu popular penyanyi itu, Misteri Cinta.

Erra,37, turut mengurangkan aktiviti seninya sepanjang Ramadan kerana mahu berehat di samping menghasilkan hamper hari raya berjenama Eea's buat pelanggan setia. Untuk itu, dia sanggup menolak tawaran berlakon drama bersiri.

"Saya hanya buat Mega Raya 2011 untuk Astro dan Mentor Raya (TV3). Selain itu, saya juga merancang berlakon telemovie terbitan Astro. Saya baru sambung kontrak sebagai wajah eksklusif Astro untuk setahun lagi.

"Sebolehnya saya tak nak sibuk sangat sepanjang bulan puasa. Maklumlah, kalau boleh nak juga seimbangkan perkara duniawi dengan amal ibadat. Namun, berlakon sudah menjadi tanggungjawab saya. Kalau kerana berpuasa nak dijadikan alasan untuk berehat langsung pun salah juga.

"Cuma, kita kena pandai bahagi masa antara kerja dan ibadah terutama solat tarawih. Rasanya, kalau kita pandai membahagikan masa, memang tiada masalah," katanya.

Bercerita mengenai juadah bersahur dan berbuka, Erra berkata keluarganya sangat ringkas apabila menyambut ketibaan Ramadan secara ala kadar. Walaupun mengakui boleh melayan selera makan, Erra cuba mengawalnya sedaya mampu.

"Kalau saya pergi Pasar Ramadan, rasanya boleh borong semua makanan yang ada. Jadi, biarlah suami (Engku Emran Engku Zainal Abidin) yang pergi seorang. Saya memang larang diri sendiri berkunjung ke Pasar Ramadan.

"Mula-mula memang kami rajin berbuka di rumah, selepas itu kami akan berbuka di luar. Kadang-kadang Emran akan berbuka di luar kerana ada program sendiri. Begitu juga saya jika terbabit dengan pelbagai program seperti berbuka dengan anak yatim.

"Saya hanya pilih akan pergi mana yang perlu saja kerana jika sudah di luar, sukar untuk mengejar tarawih di masjid. Saya biasanya bertarawih di Masjid Wilayah Persekutuan bersama kawan-kawan antaranya Kak Chah (Habsah Hassan).

"Mengenai sahur pula, mula-mula memang kami akan bangun. Tapi lama-kelamaan mood akan berubah. Memang wajib saya akan bangun tapi makan tak lagi jadi keutamaan kerana saya hanya minum air. Saya tak biasa tidur selepas makan.
Kalau minum air, saya boleh tidur semula selepas itu," cerita Erra.

Memandangkan anaknya, Engku Aleesya baru berusia dua setengah tahun, Erra hanya membeli pakaian siap untuk dipakai ketika meraikan Aidilfitri. Begitu juga pakaian buatnya dan suami yang dibeli siap pada minggu kedua atau ketiga Ramadan. Tahun ini dia bercadang menggunakan warna hijau atau merah cili sebagai warna tema keluarga.

Menyentuh sambutan Aidilfitri pula, Erra membayangkan akan menyambutnya di Pulau Pinang iaitu kampung keluarga emak Emran.

"Saya dah rasa semua pengalaman termasuk menyambut di sebelah keluarga bapa Emran di Terengganu. Semuanya ada kelainan sendiri kerana keluarga mentua lebih suka gunakan khidmat katering ketika hari raya. Di kampung saya mungkin perkara sebegini belum digunakan secara meluas.

"Mengenai rumah terbuka, saya tak bercadang buat di rumah sendiri. Kalau berhasrat, saya merancang mengadakannya khas sehari buat peminat di mana-mana lokasi seperti Restoran Puteri. Tujuannya untuk melayan mereka yang memberi sokongan. Peminat tahu mengenai majlis ini dan mereka akan datang beramai-ramai nanti.

"Selepas itu pada hari raya kelima, saya akan berangkat ke Milan, Itali untuk satu tugasan selama seminggu. Selepas balik ke Malaysia saya akan sibuk dengan pelbagai program TV, berlakon filem dan latihan teater Badai Semalam yang akan dipentaskan pada 11 November ini.

"Mulanya memang saya bercadang membawa keluarga bersama ke Milan kerana mungkin dapat mencuri masa untuk bercuti, tapi hasrat itu tak jadi kerana suami tiada kelapangan. Jadual kerja kami memang tak menentu," katanya.

PROFIL ZIANA:

NAMA PENUH: Siti Roziana Zain
TARIKH LAHIR: 2 MEI 1968
UMUR: 43 tahun
TEMPAT LAHIR: Kampung Simpang Merlimau, Melaka
PENDIDIKAN: SPM

PENCAPAIAN: ALBUM: Madah Berhelah (1991), Ziana Zain (1993), Setia Ku Di Sini (1995), Puncak Kasih (1997), Ziana Zain (1999), Aku Cintakan Mu (2001), Dingin (2008) dan banyak lagi

FILEM: Sembilu (1994), Sembilu 2 (1995), Maria Mariana (1996), Merah (1997), Maria Mariana II (1998), Sembilu 2005, Pontianak Menjerit, Qabil Khushry Qabil Igam (2007) dan Magika (2010)

PROFIL ERRA:

NAMA PENUH: Fazira Wan Chek
TARIKH LAHIR: 9 Februari 1974
UMUR: 37 tahun
TEMPAT LAHIR: Sungai Choh, Rawang,Selangor
PENDIDIKAN: SPM

PENCAPAIAN: Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-15 (2001),
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18 (2005) dan pencalonan
Pelakon Wanita Terbaik FFM17, FFM19 dan FFM21.

ALBUM: Erra Fazira-Mini Album (1994), Aku Dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2004), Ya Atau Tidak (2006) dan banyak lagi

FILEM: Membintangi 34 buah filem antaranya Sembilu (1994), Sembilu 2 (1995), Tragedi Oktober (1996), Maria Mariana (1996), Gemilang (1997), Maria Mariana 2 (1998), Pasrah (2000), Soal Hati (2000), Gerak Khas The Movie (2001), Putih (2001) dan banyak lagi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Bantu artis berniaga

Posted: 02 Aug 2011 06:17 AM PDT

PERSEPSI segelintir penggiat seni sering memberikan komen negatif terhadap usaha Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dalam membantu kebajikan artis tempatan.

Ada antara mereka mempersoal kejujuran dan bersikap tidak mahu membabitkan diri dengan aktiviti persatuan kerana beranggapan tidak mendapat manfaat yang diharapkan.

Namun, biar apapun persepsi dilontarkan Karyawan diterajui Presiden, Datuk Freddie Fernandez masih aktif menganjurkan aktiviti baru untuk kepentingan ahli mereka.

Bersempena Ramadan, Karyawan memberi peluang kepada artis tempatan berniaga.

Peluang julung kali ini diadakan dengan kerjasama Low Yat Group menganjurkan Bazar Raya Merdeka Karyawan di Riverwalk Village, River City, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Acara ini mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui tiga agensi di bawah kementerian, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Rakyat.

Freddie berkata, Karyawan sentiasa melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan artis yang menjadi matlamat persatuan ini dalam menjaga kebajikan.

"Acara seperti ini bertujuan membantu ramai artis tempatan meraih pendapatan sempena Ramadan menerusi peluang berniaga. Dalam pada itu, golongan anak yatim dijemput sama memeriahkannya.

"Menerusi acara ini, Karyawan berhasrat membantu meringankan beban artis veteran untuk turut serta berniaga. Saya percaya adanya pembabitan artis dalam acara ini, ramai pengunjung dijangka hadir," katanya pada sidang media acara itu diadakan di Riverwalk Village, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, acara ini dibuka sehingga 28 Ogos dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam. Sebanyak 87 gerai disediakan untuk acara ini manakala 40 gerai untuk artis mengambil peluang berniaga.

"Peluang ini juga terbuka pada peminat untuk ambil bahagian berniaga bersama.
Mungkin jualan lelong barang milik artis akan diadakan dan ia masih dirancang.

"Begitu juga, ada pentas disediakan untuk artis mengadakan persembahan pada sebelah malam. Mungkin persembahan ini diadakan pada hujung minggu.

"Karyawan juga akan mengadakan sumbangan kepada anak yatim dalam satu majlis yang akan diadakan pada 5 Ogos ini yang turut dijangka dihadiri Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Pada sidang media itu, hadir sama rakan artis, Atilia dan Fazli Zainal bersama Pengurus Eksekutif, Bahagian Hartanah, Perkhidmatan Pengurusan Bangunan dan Pembangunan Perniagaan, Low Yat Group, Janice Loh, Ketua Unit Perhubungan Awam, SSM, Mohamad Shahren Mohamad Yusri dan Pegawai Perhubungan Awam, Mohd Irwan Mohd Khalil.

Bayaran sebanyak RM1,000 untuk satu gerai dikenakan pada artis manakala orang ramai dikenakan bayaran sebanyak RM1,2000. Bagi mereka yang berminat sertai acara ini, boleh menghubungi Karyawan di talian 03-79552967 atau 79606459 (Anuar/Ahmad) dan Putri (014-5240938).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan