Adsense

Selasa, 21 Jun 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Terkilan lagu jarang diputar

Posted: 20 Jun 2011 09:12 AM PDT

EPISOD duka yang sebelum ini membelit empunya senyuman manis ini, Samihah Omar atau Misha, 29, sudah lama ditinggalkan. Meskipun masih pedih berbekas luka, semua itu ditelan walaupun maruah dan reputasi terpaksa diperdagangkan.

Masak dengan sepak terajang dunia seni yang ada kalanya hanya bijak menghukum daripada memberi ruang buatnya bernafas sendiri, Misha akur dengan segala apa yang tersurat. Jelasnya, hakikat dan realiti sudah tidak relevan lagi kerana kisah peribadinya sudah jauh dijaja.

Katanya, biarlah orang yang membawa fitnah itu terus bercerita. Lebih banyak dirinya membuat penjelasan, menafikan serta menjawab seribu satu persoalan, sebanyak itu juga kisah peribadinya terus dijaja.

"Saya hanya mampu pekakkan telinga, pejamkan mata dan memandang ke depan untuk fokus kepada kerjaya semata-mata. Jujurnya, cerita kononnya saya sudah berkahwin atau menyembunyikan suami itu sudah berlalu. Saya sudah tutup buku dan enggan lagi menoleh.


"Tumpuan saya kini untuk album baru, Dia...Misha yang dilancarkan April lepas serta perkembangan lakonan. Saya bersyukur kerana hingga kini ia masih kuat dipasarkan," katanya.


Bertemu dengan Misha dalam sesi fotografi bersamanya baru-baru ini, benar-benar membuka ruang buat penyanyi Bunga-Bunga Cinta dan Cinta Adam dan Hawa ini meluahkan rasa. Bersahaja dengan sikapnya yang rendah diri dan begitu mudah menyusun cerita, Misha jelas lebih bahagia dan gembira.

Bagaimanapun, Misha menyimpan rasa terkilan kerana promosi album barunya itu tidaklah sekuat mana. Bagi Misha, peminat yang memang menantikan karya barunya tidak pernah berfikir dua kali bagi membelinya. Malah, paling menggembirakannya, reaksi mereka juga positif.

"Namun perlu saya akui, kemelut sama yang selalu menghantui ramai penyanyi turut sama saya rasakan. Lagu daripada album itu masih gagal menembusi beberapa stesen radio. Mereka tidak mahu memutarkan dan memberi alasan yang saya fikir begitu longgar. Tapi itulah hakikat dan sebagai seorang penyanyi, apa lagi yang mampu kita lakukan.

"Bagaimanapun, saya tidak kesal walaupun meletak sepenuh komitmen dan fokus kepada pembikinan album itu kerana semua itu adalah tanggungjawab.

"Mungkin ia tidak dimainkan sekarang namun, jika punya peluang dan rezeki lagu itu diputarkan 10 tahun lagi, pendengar akan mengenal pasti identiti saya dalam merakamkan album. Kualitinya begitu kemas dan saya kagum dengan semua pihak yang terbabit dalam proses pembikinan Dia...Misha itu," katanya.

Sejak anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada 6 Januari 1982 ini mencuri tumpuan selepas menjuarai Bintang RTM 2001, pencapaiannya seimbang, tidak terlalu tinggi diangkat atau meraih populariti, tidak juga jauh ke bawah hingga ada yang terlupa.

Tatkala teman seperjuangan lain dalam program nyanyian yang sama hilang entah ke mana, namanya terus kekal berdiri meskipun puluhan wajah baru tumbuh. Empayar seninya terus diperkasa apabila pemenang pelbagai anugerah dan pengiktirafan ini mula menjengah lapangan lakonan pula.

Dalam diam, anak seni yang selesa dengan tiga album penuh dan satu kompilasi ini sudah membintangi dua filem, puluhan drama dan telefilem serta berpeluang ke pentas teater. Ke mana arah yang ingin dituju Misha sebenarnya?

"Alhamdulillah, itulah yang dinamakan rezeki. Saya terima dengan tangan terbuka dan tidak henti melafazkan syukur dengan apa yang diberikan. Mungkin ramai yang tidak tahu, awalnya percubaan dalam lapangan lakonan bukan kerana minat atau ingin mencuba semua aspek seni sebaliknya ini semua bagai tongkat untuk saya terus berdiri.

"Saya seorang yang komited dan tidak boleh duduk diam. Justeru jika ada kelapangan dan tiada undangan persembahan, saya lebih gemar isikan waktu itu dengan aktiviti seni yang lain.

"Mungkin rezeki buat saya lebih banyak kepada lakonan sekarang, untuk apa saya pejamkan mata sedangkan itu juga satu minat yang ada pada saya.

"Minat saya memang dalam nyanyian. Ia sudah menjadi darah daging dan kekal menjadi keutamaan saya. Lakonan adalah sesuatu yang baru dan bertuah kerana diberi peluang menuntut ilmu di pentas teater sebelum ini. Pengarahan emosi dan pemahaman watak itu begitu penting dan kini menjadi semakin mudah untuk saya rasai.

"Namun sejak dulu hingga kini, saya memang mengimpikan untuk menjadi seorang seniman. Itu adalah kiblat yang ingin saya tempuhi. Menjadi terbaik dalam lapangan nyanyian dan kini cuba menjadi yang terbaik sebagai seorang pelakon teater serta drama pula.

"Seniman itu adalah pengiktirafan paling berharga buat anak seni terutama seseorang yang begitu inginkan sandaran itu seperti saya.

"Insya-Allah jika benar laluan ini adalah tersurat buat saya, dengan komitmen dan kesungguhan, ikhlas serta jujur dengan percaturan sendiri, saya akan terus berada di gelanggang ini," katanya tersenyum.

Menyentuh perkembangan terbaru, anak keempat daripada tujuh beradik ini bakal muncul dengan Mak Dara Nyonya di samping pelakon popular lain termasuk Tania Zainal, Sherry Abdullah, Sarimah Ibrahim dan Fara Fauzana. Teater sentuhan Siti Rohayah Atan ini akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 6 hingga 12 Julai.

Jelas Misha, Mak Dara Nyonya adalah sebuah naskhah menarik yang penuh warna pada jalan ceritanya. Mana tidaknya, teater ini menggabungkan dua kisah berbeza, perihal si Nyonya dan perjalanan harian Dara yang penuh drama namun disulam komedi sinis.

"Saya begitu kagum dan tidak sabar untuk kembali ke pentas teater kerana pengalaman menghempas-pulas tenaga menghidupkan perwatakan untuk sebuah naskhah pementasan adalah tersendiri.

"Kepuasannya berbeza dan saya sendiri begitu bersemangat untuk membelek skrip Mak Dara Nyonya pula. Alhamdulillah semua pihak membantu terutamanya produksi dan pengarah sendiri.

"Saya cukup berterima kasih kerana diberi kepercayaan sebesar ini. Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik nanti," katanya yang melakonkan watak Keponakan C.

PROFIL

NAMA PENUH: Samihah Omar
TARIKH LAHIR: 6 Januari 1982
UMUR: 29 tahun
TEMPAT LAHIR: Kota Bharu, Kelantan
KELUARGA: Anak keempat dari tujuh beradik
PENDIDIKAN: SPM
ALBUM: Misha (2002), Aksara (2004), Misha Omar (2008) dan Dia...Misha (2011)
FILEM: GK3 The Movie dan Main-main Cinta
DRAMA: Julia Juli
TEATER: Muzikal Gamat, Muzikal Uda dan Dara, Muzikal Tun Mahathir dan Mak Dara Nyonya
PENGACARA: Sehati Sejiwa
PENCAPAIAN: Penyanyi Baru Terbaik Anugerah Era 2003, Anugerah Gold Awards Shanghai (2003), Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (2003), Vokal Wanita Terbaik Anugerah Era 2004, Juara Hitz 1 (Pulangkan), Juara Lagu 2003 Kategori Lagu Balada dan Vokal Terbaik (Bunga Bunga Cinta), Juara Lagu 2005 Kategori Lagu Balada dan Vokal Terbaik (Pulangkan), Tempat Kedua Lagu Terbaik pertandingan Hits 1 (Ku Seru), Anugerah Emas dan Platinum album Misha & Aksara dan pemenang Anugerah Industri Muzik ke-16 menerusi kategori Album Pop Terbaik dan Lagu Etnik Terbaik

Mekap: Chomel
Busana: House of Wanpa,
Lot 5.92, Level 5, Wisma
Central, Jalan Ampang,
50450 Kuala Lumpur
(019-6690717 & 012-2386148 atau wanpa84@gmail.com)
Lokasi: Malaysia Tourism Centre (MTC)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Salam perdamaian

Posted: 20 Jun 2011 09:03 AM PDT

AWALNYA suasana di Majlis Kesyukuran dan Musyawarah antara Skop Production Sdn Bhd dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) bagi membincangkan isu berbangkit menerusi filem KL Gangster yang berlangsung di Restoran Haslam pada malam Jumaat lalu kelihatan seakan tegang.

Apatah lagi majlis yang dihadiri Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Datuk Roslan Dahaman itu turut disertai beberapa barisan tertinggi dan ahli-ahlinya. Manakala Skop Production diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Yusof Haslam dan pengarah KL Gangster, Syamsul Yusof yang juga anaknya.

Turut hadir, penerbit filem Metrowealth (MIG) Pictures, David Teo yang turut mencetus pertikaian dengan Pekida menerusi filem Kongsi arahan Farid Kamil dan penerbit Kuasatek Pictures Sdn Bhd, Mohd Noor Kadir serta barisan pelakon KL Gangster, Aaron Aziz, Adi Putra, Sheera Iskandar, Shoffi Jikan dan Adam Corrie.

Biarpun kedua-dua belah pihak mempertahankan kebenaran dan hak masing-masing mengenai isu penggunaan nama rujukan seperti ayahanda, abang long dan abang kawasan yang digunakan dalam filem blockbuster yang menemui penonton sejak 9 Jun lalu, pertikaian berkenaan berjaya diselesaikan menerusi sikap profesional dan matang.


Ibarat menarik rambut dalam tepung di mana rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak, mereka bersetuju menghulurkan salam tanda perdamaian.


Yusof menyatakan permohonan maafnya jika filem berkenaan menyinggung perasaan anggota Pekida.

"Saya hulur tangan. Kalau ada benda-benda tersinggung, kami susun 10 jari memohon maaf. Bagi saya, ular kalau menyusur akar takkan hilang bisanya.

"Saya tiada niat sebesar kuman untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak. Kalau tahu, saya sendiri akan halang perkataan ini digunakan. Kita ambil jalan tengah untuk menjernihkan keadaan," katanya di akhir ucapannya.

Terdahulu, Yusof berkata, selama 26 tahun menerbitkan filem, dia tidak menafikan apabila menayangkan sesebuah filem yang agak keras, pasti akan ada kontroversi yang berlaku.

"Saya buat Gerak Khas pun ada kontroversi yang berlaku. Kita pandang jauh, tapi tanpa sedar timbulkan isu negatif pada sesetengah pihak. Apa yang dikeluarkan dalam akhbar oleh Pekida tentang KL Gangster, saya tak melatah. Ada orang suruh saya bantai Pekida, tapi saya perlu bercakap secara profesional dan harus jaga sensitiviti.

"Sedangkan cakap dengan isteri pun kena beralas, inikan pula dengan orang lain. Saya rasa ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan berbalik kepada isu Pekida, saya anggap ia adalah salah faham.

"Saya sentiasa buat filem yang elakkan sensitiviti agama dan perkauman. Justeru, saya dengan rendah hati hulurkan tangan kepada Pekida. Demi Allah, saya tiada niat nak persendakan Pekida.

"Apa yang digambarkan adalah rekaan, tapi ada ahli yang kena tempias. Ia berlaku secara tak langsung dan tanpa disengajakan. Skop Productions tiada niat nak sindir mana-mana pihak," katanya.

Yusof juga mengakui sentiasa mengingatkan Syamsul bahawa di akhir filem arahannya perlu ada pengajaran kepada masyarakat.

Kata Yusof, selepas mendengar ucapan dan luahan Roslan, dia menghormati apa saja pandangan Pengerusi Pekida itu memandangkan kedudukannya sebagai individu yang jauh lebih berusia daripadanya.

"Syamsul sendiri janji takkan gunakan lagi perkataan begini dalam prekuel filem KL Gangster 2 selepas ini. Dia kata tak sedar benda-benda ini akan menyinggung perasaan orang. Bukan salah Pekida, bukan juga salah kami. Budak-budak Pekida juga ada berlakon, tetapi mereka tak terangkan perkara sebenar," katanya.

Ditemui selepas majlis berakhir, Yusof memberitahu lega apabila masalah berkenaan selesai dan tidak mahu memanjangkannya lagi.

"Mengalah bukan bererti kalah, tapi saya mohon maaf kerana mahu menjernihkan keadaan dan mementingkan perpaduan kita sesama umat Islam," katanya tenang.
Senada dengan bapanya, Syamsul turut menyatakan perasaan lega kerana polemik yang berlaku kebelakangan ini berakhir dengan baik.

"Alhamdulillah kedua-dua belah pihak sudah menghujahkan apa yang terbuku dalam hati masing-masing. Saya tak suka dengan cara ini di mana kedua-dua belah pihak saling berbalas kenyataan di media.

"Ini semua adalah salah faham. Sejak isu ini tercetus, dah terlintas dalam fikiran saya, sama ada salah atau tak, saya kena minta maaf kerana dah singgung perasaan ayahanda (Datuk Roslan). Saya beritahu papa hasrat ini, tapi dia beritahu supaya tunggu majlis ini.

"Selepas apa yang berlaku, saya sedar sensitiviti harus diutamakan kerana masyarakat Malaysia ada adab dan budaya sendiri," katanya yang kini sedang merangka skrip KL Gangster 2.

Dalam pada itu, KL Gangster terus mendapat sambutan penonton apabila kutipannya sehingga Ahad mencecah RM10.3 juta walaupun pihak panggung meramalkan mampu mencatat RM11 juta berdasarkan purata kutipan harian RM1.5 juta.

Bagaimanapun kutipan untuk Ahad sekitar RM600,000 dan filem kelima Syamsul selepas Evolusi KL Drift, Bohsia; Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2 dan Khurafat ini dijangka mampu mengumpul lebih RM11 juta.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.