Adsense

Khamis, 19 Mei 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Sukar Ani lari daripada Fareez

Posted:

Sukar Ani lari daripada Fareez

Sukar Ani lari daripada Fareez

Oleh HASNURUL MOHAMED
gambar Noor Asrekuzairey


NORANIZA tetap meneruskan langkahnya dalam memartabatkan irama pop tradisonal di hati peminat muzik tanah air.


RATU Pop Tradisional, Noraniza Idris, 43, dilihat amat sukar mengekang air mata dari gugur membasahi pipi tatkala bercerita kepada Hits tentang liku-liku kehidupan yang ditempuhinya hari ini.

Dia yang mesra disapa sebagai Ani enggan menoleh ke belakang untuk mengimbau pengalaman hidup bersama bekas suaminya, Mohamad Fauzi Ahmad Tajuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Fareez yang berakhir dengan perceraian.

Selama 18 tahun satu bulan berkongsi hidup dengan Fareez, Ani melahirkan dua zuriat untuk lelaki itu dan jika diselami rahsia di sebalik perkahwinan mereka, cerita yang keluar akan disalah anggap oleh masyarakat.

Ani sendiri memberitahu, dia bukannya mahu diadili atau mahu orang luar memihak kepada dirinya apabila rumah tangga bersama Fareez hancur.

Memadai jika dia sahaja yang tahu perkara sebenar dalam kehidupan rumah tangganya suatu ketika dahulu.

"Sukar untuk Ani 'lari' daripada Fareez kerana bukan sahaja pengurusan Taman Mini Malaysia di Melaka yang membabitkan Ani dengan Farez tetapi juga langkah dalam karier seni sentiasa dibayangi dia.

"Ini kerana kami berkongsi karier seni dalam seribu kepayahan yang terpaksa dilalui, Ani akan cuba 'lari' untuk berdiri atas kaki sendiri," katanya ketika ditemui di Studio Utusan, baru-baru ini.

Tidak mungkin sejarah dapat diubah, jauh sekali untuk Ani memadamkannya namun ibu tunggal kepada dua orang anak itu tekad untuk meneruskan hidupnya dengan petunjuk daripada Allah SWT.

Ani melontarkan pandangannya jauh-jauh seolah-olah mahu menjerit sekuat-kuat hatinya bahawa dia mampu untuk hidup sendiri.

"Hidup sendiri ini memang berat... memang susah kerana setiap manusia pasti mahu mencapai sesuatu dalam hidup, mahu ada keluarga dan kerjaya.

"Apakah itu semua boleh diseimbangkan? Entah. Bagi diri Ani, kehidupan yang Ani dambakan ialah satu kehidupan yang tidak membebankan orang lain.

"Berbelas tahun hidup bersama Fareez, dan 45 hari berkahwin buat kali kedua, itu semua membuatkan Ani muhasabah diri.

"Itu adalah dugaan daripada Allah ke atas diri Ani. Apabila berpisah dengan Fareez pada tahun 2007, setelah dua tahun hidup bersendiri Ani berkahwin buat kali kedua pada tahun 2009.

"Berkahwin kali kedua dalam tempoh 45 hari... itu adalah perkahwinan yang membingungkan.

"Perceraian juga mengajar Ani mengenal siapa kawan, siapa lawan. Hidup sendiri membuatkan kita pasrah tetapi penuh kecamuk.

"Biarpun Ani dan Fareez cuba mengubah banyak perkara tetapi sampai satu tahap, itulah dia (bercerai)," kata Ani.

Dicabar untuk bangkit

melayari kehidupan di kala ada rasa sayang, segalanya dilihat umpama bulan dan bintang tetapi apabila berakhir dengan perceraian, semuanya buruk semata-mata.

"Macam-macam kata-kata nista dilemparkan kepada Ani, alhamdulillah Ani masih kuat untuk berdiri dengan segala kebenaran dan kekuatan.

"Ani bersyukur kerana kekuatan diri membuatkan Ani berani untuk melangkah mengusahakan perniagaan sendiri," kata Ani.

Menerusi syarikatnya, Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd., dia dapat memberi pendedahan tentang bidang seni kepada masyarakat di luar sana.

"Untuk promote produk seni, dalam industri, kita tidak boleh berebut-rebut tetapi ada cara untuk mengekalkan muzik kita.

"Maka itulah, Ani berusaha untuk tampil dengan kertas kerja untuk menggerakkan Akademi Tatih Seni iaitu satu program terapi jati diri anak-anak muda kita.

"Akademi Tatih Seni ini ada misi dan visi iaitu untuk menyemarakkan semangat cintakan seni budaya bangsa di kalangan generasi pelapis seawal umur lima tahun," jelasnya.

Katanya, kesenian akan membuka minda masyarakat bahawa seni boleh menjadi satu kerjaya cemerlang dan mampu menjadi punca pendapatan.

"Perlu dibuang persepsi masyarakat Melayu yang memandang seni sebagai satu hobi suka-suka.

"Sebaliknya ia adalah satu kerja yang serius. Walaupun terbabit dalam industri muzik membuatkan kita mudah leka dan berada di awang-awangan, perasaan itu boleh diatasi dengan pendekatan Islam.

"Usaha yang Ani lakukan ini adalah di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang juga disokong Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara," jelasnya.

Selain itu, kata Ani lagi, Akademi Tatih Seni yang bertindak sebagai pemangkin untuk membantu mengembangkan lagi identiti seni dan budaya, akan mengadakan Jelajah Masyhur 1Malaysia pada 28 dan 29 Mei ini.

"Untuk dua hari tersebut yang dinamakan sebagai Hari Penilaian Peserta Tatih Seni diadakan di Kluang Parade, Johor mulai 10 pagi hingga 6 petang. Orang ramai yang berminat untuk menyertainya boleh menghubungi Nurul Huda di talian 016-2918066," katanya.

Teruskan perjuangan

Bercerita tentang usahanya untuk terus memartabatkan lagu-lagu bercorak etnik, Noraniza berkata, dia tidak pernah merasa letih mahupun penat untuk mengetengahkan elemen etnik menerusi lagu dendangannya.

"Bermula dengan album bercorak eksperimental, Awala Dondang sekitar tahun 1996, Ani cuba untuk menemukan unsur etnik bersama elemen muzik semasa.

"Ketika mula-mula muzik etnik diperdengarkan, ia meletup dan dapat diterima halwa telinga peminat.

"Walaupun sebelum kemunculan album Awala Dondang, Jay Jay tampil dengan genre yang serupa tetapi berentak zapin. Cuma ia tidak kehadapan secara konsisten," ujar Ani.

Katanya lagi, bukan senang untuk sesuatu yang baru itu diterima pendengar kerana lagu berunsur etnik memerlukan masa untuk mempengaruhi industri muzik tanah air.

Bagaimanapun, kata Ani, dengan bantuan dan sokongan daripada media massa, tidak kira sama ada media elektronik atau pun cetak, akhirnya irama etnik mesra telinga.

"Selepas lagu-lagu bercorak etnik diperkemaskan, platform untuk mendidik pendengar supaya dapat menerima lagu-lagu seperti ini dilakukan oleh rakan-rakan media.

"Menerusi radio, televisyen, akhbar dan majalah, masyarakat lebih mengenali lagu-lagu etnik yang moden, digabungkan dengan pop sehingga ke tahap dapat diterima peminat sebagai lagu-lagu pop tradisional," katanya.

Noraniza mengakui, adalah menjadi hasratnya untuk mendidik generasi muda hari ini yang berbakat dalam bidang seni, berjaya mengangkat martabat seni Melayu ke tahap yang tinggi.

"Kalau boleh, Ani nak anak-anak yang berumur lima tahun ke atas, didedahkan dengan seni dan budaya kita.

"Mereka inilah yang bakal mewarisi dan penyambung seni yang kita tinggalkan kelak," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Akhirnya Amir disingkirkan

Posted:

Akhirnya Amir disingkirkan

Akhirnya Amir disingkirkan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AHMAD ZAKKI JILAN


PESERTA Maharaja Lawak yang masih lagi bertahan akan meneruskan perjuangan mereka malam ini.


PENANTIAN untuk melihat peserta dari Kelantan, Mohammad Amirullah Azmi atau Amir disingkirkan sejak Maharaja Lawak membuka gelanggangnya akhirnya menjadi kenyataan minggu lalu.

Ternyata, Amir gagal memberikan persembahan yang meninggalkan kesan menerusi tema komedi senyap yang dipertaruhkan pada minggu ketujuh.

Lebih malang lagi, persembahannya itu juga tidak mampu memikat hati ketiga-tiga juri Maharaja Lawak iaitu Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek.

"Memang tidak dinafikan peminat memang sukakan Amir dan kerana itu mereka akan tetap ketawa melihat Amir di atas pentas waima apa jua persembahan yang Amir lakukan.

"Amir harus ingat ini adalah Maharaja Lawak dan bukan Raja Lawak di mana Amir harus mempersembahkan lawak yang memiliki standard jauh lebih tinggi.

"Saya hargai kesungguhan Amir tetapi minta maaf, saya melihat persembahan Amir kali ini hanyalah untuk diri Amir sendiri sahaja kerana saya tidak faham apa yang Amir cuba persembahkan," ulas Ahmad Idham sewaktu memberikan komennya selepas Amir membuat persembahan.

Ternyata memang ada kebenaran apa yang diperkatakan oleh Amir kerana persembahannya pada minggu lalu benar-benar mengecewakan.

Bayangkan, tiada siapa yang menunjukkan keikhlasan mereka untuk ketawa sewaktu peserta berusia 23 tahun itu sedang gigih membuat persembahan di atas pentas.

Apa yang dapat didengar dari sudut lain dalam studio itu hanyalah ketawa sinis segelintir penonton yang barangkali kasihankan Amir.

Walaupun persembahannya mendapat kritikan juri dan mengundang kebosanan di kalangan penonton, hakikatnya Amir tetap optimis dengan keputusan yang tidak berpihak kepadanya untuk meneruskan perjuangan.

"Saya tidak pernah memikirkan soal penyingkiran kerana ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi bakat saya di pentas Maharaja Lawak ini.

"Setidak-tidaknya saya dapat bertahan sehingga ke minggu ketujuh dan itu satu pencapaian yang memuaskan buat saya.

"Mengenai orang yang tidak faham dengan lawak saya untuk minggu silent comedy ini, ia terpulang kepada masing-masing untuk ketawa atau tidak. Saya memang buat persiapan rapi untuk minggu ketujuh ini.

"Apa yang saya nampak bukannya tidak ada orang ketawa. Masih lagi ada yang ketawa dan menerima lawak saya," katanya dalam nada yang cukup yakin.

Siapa tahu dengan kejutan terbaru yang diperkenalkan iaitu Maharaja Lawak Masuk yang hanya boleh diundi menerusi laman rasmi Maharaja Lawak di Facebook, membolehkan Amir meneruskan perjuangannya pada minggu ini.

Mengulas mengenai kejutan terbaru itu pula, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani menjelaskan ia merupakan perancangan yang telah dilakukan lebih awal.

Katanya lagi, seiring dengan prestij Maharaja Lawak, pihaknya mahu mempersembahkan sesuatu yang luar biasa bagi memastikan perjalanan program realiti itu cukup menarik untuk ditonton.

"Pihak kami membuat keputusan untuk melakukan pelbagai kejutan bermula daripada minggu keenam selaras dengan strategi kami untuk meletakkan program ini di tahap paling tinggi.

"Begitu juga dengan tema silent comedy ini yang berjaya memberikan pendekatan yang berbeza untuk program ini dan juga kepada para peserta.

"Dengan adanya tema seperti ini, ia dapat mencungkil lagi bakat dan kreativiti peserta untuk memberikan persembahan terbaik setiap minggu," kata Nizam lagi.

Dalam perkembangan lain, Nizam juga melahirkan rasa gembiranya apabila langganan untuk pakej Mustika terus meningkat sehingga 60 peratus sebaik sahaja Maharaja Lawak mula bersiaran bulan lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.