Adsense

Rabu, 18 Mei 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Siti kembali ke Indonesia

Posted:

Siti kembali ke Indonesia

Siti kembali ke Indonesia

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan SIMPLYSITI


SITI Nurhaliza akan kembali ke Indonesia bagi mengubat kerinduan peminatnya.


SEJAK penyanyi bersuara emas ini mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006, ramai yang mengandaikan popularitinya akan jatuh merudum.

Malah, tidak kurang juga yang mengatakan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak berupaya lagi mengekalkan kehebatannya sebagai seorang bintang ternama negara.

Namun, hampir lima tahun memegang status sebagai seorang isteri, nampaknya masih lagi tiada sebarang tanda yang membuktikan gelaran penyanyi nombor satu negara yang dipegangnya itu akan berpindah milik.

Tidak keterlaluan dikatakan, popularitinya terus memuncak dan kekal berada di tangga teratas biarpun Siti sendiri mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti seninya kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.

Apa jua yang diperkatakan tentang dirinya memang tidak dapat dinafikan lagi, Siti tetap menjadi pujaan peminatnya yang masih lagi mempercayai bakat istimewa yang dimilikinya itu.

Buktinya, Siti akan kembali ke Indonesia untuk mengadakan konsert bergerak di lima buah bandar untuk mengubat kerinduan peminatnya di bumi jajahan Belanda itu.

Lima destinasi yang akan dikunjungi Siti kelak adalah Bandung, Jogjakarta, Banjarmasin, Padang dan Jakarta.

Sudah pasti, ia merupakan khabar gembira buat peminatnya di Indonesia yang sekian lama mendambakan persembahan daripadanya.

Jika tiada aral melintang, Siti akan berlepas ke Indonesia menjelang pertengahan bulan Jun ini bagi memulakan konsert jelajah itu.

"Tawaran untuk konsert ini sebenarnya datang daripada penganjur dari Indonesia yang mahukan saya membuat persembahan di sana. Apabila melihat kesungguhan mereka itu membuatkan saya terbuka hati untuk menerima tawaran tersebut.

"Kebetulan pula, jadual saya tidak begitu padat buat masa ini dan memang sudah lama saya tidak membuat persembahan sebegini di Indonesia.

"Bukan itu sahaja, sewaktu berkunjung ke Bandung beberapa bulan lalu, peminat di sana memberitahu kehadiran saya telah mengubat kerinduan mereka.

"Jadi, daripada situ, saya fikir inilah masa terbaik untuk saya kembali ke Indonesia dan menghiburkan peminat saya," jelasnya yang kali terakhir mengadakan persembahan di Makasar pada tahun 2007.

Penyanyi berusia 32 tahun itu berkata demikian usai sidang akhbar Malam Gala SimplySiti yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Dekan Teknologi Kreatif dan Artistik selaku Pengurus Acara Malam Gala SimplySiti, Profesor Madya A. Razak Mohaideen.

Sepanjang 16 tahun menjadi seorang penghibur, populariti Siti bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara serumpun seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

Sehinggakan peminat Siti di Indonesia terutamanya, begitu taksub dan sayangkan Siti yang berjaya memukau mereka dengan suara emasnya.

Malah, sewaktu Siti berada di puncak kegemilangan sebelum berkahwin dulu, dia sudah berjaya mengadakan konsert jelajah di Indonesia dan mencatatkan kejayaan yang cukup sukses.

Untuk konsert jelajah itu kelak, Siti akan bertindak sebagai artis utama dan menampilkan artis undangan seperti Opick dan beberapa nama yang masih belum diputuskan.

Untuk konsertnya di Jakarta pula, berkemungkinan besar Siti akan bekerjasama dengan penerbit, komposer dan maestro muzik tersohor negara itu, Erwin Gutawa.

Bakal sibuk dengan persiapan konsertnya itu, apakah Siti akan melupakan niat untuk mengadakan konsertnya di negara ini seperti mana yang diimpikannya sejak tahun lalu?

"Sudah pasti saya masih lagi menyimpan hasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo. Insya Allah, kita tunggu selepas sambutan Aidilfitri kelak," ujar pelantun lagu Bila Harus Memilih dan Kau Kekasihku ini penuh optimis.

Dalam perkembangan lain, Siti juga berdebar menantikan reaksi peminat dan masyarakat terhadap album Inggeris pertamanya yang dijangka akan berada di pasaran bulan depan.

Ujar pemegang rekod untuk Vokal Wanita Terbaik AIM sebanyak 11 kali ini lagi, album berentak pop moden dengan suntikan muzik R&B itu memuatkan 10 buah lagu itu sudah pun siap menjalani proses mixing dan kini hanya tinggal untuk mastering di Australia.

Kerjasama dengan UiTM

BAGI meraikan sambutan ulang tahun pertama SimplySiti, Siti akan mengadakan persembahan istimewa dalam majlis gilang-gemilang yang akan berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM pada 9 Julai ini.

Diberi nama Malam Gala SimplySiti, acara yang berkonsepkan warna hitam dan emas itu turut menampilkan tiga artis popular negara iaitu Amy Search, Aizat dan Ana Raffali.

Istimewanya tentang malam gala ini apabila ia menyaksikan kolaborasi SimplySiti dengan UiTM dan akan menggunakan kepakaran tenaga pengajar serta pelajar dari empat fakulti seni kreatif di UiTM.

Empat fakulti itu adalah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Seni Lukis dan Seni Reka, Muzik serta Teknologi Kreatif dan Artistik.

"SimplySiti sepakat memilih UiTM kerana percaya dengan kebolehan dan kredibiliti mereka yang telah melahirkan ramai bakat yang sudah terbukti kehebatan mereka dalam bidang masing-masing.

"Bukan itu sahaja, pengguna SimplySiti juga kebanyakannya adalah dari kalangan remaja dan pelajar. Jadi, saya fikir kolaborasi ini adalah tepat," kata Siti yang akan menyarungkan busana rekaan pelajar jurusan fesyen pada acara yang akan dihoskan oleh penyampai radio Hot FM iaitu Faizal Ismail itu nanti.

Dalam masa yang sama juga, Malam Gala SimplySiti diadakan untuk mengumpul dana bagi Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa UiTM yang diwujudkan bagi membiayai pelajar berpotensi yang kurang untuk melanjutkan pelajaran ke UiTM.

Sebagai tanda sokongan, SimplySiti juga telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk tabung berkenaan pada sidang akhbar itu.

Bagi pihak dan pengguna tegar SimplySiti yang berminat untuk menghadiri malam gala ini, bolehlah menghubungi talian 03-5544 4860 atau melayari laman web, www.simplysiti.com.my.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berkongsi pelbagai rasa

Posted:

Berkongsi pelbagai rasa

Berkongsi pelbagai rasa

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my

FILEM Kongsi memungut RM1.08 juta pada hari pertama tayangan. Satu lagi rekod baru yang dicipta penerbit David Teo untuk industri filem tempatan.

Kejayaan ini secara tidak langsung menjadi satu gimik semulajadi untuk terus menarik penonton ke pawagam (termasuk saya yang gigih beratur membeli tiket).

Penonton berhak membuat keputusan sendiri kerana tujuan utama rebiu ditulis bukanlah untuk menjatuhkan atau menyekat keuntungan sesiapa. Sebaliknya, sekadar berkongsi pandangan kerana saya juga sebahagian daripada penonton.

Kongsi mengisahkan Tumulak, seorang pembunuh dari Thailand yang diupah ketua samseng, Kempedu untuk menimbulkan huru-hara di kalangan kumpulan kongsi gelap di Malaysia.

Huru-hara ialah kata kunci untuk filem ini kerana Farid Kamil selaku pengarah berjaya mencapai objektifnya dengan mencipta suasana yang serba kacau dan kelam kabut. Bagaimanapun, kekacauan itu membuatkan saya sedikit 'tersesat' dalam memahami jalan cerita.

Saya terpaksa membuat andaian sendiri (atau mungkin Farid memang sengaja ingin membiarkan penonton berfikir) sebab Kempedu melakukan sedemikian adalah untuk memasuki dan menguasai pasaran kongsi gelap di sini.

Berbekalkan sinopsis seringkas itu, Farid cuba mengisi durasi satu setengah jam dengan pelbagai aksi lagak ngeri dan jenaka. Bagi peminat setia Shaheizy Sam, Kongsi adalah satu pengalaman tontonan yang menyeronokkan kerana bintang paling popular itu mendominasi hampir setiap babak.

Sam membuktikan popularitinya bukan satu gelaran kosong apabila berjaya mewarnakan peranan Tumulak. Sebagai seorang pembunuh upahan, dia digeruni kerana jeling mata dan imejnya yang misterius. Namun, dalam masa yang sama dia ditertawakan kerana sikap cemerkap dan cepat gugup.

Sebenarnya karakter Tumulak boleh dikupas dengan lebih terperinci. Babak-babak imbas semula menunjukkan sisi sedih lelaki itu bagaimana dia terjebak menjadi orang suruhan Kempedu. Emosi rapuhnya tidak dimanipulasikan ketika Tumulak berdepan dengan ASP Sharif yang mengetahui sejarah hidupnya.

Konflik peribadi di antara Tumulak dan ASP Sharif sepatutnya mampu menjadi nilai tambah kepada plot penceritaan. Begitupun, Farid memilih untuk tidak memperbesar-besarkannya, sama ada bimbang ia menjadi terlalu dramatik ataupun membayangi label filem ini yakni aksi komedi.

Seperti mana filem pertama arahannya, V3: Samseng Jalanan (2010), Farid mempamerkan kepakaran dalam menghasilkan adegan-adegan pertarungan dan perkelahian.

Babak di Jalan Petaling boleh diperkemaskan lagi (kerana aksi melompat Sam dan Yana Samsuddin kelihatan jelas dibantu tali). Babak kejar-mengejar di antara Tumulak dan polis di jalan-jalan utama Kuala Lumpur patut diberi pujian.

Gerak kerja kamera yang pantas dan kelicikan Tumulak menimbulkan perasaan lucu dan debar dalam masa yang sama. Kelebihan babak kemuncak ini menutup beberapa kelemahan sinematografi pada awal filem, di mana terdapat adegan yang out of focus dan gambar kabur.

Jenaka yang dicetuskan agak menjadi walaupun Azad Jasmin nampak terlalu mencuba. Kemunculan pelawak veteran, Pie sebagai ketua kongsi gelap Melayu, walaupun sekejap tetapi mampu mencetuskan ketawa.

Dengan rencah lengkap seperti pelakon terkenal dan genre yang popular, Kongsi dengan mudahnya menang di pawagam. Dari aspek teknikal, ya, filem ini menampakkan kemajuan pengarah dan penerbit kita yang semakin berani serta berkemampuan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.