Berita Harian: Hip |
Posted: 17 May 2011 06:11 PM PDT Hip Farawahida DIA pernah berdepan dugaan yang bukan calang-calang insan mampu menghadapinya. Apatah lagi rantaian cerita sudah ditokok tambah hingga menyentuh soal maruah. Namun, Farawahida masih mampu tersenyum kerana yakin di luar sana ramai yang mengetahui perihal sebenar. Dua tahun berlalu, gadis berjiwa kental itu semakin tabah melayari arus kehidupan. Akuinya, pengalaman perit mengajarnya untuk lebih berhati batu, sekali gus terus kekar melangkah. Walau dalam hidup mahupun kerjaya, dirinya kini semakin berdikari. "Pengalaman cukup mendewasakan. Ia mengajar saya menjadi individu tabah, lebih bersemangat dan paling utama, percaya kepada kemampuan diri sendiri. Apabila menyelak semula episod lama, saat getir itu saya cuba tinggalkan kerana yakin kemanisan akan hadir juga."Syukur saya berjaya mengharungi semua kedukaan dengan bertawakal kepada-Nya. Perjalanan seni saya juga semakin dipermudahkan. Boleh dikatakan hari ini saya bertambah matang dan 'masak' dengan persekitaran," katanya yang baru menginjak usia 26 tahun. Berdepan dengan penyanyi ini, terserlah keyakinan, malah sesekali tawanya memecah kesunyian bagai tiada gelora bersarang di hatinya. Benar bagai dikata, gadis ini sedang melalui fasa bahagia baik dalam kerjaya, kehidupan mahupun dunia percintaan. Akui pemilik nama Farawahida Razali itu lagi, siapa yang mahu terus diulit sengsara semetelah selepas mendepani badai dunia yang cukup menusuk rasa, malah kala ini mulutnya bagai mahu menjerit kepada seluruh isi alam betapa kini dirinya tenang. Penerimaan itu melegakannya, malah ia akan disusuli rakaman single seterusnya kerana sebagai penyanyi, lagu baru cukup penting sebagai sandaran dalam setiap persembahan pentas. "Memang saya banyak membawakan lagu orang terutama artis seberang. Namun peminat menyukainya, cuma mereka masih bertanyakan dendangan terbaru. Kebetulan ketika saya berjumpa Manusia Putih, dia bertanyakan apa judul yang mahu saya berikan dan secara kebetulan saya jawab 'Jangan Tanya Aku Lagi'. "Seminggu kemudian dia memperdengarkan keseluruhan lagu itu. Memang tepat sekali dengan selera saya. Ketika rakaman, saya diberi kebebasan mencorakkan melodi dan seni katanya semula. Boleh dikatakan, dari awal pencarian bahan hingga proses rakaman, ia berdasarkan usaha sendiri," katanya yang menggunakan wang saku untuk menyiapkan lagu itu. Tidak hairan pengalaman itu membawa makna mendalam buat Farawahida, malah menguji kesabarannya yang sanggup mengumpul duit berdikit-dikit hasil persembahan demi merealisasikan impian, sekali gus tidak bergantung kepada album terdahulu. Kekasih beri dorongan Katanya, semangat jitu yang meresap ke dalam diri adalah hasil sokongan insan sekeliling terutama keluarga, peminat dan tidak ketinggalan insan tersayang, yang awalnya cuba dirahsiakan, kerana berasakan perhubungan mereka masih terlalu awal untuk diperkatakan. Akuinya, perkenalan ketika zaman sekolah kemudian membibitkan rasa tatkala mereka bertemu semula, bahkan hubungan yang mendapat restu seisi keluarga mula mekar sejak setahun lalu dan semakin dibaja supaya terus segar mengharum. "Biasalah dalam hubungan, ada pasang surutnya. Sifatnya yang begitu memahami dan menghormati orang tua cukup saya kagumi. Dia tidak mudah melatah apabila membaca desas-desus mengenai diri saya. Malah dialah sebenarnya antara penguat semangat untuk terus melangkah. "Soal jodoh saya serahkan kepada Yang Maha Esa. Siapa kita untuk menentukan masa depan. Kalau saatnya tiba nanti, ia akan datang juga. Sebagai gadis, tidak manis jika saya pula yang beriya-iya bercerita soal jodoh," katanya penuh bermakna. Berkongsi lebih lanjut berkaitan kerjaya seni, katanya, debaran di hati semakin berganda apabila hujung tahun ini lakonan sulung, menerusi filem Baik Giler! dijadualkan menemui khalayak. Filem itu diterbitkan Layar Dimensi Sdn Bhd. "Dalam filem itu saya menjadi teman wanita Zizan (watak Afik). Agak kekok apatah lagi saya sukar menahan ketawa melihat aksinya. Apa pun dia dan ramai lagi pelakon senior memberikan tunjuk ajar termasuk Esma Daniel, Awie dan Kenchana Dewi," ulasnya mengenai filem yang menggunakan Melaka sebagai lokasi utama itu. Begitupun, katanya nyanyian tetap berada di tangga teratas. Selepas ini, sama ada dia akan melangkah lagi ke arena lakonan tetap bergantung kepada maklum balas khalayak, sekali gus menjadikan Baik Giler sebagai penentu keputusan itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 17 May 2011 06:01 PM PDT Hip FAUZI bertukar-tukar dokumen bersama Abdul Wahab sambil diperhatikan Lisdawati. SEJAK mengambil keputusan untuk berkahwin sehinggalah menimang dua cahaya mata, pasangan suami isteri terkenal, Lisdawati dan Fauzi Nawawi tak habis-habis dilanda gosip. Paling kerap ditimbulkan adalah kisah kenakalan si lelaki. Khabarnya, walaupun sudah bergelar suami, Fauzi belum dapat meninggalkan tabiat hidung belangnya. Ada saja cerita kurang enak mengenai Fauzi singgah di telinga media sehingga menimbulkan tanda tanya, apakah pasangan ini sedang menghadapi krisis peribadi? Tidak cukupkah apa yang dikurniakan kepadanya sehingga lelaki ini sanggup berfoya-foya dan mahu menduakan isterinya. Ataupun cerita kenakalan Fauzi itu hanyalah sekadar gosip yang disebarkan semata-mata kerana ada yang tidak senang dengan kejayaan dan kebahagiaan mereka.Bertemu pasangan ini pada majlis pelantikan mereka sebagai jurucakap produk keluaran Vianco Natura di Restoran Puteri, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, persoalan itu turut diajukan kepada mereka. Mahu juga mendengar sendiri apakah komen Lisdawati dan Fauzi mengenai gosip yang jika terbukti kebenarannya, tidak mustahil mampu menggoyahkan kebahagiaan rumah tangga. Bagaimanapun, tiada sebarang reaksi negatif yang ditunjukkan pasangan ini sebaik saja soalan panas itu dikemukakan. Berpegang kepada prinsip berani kerana benar, kedua-duanya mengakui mereka saling percaya- mempercayai antara satu sama lain. Tegas Lisdawati atau lebih akrab disapa Lisda, sedikit pun dia tidak pernah meragui kesetiaan suaminya. "Saya tidak tahu gosip apa pula kali ini yang melanda rumah tangga kami, tapi apa yang boleh saya katakan, semua cerita seperti ini timbul disebabkan ada pihak tidak senang dengan kejayaan suami saya. Saya bukan bercakap kosong, sebaliknya apa yang saya katakan ini saya memang nampak sendiri dengan mata dan kepala saya," luah Lisdawati. Katanya, sepanjang mendirikan rumah tangga, Fauzi baginya masih sama seperti dulu dan tidak pernah berubah walau sekelumit pun. "Dia tidak pernah mengabaikan rumah tangga dan anak-anak. Sehingga kini kami sebenarnya masih menikmati zaman bulan madu, sama seperti zaman awal pernikahan. Saya tahu, ramai yang menganggap Fauzi nakal berdasarkan karakternya dalam setiap drama atau filem lakonannya, walhal di luar, dia sama seperti lelaki lain yang penyayang terhadap isteri dan anak," puji Lisda. Tidak persiakan kepercayaan isteri LELAKI ini hanya tertawa apabila kisah 'kenakalannya' itu menjadi bahan bualan ramai. Begitupun, jauh di sudut hatinya terselit juga rasa terkilan apabila masyarakat begitu mudah membuat penilaian tanpa cuba mengetahui duduk bangun perkara sebenar. Tegas Fauzi, walaupun ramai yang melihat dirinya lebih kepada sisi negatif, hanya dia yang mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Kebebasan yang diberikan si isteri tidak pernah disalahgunakan. "Orang melihat saya berdasarkan watak yang saya lakonkan di layar kaca ataupun di layar perak. Saya sedar, watak antagonis itu sebenarnya banyak mempengaruhi pandangan orang terhadap saya sehingga ada yang menyangka, bagaimana saya dalam TV, begitulah juga saya di luar. "Jangan mudah memberi tanggapan melulu. Sejak berkahwin, saya tidak pernah mensia-siakan kepercayaan yang diberikan isteri, selama ini. Orang boleh berkata apa saja terhadap saya, asalkan isteri saya tahu apa yang saya lakukan dan tidak pernah mempersoalkan kejujuran saya itu, sudah memadai," katanya. "Sejak awal tahun sehinggalah sekarang, saya sering ditawarkan watak komedi. Ia bagaikan perkembangan baru dalam kerjaya lakonan saya. Mungkin ada yang melihat mudah sebenarnya untuk membawakan watak komedi ini. Tapi bagi saya, nak bawa watak komedi sebenarnya lebih susah daripada watak antagonis. Nak buat orang benci memang mudah, tapi sukar untuk membuat orang ketawa," kata Fauzi yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama komedi berjudul Mat Latah. Mengulas tanggungjawab sebagai duta produk Vianco Natura pula Lisda berkata, tugas mereka adalah untuk memberi penerangan mengenai keistimewaan produk keluaran Bumiputera itu. "Kami akan terbabit dalam beberapa siri jelajah promosi yang sudah diatur penganjur. Dalam siri promosi ini, kami akan bercerita mengenai pengalaman menggunakan produk keluaran jenama itu. Macam saya, saya lebih kepada penggunaan produk pencuci bio detergent dan juga minuman kolagen, manakala suami adalah untuk produk Coffee Premix dan Teh Jus Lemon. "Sebelum bersetuju untuk menjadi duta, kami menggunakan produk berkenaan selama dua bulan dan ternyata produk ini memang banyak keistimewaan," katanya yang mengikat kontrak selama setahun bersama LS Associates (SEA) Sdn Bhd (LSA), pengeluar produk Vianco Natura. Terdahulu, Lisdawati dan Fauzi menandatangani perjanjian sebagai duta produk itu. Hadir sama, Ketua pegawai Operasi LSA, Datuk Abdul Wahab Abdul Hamid. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |