Utusan Online - Hiburan |
Posted: Khazanah duet Ramli SaripOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
IMPAK lagu Doa Buat Kekasih yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa pada tahun 1988 ternyata masih lagi utuh sehingga ke hari ini. Tanyalah kepada sesiapa pun, memang mereka tidak menafikan lagu itu memiliki nilai estetika yang cukup tinggi sehingga mampu menjadi sebuah karya klasik dan malar segar. Keharmonian paduan suara Papa Rock, Ramli Sarip dengan Datuk Khadijah Ibrahim menerusi lagu itu sekali gus telah berjaya meletakkan mereka sebagai pasangan duet yang cukup serasi. Begitu juga dengan gandingan mereka berdua menerusi lagu Ku Miliki Bayanganmu yang ternyata juga berada di dalam kelompok lagu-lagu malar segar yang terus mengharum. Barangkali akan ada yang bertanya apakah keistimewaan lagu itu yang masih terus segar dan diminati sehingga ke hari ini walaupun sudah lebih dua dekad. "Saya sendiri tidak menyangka lagu-lagu duet saya bersama Khaty (panggilan untuk Khadijah Ibrahim) mampu menjadi popular dan kekal segar sehingga ke hari ini. "Pokok pangkalnya, setiap karya yang saya hasilkan ia memerlukan kejujuran dan memiliki jiwanya yang tersendiri. Jika elemen ini ada dalam setiap lagu yang dicipta, nescaya ia mampu diminati dengan pantas dan kekal abadi dalam ingatan pendengar. "Malah, saya masih ingat lagi apabila kali pertama saya memainkan melodi ini di Kings Studio, Petaling Jaya, Selangor di hadapan komposer A. Ali dan Nash selain beberapa orang rakan. "Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Walaupun tanpa lirik dan hanya sekadar memainkan melodinya, ia telah merentap perasaan mereka dan membuatkan mereka mengalirkan air mata," cerita anak kelahiran Singapura ini mengimbau kenangan silam sebelum lagu Doa Buat Kekasih dihasilkan sepenuhnya. Vokalis kumpulan rock tersohor, Sweet Charity ini berkata demikian usai sidang akhbar pelancaran album Mutiara Zaman di Restoran Ibunda, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom serta barisan artis jemputan seperti Khaty, Jay Jay, Dayang Nurfaizah dan Ana Raffali. Untuk pengetahuan, album Mutiara Zaman merupakan sebuah kompilasi yang menghimpunkan lagu-lagu duet Ramli sepanjang bergelar anak seni. Menyambung bicara, Ramli menjelaskan, lagu Doa Buat Kekasih dicipta bagi mengembalikan irama pop Melayu di mana melodinya yang ringkas selain memenuhi ruang lagu duet yang semakin tandus ketika itu. "Ketika itu juga, tiada lagu duet yang benar-benar menonjol dan Doa Buat kekasih saya anggap sebagai perintis kepada konsep duet pada era itu. "Muziknya ringkas dan petikan gitar pada permulaan lagu itu memang satu tarikan sehingga ia menjadi satu trademark yang sukar dilupakan," kata Ramli yang pernah menghasilkan dua album duet bersama Khaty iaitu Ihsan (1990) dan Lagu Zaman (1992). Begitu juga dengan lagu Ku Miliki Bayanganmu yang memiliki aura blues rock yang cukup kuat sehingga ia menjadi putaran wajib setiap stesen radio sewaktu ia mula menjengah pasaran ketika itu. "Idea lagu itu tercetus selepas populariti lagu Up Where We Belong nyanyian Joe Cocker dan Jennifer Warnes. Sebelum mengundang Khaty, saya ada cuba untuk menyanyikannya bersama beberapa penyanyi wanita lain. "Namun, impaknya tidak sehebat Khaty dan hasilnya, ia menjadi siulan ramai sehingga ke hari ini," jelasnya lagi tentang dua buah lagu itu yang turut dimuatkan dalam album Mutiara Zaman. Dalam memilih pasangan duet kata Ramli, dia akui dia seorang yang cukup cerewet dan bukan mudah untuk memuaskan hatinya sebagai seorang komposer. Sebagai contoh, Ramli memilih Dayang untuk berduet dengannya untuk lagu Musafir Rindu selepas tertarik menonton persembahan penyanyi itu yang menyanyikan lagu asli dalam sebuah program hiburan. Bagaikan ada kuasa magnet yang menarik perhatian Ramli, tanpa menunggu lama, dia menawarkan peluang itu kepada Dayang. "Musafir Rindu sudah berada dalam simpanan saya sejak 10 tahun lalu dan mengikut perancangan awal, saya mahu berduet dengan Tan Sri S.M. Salim. Tetapi, memandangkan kesihatannya tidak mengizinkan, saya menangguhkannya. "Kredibiliti dan bakat Dayang membuatkan saya mahu berduet dengannya untuk lagu Musafir Rindu ini dan saya yakin akan dapat diterima dengan baik oleh peminat tempatan," ujar seniman berusia 58 tahun ini bersungguh sambil memberitahu judul asal Musafir Rindu adalah Hujan Malam. Hal yang sama juga berlaku apabila dia membuat keputusan untuk merakamkan lagu Sayang Abah bersama Ana Raffali yang disifatkannya sebagai sebuah karya yang sarat dengan mesej positif. Sewaktu kali pertama diperdengarkan dalam Bengkel Cipta Ekspres anjuran Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) tahun lalu, melodi lagu ciptaan Ana bersama Sohaimi Mior Hassan dan Altimet itu pantas menangkap telinganya. Mengulas tentang kelahiran album Mutiara Zaman, Ramli gembira kerana perancangannya hampir lima tahun lalu akhirnya direalisasikan dengan hasil usahasama syarikatnya, Rasa Music dan Warner Music Malaysia. "Khazanah lagu-lagu duet saya memang banyak dan inilah masanya untuk saya muncul dengan album ini. "Harapan saya agar generasi muda hari ini dapat menikmati serta menghayati setiap lagu dalam album ini yang memiliki mesej tersurat dan tersirat," katanya dalam nada mengharap. Dalam masa yang sama, kelahiran album Mutiara Zaman ini juga dianggap sebagai projek amal yang diinisiatifkan Ramli apabila menjalinkan kerjasama dengan YBK. Sebahagian daripada hasil penjualan album Mutiara Zaman akan disalurkan ke badan tersebut. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Dreamgirls versi MalaysiaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
APABILA memperkatakan tentang Dreamgirls, pasti ramai yang teringat akan kehebatan filem muzikal yang pernah ditayangkan di pawagam sekitar tahun 2006. Filem arahan Bill Condon itu membariskan pelakon popular seperti Beyonce Knowles, Jennifer Hudson, Jamie Foxx, Eddie Murphy dan Anika Noni Rose. Barangkali ada yang terlupa, sebenarnya Dreamgirls versi filem itu merupakan kisah yang diadaptasi daripada teater muzikal Broadway. Mula dipentaskan di Imperial Theater, Broadway, New York, Amerika Syarikat pada tahun 1981, Dreamgirls dengan pantas meraih populariti yang cukup meluas. Dibintangi oleh bintang terkenal dan hebat ketika itu terutama Jennifer Holliday sebagai Effie White, Dreamgirls dipentaskan di Broadway selama empat tahun. Kehebatan pementasan itu telah membuahkan hasil apabila dicalonkan untuk 13 kategori dalam Anugerah Tony pada tahun 1982 dan memenangi enam kategori termasuk Muzikal Terbaik. Kini, peminat Dreamgirls berpeluang menonton persembahan hebat ini apabila ia akan dipentaskan selama 11 hari di pentas bertaraf dunia, Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula 14 Julai depan. Sesungguhnya keberanian penerbitnya, Broadway Academy membawa karya agung ini ke Malaysia wajar dipuji kerana pastinya ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Apatah lagi, Dreamgirls akan memperlihatkan bakat-bakat tempatan dalam membawakan watak-watak ikonik pementasan yang cukup diminati ramai ini. Sebetulnya, ini bukanlah kali pertama Broadway Academy membawa pementasan Broadway ke negara ini dengan dibarisi pelakon tempatan kerana sebelum ini, mereka pernah mementaskan SHOUT! The Mod Musical tahun lalu. Penerbit dan Pengarah Broadway Academy, Casey Koh berkata, memang pihaknya sudah lama berhasrat untuk membawa Dreamgirls ke negara ini. Malah, dia sendiri telah berkunjung ke New York dan bertemu dengan pihak di sana untuk mendapatkan hak pementasan Dreamgirls di negara ini. "Namun, apa yang penting buat kami adalah untuk memberikan peluang kepada rakyat tempatan bagi menyaksikan persembahan yang saya sifatkan sebagai cukup hebat ini. "Kami telah berusaha bagi memastikan Dreamgirls akan berjalan dengan baik dan memberikan kepuasan maksimum kepada audiens serta peminat. "Atas alasan itu jugalah, kami telah memilih barisan pelakon terbaik yang kami percaya mampu menghidupkan watak masing-masing selain mahu menonjolkan bakat mereka yang barangkali tidak diketahui ramai sebelum ini," ujarnya bersungguh. Casey berkata demikian pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli serta Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani. Dalam majlis itu, pengumuman pengarah dan barisan pelakon juga telah dilakukan apabila Joanna Bassey akan mengarahkan teater muzikal itu. Sementara itu, kumpulan The Dreamettes dan The Dreams untuk pementasan ini akan ditunjangi oleh pengacara dan pelakon popular, Cheryl Samad sebagai Deena Jones, Azura Zainal (Lorell Robinson), Elvira Arul (Effie White) dan Ruzana Ibrahim (Michelle Morris). Pelakon lain termasuklah Tony Eusoff sebagai Curtis Taylor Jr., Dafi (CC White) dan Indi Nadarajah (Marty) serta Dina Nadzir dan Joy Shavini yang diumumkan sebagai pelakon gantian untuk watak Effie White dan Lorell Robinson. Hanya watak James "Thunder" Early sahaja yang masih lagi dirahsiakan kerana dikhabarkan, seorang pelakon yang memiliki nama besar akan membawakan watak itu. Dalam masa yang sama, Casey melahirkan rasa gembiranya apabila hasratnya untuk mementaskan Dreamgirls mendapat sokongan sepenuhnya daripada pihak JKKN. "Saya telah menyediakan jentera dan pasukan yang terbaik kerana mahu memastikan Dreamgirls akan mencipta satu fenomena baru di negara ini. "Saya amat puas hati apabila mendapat nama-nama besar untuk memastikan kelancaran pementasan ini kelak," kata Casey lagi yang tidak menafikan penyanyi terkenal seperti Ning Baizura, Nurul Wahab dan Jaclyn Victor turut hadir untuk uji bakat. Dalam masa yang sama, Casey juga mengumumkan Dreamgirls akan mengadakan persembahan jelajah di Asia Tenggara pada penghujung tahun ini dan awal tahun depan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |