Adsense

Selasa, 3 Mei 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Dimensi baru lakonan mereka

Posted:

Dimensi baru lakonan mereka

Dimensi baru lakonan mereka

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN dan ihsan TAYANGAN UNGGUL


FILEM Seru menggandingkan Nisha Dirr dan Sharnaaz Ahmad untuk kali pertama.


FILEM Seru arahan Woo Ming Jin dan Pierre Andre yang mula ditayangkan sejak 28 April lalu telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Apatah lagi dengan pendekatan baru, slasher horror movie yang ditampilkan dalam filem tersebut membuatkan ramai yang telah berpusu-pusu ke pawagam untuk menyaksikan karya seram ini.

Sudah pasti, dua bintang utama filem Seru iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nisha Dirr merupakan antara yang cukup teruja menanti kelahiran filem lakonan mereka itu di pawagam.

Dalam sesi fotografi yang berlangsung di ibu pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini, baik Sharnaaz mahupun Nisha, masing-masing berkongsi rasa tentang filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Hanamia Services Sdn. Bhd. itu.

Mahu terus raih peluang

PELAKON kacak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini boleh dikategorikan masih lagi baru dalam dunia lakonan.

Namun, nama Sharnaaz kini sudah mula meraih perhatian meluas lantaran populariti yang dikecapinya menerusi drama-drama tempatan seperti Dottie, Kum Kum, Ungunya Cinta, Penanggal, Ekspres Dania dan K.I.T.A Carefree.

Ditambah dengan wajah kacak yang dimilikinya menjadikan satu bonus untuk Sharnaaz lebih dikenali dan digilai oleh peminat hiburan tempatan.

Justeru, apabila diberi peluang membintangi filem Seru yang merupakan filem pertama lakonannya, Sharnaaz menganggapnya sebagai batu loncatan untuk terus meneroka bakat lakonannya.

Malah, dia juga mengakui cabaran berlakon filem lebih tinggi berbanding drama terutama pada aspek penghayatan.

"Saya bertuah mendapat bimbingan daripada Pierre yang banyak memberi input yang sangat berguna tentang dunia lakonan. Ternyata, dia tidak lokek untuk berkongsi apa yang dia miliki dengan mereka yang memerlukan.

"Sewaktu di lokasi, dia memang seorang yang tenang dan relaks namun, itu tidak bermakna dia tidak serius dengan kerjanya. Sehinggakan Pierre masih lagi boleh bersabar dengan saya semata-mata mahu merakamkan satu adegan saja dalam jangka masa tiga jam.

"Ada kalanya saya fikir saya sudah memberikan yang terbaik tetapi Pierre merasakan saya mampu menggandakan lagi mutu lakonan saya dalam menghidupkan watak Jeff.

"Antara yang paling sukar buat saya apabila saya harus menangis tetapi dalam masa yang sama perlu mengekalkan kejantanan saya. Pierre tidak mahu Jeff kelihatan sebagai seorang yang lemah walaupun berdepan dengan saat genting," cerita Sharnaaz dalam loghat utara sambil ketawa kecil.

Bukan seram biasa

BUKAN mahu memuji melangit hanya kerana dia membintangi filem seram itu, tetapi dia yakin Seru dapat diterima baik oleh masyarakat.

Bagi Sharnaaz, sudah tiba masanya penonton tempatan mula menerima santapan baru dan segar yang dihasilkan oleh pembikin filem di negara ini.

"Walaupun pendekatan yang ditonjolkan dalam Seru ini sudah digunakan dalam filem Hollywood seperti Quarantine dan Paranormal Activity, tetapi, saya percaya Seru mampu menambat hati audiens," katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama bersiri Kasih Alia yang akan ditayangkan di TV3 sepanjang bulan Ramadan nanti.

Nisha cabar diri

TIDAK keterlaluan dikatakan, peminat hiburan tempatan lebih melihat Nisha sebagai seorang aktres yang serasi dengan watak wanita gedik dan nakal.

Dalam masa yang sama Nisha tidak mahu dilabelkan sebagai pelakon stereotaip.

Sebagai seorang aktres yang hampir tujuh tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Nisha mahu terus mencabar dirinya dengan watak-watak yang lebih hebat.

Atas alasan itu, dia tidak teragak-agak untuk menerima tawaran berlakon filem Seru kerana merasakan watak Sari mampu melonjakkan dirinya ke satu tahap lebih tinggi sebagai pelakon.

"Bukan mudah sebenarnya untuk membawakan watak Sari kerana ia menuntut cabaran dan memerah tenaga saya semaksimum mungkin terutama untuk babak pergaduhan dengan Jeff selepas dia dirasuk.

"Sepanjang berlakon dalam filem ini, saya mendapat kepuasan kerana inilah kali pertama saya berpeluang membawakan watak seperti ini.

"Dengan bantuan Pierre, saya sudah memberikan yang terbaik seperti mana yang dimahukan beliau," ujar Nisha atau nama sebenarnya Nik Shahri'ah Nik Dir ini yang membuat kajian wataknya dengan menonton filem Quarantine.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

ADM kisah hidup siswi

Posted:

ADM kisah hidup siswi

ADM kisah hidup siswi

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar NASREEN PICTURES SDN BHD


KARMILA (kanan) terpengaruh dengan ajakan teman karibnya sehingga terjerumus ke lembah pelacuran.


Desakan hidup yang tinggi di kota sering kali menjadi perangkap maut untuk menjerat mereka yang mempunyai jati diri dan jiwa yang rapuh.

Kemewahan hidup yang ditaburi dengan wang ringgit dan barangan berjenama merupakan umpan yang paling berkesan dalam memerangkap para gadis yang bertandang ke ibu kota.

Umpan itu juga yang mampu membuatkan seorang anak membuang ibu yang melahirkan sehingga membiarkan ibu terkapai-kapai di kampung sendirian untuk meneruskan hidup.

Menyedari akan realiti kehidupan sedemikian yang sering menjerat siswi terjerumus ke lembah hitam, Nasreen Pictures Sdn. Bhd., tampil menonjolkan sisi gelap realiti sebenar kehidupan mahasiswi dalam drama Ampunkan Dosaku Mak (ADM) yang akan disiarkan di TV9 malam ini.

ADM menampilkan aktres Ellie Suriati sebagai Suhana, seorang ibu tunggal beranak satu yang ditinggalkan sendirian setelah anak gadisnya Karmila (Fouziah Gous) ke ibu kota untuk menyambung pengajian.

Kisah duka Suhana bermula apabila Karmila terpengaruh dengan gaya hidup mewah di kota dan sering meminta wang belanja daripada Suhana kononnya untuk kegunaan pengajian.

Tanpa disedari Suhana, Karmila sebenarnya telah hanyut dalam kehidupan di kota bersama teman lelaki yang sebenarnya sedang memerangkap Karmila untuk diserahkan kepada bapa ayam.

Namun perjalanan hidup Karmila lebih tragis apabila mengetahui bapa ayam yang merangkap dirinya itu adalah bapa kandungnya sendiri.

" ADM adalah sebuah cerita yang mengisahkan isu semasa yang telah lama wujud dalam masyarakat kita, cuma ia masih lagi tidak disedari dan dipandang serius oleh semua pihak.

" Ramai sebenarnya mahasiswi yang terpengaruh dan terperangkap dengan jalan hitam berkenaan dan ADM tampil untuk menyedarkan masyarakat kita mengenai situasi itu,"kata Nasreen Ngasri ketika dihubungi Hits baru-baru ini.

Nasreen ataupun lebih dikenali dengan panggilan Darling menegaskan, ADM adalah sebagai landasan untuk membuka mata masyarakat agar lebih prihatin dengan masalah sosial yang semakin membimbangkan itu.

Baginya, akibat mudah terpengaruh dengan gaya hidup mewah di kota merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai masalah yang lebih serius yang sedang menjerut leher generasi muda hari ini.

" Jika kita lihat semakin hari semakin ramai yang menjadi mangsa kemewahan ini dan sanggup terjun ke lembah pelacuran ataupun menjadi keldai dadah.

" Jadi sudah sampai masanya semua pihak untuk berganding bahu dalam menyelamatkan generasi muda ini agar mereka menjauhi jalan hitam," ujar kakak kepada Naszriah (Anne).

Mengulas tentang pemilihan Ellie dan Fouziah untuk meneraju ADM, Darling berkata, pemilihan dibuat setelah berunding dengan pengarah dan penggerak ADM lain.

Jelasnya, Ellie dilihat amat sesuai untuk menjiwai watak Suhana dan kolaborasi bersama Fouziah sebagai anak, pasti meninggalkan impak pada penonton.

" Ellie sesuai untuk menjiwai watak-watak berat seperti itu dan gandingannya bersama Fouziah telah berjaya menghidupkan ADM," ujar Darling.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.