Utusan Online - Hiburan |
Dari West End ke Istana Budaya Posted: Dari West End ke Istana BudayaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
APABILA memperkatakan tentang wanita ini, memang tiada yang mustahil mampu dilakukannya. Tidak keterlaluan dikatakan, Datin Seri Tiara Jacquelina boleh dianggap sebagai perintis kepada fenomena teater muzikal di negara ini. Lihatlah sahaja bagaimana Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) dan P. Ramlee the Musical mencipta kejayaan luar biasa dan mencetus fenomena baru dalam industri hiburan tempatan. Bukan sengaja memuji melangit tetapi kalau bukan kerana kesungguhan Tiara yang mahu memartabatkan industri teater muzikal di negara ini, rasanya sehingga kini mungkin masyarakat kita tidak akan mendapat gambaran sebenar tentangnya. Biarpun sibuk dengan teater muzikal The Secret Life of Nora yang akan dipentaskan pada September nanti, namun itu bukan satu penghalang untuk Tiara tampil dengan projek terbarunya iaitu West End Stars In Concert. Bukan calang-calang persembahan kerana konsert itu menggabungkan tiga nama besar di West End, London iaitu Stephen Rahman-Hughes, Ramin Karimloo dan Simon Bailey yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) selama dua malam berturut-turut bermula malam ini. Tidak ketinggalan, penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor atau Jac juga akan bersama dengan tiga jejaka kacak itu untuk sama-sama mengadakan persembahan. Kecuali Stephen Rahman, barangkali nama Ramin dan Simon cukup asing pada pendengaran masyarakat di negara ini. Lalu, apakah yang membuatkan Tiara begitu berani mempertaruhkan tiga nama ini dalam sebuah konsert? Lebih-lebih lagi, persembahan mereka kelak menampilkan lagu-lagu dari teater muzikal popular yang ada sebahagiannya kurang mesra di kalangan rakyat tempatan. "Saya mahu memberikan sesuatu yang baru kepada masyarakat dan penonton tempatan menerusi konsert ini. Kalau dilihat apabila kali pertama saya menerbitkan PGLtM, ia adalah satu risiko besar. "Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, industri teater muzikal di negara ini semakin berkembang pesat dan masyarakat juga sudah semakin serasi dengannya. "Disebabkan itu, saya mahu membawa penonton untuk melihat skop teater muzikal itu sendiri yang sebenarnya cukup luas seandainya kita mengkajinya dengan mendalam. "Kekuatan sebuah teater muzikal itu terletak kepada lagu-lagunya yang mampu mencengkam emosi sehingga ia terngiang-ngiang di telinga kita walaupun pementasan sudah berakhir. "Justeru, saya mahu penonton menikmati dan terhibur dengan konsert ini yang saya percaya mampu meninggalkan momen manis buat mereka," ujarnya panjang lebar tentang konsert yang diterbitkan oleh syarikatnya, Enfiniti Vision Media itu lagi. Tiara berkata demikian dalam sesi fotografi bersama tiga bintang West End itu di kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Jelasnya lagi, tujuannya menerbitkan West End Stars In Concert adalah untuk memberi peluang serta mendedahkan kepada rakyat negara ini untuk menikmati alunan indah lagu-lagu popular daripada beberapa teater muzikal popular dunia. "Kalau mereka tidak dapat melihat sendiri persembahan di West End, jadi tidak salah untuk saya membawa West End ke Malaysia bukan.? "Inilah peluang terbaik untuk mereka menonton dan menikmati persembahan daripada tiga nama besar West End. Bukan mudah untuk membawa mereka ke sini dan digabungkan dalam satu persembahan. "Siapa sangka, Ramin yang merupakan pemeran watak Phantom dalam pementasan The Phantom of the Opera dan sekuelnya, Love Never Dies sanggup berehat seketika untuk melibatkan diri dalam konsert ini," ujar Tiara yang begitu mengagumi bakat Ramin sejak kali pertama menonton aksinya dalam dua pementasan itu di London. Begitu juga dengan pemilihan Jac yang disifatkan Tiara sebagai membawa aroma baru dalam konsert tersebut dengan kehebatan vokalnya itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Rahim pertahan protegeOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
KOMEN yang agak keras dilontarkan juri professional sedikit pun tidak mengguris perasaan mentor kepada Aiman, Rahim Maarof yang merasakan persembahan protege kesayangannya itu tidak sedikitpun merencatkan jangkaannya. "Mungkin Datuk Ramli MS terkejut melihat Aiman menyanyikan lagu rock memandangkan sebelum ini Aiman tidak pernah membawa genre ini. "Bagi saya persembahan Aiman itu sudah boleh dikira terbaik jika hendak dibandingkan dengan pengalamannya yang tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian sebelum ini," jelasnya ketika ditemui selepas konsert Mentor kumpulan B baru-baru ini. Dalam konsert berkenaan Aiman mendapat komen yang kurang baik daripada juri tetap Mentor, Datuk Ramli MS apabila menyatakan vokal Aiman bukan ke arah rock Namun bagi penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Kristal itu, apa yang dilakukannya adalah cuba mendedahkan Aiman dengan muzik rock. Baginya, apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan Aiman dalam usaha mempelbagaikan variasi genre lagu yang boleh dinyanyikan. "Sebenarnya dalam usaha untuk menyesuaikan lagu dan suara Aiman, kami telah berbincang bersama dalam memilih lagu untuk konsert ini. "Bagaimana pun bagi menyesuaikan lagu dan suara Aiman, sedikit perubahan telah dilakukan dan mungkin apa yang dilihat oleh Ramli itu merujuk kepada lagu Holy Diver. Lagu itu sememangnya agak sukar untuk dinyanyikan," ujarnya. Bagaimana pun bagi Rahim, suara dan vokal Aiman mempunyai keunikan tersendiri, cuma ia belum tahu bagaimana untuk mengawal dan menggunakannya. Walau apa pun, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Aiman membuatkan Rahim tambah bersemangat untuk memberikan yang terbaik. Sementara itu, Aiman merasakan apa yang diluahkan oleh Ramli MS adalah sesuatu yang baik dan dia akan mengambilnya sebagai pengajaran dan berusaha memperbaiki kelemahan. "Saya akan cuba yang terbaik lagi untuk konsert seterusnya dan yang paling penting saya akan cuba untuk mengejar kedudukan peserta lain. "Bagi saya yang penting jangan berputus ada dan sentiasa memberikan yang terbaik," ujarnya. Walaupun persembahan Aiman tidak berjaya mencairkan hati Ramli MS, Aiman tetap diberikan pujian oleh juri undangan konsert malam itu, Mas Idayu. Bagi Mas Idayu beliau menyukai persembahan Aiman dan sukakan keserasian yang ditonjolkan oleh Aiman ketika berduet dengan Shiha mendendangkan lagu Aku Dan DiriMu nyanyian asal Ari Lasso dan Bunga Cinta Lestari. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |