Adsense

Isnin, 25 April 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Cerita hati Lisa

Posted:

Cerita hati Lisa

Cerita hati Lisa



IMEJ bersih dan sopan-santun yang dimiliki aktres Lisa Surihani tidak menjanjikan yang dia bebas daripada gosip-gosip panas rencah dunia hiburan.

Sejak terjun ke dunia lakonan, Lisa pernah digosipkan dengan beberapa aktor seperti Farid Kamil dan Shaheizy Sam.

Bagaimanapun, gosip-gosip itu berlalu begitu sahaja dan Lisa seperti biasa memilih untuk berfikiran positif kerana mengerti itulah permainan yang perlu diharunginya tatkala membuat keputusan untuk menjadi seorang pelakon.

Terkini, tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba sahaja muncul cerita yang Lisa kini sedang intim bersama pelakon, penyanyi dan pengarah filem Merong Mahawangsa, Yusry Abdul Halim.

Tertawa di corong telefon saat diajukan gosip terbaru itu ketika dihubungi minggu lalu, Lisa tidak mengelak mahupun menafikan berita itu. Sebaliknya dia mengaku yang dia memang sedang berkawan dengan Yusry.

"Ya, saya tidak nafikan yang saya berkawan dengannya (Yusry). Sebenarnya kami sudah kenal lama dan sering berbual menerusi BBM (BlackBerry Messenger) tetapi kami mula keluar dan rapat sejak dua bulan yang lalu," ujarnya.

Sambung Lisa lagi, desas-desus kononnya dia bercinta dengan Yusry semuanya bermula apabila mereka dilihat duduk bersebelahan ketika tayangan filem Seru yang diadakan pada awal bulan ini.

"Saya dijemput ke majlis tayangan perdana filem itu, tapi kami pergi berasingan dan jumpa di sana. Saya hadir bersama ibu dan abang saya. Dia duduk di sebelah saya, mungkin sebab itu orang mula berkata.


LISA sangat rapat dengan ibunya yang sentiasa mengiringinya ke mana sahaja.


"Bagi saya, tidak ada sebarang masalah untuk dia duduk di sebelah saya kerana dia kawan saya. Mungkin dia solo dan saya solo, orang mula berkata," katanya.

Walaupun begitu tegas Lisa, dia berharap hubungannya dengan Yusry tidak disalah erti mana-mana pihak.

"Kami baru berkawan rapat dalam dua bulan, saya berharap daripada situ orang boleh faham secara logiknya hubungan kami hanya sekadar kawan sahaja.

"Ya, memang kami ada keluar menonton wayang dan lepak bersama tetapi setiap kali keluar saya pasti ditemani ibu atau teman yang lain," balasnya.

Jodoh dengan Yusry

Lisa dalam pada itu enggan berselindung mengatakan bahawa dia selesa berkawan dengan Yusry. Malah, setiap kali berjumpa banyak topik yang boleh dibincangkan bersama.

"Secara jujur saya tidak melihat berkawan dengan Yusry merupakan satu kesalahan. Kami boleh borak macam-macam, daripada filem sehinggalah ke isu semasa.

"Dia lebih dahulu bekerja dalam bidang seni, jadi banyak soalan yang saya ajukan kepadanya, memang kami serasi. Saya selesa berkawan dengannya, bagi saya dia seorang yang bijak dan mempunyai misi serta visi dalam hidupnya," tuturnya.

Disoal lagi, andai pada masa depan dia mempunyai jodoh dengan Yusry adakah dia akan menerimanya memandangkan umur mereka begitu jauh berbeza. Yusry 37 tahun dan Lisa 25, ditambah pula dengan Yusry yang berstatus duda.


YUSRY mengakui tertarik dengan karakter dan personaliti Lisa.


Lisa dengan tenang menjawab, dia tidak kisah andai dipertemukan jodoh dengan duda dan lelaki yang lebih berusia kerana itu semua ketentuan Allah.

"Jodoh terletak di tangan Allah, kalau itu jodoh saya yang telah ditentukan, saya terima. Kalau bercakap tentang umur, saya tidak ada sebarang masalah kerana saya sudah biasa dikelilingi lelaki berusia.

"Abang-abang saya berusia 35 dan 36 tahun, kebanyakan sepupu dan kawan saya dalam lingkungan usia itu. Sebab itu saya rasa, saya boleh masuk dengan orang yang lebih berusia daripada saya. Tetapi untuk bercakap soal jodoh bagi saya masih terlalu awal," tuturnya.

Apabila disoal sama ada ibu mengetahui yang dia kini berkawan dengan Yusry, kata Lisa masakan ibunya tidak tahu kerana ke mana sahaja dia pergi pasti diiringi ibunya.

"Mummy orang paling rapat dengan saya, ke mana sahaja saya pergi pasti ditemani mummy, kalau saya tidak beritahu pun, dia akan tahu juga," luahnya yang baru sahaja selesai penggambaran filem berjudul Papa, I Love You.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Belum ada tarikh kahwin - Yusry

Posted:

Belum ada tarikh kahwin - Yusry

Belum ada tarikh kahwin - Yusry

KERJAYA seni Yusry dilihat sama naik dengan gosip-gosip cintanya. Sebelum ini nama Yusry dikaitkan dengan Maya Karin dan Kilafairy, bagaimanapun kedua-dua wanita itu hanya berlalu dalam gosip.

Yusry mengaku yang dia agak rimas dengan gosip-gosip sebelum ini kerana semuanya tidak benar.

"Saya rimas kalau gosip itu tidak benar. Dulu masa gosip dengan Maya, banyak kali saya cakap bahawa saya dengan dia hanya kawan biasa sahaja. Kes Kilafairy lagi saya tidak tahu macam mana boleh timbul isu itu sebab memang tidak benar sama sekali," ujarnya.

Namun berbeza pula dengan gosip cintanya bersama Lisa Surihani, Yusry tanpa segan silu mengaku yang dia kini sedang berkawan rapat dengan Lisa.

Malah, sebagai lelaki, Yusry mengaku yang dia tertarik dengan karakter dan personaliti Lisa.

"Sudah hampir dua bulan saya rapat dengannya dan dalam proses mengenali hati budi. Kalau dulu saya hanya berborak di BBM (BlackBerry Messenger) dan tidak tahu perangai sebenarnya tetapi sekarang saya tahu dia seorang wanita yang matang walaupun usianya jauh lebih muda daripada saya," katanya.

Tambah bekas suami kepada penyanyi dan pelakon Erra Fazira itu, dia selesa berada di samping Lisa kerana meskipun Lisa seorang wanita yang sopan santun tetapi dia memiliki pengetahuan yang luas.

"Kalau berjumpa, rancak juga kami berbual. Saya boleh sembang macam-macam dengan dia, walaupun nampak ayu tetapi dia boleh bersembang mengenai bola, kebetulan saya pula peminat pasukan Manchester United, jadi lagi seronoklah kami bersembang," ucapnya.

Sungguhpun begitu tegas Yusry, masih terlalu awal untuk berbicara lebih jauh mengenai hubungannya dengan Lisa kerana mereka baru sahaja berkawan.

"Untuk bercakap lebih-lebih saya rasa belum lagi kerana kami baru dua bulan berkawan rapat. Saya juga tidak akan berselindung kalau saya benar-benar suka seseorang wanita kerana saya bukannya lagi artis yang kena menjaga pasaran," katanya dalam tawa.

Apabila disoal adakah keluarganya mengetahui mengenai hubungannya dengan Lisa, jawab Yusry: "Keluarga saya tahu tetapi saya belum lagi bawa Lisa jumpa keluarga saya tetapi mereka pernah terserempak dengannya dalam beberapa acara. Ibu saya juga tidak mengawal dengan siapa saya berkawan kerana saya bukannya muda lagi.

"Saya juga tidak tetapkan bila saya mahu berkahwin lagi, belum ada tarikhnya (ketawa). Jika benar saya sudah bertemu dengan wanita yang benar-benar sesuai untuk dijadikan isteri, saya tidak akan tunggu lama-lama, saya akan kahwin terus."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Justin boleh menyanyi - Demoura

Posted:

Justin boleh menyanyi - Demoura

Justin boleh menyanyi - Demoura

SEHARI sebelum konsert jelajah dunia Justin Bieber di Kuala Lumpur, berlangsung di Stadium Merdeka, Kosmo! berpeluang menemu bual salah seorang penari yang mengiringi persembahan Bieber pada konsertnya itu.

Nick Demoura, 18, merupakan penari hip hop profesional kelahiran Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat dan kini menetap di Los Angeles, California.

Dia berpengalaman terbabit dalam pelbagai projek persembahan tarian seperti Monsters of Hip Hop, Road Trip dan pelbagai muzik video untuk saluran Disney dan Nickelodeon.

Demoura yang menimba pengalaman dengan nama-nama tersohor dalam bidang tarian seperti Kevin Maher dan Tabita & Napoleon pernah menjadi pembantu koreografer untuk konsert kumpulan New Kids on the Block pada tahun 2008, konsert penyanyi Jojo (2007), program tribute Janet Jackson di saluran MTV, America' s Best Dance dan persembahan Bleeding Love dalam program realiti tarian popular di TV, So You Think You Can Dance.

Demoura juga pernah muncul dalam beberapa buah filem termasuk Prom Night, Dance Flick dan Step Up 3D.

Dia kini menjadi tenaga pengajar di studio tarian milik penari legenda Debbie Reynolds, Millennium Dance Complex di Los Angeles,

Selain ketika ini menyertai konsert jelajah dunia Justin Bieber, terkini, Demoura juga telah menjadi koreografer untuk pusat permainan video tarian Xbox.

Berikut sedutan temu bual dengan Demoura sempena Hip Hop Dance Workshop Showdown Tour Dance with Nick Demoura yang turut diselanggara oleh 8TV yang berlangsung di Celebrity Fitness, Lot 10 Kuala Lumpur pada Rabu, 20 April lepas.

Bilakah anda mula-mula mengetahui bahawa anda berbakat dan mempunyai minat yang mendalam terhadap tarian?

Saya fikir ia bermula sejak saya masih kanak-kanak lagi kerana saya sering menonton persembahan idola saya, Michael Jackson. Ketika zaman kanak-kanak, saya biasa menari pada majlis-majlis keluarga dan perkahwinan, Kemudian pada usia 15 tahun, saya pergi ke New York bersama rakan saya untuk menimba ilmu di kelas tarian dan ketika itulah saya tahu apa yang saya mahu lakukan sebagai karier di masa depan.

Bagaimana dengan sokongan keluarga?

Ibu saya memang gemar menari, namun bapa saya pula mahu saya bekerja dengan syarikatnya dan dia sangat kecewa pada mulanya apabila mendapat tahu saya ingin menjadikan tarian sebagai karier saya, tetapi kini tidak lagi. Saya terharu apabila bapa datang menonton persembahan saya di Boston buat pertama kalinya.

Siapakah pengaruh terbesar anda dalam bidang tarian?

Ramai sebenarnya tetapi salah seorang daripada mereka sudah tentulah Michael Jackson. Saya mempunyai ramai rakan-rakan yang merupakan antara penari terbaik di dunia seperti Bob Fosse. Saya banyak belajar daripada mereka.

Apakah pandangan kurang tepat terhadap golongan penari?

Pada setiap masa, para penari memakai kostum yang aneh dan penari hip hop seperti saya pula ada yang sangka dari golongan gangster. Ada pula yang fikir, menari bukan suatu pekerjaan, tetapi realitinya sesetengah daripada kami memperoleh wang yang lebih banyak berbanding mereka yang mempunyai pekerjaan tetap di pejabat.

Bagaimana anda melihat diri anda sebagai seorang penari?

Saya memperoleh kemahiran tarian saya dari jalanan. Saya sentiasa mahu menjadi unik dan asli. Saya pernah mengunci dirinya setiap hari dalam studio selama berjam-jam untuk melihat apa yang tubuh saya mampu lakukan. Saya sentiasa mahu belajar benda baharu dan pada hari saya tidak bekerja pun, saya akan menjadi pengajar tarian.

Apa nasihat anda kepada bakal-bakal penari di luar sana?

Lakukan ia (tarian) kerana anda mencintainya. Jika anda fikir anda mahu melakukannya, anda perlu melakukannya.

Di mana anda dalam tempoh lima tahun dari sekarang ini?

Saya sudah menjadi pengarah ketika itu. Kenyataannya saya sudah menghasilkan banyak filem pendek dalam YouTube. Saya mahu menjadi pengarah tidak kiralah untuk filem, video muzik dan apa sahaja atas nama kreativiti. Malah, saya juga berminat dengan pengurusan props, khususnya pencahayaan untuk konsert, terutama selepas saya mencecah usia 40 tahun dan tidak lagi segagah sekarang ini untuk menari di lantai tarian.

Jika anda bukan penari, apakah pekerjaan anda?

Ketika saya kanak-kanak saya juga pernah bercita-cita menjadi juruterbang tentera udara.

Bagaimana pengalaman bekerjasama dengan Justin Bieber?

Justin seorang yang cepat belajar. Dia sangat fokus. Saya suka bekerjasama dengan Justin kerana dia seorang sangat berbakat. Bila dia bermain keyboard, dia sememangnya berkebolehan bermain keyboard, dan apabila dia memetik gitar, dia sememangnya boleh bermain gitar.

Justin tidak seperti sesetengah penyanyi yang tidak berkebolehan bermain alat muzik, malah ada yang sesetengahnya yang tidak boleh saya sebut namanya langsung tidak boleh menyanyi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.