Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sibuk jadi pelatih produksiSESI fotografi khas bersama Kosmo! kali ini sedikit berbeza daripada kebiasaannya, apabila aktres dan penyanyi Liyana Jasmay terpaksa mencuri masa daripada penggambaran filem Aku, Kau dan Dia arahan Pierre Andre. Bagaimanapun, penglibatan Liyana bukan sebagai pelakon sebaliknya sebagai pelatih yang menjalani latihan praktikal di syarikat perfileman Tayangan Unggul Sdn. Bhd. Meskipun hadir sedikit lewat daripada waktu yang dijanjikan, Liyana tampil dengan riak wajah gembira dan segera memohon maaf atas kelewatannya itu. "Saya tidak sampai hati mahu tinggalkan set penggambaran kerana terlalu banyak pelakon tambahan yang perlu dijaga. Sebab itu saya sedikit lewat," katanya. Dalam tempoh tiga bulan, bermula pertengahan Mac lalu, rutin hariannya berubah sama sekali daripada kebiasaan. Melupakan sebentar statusnya sebagai pelakon, jadualnya terikat sama dengan jadual filem yang sedang berjalan. Akui Liyana, sebelum menjalani latihan praktikal 1000 macam perkara bermain di minda. Bimbang dengan kerja yang dilakukan serta penerimaan orang sekeliling, ternyata kini, Liyana mempunyai masa yang cukup seronok. Malah, dia juga tidak lupa komitmennya sebagai seorang pelatih dan melakukan sesi fotografi sepantas yang mungkin. "Saya kena kembali semula ke set penggambaran, ada kerja," balasnya dengan senyuman. Latihan praktikal Pelakon ini dengan penuh teruja bercerita mengenai pengalamannya menjalani latihan praktikal demi memperoleh diploma daripada Kolej Sunway, Petaling Jaya, Kuala Lumpur dalam jurusan seni persembahan dan media sekitar hujung tahun ini. "Pengalaman paling menarik bila mula-mula saya datang ke set penggambaran filem, semua krew ingat saya yang akan berlakon. "Bila saya cakap saya buat latihan praktikal mereka semua terkejut. "Dulu saya yang sibuk hafal skrip dan tidak memikirkan perkara lain selain lakonan tetapi sekarang saya yang harus memastikan penggambaran berjalan lancar," ujarnya. Tambah gadis berusia 23 tahun itu lagi, disebabkan dia telah bekerja dalam industri filem sejak usia sembilan tahun, tidak sukar buatnya untuk melakukan kerja-kerja belakang tabir. Malah, dia dihormati sebagai salah seorang pekerja di sana. KATA Liyana dia seronok terlibat dalam pengurusan belakang tabir untuk menambah ilmu di dada. "Sebenarnya saya agak cemas sebab bimbang kena buli dan bermacam-macam lagi. "Namun bila saya sudah menjalani latihan praktikal, semua orang sangat menghormati dan amat mudah untuk saya bekerja kerana saya mengenali kebanyakan kru yang terlibat di belakang tabir," katanya yang bertanggungjawab sebagai pembantu pengurus produksi dan pembantu produksi. Sambungnya lagi, menjalani latihan di sebuah syarikat perfileman merupakan persediaan buatnya yang mempunyai impian untuk membuka sebuah syarikat produksi miliknya sendiri pada masa depan. "Selain saya belajar untuk dapatkan diploma, saya juga belajar cara-cara pengurusan sebuah produksi dan mengetahui dengan lebih mendalam perjalanan sesebuah produksi filem. "Sebenarnya ini bagus untuk saya, sebab saya ada impian untuk memiliki sebuah syarikat produksi. "Sebelum saya boleh merealisasikannya, saya harus timba pengalaman di tempat orang dan memahami perjalanan sebuah produksi. "Kalau dulu saya hanya berlakon dan tidak ambil peduli tentang pengurusan, sekarang saya dapat belajar banyak benda baru serta belajar memikul tanggungjawab yang diamanahkan," katanya panjang lebar. Walaupun sibuk dengan latihan praktikal, itu tidak membataskan Liyana untuk meneruskan kerjaya lakonannya. Masih sempat mencuri masa untuk promosi filem seram terbarunya Senjakala, Liyana juga akan terlibat dengan penggambaran filem Papadom 2 sekitar bulan April depan. "Nasib baik saya buat praktikal di Tayangan Unggul dan mereka yang menerbitkan filem Papadom 2, jadi tidak ada masalah untuk saya buat praktikal dan bekerja sebagai pelakon dalam masa yang sama," katanya lagi. Ajal dan kiamat Awal Mac lalu, selama dua minggu, Liyana bersama ibunya serta keluarga abang iparnya berada di Mekah kerana mengerjakan umrah. Itu merupakan umrah kali kedua buat Liyana. Meskipun masih muda, tegas Liyana itu bukan alasan untuknya tidak menjejakkan kaki ke tanah suci. Dia cukup senang sepanjang berada di sana, malah disifatkan sebagai tempat paling aman dan tenang buatnya. "Selalu orang akan buat persepsi umrah dan haji hanya untuk orang tua. Ada juga orang yang takutkan saya kenapa nak pergi Mekah, nanti mesti ada benda yang akan jadi. Sebenarnya itu salah, mengikut kata jurupandu yang membawa kami di sana, kebanyakan orang tidak mahu ke Mekah kerana belum bersedia. LIYANA kembali berpasangan dengan 'hero' lamanya, Zahiril Adzim dalam filem Senjakala. "Sedang hakikat sebenarnya, orang yang banyak buat dosa patut pergi, minta keampunan daripada Allah. Alhamdulillah, saya tidak menghadapi sebarang masalah di sana, saya mempunyai masa yang cukup seronok," tuturnya. Jelas Liyana, ketika usia masih mudalah sepatutnya pergi Mekah kerana masih mempunyai kekuatan untuk berjalan dengan mengerjakan umrah atau haji. "Umrah dan haji bukan untuk orang tua sahaja tetapi untuk semua orang tidak kira usia. Saya bersyukur kerana dapat jadi tetamu Allah pada usia ini, bukan semua orang yang dapat jemputan untuk ke sana. Ramai orang kaya yang belum sampai ke Mekah sedangkan tempat lain sudah mereka lawati. "Jadi, jika berkemampuan dan mempunyai rezeki, apa salah melawat Mekah. Kita juga tidak tahu bila ajal dan kiamat, sekarang pun tanda-tanda kiamat kecil sudah mula kelihatan. Kalau tua, belum tentu larat untuk melakukan semua perkara di sana," balasnya. Kata Liyana lagi, jika berkesempatan dan mempunyai rezeki, dia ingin menjadikan Mekah sebagai destinasi tahunannya untuk dilawati, bagaimanapun dia belum bersedia untuk menunaikan haji. "Saya rasa dalam hati semua orang yang beragama Islam mesti nak ke Mekah, saya sudah lakukan umrah manakala haji saya belum bersedia. Saya sudah simpan niat yang saya akan menunaikan haji selepas saya berkahwin dan pergi bersama suami. Kalau boleh saya ingin buat haji sebelum usia 40 tahun," ceritanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Luka dan senyuman Allahyarham Seri Bayu Posted: Luka dan senyuman Allahyarham Seri BayuOleh SAHLIZAH MOHAMED
"LUKAKU simpan dalam senyuman, hati menangis tak siapa yang tahu" - itu antara bait lagu terakhir yang ditulis oleh komposer berhati waja Seri Bayu, Sebelum Aku Pergi, kira-kira dua minggu lalu sebelum dia dijemput Ilahi. Rahsia Allah tiada siapa yang dapat menebak. Apabila sampai seru-Nya, maka selamat tinggal duniawi. Sekitar pukul 8.30 malam kelmarin di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, berakhirlah penderitaan dan sengsara yang dialami selama enam tahun oleh penulis lirik lagu terkenal pada tahun 1980-an, Seri Bayu. Allahyarham Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik dijemput mengadap Ilahi pada usia 45 tahun dan sekali gus menyebabkan industri seni suara telah kehilangan seorang penulis lirik yang berbakat dengan hasil sentuhan magisnya. Semasa hayatnya, Seri Bayu merupakan seorang penulis lirik yang berbakat yang telah menghasilkan lebih 2,000 lagu dan penyanyi yang pernah membawakan hasil nukilannya bukan calang-calang nama seperti Fauziah Latiff, Francissca Peter, Anita Sarawak dan Jamal Abdillah. Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali dan melalui perkahwinan pertama telah dikurniakan lima orang anak sebelum bercerai pada tahun 2002. Seri Bayu kemudian melalui perkahwinan kedua bersama penyanyi Dayang Erema Zaira Awang Moshdad dari Kuching, Sarawak pada 19 Disember 2006. Namun langit tidak selalu cerah. Kehidupan penulis lirik kelahiran Singapura itu berubah selepas penyakit saraf yang dihidapi pada tahun 2004 menjadi antara punca Erema ingin menuntut fasakh ekoran Seri Bayu gagal menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami.
Erema dilaporkan mula menuntut cerai daripada Allahyarham di Mahkamah Syariah Petaling Jaya pada awal November tahun 2008. Seri Bayu yang baru dua bulan menetap dengan keluarga angkatnya di Kampung Teluk Pelanduk, Negeri Sembilan selamat disemadikan di tanah perkuburan berhampiran tempat tinggalnya semalam. Sementara itu, Erema yang dihubungi memberitahu, dia diberitahu tentang pemergian Seri Bayu malam kelmarin melalui salah seorang teman Allahyarham. Dalam pada itu, deejay SuriaFM, Roslinda Abdul Majid atau Deejay Lin ketika dihubungi Kosmo! berkata, berita pemergian insan yang sangat dihormati dan dikagumi itu amat memeranjatkan dirinya dan seluruh tenaga radio berkenaan. "Saya memang sangat terkejut dengan berita pemergian arwah kerana saya baru berjumpa dengannya pada Khamis lalu (31 Mac) di pejabat SuriaFM. Arwah hadir untuk memberikan lagu terbaharu ciptaannya, Sebelum Aku Pergi yang ditulis khas buat anak angkatnya, Nazira Abdul Ghani, 16. "Ia amat menyedihkan, tetapi pada masa yang sama, saya bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk berjumpa dengannya buat kali yang terakhir," katanya lagi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Paris mengaku ikon fesyen
DIA langsung tidak kisah sekiranya dikatakan cuba meniru gaya selebriti yang semakin menyinar, Kim Kardashian. Bagaimanapun, Paris Hilton yang mewarisi empayar perniagaan keluarganya mengakui bahawa dia merupakan pelopor fesyen paling popular. "Ramai di luar sana cuba meniru apa yang saya lakukan. Saya seorang yang asli tanpa perlu meniru orang lain. Tiada yang boleh menandingi saya," beritahunya kepada The Associated Press (AP). Hilton yang terkenal dengan kehidupan sosialnya itu telah membesar bersama Kim yang juga berusia 30 tahun. Malah, dia juga dikatakan merupakan mentor kepada Kardashian. Ini kerana dia merupakan individu pertama yang mendedahkan rakannya itu ke populariti Hollywood. Dalam pada itu, Paris yang kini sedang sibuk mempromosikan koleksi terbaru kasut jenama dirinya berkata, dia merupakan seorang profesional serta tahu hala tuju yang diimpikannya. "Saya telah lakukan semua yang saya inginkan. Sudah tentu saya begitu gembira kerana apa yang saya lakukan pastiya berjaya. "Jadi ia sungguh menyeronokkan dan tiada apa lagi yang perlu saya lakukan," tutur Paris dengan jujur. Turut mengakui bahawa dirinya merupakan seorang ikon fesyen untuk wanita, Paris memberitahu; "Ramai yang menggemari fesyen atau stail saya. Apabila membeli produk saya, dengan secara semula jadi mereka boleh menjadi diri saya." Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |