Adsense

Isnin, 4 April 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Prioriti 3 jejaka popular

Posted: 03 Apr 2011 03:17 PM PDT

Hip

Kesibukan tugas tidak halang Aaron, Fizz dan Zizan luangkan waktu bersama keluarga, rakan

KETIGA-TIGANYA boleh dianggap antara bintang paling sibuk ketika ini. Satu demi satu projek filem, drama mahupun program televisyen dijayakan mereka. Pada ketika khidmat terus dicari, ketika itulah masing-masing sedar wujudnya ruang untuk mencari rezeki.

Bagaimanapun, kerja bukan satu-satunya keutamaan buat tiga jejaka popular ini. Masih ada perkara lain yang turut ditempatkan pada kedudukan tertinggi dalam kehidupan masing-masing. Keluarga, rakan dan tenaga sokongan di sekeliling mereka tetap diberikan perhatian sebaik mungkin, kerana tanpa mereka ini, belum tentu kejayaan hari ini dapat dikecapi. Justeru, Aaron Aziz, Fizz Fairuz dan Zizan tidak pernah melupakan kumpulan penting ini, walaupun waktu untuk diluangkan bersama mereka mungkin tidak sebanyak dulu lagi. Ketiga-tiganya sempat berkongsi pandangan mengenai topik terbabit, ketika ditemui pada majlis minum petang anjuran Lord's Tailor di Bangsar, baru-baru ini.

Aaron imbangi karier dan famili

MESKIPUN sibuk dengan penggambaran di lokasi, namun ia tidak menghalang Aaron untuk meluangkan masa bersama keluarga, malah dia menegaskan, perlu ada keseimbangan antara karier dan keluarga demi kebaikan bersama, walaupun agak sukar untuk melakukannya.

Bagi pelakon yang juga model ini, keluarga perlu diberikan keutamaan dan sudah menjadi tanggungjawab seorang suami menguruskan rumah tangga supaya tidak terabai, terutama kebajikan isteri dan anak-anak.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz sedaya mungkin cuba meluangkan masa bersama anak-anaknya setiap kali selesai penggambaran, apatah lagi merekalah penyeri hidup dan penghilang lelahnya tatkala seharian di lokasi.

Bapa kepada seorang putera dan dua puteri ini mengaku, sesibuk mana pun dirinya, perlu ada waktu untuknya membahagiakan anak-anaknya. Contohnya, ketika dia kini berkejar ke lokasi drama Kasih Yang Suci serta turut terbabit dalam sebuah filem, namun waktu untuk keluarga turut dicari.

Pada ketika si anak bongsu, Dahlia Arissa Puteri, 10 bulan, mungkin terlalu kecil untuk memberikan tindak balas kepada apa yang berlaku di sekelilingnya, namun Aaron bersyukur apabila Danish Anaqi, 7, dan Dewi Ariana, 5, seolah-olah memahami kesibukan si bapa.

Justeru, mereka tidak merengek mahupun mendesak dirinya meluangkan masa yang panjang bersama mereka.

Aaron turut menganggap dirinya bertuah kerana dianugerahkan isteri seperti Diyana Halik, yang memahami karier seninya, serta tidak pernah mendesak dirinya untuk melakukan yang terbaik buat keluarga.

"Alhamdulilah perjalanan karier saya kini berjalan lancar dan rezeki semakin bertambah sejak adanya anak ketiga, malah mereka tidak pernah merungut kerana saya akan tetap meluangkan sedikit masa untuk keluarga.

"Memang agak sukar dan penat kerana lepas penggambaran, balik ke rumah nak layan anak-anak lagi, tetapi saya berasa seronok bersama mereka. Melihat saja wajah anak-anak, hilang rasa penat. Pokok pangkal, kita perlu pandai seimbangkan kedua-duanya demi kebahagiaan rumah tangga," katanya.

Bidang lakonan ialah kerjaya utamanya dalam menyara keluarga, namun Aaron enggan bergantung harap kepada dunia seni semata-mata. Lalu dia cuba menceburi bidang lain sebagai jaminan masa depan.

Aaron kini baru berjinak-jinak dalam bidang pelaburan di negara kelahirannya, Singapura, yang dianggap mampu memberi sumber kewangan kedua.

Jangan sampai kehilangan insan tersayang

LAIN pula ceritanya dengan Fizz Fairuz. Meskipun masih bujang, namun kesibukannya di lokasi tidak pernah menghalangnya untuk bersama anggota keluarga dan kenalan.

Malah Fizz tidak pernah menjadikan kesibukan tugasnya sebagai sebab untuk dirinya tidak dapat bersantai bersama keluarga, walaupun memiliki masa yang agak terhad.

"Saya baru saja selesai menjalani penggambaran filem Ponti VS Omi arahan Afdlin Shauki dan sekarang sibuk dengan penggambaran telefilem Jalan Pulang Yang Panjang. Selepas ini ada beberapa lagi projek drama yang menyusul.

"Kita jangan jadikan kesibukan itu sebagai alasan untuk tidak meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Bagi saya, kalau kita mementingkan kerja semata-mata, saya yakin lambat-laun kita akan kehilangan mereka.

"Walau sesibuk mana pun tugas kita, perlu ada masa walau sekejap untuk mereka kerana ia akan mengeratkan lagi hubungan antara kita," jelasnya.

Siapa sangka, selepas beberapa tahun cuba membuktikan bakat yang ada, kini jejaka berusia 32 tahun ini menjadi perhatian ramai, seterusnya direbut pelbagai rumah produksi. Sejak awal tahun sehingga kini, sudah empat filem dibintangi. Begitu juga beberapa drama turut mengkredit nama pelakon ini.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin berkata, hidup sebagai anak seni perlu mempunyai matlamat hidup. Dia tidak terkecuali, justeru dia amat menghargai setiap peluang yang diberi.

"Saya menerima tawaran yang datang sebagai peluang dan cabaran dalam memperbaiki diri, malah saya turut mensasarkan untuk terbabit dalam tujuh filem sepanjang tahun ini," katanya yang melihat 2011 antara tahun paling bersinar buat karier seninya.

Sentiasa cuba perbaiki diri

PELAWAK dan pengacara, Zizan, pula menganggap kesibukan tugasnya kini memberi peluang untuknya mengembangkan lagi bakat yang sememang mula mendapat perhatian daripada segenap lapisan peminat dan penggiat seni tanah air.

Pada saat dia membina tapak lebih kukuh dalam dunia lakonan dan pengacaraan, Zizan bagaimanapun tetap menganggap masa untuk bersama keluarga dan teman-teman cukup berharga buat dirinya. Pemuda ini cukup sedar, tanpa sokongan mereka, belum tentu dia mampu berdiri sebaris bintang popular lain ketika ini.

Hakikatnya, lelaki yang sering membuatkan kita ketawa ini semakin dirasa kehadirannya dalam dunia hiburan tanah air. Pada waktu dia memikul tanggungjawab sebagai pengacara Melodi, Zizan juga kini terbabit dalam program Maharaja Lawak, yang menghimpunkan finalis Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima.

Agak merangkak pada awal kemunculannya, tetapi hari ini tiada siapa yang mampu menyangkal bakat semula jadi dimiliki jejaka ini membawanya hingga ke tahap yang tinggi. Ramai yang melihat Zizan sebagai antara bakat serba boleh yang mampu untuk melangkah lebih jauh lagi.

Bersandar kepada bakat dan keupayaan yang ada dalam diri, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak tidak pernah menganggap dirinya hebat, malah sentiasa mencari peluang yang ada untuk memperbaiki diri.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pi Mai Pi Mai Tang Tu kembali

Posted: 03 Apr 2011 03:13 PM PDT

Hip

IMUDA, Zami dan Khatijah pada sidang media The Return of Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

IMUDA, Zami dan Khatijah pada sidang media The Return of Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Bakal dipentaskan di hadapan peminat di Seri Melayu, Jun ini

MEREKA yang membesar dengan Pi Mai Pi Mai Tang Tu pasti masih mengingati gelagat watak Pak Uda, Mak Ngah, Budin, Ana, Mat Deris, Mat Over, Mak Usu, Lucy mahu pun Ravi yang 'menghuni' Kampung Seri Wangi.

Populariti sitkom arahan Othman Hafsham yang diilhamkan Dr Hatta Azad Khan sekitar 1987 itu membuatkan hampir semua pelakon melekat dengan nama watak masing-masing hingga ke hari ini. Namun seiring perkembangan semasa dan kebanjiran program baru, Pi Mai Pi Mai Tang Tu dihentikan produksinya, tetapi setiap episod masih disiarkan di kaca televisyen membuatkan generasi masa kini turut mengenali siapa diri mereka.

Misi membawakan semula rancangan kegemaran ramai itu secara langsung kepada khalayak dengan gabungan tunjang asal dan kisah berkaitan era semasa, The Return of Pi Mai Pi Mai Tang Tu (TRPMPMTT) direalisasikan.

Mengambil tempat di Restoran Seri Melayu pada 5 Jun ini, ruang utama rumah makan terkenal itu bakal mengimbas nostalgia kegemilangan sitkom yang mencuit hati semua peringkat usia.

Dibawakan khas Karyawan dengan usaha sama Kumpulan Syarikat Seri Melayu, hasil inisiatif Imuda yang juga pendukung watak Budin, karya itu dijangka penuh dengan adegan mencuit hati.
Imuda berkata, acara dikenali sebagai Pesta Lawak asalnya sekadar menggabungkan pelawak generasi lama dan baru, malah sebagai pelengkap tiga kertas kerja dibentangkan untuk pilihan iaitu bangsawan, sandiwara serta sitkom.

Namun selepas menilai semula cadangan, sitkom PMPMTT yang cukup akrab dengan khalayak termasuk penonton muda dipilih sebagai pengisian utama pesta terbabit, selain kemunculan bakat pelapis sebagai pembuka acara.

"Memang sitkom ini pernah dipentaskan di Istana Budaya dalam bentuk muzikal pada 2006, cuma bagi kami kepuasan lebih kepada pementasan secara langsung seperti mana ketika ia disiarkan di TV dulu.

"Sitkom ini pernah popular, jadi kenapa tidak kita menonjolkan semula sitkom ini kerana pengisian lawaknya terarah kepada mesej sosial terutama, berhubung isu kemasyarakatan," katanya pada sidang media mengumumkan persembahan itu di ibu kota baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Othman Hafsham, Zami Ismail yang memegang watak Pak Uda serta Khatijah Tan sebagai Mak Ngah.

Mengakui agak terkilan apabila sitkom ini dihentikan, Imuda yang turut mengalih PMPMTT ke siri komik di Berita Minggu berasakan, kupasan skrip yang dikembangkan setiap watak menyentuh segala aspek.

"Bersama garapan skrip bagus dan sentuhan pengarah hebat, saban minggu sitkom ini menyelongkar permasalahan penduduk ibu negara, khususnya penduduk setinggan, yang tanpa disedari mendedahkan hakikat kehidupan.

"Membuat penonton ketawa bukan mudah apatah lagi apabila membabitkan isu serius, malah sebenarnya kami berlatih dua minggu untuk setiap episod, tetapi keserasian memudahkan segala-galanya," katanya mengenang memori lalu.

Tidak hairan hubungan di set terus utuh hingga kini dan masing-masing mengakui mereka bukan hanya umpama saudara, bahkan sudah seakan anggota badan yang melengkapi satu sama lain.

Lebih menyuntik keyakinan untuk muncul semula di khalayak bersama jenama PMPMTT adalah ketika menjayakan pementasan di Putrajaya, baru-baru ini, apabila penampilan 15 minit di pentas utama bersama beberapa 'geng' sitkom itu mengundang tawa hadirin.

"Jika bukan ketika dan waktu ini, bila lagi pementasan semula ini mahu direalisasikan. Malah ibaratnya ia umpama reunion kami yang sememangnya pernah berkongsi pentas selepas program terbabit berakhir, cuma perasaan tidak sama apabila kembali semula dengan PMPMTT.

"Kami tidak sabar untuk menjalani latihan. Walaupun hanya tiga tunjang utama yang berada di sini, idea bergabung sudah diajukan kepada rakan lain, selain bertemu dengan Dr Hatta untuk mengadakan perbincangan," katanya yang merancang membawa TRPMPMTT mengadakan siri jelajah.

Perkembangan watak selepas 25 tahun

BERKAITAN watak dan perwatakan, Imuda menjelaskan, sudah pasti ada sedikit olahan kerana setiap insan mengalami perubahan dan mereka mahu penonton melihat penduduk Kampung Seri Wangi juga berkembang sejajar peredaran semasa.

"Tidak mungkin watak Budin statik seperti 25 tahun dulu, iaitu budak kampung yang tiada tujuan. Mungkin dia sudah sukses, begitu juga Mak Ngah, daripada hanya gerai dia punya restoran besar. Perjumpaan semula ini akan menampilkan kesinambungan setiap watak yang pasti mahu diketahui khalayak," kata Imuda yang kini mencecah usia 51 tahun.

Bagi Othman Hafsham pula, sekali pun hanya bertindak sebagai penasihat, ilham mementaskan dianggap sebagai usaha yang wajar diberikan sokongan, malah baginya PMPMTT mempunyai kelompok peminat tegar berikutan idea tajam, mencuit hati dan panas, selain barisan pelakon yang mantap.

"Saya anggap mereka pelakon kreatif kerana mampu menghidupkan setiap episod dengan bersahaja namun meninggalkan impak apabila suatu waktu dulu mampu menegur masyarakat menerusi cara tersendiri.

"Sepanjang bekerja dengan mereka, saya nampak semangat setia kawan serta kesungguhan dalam diri setiap pelakon. Kelakarnya, sebelum penonton ketawa, saya yang lebih dulu tergelak melihat telatah dan jenaka mereka yang ada kalanya spontan," katanya lagi.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan meja pada kadar RM1,000, RM1,500, RM2,000, RM3,000 dan RM5,000, hubungi pejabat Karyawan di 03-79552967/03-796066459/014-7176276 atau 013-2245917.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.