Adsense

Sabtu, 30 April 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pencuri hati Justin

Posted: 29 Apr 2011 06:45 PM PDT

Hip

Peminat marah Selena dampingi penyanyi remaja paling popular

PADA awal tahun ini, gosip percintaan antara dua bintang muda, Justin Bieber dan Selena Gomez, mula bertebaran selepas gambar mereka berdua bercumbuan di atas kapal layar tersiar di alam siber.

Namun, kedua-duanya bagaikan dapat mengagak apa yang bakal berlaku seandainya masing-masing mengaku memang wujud hubungan intim, lebih daripada seorang kakak dan adik, antara mereka. Maklum saja, Justin ialah penyanyi remaja lelaki paling popular di dunia ketika ini. Lalu, tentu saja dia menjadi dambaan setiap gadis di seluruh dunia. Pada usia 17 tahun, Justin bagi kebanyakan peminat wanita muda, bukan sekadar seorang penyanyi yang diminati, malah umpama 'kekasih' yang jauh di mata.

Maka, apabila foto keintiman kedua-duanya tersiar, tidak hairan peminat Justin 'naik hantu' dengan penyanyi dan pelakon berusia 18 tahun yang mula dikenali peminat menerusi siri televisyen dan telefilem terbitan Disney itu. Pelbagai kata kesat dan ugutan dapat dilihat di laman Twitter apabila gambar mereka bercium muncul di Internet.

Ketika gambar berkenaan dirakam, penyanyi Baby dan pelakon The Wizards of Waverly Place yang turut mempunyai kumpulan sendiri (Selena Gomez & The Scene) ini sedang bercuti di Caribbean bersama beberapa rakan lain.

Antara ancaman dan maki hamun yang diterima Selena ketika itu termasuk kata-kata berbunyi: "Aku bencikan kau", "Kalau kau teman wanita Justin, aku akan bunuh engkau. Aku benci engkau", dan sebagainya.
Bahkan, ada yang mengugut untuk menamatkan riwayat gadis yang pernah muncul dalam filem Spy Kids 3-D: Game Over ini seandainya dia melukai hati penyanyi yang baru saja mengadakan konsert jelajah dunianya di Malaysia itu.

Sememangnya, bukan mudah bagi gadis berasal dari Texas ini untuk mendampingi remaja masyhur berkenaan. Malah, mereka juga mengelak daripada berbicara mengenai hubungan itu biarpun beberapa bukti sudah diperoleh untuk peminat mengesahkan kewujudan cinta di antara kedua-duanya.

'Apa salah saya'

HANYA pada Mac lalu Selena mula membuka mulut mengenai hubungan terbabit. Akuinya, memang sukar untuk berada di sisi Justin yang digilai jutaan peminat. Begitu juga dia akui betapa sukarnya dia berdepan dengan pelbagai reaksi kurang menyenangkan sebaik saja mereka mengetahui corak hubungan antara dirinya dan penyanyi lelaki berkenaan.

"Memang sukar dan memang menyakitkan sekali (apabila diperlakukan begitu oleh peminat Justin). Saya tidak berasakan yang saya melakukan perkara yang salah.
Saya sebenarnya sudah lama berkawan baik dengan Justin. Ia memang melukakan perasaan saya, tetapi saya cuba untuk tidak mengendahkan semua itu. Nasib baik saya mempunyai keluarga dan kelompok peminat yang sangat kuat," katanya.

Sudah tentulah ada kalangan peminat yang merestui hubungan itu, seperti yang ditulis di laman sosial terbabit, dan tidak kurang yang cemburu walaupun mereka gembira dengan kemesraan yang terjalin antara mereka.

Selena pada hakikatnya mengerti bagaimana perasaan remaja yang membencinya itu kerana dia sendiri pernah mengalami keadaan serupa tidak lama dulu, apabila dia 'jatuh cinta' dengan selebriti.

"Ada masanya saya setuju juga dengan mereka. Saya pernah menyukai Jesse McCartney. Saya memang taksub dengannya. Jesse keluar bersama Katie Cassidy ketika dia berusia 16 atau 17 tahun. Ketika itu, saya memang benci pada Katie.
Saya geram sangat, kenapalah Katie yang mendampingi Jesse, sedangkan saya yang tergila-gilakannya. Bahkan, dialah gambar hiasan skrin komputer saya," katanya.
Nampaknya, semua itu kini bagai terkena kepada Selena sendiri.

"Baru-baru ini, saya menjayakan sebuah filem (Monte Carlo) bersama Katie. Dia sebenarnya seorang yang begitu baik sekali," cerita gadis ini.

Perpisahan hanya khabar angin

AWAL bulan ini, wujud khabar angin mengatakan pasangan muda ini membawa haluan masing-masing apabila Selena berasakan Justin masih menyintai bekas kekasih, Jasmine Villegas. Justin dikatakan masih menghantar pesanan ringkas kepada Jasmine, walaupun selepas bersama Selena.

Gadis ini dikatakan bertanyakan sendiri perkara itu kepada Justin yang pada mulanya menafikan dakwaan berkenaan. Tetapi, Justin akhirnya mengaku dia masih berhubung dengan bekas kekasihnya, namun hanya atas dasar kawan.

Bagaimanapun, desas-desus keretakan hubungan mereka nyata tidak berasas apabila Selena dilihat menemani Justin ketika tiba di Kuala Lumpur untuk mengadakan konsertnya di sini, 21 April lalu. Jika Selena sanggup terbang merentasi benua untuk bersama penyanyi terbabit, bukankah itu tandanya dia memang serius dalam perhubungan?


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Seru memang seram!

Posted: 29 Apr 2011 06:39 PM PDT

Hip

pix_gal0
Ming Jin, Pierre Andre tampil filem genre baru

Filem: Seru

Pengarah: Woo Ming Jin, Pierre Andre Pelakon: Sharnaaz Ahmad, Cut Mutia, Azman Hassan, Nora Danish, Awal Ashaari, Pierre Andre, Qhaud, Dazrin, Murshid, Nabila, Nursyarifatun, Dewa Sapri, Mona Majid, Nisha Dirr, Along, Sufian Terbitan: Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) dan Hanamia Services Sdn Bhd Tarikh Tayangan: 28 April 2011

SARAT babak ngeri dan mendebarkan, Seru yang menjengah pawagam 28 April lalu sememangnya menepati selera peminat 'slasher horror movie', bentuk filem yang agak baru di negara ini.

Menggabungkan dua pengarah muda, Woo Ming Jin dan Pierre Andre, sentuhan mereka wajar diberi pujian apabila satu persatu adegan dijalin sempurna hingga menyemarakkan ketakutan, namun pada masa sama tetap ingin mengetahui kronologi selanjutnya.

Sekali pun mengambil inspirasi daripada filem barat, Quarantine yang ditayangkan pada 2008, selain punya sedikit persamaan dengan Blair Witch Project disebabkan penggunaan syot serupa iaitu rakaman yang dijumpai, Seru ada keistimewaan.
Kisah satu malam itu menonjolkan sekumpulan petugas produksi yang sedang menjalani penggambaran di satu lokasi dan ia terpaksa dihentikan apabila penolong pengarah, Sari, diserang histeria manakala juru mekap, Julia, tiba-tiba berlari ke arah hutan.

Jurukamera, Sham serta Tony pula diarah mencari Julia dan semua kru yang diketuai Lina (Khatijah) selaku penerbit kembali semula ke rumah tumpangan. Tanpa disedari bermulalah kengerian sebenar apabila satu persatu kematian menyusul.

Terdahulu seorang lagi juru kamera, Jeff, lakonan Sharnaaz ditugaskan merakamkan segala kejadian bermula dengan histeria untuk dijadikan antara bahan promosi filem terbabit.

Akhirnya footage yang dirakamkan dua kamera termasuk satu lagi yang dikendong Sham (Dazrin) dan Tony (Qhaud) ketika mencari Julia (Cut Mutia) ditinggalkan sebagai bukti kematian mereka sendiri.

Jalan ceritanya pantas, malah 20 minit pertama sudah ditonjolkan babak pembunuhan apabila sutradara filem itu, Sam (Along Ezzendi) ditikam dari belakang oleh Seri yang dirasuk.

Tidak perlu mengupas bagaimana gadis itu kembali semula ke rumah tumpangan mereka sedangkan dia sudah dihantar ke hospital, syot kereta yang membawanya tersadai tidak jauh dari kediaman itu sudah menceritakan segala-galanya.

Walau kebanyakan pelakonnya terdiri daripada muka baru, penjiwaan setiap watak kepada emosi takut serta ngeri diserlahkan sebaik mungkin menerusi mainan kamera.

Paling menarik tentu saja watak Sam lakonan Along yang begitu menjadi. Walaupun kemunculan hanya seketika, dia berjaya memaparkan watak lelaki yang suka cakap lepas, sinis dan selamba. Begitu juga Sharnaaz yang tampak dominan dengan watak Jeff.

Apa yang pasti, Seru antara filem seram yang tidak wajar dilepaskan apabila debaran demi debaran menanti penonton.

Jika ada di antara babak sudah dapat dijangka, ia bukan kesalahan malah usah terlampau membandingkan filem ini dengan produksi barat kerana yang pasti Seru memang seram!


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.