Adsense

Rabu, 6 April 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jawablah! Masih ada batasnya

Posted: 05 Apr 2011 03:25 PM PDT

Hip

Kamal Adli nafi dakwaan tinggal serumah dengan Intan Ladyana

SEBELUM ini, nama pasangan pelakon popular, Remy Ishak dan Tiz Zaqyah menjadi panas apabila kedua-duanya dikatakan tinggal serumah selepas kelibat mereka sering kelihatan di sebuah kawasan perumahan. Namun perkara itu dinafikan sekeras-kerasnya pasangan pelakon yang cukup popular menerusi drama rantaian Nur Kasih itu.

Belum reda kontroversi itu, timbul pula cerita lebih kurang sama. Namun kali ini membabitkan pasangan pelakon yang juga pasangan kekasih iaitu Kamal Adli dan Intan Ladyana. Mereka didakwa bersekedudukan apabila Kamal sering kelihatan berada di rumah buah hatinya. Khabarnya, perkara ini dibangkitkan sendiri oleh jiran sekeliling yang sudah tidak tahan menyaksikan perlakuan berkenaan. Bagi berlaku adil dan tidak mahu terus menjatuhkan hukum, Hip mendapatkan penjelasan daripada Kamal yang ditemui sewaktu acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian Berita Harian (ABPBH 2010) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, malam Ahad lalu.
Sambil mengakui terkejut apabila dituduh melakukan perkara yang tidak bermoral itu, Kamal berkata mereka masih mempunyai pertimbangan diri untuk mengenal yang buruk dan salah, sekali gus menegaskan supaya tuduhan yang berunsur fitnah itu dihentikan segera.

HIP: Bagaimana boleh timbul cerita Kamal dan Intan tinggal serumah?

Kamal: Itulah, saya sendiri terkejut apabila mendapat tahu adanya gosip mengatakan kami bersekedudukan. Perkara seperti ini tidak boleh dibuat main-main kerana ia membabitkan soal imej dan reputasi. Kami masih tahu menilai mana yang buruk dan mana yang baik. Kami tidak tinggal serumah seperti yang dihebohkan. Buat apa saya nak duduk bersama Intan sedangkan saya ada rumah sendiri di Bangi. Malah, saya tinggal bersama keluarga saya di sana.
HIP: Jika perkara itu tidak benar, takkan orang bercakap mengenainya.

Kamal: Pada saya mereka membuat tanggapan sedemikian kerana sering melihat wajah saya di rumah Intan. Memang benar saya ada ke rumahnya, tapi itupun sekadar tunggu di bawah. Saya ke rumah Intan pun kerana mahu menjemputnya keluar. Dia tak ada pengangkutan jadi kalau kami mahu keluar, sayalah yang akan mengambilnya. Tapi tak adalah sampai naik ke dalam rumah. Mungkin disebabkan itu mereka (jiran) ingat kami tinggal serumah.

HIP: Keluarga tak risau bila gosip seperti ini tersebar?

Kamal: Sudah tentu mereka risau terutama emak saya. Walaupun dia tahu saya tak buat perkara itu kerana dia sendiri tahu yang anaknya ini tinggal bersamanya, tapi sebagai ibu sudah tentu dia tidak selesa apabila perkara seperti ini digembar-gemburkan. Dia ada juga menelefon saya bertanyakan hal itu dan saya memberi penjelasan padanya perkara itu tidak benar sama sekali.

HIP: Kamal juga tak bimbang apabila akan ada pihak menunggu masa untuk mencekup anda berdua gara-gara dakwaan itu?

Kamal: Tiada apa yang perlu saya takutkan kerana saya tahu saya tak buat perkara seperti itu. Jika kami keluar pun, jarang kami keluar berdua. Biasanya ada teman bersama-sama kami ketika keluar makan dan tengok wayang. Kalau hendak diikutkan, kami memang jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan jadual penggambaran. Mujurlah sebelum ini kami ada terbabit dalam filem sama iaitu Kembar Siang, jadi di lokasi sajalah kami boleh berjumpa. Tidak ada apa yang perlu kami risaukan atau sembunyikan. Biarlah orang nak kata apapun, saya malas nak fikir. Buat bodoh sudah. Berani kerana benar.

HIP: Kalau begitu mungkin sudah tiba masanya untuk kamu berdua menghalalkan hubungan itu supaya tak timbul masalah lagi selepas ini?

Kamal: Buat masa ini, soal perkahwinan masih belum difikirkan lagi. Tunggulah dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, masa itu barulah kami bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Bagilah kami tempoh untuk membuat persediaan serta mengukuhkan ekonomi. Lagipun, Intan sendiri tidak pernah memaksa saya untuk melamarnya. Takkan kami hendak berkahwin semata-mata kerana tekanan cerita seperti ini?


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Memang hangat

Posted: 05 Apr 2011 03:18 PM PDT

Hip

KREATIVITI Siti memikat hati peminat.

KREATIVITI Siti memikat hati peminat.

Gimik, persembahan artis gegarkan malam kemuncak ABPBH 2010 di Arena of Stars

ACARA kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Ahad lalu memang gamat dengan pelbagai segmen menghiburkan. Bukan saja gandingan mantap Raja Azura, Sharifah Shahira dan Zizan Razak berjaya menghidupkan suasana, malah kemunculan barisan artis popular mempersembahkan lagu baru dan lama menghangatkan lagi acara.

Namun, puncak kegamatan cukup dirasa apabila keputusan Bintang Paling Popular hendak diumumkan. Tiba-tiba tumpuan peminat terarah kepada Johan Raja Lawak yang menolak kerusi roda dinaiki Shy8, di bawah pentas. Bersama mereka ialah sampul keputusan pemenang yang sememangnya dinanti-nantikan seluruh penonton di arena, peminat di rumah dan tentunya finalis ABPBH. Kemunculan dua pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid terbabit sebagai gimik pengumuman trofi utama itu memang memecahkan perut mereka yang berada dalam dewan. Lawak selamba kedua-duanya, dibantu tiga pengacara terbabit, nyata memeriahkan majlis. Malah pada satu ketika, seluruh penonton mengangkat tangan dan menggerakkannya seperti mana dilakukan Usop Wilcha.

Kehangatan juga dirasa apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, muncul di pentas sebagai artis penutup tirai persembahan.

Menampilkan konsep K-Pop dan stomping, penyanyi ini nyata bijak menarik perhatian peminat. Gubahan baru untuk lagu Bukan Cinta Biasa dan Nirmala memang menjadi. Oh ya, Siti juga menyedari peminat masa kini cukup menggemari irama rancak Nobody, justeru dia turut menyelitkan lagu terbabit dalam persembahannya.

Gandingan ratu rock, Ella, bersama Alyah dan juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH) tahun lalu, Shima, tidak syak antara segmen tumpuan pada malam berkenaan. Menyanyikan lagu Dua Insan Bercinta, Kesal, Permata Biru dan Gemilang, mereka berjaya mengajak penonton untuk sama-sama berdendang.
Pujian juga buat Shima, walaupun masih begitu baru, namun artis kelahiran pertandingan anjuran akhbar ini memang tidak kekok beraksi di samping dua penyanyi lebih senior.

Sebelum itu, penonton terhibur dengan persembahan ala Broadway dijayakan Azlan & The Typewriter, Ning Baizura, Farhan dan Adira. Persembahan pembuka tirai acara itu menyaksikan gandingan berkenaan mengalunkan lagu Jeritan Batinku, Asmara dan Bunyi Gitar dengan muzik iringan di bawah pimpinan Datuk Ramli MS. Berlatarkan skrin memaparkan visual tirai merah, suasana Moden Klasik memang dirasa.

Tidak ketinggalan memikat penonton ialah kemunculan tiga hos yang mendendangkan lagu Dengar Ini Cerita yang diubah liriknya bagi memperkenalkan barisan penaja anugerah penuh berprestij itu. Telatah mereka membuatkan penonton tidak kering gusi, sehinggakan tetamu kehormat seperti Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Amrin Awaluddin; dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, turut sama ketawa besar.

Suasana dalam arena juga bergema dengan sorakan penonton sebaik saja mereka melihat Anuar Zain berjalan menuju ke tengah pentas. Belum sempat diumumkan kemunculannya untuk menyanyikan lagu Sedetik Lebih, lagu tema Hikayat Merong Mahawangsa, peminat (dan juga artis) terlebih dulu bertepuk girang. Penyanyi ini memang kuat pengaruhnya.

Persembahan Ana Raffali, Altimet dan penyanyi gantian kepada Sohaimi Mior Hassan juga tidak kurang hebatnya. Mereka mampu mengajak penonton menyanyikan sama lagu yang cukup popular, Kalau Berpacaran. Manakala finalis Artis Komedi Lelaki Popular, Nabil, Along, Angah, Johan dan Zizan meriuhkan suasana dengan dendangan lagu Hore Hore dan Pak Itam, mengikut gaya lawak mereka.

Malah, persembahan bersahaja daripada Yuna pada malam itu turut mendapat sorakan dan tepukan gemuruh hadirin ketika mendendangkan lagu Gadis Semasa dan Sebenarnya sambil duduk di atas kerusi dan memainkan instrumen muzik. Begitu juga dengan kumpulan Hujan yang menyampaikan lagu Muda.

Corat-coret ABPBH 2010

  • ELLA bukan hanya dikerumuni peminat. Sebelum perarakan permaidani biru, artis yang berkumpul di bilik menunggu bergilir menanti untuk bergambar dengan ratu rock negara itu.
  • AURA Anuar Zain masih kuat apabila kemunculan di pentas utama membawakan lagu Sedetik Lebih mendapat sorakan padu penonton. Kelihatan ramai artis wanita termasuk Linda Onn dan Kenchana Dewi berdiri sambil menyanyi.
  • SHAHEIZY Sam terpinga-pinga apabila namanya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular kerana ketika itu dia berada di belakang pentas ditemuramah wartawan TV.
  • AKSI bersahaja Sam yang meluru ke arah ibunya, Mummy Khaty membuatkan segelintir peminat dilihat mengesat air mata kerana terharu namun situasi berubah apabila dua beranak itu naik ke pentas bersama 'wilcha' membuatkan dewan gamat dengan tawa penonton.
  • IBU Sam, Mummy Khaty juga wajar dicalonkan sebagai 'Bintang Popular' malam kelmarin apabila tidak putus-putus didatangi rakan artis, wartawan dan peminat untuk memberikan ucapan tahniah.
  • SUASANA di belakang dewan juga cukup padat apabila lokasi untuk temu ramah menjadi medan untuk tetamu berhimpun membuatkan keadaan agak sesak.
  • KELIBAT pasangan yang kini hangat digosipkan juga dapat dilihat di belakang dewan. Siapa lagi kalau bukan Maya Karin dan Yusry Abdul Halim yang sempat berbual mesra.
  • TIZ Zaqyah dilihat masih setia melayani peminatnya minum di kafe selepas acara selesai walaupun ketika itu jam sudah mencecah angka 3 pagi.
  • JULIANA Evans hampir terjatuh ketika cuba menuruni tangga ke Arena of Stars, namun mujur ada yang cepat-cepat memegangnya.
  • SHARIFAH Shahira hampir terjatuh di atas pentas ketika bergegas untuk mengendalikan majlis selepas mewakili Noorkhiriah mengambil trofi Artis Komedi Wanita Popular.
  • KETIKA majlis berhenti rehat seketika, peluang diambil artis untuk berpusu-pusu ke tandas dan keluar merokok di luar dewan.
  • MUNGKIN terkejut dengan kemenangan Ana Raffali sebagai Artis Baru Wanita Popular, penonton di arena tidak bertepuk tangan. Apa-apa pun, tahniah buat Ana.
  • TIDAK disengajakan, sepit rambut yang dipakai Sharifah Shahira tersangkut di lengan baju Ratu Rock, Ella, selepas penyanyi itu membuat persembahan di atas pentas bersama Shima dan Alyah.
  • SEORANG artis wanita yang turut memeriahkan acara tiba-tiba menjadi angkuh dan enggan bergambar dengan peminatnya.
  • PEMINAT Fara Fauzana terdengar kata-kata Pengacara Wanita Popular itu yang mengatakan dirinya mungkin tidak akan tercalon lagi untuk kategori sama tahun depan.
  • FAIZAL Tahir yang memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Popular mahu menghadiahkan trofi itu kepada anak keempatnya yang dilahirkan dua minggu sebelum acara kemuncak ABPBH 2010.
  • BINTANG cilik, Mia Sara menangis apabila 'mamanya', Lisa Surihani, tidak diumumkan sebagai pemenang Pelakon TV Wanita Popular namun kemudian terus memeluk Lisa apabila meraih trofi bagi kategori filem.
  • RAMAI menegur bibir Shahir yang disangka mengenakan gincu, namun sebenarnya dia mengalami alahan.
  • ISMAN Hijjaz sempat meminta Mia Sara beraksi untuk dirakamkan gambarnya di telefon kerana anaknya cukup meminati bintang kecil itu.
  • RITA Rudaini yang diundang sebagai penyampai trofi dihantar menaiki kereta hingga ke tepi Arena of Star disebabkan sarat hamil lapan bulan.
  • WALAUPUN filem bersaing di pawagam dalam tempoh hampir sama, tiga produser - Latif Mohaideen, Ahmad Idham dan Yusry KRU sempat minum teh semeja di parti selepas ABPBH 2010.
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.