Adsense

Selasa, 22 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Watak baru Tiara Jacquelina

Posted:

Watak baru Tiara Jacquelina

Watak baru Tiara Jacquelina

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM dan ihsan ENFINITI VISION MEDIA


TIARA JACQUELINA


SEBETULNYA berita tentang penerbitan teater muzikal ketiga terbitan Datin Seri Tiara Jacquelina yang mahu mengangkat watak agen penyiasat wanita, Nora Zain ke pentas teater memang sudah lama kedengaran.

Malah, perancangan itu juga dikatakan telah bermula sebelum Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM) musim ketiga melabuhkan tirainya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, hampir dua tahun lalu.

Sebelum ini pun, apabila ditanya kepada tuan empunya diri, Tiara lebih selesa untuk mendiamkan diri dan hanya mengukir senyuman bagai memberi jawapan untuk bersabar sehingga waktu yang sesuai untuk mengumumkannya.

Namun, segala misteri yang sering menjadi perbualan pihak media akhirnya terbongkar apabila dengan secara rasminya, Tiara mengumumkan pengesahan tentang teater muzikal terbaru terbitannya, The Secret Life of Nora (TSLN), baru-baru ini.

Ujar Tiara, idea untuk menghasilkan TSLN mula ditimbulkan hanya dengan perbualan kosong antara dirinya dengan pereka set terkenal, Raja Maliq dan beberapa individu lain yang terlibat dengan PGLM ketika itu.

"Mendengarkan mereka berbicara dengan idea yang cukup bernas dari jalan cerita sehinggalah ke kostum dan rekaan set untuk merealisasikan kisah seorang agen penyiasat wanita itu, benar-benar membuatkan saya kagum.

"Lalu, saya fikir ia merupakan idea yang menarik untuk dipersembahkan di pentas teater, kisah seorang agen penyiasat wanita sebagai subjek utama untuk teater terbaru saya ini.

"Selepas beberapa siri perbincangan dan berfikir semasak-masaknya, akhirnya kami sepakat untuk menghasilkan TSLN yang kami percaya dapat memberikan santapan hiburan baru kepada masyarakat tempatan," jelas Tiara dalam nada yang penuh teruja.

Tiara yang juga seorang aktres terkenal berkata demikian dalam sidang akhbar usai pelancaran TSLN di Red Carpet Boulevard, The Encorp Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Presiden Operasi Kumpulan Enfiniti, Izan Satrina Mohd. Sallehuddin; Naib Presiden Kandungan dan Strategi Kumpulan Enfiniti yang juga penulis TSLN, Raymond Miranda dan Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.

Dalam majlis itu juga, Tiara turut mengumumkan dia akan kembali ke pentas teater dengan memegang watak agen penyiasat bernama Nora dalam pementasan yang akan dipentaskan di IB bermula penghujung September ini selama tiga minggu.

TSLN merupakan teater ketiga terbitan Enfiniti Vision Media selepas PGLM selama tiga musim iaitu pada tahun 2006 dan 2009 serta P. Ramlee the Musical (dua musim - 2007 dan 2008).

Jika diselak kembali trek rekod Tiara dalam menerbitkan teater muzikal di negara ini, memang jarang sekali dia mengecewakan penonton. Mengenali Tiara juga, dia bukanlah anak seni yang melakukan sesuatu perkara sambil lewa atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Baginya, apa sahaja yang dilakukan waima perkara kecil sekalipun, dia akan usahakannya dengan bersungguh-sungguh sehingga menampakkan hasilnya.

Sememangnya ujar Tiara, peminat sentiasa meletakkan harapan yang tinggi kepadanya dan Enfiniti untuk melihat produk baru terbitannya dan atas alasan itu, katanya, dia akan melakukan yang terbaik menerusi TSLN.

Dalam hal ini, Tiara mengambil contoh figura unggul teater muzikal dunia, Andrew Lloyd Webber yang sering tampil dengan idea-idea baru untuk memberikan variasi kepada penerbitan teater muzikal sehingga mencatatkan kejayaan yang cukup memberangsangkan.

"Hasil karya beliau (Andrew Lloyd Webber) sentiasa diterima dengan baik dan pernah dipentaskan sehingga bertahun-tahun baik di West End, London mahupun Broadway, New York, Amerika Syarikat.

"Kami di Enfiniti juga mahu begitu iaitu sentiasa melahirkan idea-idea baru agar penonton tidak melihatnya sebagai sesuatu yang statik dan hanya di takuk yang lama sahaja.

"Saya juga sentiasa mencabar diri saya untuk melakukan yang lebih baik daripada sebelumnya dalam setiap hasil karya yang saya terbitkan kerana saya percaya dengan kesungguhan, mereka di luar sana akan nampak hasilnya.

"Menerusi TSLN, sudah pasti saya menyimpan harapan yang tinggi untuk melihatnya diterima dengan baik oleh pencinta dunia seni hiburan dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu menyokong kami sejak munculnya PGLM pada tahun 2006," kata aktres yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada 2005 ini lagi.

Bagi mendapatkan hasil yang terbaik dan memberikan impak yang luar biasa untuk TSLN, Tiara sanggup terbang ke London semata-mata untuk mendapatkan khidmat dan kepakaran pengarah serta aktivis teater terkenal, Steven Dexter.

Mungkin akan ada pihak yang cuba mempertikaikan keputusan Tiara itu, namun dia mempunyai alasan tersendiri mengapa Dexter menjadi pilihannya untuk mengarahkan TSLN.

"Saya memilihnya kerana dia sememangnya pakar dalam pengarahan teater muzikal seiring dengan apa yang mahu saya tonjolkan dalam TSLN.

"Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Saya percaya, sentuhannya nanti akan dapat memberikan dimensi baru dalam penerbitan teater muzikal di negara ini.

"Dengan penglibatan Dexter untuk teater ini, ia merupakan peluang dan strategi terbaik untuk orang kita belajar serta memperolehi ilmu daripada orang luar yang pengalamannya begitu luas dalam bidang teater muzikal ini.

"Bukankah ia satu sinergi yang bagus apabila semuanya bergabung tenaga dan idea dalam melahirkan produk yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak," kata Tiara yang juga merupakan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-12 (1995) menerusi filem Ringgit Kasorrga ini lagi.

Dexter sebelum ini pernah mengarahkan beberapa teater seperti Peter Pan, Loserville, Forbidden City dan Moby Dick.

Tiara juga memberitahu akan ada beberapa muka lama yang sebelum ini terlibat dengan dua pementasan terdahulu akan kembali bekerja dengannya selain tenaga kerja baru.

Bagi watak-watak lain dan barisan ensemble pula, Tiara memberitahu uji bakat akan dijalankan untuk mencari mereka yang benar-benar layak serta berbakat termasuk di Singapura.

Dalam masa yang sama, Tiara tidak menafikan pihaknya ada keinginan untuk membawa pementasan itu ke luar negara.

"Siapa yang tidak mahu melihat teater muzikal kita dipentaskan di West End atau London tetapi semuanya itu masih di peringkat awal.

"Kita akan melihat dulu sambutan TSLN di sini terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk ke fasa seterusnya," ujarnya tersenyum menyimpul seribu makna.

Begitu juga dengan soal kos apabila Tiara dengan penuh diplomasi enggan mendedahkan bajet keseluruhan walaupun Hits difahamkan ia akan menelan belanja lebih daripada RM5 juta sekali gus menjadikannya sebagai teater muzikal paling mahal dalam sejarah.

Selepas mengabdikan diri dalam hidup Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah atau Puteri Gunung Ledang, Tiara kini sudah bersedia untuk berdepan dengan transisi baru dalam hidupnya dengan watak Nora pula.

Baginya, watak Nora bukan calang-calang kerana ia menuntut cabaran yang cukup tinggi dan atas alasan itu, Tiara kini menjalani rejim senaman bagi memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan terbaik untuk tempoh tujuh bulan akan datang.

"Saya kini mengamalkan diet yang seimbang serta bersenam lima hari seminggu di gimnasium. Semuanya kerana TSLN dan saya sudah bersedia untuk menjadi Nora," kata ibu kepada dua orang cahaya mata ini bersungguh-sungguh.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jaguh Kampung bukan sembarangan

Posted:

Jaguh Kampung bukan sembarangan

Jaguh Kampung bukan sembarangan

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN dan ihsan ASTRO


KELETAH Ogy dan Jaafar Onn sudah pasti akan menghidupkan program Jaguh Kampung yang akan ditayangkan bermula 26 Mac ini.


MULA menakluk pasaran televisyen tempatan sejak lebih sedekad yang lalu, stesen berbayar terulung negara, Astro tidak pernah ketandusan idea untuk memberikan yang terbaik buat pelanggan setia mereka.

Jika disingkap senarai program yang telah disiarkan menerusi saluran yang ditawarkan, memang tidak terhitung jumlahnya dan menariknya, semuanya mempunyai pendekatan yang berbeza.

Mahu atau tidak, memang harus diakui, Astro merupakan perintis kepada perkembangan penerbitan program realiti di negara ini dan semuanya bermula dengan Akademi Fantasia pada tahun 2003.

Dengan munculnya beberapa saluran baru, Astro dengan pantas menerbitkan pelbagai program realiti demi mendekatkan mereka dengan penonton seperti Sehati Berdansa, Mari Menari, Raja Lawak dan Imam Muda.

Menyedari kehendak dan keinginan penonton yang sentiasa dahagakan sesuatu yang baru serta segar, Astro tidak berfikir lama untuk melahirkan sebuah lagi program realiti terbaru iaitu Jaguh Kampung.

Bukan calang-calang program, Jaguh Kampung boleh dikatakan sebuah rancangan yang unik di mana ia mempamerkan kehebatan masyarakat luar bandar memasak masakan tradisional yang barangkali sudah hampir dilupakan khususnya generasi muda hari ini.

Ditambah dengan keghairahan penonton tempatan yang begitu meminati program realiti masakan dari Barat seperti Top Chef, MasterChef US dan Junior MasterChef Australia, nampaknya kehadiran Jaguh Kampung tepat pada waktunya.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani memberitahu, pihaknya telah melakukan penyelidikan yang menyeluruh.

Hasilnya memang agak mengejutkan apabila program masakan merupakan antara rancangan yang cukup diminati oleh penonton tempatan tanpa mengira latar belakang dan usia.

"Kalau diperhatikan rancangan realiti masakan yang ada sekarang ini semuanya adalah dari Barat yang ada kalanya tidak begitu menepati selera kita sebagai rakyat Malaysia.

"Bagaimanpun, ia memberi kami ilham dan idea untuk menerbitkan Jaguh Kampung yang bukan hanya sekadar sebuah program masakan biasa tetapi dalam masa yang sama memartabatkan masakan tradisional yang sememangnya tidak lapuk dek hujan.

"Alhamdulillah, kami amat berpuas hati dengan sambutan daripada mereka yang hadir ketika uji bakat. Sebanyak 16 pasukan telah terpilih untuk musim pertama ini dan mereka merupakan antara yang terbaik serta menepati kriteria seperti mana yang dicari," ujarnya pada sidang akhbar yang berlangsung di Restoran Felda D'Saji, Jalan Maktab, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam majlis itu juga, Nizam turut memperkenalkan hos dan juri tetap Jaguh Kampung iaitu Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dan Jaafar Onn.

Sebelum ini, Astro Prima pernah menerbitkan program realiti masakan iaitu Perang Kuali yang menampilkan penghibur terkenal, Anita Sarawak sebagai pengacaranya.

Mengulas lanjut tentang Jaguh Kampung, Nizam menjelaskan, pihaknya memfokuskan pencarian bakat dari kampung-kampung di Semenanjung Malaysia yang mewakili empat zon iaitu zon utara, selatan, barat dan timur.

"Astro telah menjelajah ke setiap zon untuk mencari calon yang layak untuk Jaguh Kampung dan apa yang kami mahukan ialah mereka yang bukan hanya pakar memasak dalam memikat hati serta selera juri semata-mata dengan juadah unik yang disediakan.

"Tetapi, mereka juga mampu menghidupkan suasana ketika rakaman dengan celoteh yang menghiburkan sambil memasak.

"Apa yang boleh saya katakan, rancangan ini berjaya menampilkan keunikan yang tersendiri dan saya sendiri kagum dengan pelbagai jenis juadah yang disediakan sehingga ada sebahagiannya tidak pernah didengar sebelum ini," jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Nizam memberitahu Jaguh Kampung juga tidak terlepas daripada cabaran dan rintangan dalam menyempurnakan setiap episod terutama aspek cuaca serta kepantasan peserta sewaktu memasak dalam tempoh 1 jam.

Ketika ditanya tentang fokus Jaguh Kampung yang hanya tertumpu kepada kampungkampung di Semenanjung sahaja dan tidak menyeluruh sehingga ke seluruh pelosok negara, Nizam menjelaskan ia adalah strategi Astro untuk melihat sambutannya terlebih dahulu.

Seandainya musim pertama Jaguh Kampung diterima dengan baik oleh penonton, tidak mustahil untuk Astro mencari bakat baru di Sabah dan Sarawak untuk musim seterusnya.

Mengulas tentang pemilihan Ogy dan Jaafar, Nizam tanpa ragu memberitahu kedua-dua personaliti popular itu memiliki karisma tersendiri dalam mengendalikan sesebuah rancangan.

Atas alasan itu, kata Nizam, Astro memang tidak teragak-agak mengambil mereka berdua sebagai teraju Jaguh Kampung selain mampu menghidupkan rancangan tersebut dengan keletah mereka.

"Kalau kita perhatikan, Ogy sendiri memang sudah lama tidak muncul di kaca televisyen sebagai hos dan Jaafar pula memiliki kredibiliti yang tidak boleh dipertikaikan apabila memperkatakan tentang masakan.

"Jadi, pilihan Astro adalah tepat sekali untuk menggandingkan mereka berdua dalam program masakan ini," jelasnya bersungguh-sungguh.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.