Berita Harian: Hip |
Posted: 21 Mar 2011 05:13 PM PDT Hip PELBAGAI telatah peminat dapat dilihat sebaik saja lebih 20 artis popular yang juga finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bergilir-gilir naik ke pentas utama pusat beli-belah Kompleks Pasir Gudang Johor, Ahad lalu. Siri jelajah kelima yang diadakan semata-mata untuk mendekati penyokong setia mereka itu sememangnya cukup bermakna kerana memberi peluang kepada Top 5 menyatakan penghargaan dengan cara tersendiri. Malah kehadiran rombongan ABPBH 2010 yang sudah berkampung di pusat beli-belah itu sejak Sabtu untuk saringan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) disambut mesra peminat dan pengurusan kompleks berkenaan. Nyata peminat di selatan juga sama hebatnya dengan zon lain. Sebaik saja bas Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd yang membawa rombongan dari Kuala Lumpur tiba di pintu masuk kompleks, semakin ramai pengunjung datang.Hingga jam 7 malam apabila persembahan berakhir, kira-kira 5,000 penonton tidak berganjak daripada tempat masing-masing dan ada yang menyaksikan persembahan dari aras atas untuk melihat aksi artis kesayangan mereka dengan lebih jelas. Mana mungkin mereka mahu melepaskan peluang melihat aksi gandingan empat Raja Lawak iaitu Nabil, Zizan, Along dan Johan secara langsung? Ia peluang yang jarang diperoleh. Hanya pada siri jelajah ini peminat dapat berbuat begitu. Bukan hanya menyanyi, anak muda yang semakin mendominasi dunia hiburan itu tidak ketinggalan mengusik penonton. Bersama Didie Alias yang juga finalis kategori Artis Komedi Wanita Popular pula, 'gila-gila' mereka makin berganda.
Terdahulu, barisan pelakon seperti Fasha Sandha, Fizz Fairuz, Ady Putra, Sharnaaz Ahmad, Lisa Surihani dan Aaron Aziz berkongsi pentas dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan, yang tentu saja membabitkan pengunjung bertuah. Lebih gamat apabila penyampai Hot FM, Faizal Ismail yang terkenal dengan panggilan hangitnya bergilir mengendalikan acara bersama Sharifah Aleya, Chad serta hos utama majlis berkenaan, siapa lagi kalau bukan Along. Ada saja gelagat dan jenaka mencuit hati hingga penonton tidak kering gusi. Peluang sebegini tentu saja tidak mahu dilepaskan pengunjung terutama apabila mereka dapat berdiri sebaris dengan wajah yang ketika ini 'meletup' di radio, televisyen dan pawagam. Apatah lagi barisan artis turut membawa buah tangan khusus untuk diagihkan kepada peminat, hingga ramai yang terus bergegas mengangkat tangan atau bangun menuju ke pentas setiap kali kuiz atau permainan dimulakan. Peminat teruja Altimet, Zizan berduet PERSEMBAHAN barisan penyanyi juga tidak kurang hebatnya malah penonton di Pasir Gudang bertuah apabila berpeluang menyaksikan padu suara antara Altimet dan Zizan membawakan lagu Anggun. Bakat muda, Elfira Loy juga tampil dengan persembahan mengejutkan apabila mengundang lima penari kecil yang menamakan diri mereka Leeleesm dari Sekolah Puncak Alam menarikan lagu Superjunior. Sorakan terus gemuruh sebaik saja deretan nama besar lain menghangatkan pentas termasuk Anuar Zain, Meet Uncle Hussain bersama Hazama, Azlan & The Typewriter, Black, Alyah dan Mirwana. Seperti biasa, selain persembahan pentas, peminat bertuah juga diberikan kesempatan menaiki kereta Nissan Grand Livina dan Nissan Teana tajaan Edaran Tan Chong Motor bersama finalis kegemaran masing-masing. Kereta terbabit ialah ganjaran utama untuk pembaca bertuah dan pemenang Bintang Paling Popular ABPBH musim ke-24. Selain persembahan, pelbagai acara sampingan turut berlangsung pada siri jelajah dua hari itu malah penaja ABPBH siri ke-24 ini seperti Celcom, Orang Kampung dan Sinarmas turut merancakkan acara bersama promosi hebat. Selepas Pasir Gudang, rombongan jelajah akan berkampung di Klang Parade, Klang, Selangor selama tiga hari bermula 25 Mac, sebelum malam kemuncak anugerah berprestij itu berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, pada 3 April. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 21 Mar 2011 05:11 PM PDT Hip Michael Buble berjaya hiburkan lebih 8,000 peminatnya di Shah AlamPERSEMBAHAN kelas pertama penuh berprestij! Itulah gambaran paling tepat buat konsert penyanyi jazz Kanada, Michael Buble, Crazy Love World Tour yang berakhir di Malaysia baru-baru ini, selepas menjelajah ke empat negara sejak November lalu. Konsert yang menggamit kehadiran lebih 8,000 penonton itu memukau dan mempesonakan, bukan saja kerana lagu yang dipersembahkan, malah penggunaan sistem pencahayaan dan reka bentuk pentas yang unik dengan panel skrin boleh digerakkan mengujakan peminat yang memenuhi Stadium Malawati, Shah Alam. Pemuzik orkestra yang dibawa khas dari Amerika Syarikat turut menyemarakkan lagi mood penonton. "Saya tidak mahu anda berasa seperti berada di konsert sebaliknya saya mahu anda berparti dengan saya dan nikmati keseronokan seperti menghadiri parti penuh gilang gemilang," kata Michael selepas mempersembahkan lagu pembukaan Cry Me A River yang turut disusuli dengan percikan bunga api.Sebelum itu, penyanyi tempatan, Najwa memulakan persembahan dengan menyampaikan empat lagu termasuk Ibu, Jealousy dan You Got To Go. Penggunaan tirai putih yang menutupi separuh pentas bagaimanapun menjadi tanda tanya kepada penonton yang mula membanjiri stadium seawal jam 7 malam. Apa agaknya yang bakal ditonjolkan oleh penyanyi berusia 35 tahun ini. Sebaik lampu limpah yang menerangi ruang dalam stadium dipadamkan, tumpuan tertumpu pada tirai di pentas tatkala lampu sorot dihalakan ke arah kain putih itu. Ketika muzik dialunkan, kelihatan bayangan pemuzik orkestra pada kain terbabit serta kerdipan pelbagai warna lampu, menyemarakkan lagi pentas yang ditutupi tirai itu.
Konsert selama dua jam setengah itu dihiasi 20 lagu daripada album terbarunya, Crazy Love seperti All Of Me, At This Moment, Mack The Knife, Everything dan Save The Last Dance. Aksi jenaka dan memek muka Michael ketika memperkenalkan barisan pemain muzik iringan turut mencuit hati. Malah, aksi Michael yang meniru gaya Michael Jackson turut menarik perhatian. Gaya dan suaranya yang menyerupai mendiang Raja Pop itu ketika menyampaikan lagu MJ Guy - Twist & Shout, memukau peminat. Telatahnya itu menarik minat penonton yang duduk di bahagian bawah stadium untuk sama-sama berdiri sambil menari dan bertepuk tangan dengannya, seperti berada di sebuah parti keramaian. Penonton wanita pula kedengaran menjerit ketika Michael turun dari pentas dan berjalan menuju ke pantas kecil yang dipasang di hadapan tempat duduk media sambil menyanyikan lagu All I Do. Memang gamat jadinya. Pandai berjenaka PERSEMBAHAN penuh bertenaga itu tidak menghampakan penonton. Meskipun sut yang dipakai Michael basah bermandi peluh, namun dia masih mampu melemparkan senyuman buat peminatnya. Sambil bergurau dia berkata: "Anda semua memang sporting dan saya mungkin akan kembali ke sini lagi jika stadium di sini dipasang penghawa dingin, atau saya terpaksa membuat persembahan ala Lady Gaga." Dengan mempersembahkan tiga lagu bonus, Feeling Good, Me & Mrs Jones dan Song For You, Michael nyata tidak menghampakan peminat yang hadir, malah dia menghargai peminat yang sanggup membeli tiket yang mahal untuk menyaksikan konsertnya itu. Walaupun tanpa mikrofon, Michael menunjukkan kemantapan suaranya menyanyikan bait terakhir lagu Song For You yang bergema di seluruh stadium, yang tiba-tiba sunyi sebelum tirai konsert dilabuhkan. "Malaysia sebuah negara yang cantik dan menyajikan pelbagai jenis makanan enak. Ia tidak menghampakan saya untuk ke sini lagi. Saya datang dengan penerbangan bertaraf dunia, Malaysia Airlines dan bertemu dengan Jimmy Choo di dalam penerbangan saya. "Pertemuan ini mengujakan saya. Mungkin kalau saya tidak menyanyi lagi, saya akan membuat kasut dengan Jimmy Choo yang diberikan nama Jimmy Bu," katanya sambil ketawa. Selain pereka kasut terkenal dunia, Datuk Jimmy Choo, turut menyaksikan konsert itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan pelakon, Adlin Aman Ramli bersama isterinya, Emelda Rosmila. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |