Adsense

Selasa, 22 Mac 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Mizz Nina menghitung hari bahagia

Posted: 21 Mar 2011 08:51 PM PDT

TANGGAL 1 Julai nanti akan termeterai cinta dua hati di antara Mizz Nina dan Mohammad Noh Salleh atau Noh Hujan apabila mereka diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri dan akan melayari bahtera rumah tangga.

Segala persiapan menjelang hari bahagia Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 31, berjalan lancar.

Sebagai anak seorang tokoh korporat dalam institusi perbankan, tidak hairanlah jika majlis resepsi diadakan dua kali secara berasingan.

Itu mungkin untuk memastikan tidak ada yang berkecil hati jika tidak mendapat undangan ke majlis bersejarah dalam hidup Mizz Nina dan bakal suaminya itu.

Pada hari berlangsungnya pernikahan yang diadakan di kediaman Tan Sri Azman Hashim di Ampang, Selangor, majlis diadakan secara tertutup iaitu hanya dihadiri oleh kaum keluarga, sanak saudara dan klien yang diundang sahaja.

Bagaimanapun, kata Mizz Nina, pihak media akan diberikan gambar sekitar majlis pernikahannya nanti.

Persiapan majlis pernikahan yang diceritakan oleh Mizz Nina yang popular menerusi single pertamanya, What You Waiting For memberikan gambaran bahawa majlis itu akan berlangsung dalam suasana meriah, unik lagi mahal.

Tidak seperti kebanyakan artis yang impikan majlis dalam taman, Mizz Nina pula akan berjalan di atas jambatan yang dibina merentasi kolam renang di kediaman keluarganya.

Di tengah-tengah jambatan itu nanti, kata Mizz Nina, akan tertera namanya dan Noh manakala hiasannya pula bercirikan gabungan Melayu dan moden.

Namun apabila ditanya berapakah anggaran kos keseluruhan majlisnya nanti, katanya, "private and confidential (rahsia)."

"Untuk majlis itu, saya akan mengenakan pakaian elegan berwarna ungu dan perak iaitu gabungan tradisi Melayu.

"Ia rekaan Lady Jane untuk disesuaikan dengan tema vintaj hitam putih," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan plak daripada syarikat telekomunikasi, Maxis di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut diadakan kerana lagu What You Waiting For berjaya mencatat capaian muat turun sebanyak 600,000 bagi kategori lagu Inggeris tempatan pada tahun lalu.

Turut hadir, Pengarah Pengurusan Digital Trinity Entertainment, Rahul Kukreja, Pengarah Operasinya, Kok Wing Meng dan Pengurus Muzik dan Rakan Kongsi Maxis, Melissa Chai.

Dari riak wajahnya, penyanyi itu tidak dapat menghindari perasaan gembira dan berdebar apabila mengenangkan tarikh pernikahannya dengan vokalis kumpulan Hujan yang semakin hampir.

Katanya, dia tidak suka menyerahkan segala urusan persiapan pernikahan dan majlis resepsi di tangan ibu bapanya.

"Saya akan rasa berkali ganda panik jika saya tidak ambil kisah tentang perkembangan persiapan majlis.

"Sekarang ini, walaupun sibuk dengan karier, saya masih tahu apakah perkembangan persiapan kerana setiap hari, akan ada penerangan daripada pasukan bertugas.

"Setakat ini 40 peratus persiapan majlis ini berjalan lancar. Baju nikah dan bersanding dari butik Lady Jane sudah siap. Selain itu lokasi pun sudah pasti. Sekarang ini tunggu untuk edarkan kad undangan sahaja," katanya yang seolah menarik nafas lega.

Pasangan yang mengikat tali pertunangan pada 6 November tahun lalu memilih tarikh lahir Mizz Nina sebagai tarikh untuk dinikahkan.

Bercerita lanjut mengenai majlis resepsi selepas dinikahkan, kata Mizz Nina, pada 3 Julai nanti, satu majlis akan berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Katanya, jemputan ke majlis itu nanti dianggarkan kira-kira 800 tetamu yang terdiri daripada kalangan keluarga dan klien ayahnya.

Sementara itu, pada 6 Julai, satu lagi majlis akan diadakan di Hotel Doubletree by Hilton, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Katanya lagi, majlis pada 6 Julai nanti berkonsepkan budaya Jepun.

"Saya dan Noh memang suka budaya dan muzik Jepun. Penyambut tetamu wanita dan lelaki pada hari itu akan mengenakan kimono dan berpakaian ala Ninja.

"Untuk majlis yang dihadiri oleh pihak media dan rakan-rakan, saya turut mengundang kumpulan muzik dari Indonesia untuk mengadakan persembahan," katanya.

Seterusnya, majlis resepsi akan diadakan di sebelah pihak lelaki pada 15 Julai, di Miri, Sarawak.

Man cuti tiga bulan demi Raja Lawak

Posted: 21 Mar 2011 08:50 PM PDT

IKHLAS, yakin diri dan buat persembahan yang terbaik demi keluarga, majikan dan orang ramai yang menyokongnya selama ini agar mereka tidak malu.

Itulah kata-kata jujur daripada Man, juara program realiti Raja Lawak Astro musim kelima yang berakhir pada Jumaat lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam.

Man atau Abdul Rahman Kassim, 34, berkata, niatnya hanya satu sewaktu melangkah ke pentas akhir pertandingan Raja Lawak musim ini, iaitu untuk hibur orang ramai.

"Bagi saya nombor satu, dua atau tiga adalah pemenang. Kalau dapat nombor satu adalah bonus. Apa yang penting bila berada di pentas, lakukan yang terbaik biar orang Malaysia menilai persembahan saya.

"Saya percaya kalau kita buat yang terbaik dan penonton terhibur pasti mereka akan pilih orang itu. Alhamdulillah, malam ini rezeki saya," katanya merendah diri.

Man berjaya mencuri hati penonton dengan gayanya yang selama sewaktu membuat persembahan komedi muzikal dengan menampilkan topik mat rempit.

Katanya, dia memang suka menunggang motor dan kenderaan itu memang sinonim dengan tugas posmen yang merupakan tanggungjawabnya sebelum ini.

Menurut suami kepada Azlina Awaluddin, 34, topik itu menjadi pilihan kerana selain menghibur, dia ingin memberi nasihat kepada anak muda yang gemar menunggang motosikal tanpa menghirau nyawa orang ramai.

"Bab-bab menukar lirik lagu, serah pada saya kerana itu memang hobi. Rakan-rakan di tempat kerja, sudah tahu perangai saya yang sesuka hati tukar lirik lagu.

"Saya memang suka bergurau senda dengan rakan-rakan setugas tapi kalau ada kerja yang tak betul, saya tegur juga dengan cara berhemah. Lagipun kita nak kerja dalam suasana gembira," katanya yang bertugas sebagai Penyelia Operasi Kanan di unit pembungkusan dan surat menyurat, di pejabat pos Shah Alam.

Man yang mendapat wang kemenangan sebanyak RM100,000 berserta barangan elektrik dan trofi berkata, selain menyimpan untuk masa depan dia akan guna wang tersebut untuk membayar hutang.

Menurut ayah kepada dua orang anak itu, dia amat berterima kasih kepada pihak atasan kerana telah menaja 50 helai kemeja-T yang menampilkan wajahnya untuk promosi.

"Saya juga dimaklumkan, bos besar telah menghantar e-mel ke seluruh pejabat pos memaklumkan supaya menyokong saya. Bukan setakat itu sahaja, cuti saya yang dimohon dua bulan juga dilanjutkan menjadi tiga bulan.

"Memang mengharukan kerana majikan menyokong perjuangan saya. Bagi saya kemenangan ini juga sekali gus menaikkan nama Pos Malaysia," katanya yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Man yang berminat untuk mengembangkan bakatnya dalam dunia lakonan itu berkata, setakat ini beliau belum membuat sebarang perancangan kerana semua itu bergantung kepada pihak Astro.

Dia yang bakal menyertai pertandingan Maharaja Lawak bermula 1 April ini turut mendapat pujian daripada pengkritik tetap Sathiya dan Afdlin Shauki.

Sathiya antara lain berkata, "persembahan yang hebat, kita tukar nama awak dari Man kepada 'Seniman'. You're magic man. Harap jadi juara."

Sementara komen Afdlin pula, "dalam ramai-ramai orang yang buat komedi muzikal, ini yang terbaik. Saya menaruh harapan setinggi gunung terhadap awak. Pada saya, awak sudah menjadi juara,".

Komen-komen itu dilontarkan sewaktu Man membuat persembahan dengan tema gaya bebas (isu kongsi gelap) dan komedi muzikal (mat rempit).

Ternyata Man yang mendapat undian 45 peratus bukan sahaja berjaya mencuri hati penonton, malah para juri juga sudah dapat menilai bakatnya.

Sementara itu, Kumpulan Balas yang dianggotai oleh Mohammad Shukri Mohamed Sahar (Shuk), 24, dan Fandi Muhammad (Fendi), 25, dari Pulau Pinang yang menduduk tempat ketiga, turut mengakui kehebatan Man.

Kata Shuk, Kumpulan Balas sudah buat yang terbaik tapi apakan daya bukan rezeki dan mereka hanya mampu membawa pulang wang kemenangan RM30,000 serta barangan elektrik dan trofi untuk tempat ketiga.

"Melihat pada persembahan Man, kami akui dia lebih hebat. Kalau Man tidak hebat, mana mungkin oran ramai memilihnya," katanya yang mendapat undian sebanyak 22.6 peratus.

Antara komen yang diberikan oleh David Teo untuk persembahan pertama Kumpulan Balas adalah, "kalau persembahan seperti ini, pasti awak boleh jadi nombor satu."

Manakala untuk persembahan komedi muzikal Kumpulan Balas, Sathiya mengungkap sebagai persembahan cun (menarik).

Dalam pada itu kumpulan adik-beradik, R2, Rahim Mat Ali (Aim) 40, dan Ridhzuan (Lopez), 21, dari Klang yang menduduki tempat kedua menganggap kejayaan itu adalah kemenangan bersama.

Mereka yang memperoleh wang tunai RM50,000 beserta barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro berkata, sebelum ini hanya Rahim yang sering menyertai uji bakat Raja Lawak.

"Ini semua atas cadangan adik saya. Sebelum ini saya sahaja yang suka menyertai uji bakat, kali ini adik cadangkan kami bergabung.

"Tak sangka gandingan ini membawa tuah kepada kami. Walaupun tempat kedua, R2 tetap gembira kerana ia merupakan satu pengalaman paling indah untuk kami," kata Rahim.

Sementara itu Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, sambutan yang diberikan oleh penonton untuk program kali ini amat memberangsangkan.

Katanya, persembahan bertenaga daripada para peserta sekali gus membuatkan penonton tidak jemu mengikuti program tersebut daripada awal hingga akhir.

"Kita tahu, Raja Lawak ini mendapat sambutan berdasarkan sokongan yang diberi oleh orang ramai yang bermula daripada uji bakat sehinggalah persembahan gelanggang raja lawak.

"Penonton yang mengikuti persembahan para peserta tahu siapa yang layak untuk dipilih sebagai juara. Dari situ membuktikan bahawa program ini mendapat perhatian ramai," katanya.

Turut diundang pada malam itu adalah Raja Pop, Jamal Abdillah, Joe Flizow dan pelawak Mat Sentul atau nama sebenarnya Abdul Rasit Yahya yang turut menyampaikan hadiah di samping Nizam.

Pertandingan akhir itu juga dimeriahkan oleh gelagat pengacara bersama Johan dan Zizan.

Aznil terharu sokongan peminat

Posted: 21 Mar 2011 08:48 PM PDT

SELAMA 21 tahun menjadi seorang personaliti paling berjaya di negara ini, Aznil Nawawi sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat untuk mengadakan sebuah konsert.

Mungkin kedengaran agak mustahil bagi seorang pengacara untuk mengadakan konsert tetapi apabila memperkatakan tentang Aznil, tiada yang mustahil dapat dilakukan oleh anak jati Kuala Lumpur itu.

Aura dan karisma pengacara nombor satu negara ini setiap kali berada di atas pentas memang tidak dapat dinafikan lagi dan Aznil sudah membuktikan bahawa tiada sesiapa yang mampu menggantikan tempatnya sehingga kini.

Sekali lagi, Aznil telah membuktikan kehebatannya sebagai pengacara unggul negara apabila dia berjaya menghiburkan hampir 8,000 orang peminat yang sanggup meredah hujan dan becak semata-mata mahu menonton konsert sulungnya, Konsert Hore! Hore! yang berlangsung di Padang Bola, Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sepanjang dua jam menikmati persembahan Aznil pada malam tersebut, ternyata penonton tidak sedikit pun berganjak daripada tempat duduk masing-masing malah sabar menanti sehingga ke akhir konsert.

Terus-terang dikatakan, Aznil bukanlah seorang penyanyi yang hebat seperti penyanyi lelaki lain saat mendendangkan lagu-lagu sepanjang konsert berkenaan.

Malah, Aznil juga sebelum ini pernah memberitahu dan meminta peminatnya untuk tidak meletakkan harapan yang tinggi jika mereka hadir mahu menikmati nyanyiannya.

Tetapi, persona Aznil itu sendiri sebenarnya telah banyak menghidupkan perjalanan konsert berkenaan yang dianjurkan oleh RYE Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Astro selaku stesen penyiar rasmi.

Memulakan persembahan tepat pukul 8.45 malam, Aznil muncul di atas pentas dengan sekumpulan penari diketuai oleh Ahmad Kassan dengan berpakaian penuh warna-warni dengan lagu Hore Hore.

Walaupun sudah 21 tahun bergelar anak seni, namun wajah Aznil tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar dan gugup sehingga dia kelihatan sedikit keras di atas pentas.

Meneruskan persembahan, Aznil kemudiannya menjemput pelakon cilik, Haziq yang pernah menjadi pasangan pengacara dalam rancangan Tom Tom Bak untuk menyampaikan lagu popular kanak-kanak, Papaku Pulang.

Kejutan pertama pada malam itu muncul apabila Aznil mengundang Azlan & The Typewriter untuk berduet dengannya menerusi lagu yang sama dengan susunan muzik yang lebih moden dan disuntik dengan nuansa rock.

Azlan & The Typewriter juga tidak menghampakan peminat dan audiens yang membanjiri lokasi tersebut dengan lagu klasik, Jeritan Batinku dengan gayanya yang tersendiri.

Seperti mana yang dijanjikan Aznil sebelum ini, lagu-lagu yang dipersembahkan untuk konsertnya itu mempunyai signifikan tersendiri dalam perkembangan kariernya.

Kali ini, dengan gaya tersendiri, Aznil menyampaikan empat buah lagu rock popular tahun 90-an secara medley iaitu Isabella, Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Sejati dan Masih Aku Terasa.

Aznil turut menyampaikan lagu popular Ratu Rock Negara, Ella iaitu Dua Insan Bercinta yang merupakan lagu kegemaran Aznil dengan meniru gaya penyampaian Ella sehingga mendapat tepukan gemuruh.

Sebagai orang yang bertanggungjawab memperkenalkan nama Saiful Apek ke persada seni tanah air, Aznil tidak melupakan anak didiknya itu dengan mengundangnya ke atas pentas.

Nampaknya, aura pelawak itu masih belum pudar kerana dia masih memiliki pengaruh yang kuat apabila mendapat tepukan gemuruh daripada audiens.

Cuma, ketika Saiful Apek mengendalikan segmen bersama penari hip hop kanak-kanak, ia sedikit menghambarkan dan merencatkan perjalanan konsert yang baru hendak mencapai momentumnya.

Seperti mana yang diketahui ramai, Allahyarham Sudirman Arshad merupakan individu yang paling berpengaruh dalam hidup Aznil dan sebagai penghormatan, Aznil telah menyampaikan lima buah lagu popular seniman kreatif itu.

Apa yang mengharukan Aznil apabila kakak arwah Sudirman, Datin Rodziah Arshad dan keluarga sudi hadir menonton konsertnya pada malam itu dan membuatkan Aznil sedikit sebak.

Walaupun membawakan lagu-lagu seperti Hujan, Apa Khabar Orang Kampung, Pulang Dari Kilang, Dari Kerana Mata, Aku Penganggur dan Salam Terakhir, namun penyampaian Aznil tetap tersendiri dan tidak cuba hendak meniru penyanyi pujaannya itu.

Cuma, konsep persembahan Aznil sahaja mengambil inspirasi Penghibur Nombor Satu Asia itu yang menjadi tunjang kekuatan persembahan Aznil untuk segmen tribute itu.

Sebagai seorang penghibur dan seorang yang tidak pernah ketandusan idea dalam mempelbagaikan persembahannya, Aznil menjemput lima orang wanita ke atas pentas bagi menyempurnakan segmen lagu-lagu untuk wanita.

Lima lagu yang dipilih Aznil adalah Azura, Carol, Oh Fatimah, Azizah dan Kerana Percayakan Siti dan untuk menghangatkan persembahan menerusi segmen itu, Aznil telah menawarkan hadiah lumayan berupa barangan kemas tajaan Habib Jewels.

Mengambil kesempatan di atas populariti lagu Kalau Berpacaran, Aznil menjemput Ana Raffali dan Altimet untuk menyanyikan lagu itu dengan gaya mereka sendiri sebelum Ana membuat persembahan solo menerusi lagu popularnya, Tolong Ingatkan Aku.

Malam terus hangat apabila Aznil mengundang juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid untuk menyampaikan lagu Cik Mek Molek dan Gila Judi yang pernah dipopularkan oleh Datuk M. Daud Kilau.

Lebih menggamatkan apabila dua wanita dalam lingkungan 40-an diundang untuk menari mengiringi dua lagu berkenaan dan aksi mereka telah membuatkan penonton tidak kering gusi.

Jika sebelum ini, Aznil sering menampilkan kejutan dalam Akademi Fantasia, namun malam itu dia pula diberi kejutan oleh dua penyampai radio Era FM, Ray dan Haniff apabila perlu memegang seekor ular albino yang merupakan haiwan yang tidak digemarinya.

Dalam berhibur, Aznil sempat membuat amal jariah dengan menyampaikan cek berjumlah RM30,000 kepada seorang kanak-kanak, Ahmad Nazeef Ahmad Sabri yang menghidap jantung berlubang.

Semuanya adalah menerusi projek Hero Malaya yang diinisiatifkan oleh Aznil bersama beberapa artis lelaki popular negara lain.

Air mata Aznil tidak dapat dibendung lagi apabila Ray dan Haniff menjemput seluruh ahli keluarganya naik ke pentas bersama rakan-rakan seperjuangan Aznil serta mereka yang telah menjadi tulang belakang kejayaan selama ini dan menyanyikan lagu popular kumpulan Samsons, Kenangan Terindah.

Mengakhiri persembahan, Aznil menyampaikan lagu Toyol dan Profesor Klon yang merupakan pilihan terbaik untuk melengkapkan perjalanan Konsert Hore! Hore! yang cukup menghiburkan itu.

Bertemu dengan Aznil pada pertemuan singkat selepas berakhirnya konsert tersebut, sekali lagi air matanya tumpah dan dalam menahan sebak, Aznil memberitahu dia cukup terharu melihat sokongan yang diberikan oleh peminatnya.

Baginya, pengorbanan peminat yang sanggup mengeluarkan wang untuk membayar dan menonton konsertnya merupakan sesuatu yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.

"Lebih-lebih lagi ada yang datang dari Sabah dan Sarawak, membuatkan saya tergamam dan hilang kata-kata. Mereka sanggup menonton persembahan saya walaupun saya ini bukan seorang penyanyi yang memiliki mutu vokal yang mantap seperti penyanyi lain.

"Alhamdulillah, saya bersyukur konsert sulung saya ini berjalan dengan lancar seperti mana yang diharapkan. Saya pernah berkata ini merupakan konsert pertama dan terakhir saya tetapi nampaknya kejayaan ini mendorong saya untuk meneruskannya di masa hadapan," katanya.

Liyana Jasmay Buat Praktikal Di Tayangan Unggul

Posted: 21 Mar 2011 07:34 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon Liyana Jasmay (gambar) sedang melakukan latihan praktikal di syarikat penerbitan filem Tayangan Unggul Sdn Bhd bermula Isnin.

Liyana yang sedang menuntut peringkat diploma jurusan Seni Persembahan & Media di Kolej Sunway, turut tidak sabar untuk menjalani latihan amali di produksi milik penerbit Gayatri Su-Lin Pillai itu.

Menurut Liyana, dia memilih untuk membuat praktikal syarikat tersebut kerana telah lama bekerjasama di bawah Tayangan Unggul menerusi filem Castello, Maut, Duhai Si Pari-Pari, Histeria dan Papadom.

"Saya tidak sabar untuk memulakan latihan itu kerana selepas ini saya bakal menempuhi pelbagai cabaran dan sudah tentu saya gemarkan sesuatu yang mencabar.

"Saya juga tidak sabar untuk bekerja dalam suasana yang baru kerana sebelum ini saya hanya menjadi pelakon di bawah syarikat itu tetapi berlainan pula kali ini apabila saya bekerja di belakang tabir dan belajar cara-cara untuk membikin sebuah filem," ujarnya kepada mStar Online.

Sementara sibuk dengan latihan amali selama tiga bulan ini, Liyana terpaksa menolak mana-mana tawaran lakonan buat sementara waktu kerana menjadi kesalahan sekiranya dia bekerja dalam tempoh tersebut.

Selain itu, dia juga berkobar-kobar untuk menamatkan pengajiannya sebelum hujung tahun ini selain berhasrat menyambung pengajiannya peringkat lebih tinggi dalam bidang seni.

Liyana pernah memasang cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di Sydney, Australia dalam bidang persembahan muzikal.

Masih Belum Muflis, Linda Jasmine Anggap Ada Orang Dengki

Posted: 21 Mar 2011 07:34 PM PDT

PETALING JAYA: Pereka tari Linda Jasmine yang juga isteri pelakon Que Haidar menjelaskan studio miliknya iaitu Linda Jasmine Studio belum muflis seperti yang didakwa oleh sebuah akhbar, Ahad lalu.

Linda mengakui studio miliknya yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu itu masih beroperasi seperti biasa.

Malah, koreografer itu juga menafikan dakwaan tidak membayar gaji pekerja sehingga beberapa bulan.

"Kadangkala pelanggan saya membayar lambat, jadi kami perlu menunggu sehingga wang tersebut diberikan kepada kami. Ada juga sehingga setahun kami terpaksa menunggu bayaran tersebut dilunaskan.

"Tetapi lambat bagaimanapun, kami tetap akan mendahulukan pembayaran gaji kepada pekerja. Lagipun, kebanyakan pekerja saya di situ merupakan pekerja sambilan dan tidak mengikat apa-apa kontrak dengan kami," kata Linda kepada mStar Online.

Linda akui memang perniagaannya mempunyai pendapatan turun dan naik dan musim-musim tertentu mereka mendapat keuntungan yang lebih dan kadangkala agak kurang.

"Cerita tentang saya tidak membayar gaji pekerja itu tidak betul. Saya agak terkejut apabila membaca cerita seperti itu kerana saya tidak pernah mempunyai musuh sepanjang bekerja lebih 20 tahun dalam industri ini.

"Mungkin ada orang dengki dengan saya sehingga sanggup mereka cerita seperti ini tetapi saya enggan menuduh sesiapa," tambahnya lagi yang sedang sibuk mengendalikan dua projek besar dengan Astro.

Bukan Salah Ezany, Produksi Gagal Susun Jadual

Posted: 21 Mar 2011 07:33 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Ezany Nazariff menjelaskan tuduhan mengatakan dia tidak memberi komitmen dalam sebuah penggambaran drama baru-baru ini adalah disebabkan kesilapan pihak produksi yang tidak menyusun jadual dengan betul.

Katanya, ia bukan kerana watak kecil menyebabkan dia mengambil mudah penggambaran tersebut tetapi jadual penggambaran yang sering berubah menyebabkan dia tidak dapat memberi kerjasama kerana mempunyai komitmen lain.

"Isunya kecil saja dan saya tidak anggap ia perkara besar sebab itu adalah masalah dalaman produksi.

"Mereka yang tidak menyusun jadual dengan betul sehingga banyak babak yang terpaksa ditunda dan babak saya bertindih-tindih dengan penggambaran lain.

"Ya, memang saya ada komitmen dengan drama lain sebab watak drama ini kecil sahaja dan sebagai pelakon sudah tentu kita ada menerima tawaran lain," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Pelakon itu menjawab tuduhan yang dilaporkan sebuah akhbar Ahad lalu mengatakan dia tidak berdisiplin dan sanggup menabur pasir dalam periuk nasi sendiri kerana gagal hadir dalam pembikinan sebuah drama.

Bagaimanapun, jelas Ezany dia terkejut apabila perkara ini dibesarkan oleh pihak tertentu, walhal baginya ia hanyalah asam garam yang biasa dilalui di setiap penggambaran.

"Orang di luar tidak tahu situasi sebenar di lokasi penggambaran, bagaimana kami tiada tempat berehat dan terpaksa menunggu, tapi bagi saya itu adalah asal garam sebagai pelakon.

"Untuk drama tersebut, saya berlakon hanya sebagai cikgu dan pelakon utama adalah budak-budak sekolah yang mana mereka lagi banyak masalah dan sukar untuk dikawal.

"Hal tunggu menunggu di lokasi bukan saya seorang sahaja malah beberapa pelakon lain turut menerima nasib yang sama disebabkan masalah jadual itu," katanya.

Dalam pada itu, sebagai usahawan belacan dan kicap, Ezany turut memberitahu dia terpaksa membahagikan masanya sebaik mungkin bagi memastikan semua yang dilakukan berjalan lancar.

"Setiap hari memang saya sibuk, selepas habis penggambaran saya akan bergegas ke pejabat dan kilang untuk lihat semua berjalan lancar.

"Tapi ia boleh dilakukan dengan profesional jika semuanya diatur dengan baik dan mempunyai jadual yang betul," katanya yang turut membintangi drama Kemboja Putih.

Selain itu, Ezany bakal muncul dengan drama terbaru pada 8 April ini berjudul Jubah Emas Buat Su arahan Bada Haji Azmi di saluran Astro Oasis.

Zizan Nin Selami Watak Nelayan Dalam 'Teratak Mahligai'

Posted: 21 Mar 2011 07:33 PM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Zizan Nin akan melakonkan watak pemuda berada yang cuba mneyesuaikan diri dengan kehidupan nelayan dalam drama terbaru berjudul Teratak Mahligai di TV2.

Drama 24 episod ini menyaksikan gelagat Nikmat lakonan Zizan yang canggung dan kekok ketika proses penyesuaian diri sebagai nelayan mampu mencuit perasaan penonton.

Bagiamanapun Nikmat mempunyai misi dan visi tersendiri iaitu untuk memajukan industri penangkapan ikan di kampung nelayan itu.

Drama terbaru menghiasi slot Galeri Famili ini bakal bersiaran bermula Isnin (semalam).

Ia menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis pukul 3.30 petang menerusi saluran TV2.

Selain menampilkan Zizan Nin sebagai watak utama, drama ini turut di bintangi oleh Zed Zaidi, Nisha Dirr, Zarynn Min, Rahim Jailani, Sidek Hussain, Arash Mohamad, Dian P Ramlee, Nabila Huda, Watie Elite, Normah Damanhuri, Fazilah Mansor, Azman Ahmad dan Roslan Salleh.

Teratak Mahligai antara lain mengisahkan Nikmat (Zizan) dan Syukri lakonan Zed Zaidi, dua pemuda berlainan latar keluarga mula akrab di ruangan blog.

Nikmat yang berjaya dalam perniagaan Internet cuba menyelami hati anak nelayan yang berkelulusan tinggi, Syukri.

Syukri pemuda yang bercita-cita tinggi mahu mengubah nasib keluarganya tetapi terpaksa meneruskan kerjaya bapa sebagai nelayan atas desakan hidup.

Plot dan naratif mula memuncak apabila Nikmat dan Syukri bersetuju untuk bertukar tempat.

Nikmat menjadi nelayan manakala Syukri pula menerajui syarikat milik Nikmat, Uncang Emas dengan bayaran RM5,000 sebulan.

Drama arahan Zul R'Shad yang cukup dikenali menerusi hasil sentuhannya seperti Sephia, Spa Q, telefilem Sirah, Syurga Di Mana dan Seberat Zarah.

Selain cuba menyelitkan kepincangan dalam kehidupan berkeluarga juga hidup bermasyarakat, Zul cuba menyelitkan elemen komedi yang tidak keterlaluan namun mampu membuat penonton ketawa.

Nana & Sein Buat Kenduri Kerana Rujuk Semula

Posted: 21 Mar 2011 07:32 PM PDT

PETALING JAYA: Pasangan artis Sein dan Nana akan mengadakan majlis kesyukuran selepas mereka kembali bergelar suami isteri. Ia akan diadakan di Dewan Bakti, Taman Tun Dr Ismail, pada 2 April ini, pukul 9 malam.

Nana yang dihubungi berkata majlis tersebut sebagai tanda syukur kerana hubungan mereka terjalin semula pada 11 Mac lalu selepas berpisah selama tiga bulan.

"Majlis kenduri doa selamat dan kesyukuran ini dibuat secara sederhana sebagai tanda syukur kepada penyatuan semula hubungan kami.

"Diharap selepas ini semua akan kembali berjalan seperti biasa dan hubungan kami akan diberkati Allah," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.

Nana berkata, majlis itu juga bertujuan untuk dia dan suami menjelaskan keadaan sebenar kepada semua pihak termasuk keluarga yang masih bertanya tentang kesahihan berita mereka rujuk semula.

"Kami juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan perkara yang menjadi tanda tanya oleh semua pihak selama ini.

"Kalau boleh kami mahu beri kenyataan secukupnya dan tidak menjadikan ia sebagai sebuah persoalan kepada peminat," katanya.

Tambah Nana sepanjang tiga bulan menjadi ibu tunggal dia merasakan hidupnya terumbang ambing dan penceraian tersebut banyak mengajarnya erti kehidupan.

"Saya bersyukur mungkin perpisahan sementara ini merupakan jalan terbaik daripada Allah untuk menunjukkan bahawa kami masing-masing tidak boleh hidup berasingan.

"Saya rasakan hidup sangat kosong dan tidak stabil selama tiga bulan tersebut begitu juga suami sehingga akhirnya kami membuat keputusan bersatu semula," katanya.

Dalam pada itu, Nana tidak menolak faktor anak-anak menjadi salah satu punca ikatan jodoh mereka masih kuat.

"Anak-anak kami masih kecil dan tidak faham perkara ini, sepanjang tiga bulan itu mereka sering bertanyakan tentang ayahnya.

"Begitu Sein yang tidak dapat berjumpa anak-anak seperti selalu," katanya yang kini kembali menjalankan rutin harian sebagai seorang isteri dan ibu.

Pasangan tersebut, sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor, pada 8 Disember tahun lalu.

Sein dan Nana mendirikan rumah tangga pada Julai, 2006 dan mempunyai dua orang cahaya mata, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, yang berusia setahun.