Adsense

Selasa, 8 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Apa sahaja demi peminat

Posted:

Apa sahaja demi peminat

Apa sahaja demi peminat

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAIM AZIZ dan NOOR ASREKUZAIREY SALIM


RASMI… Anuar Zain (tengah) bersama Taha Zainal (kiri) dan Fahrin Ahmad sewaktu sidang akhbar Amazing Anuar Zain April's Affair di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


UNTUK menjadi seorang artis yang dapat bertahan lama dalam industri hiburan bukan satu tugas yang mudah. Semua aspek perlu diambil kira dan jika hanya bakat sahaja yang diambil kira, ia tidak mencukupi. Malah, ia juga bukan satu jaminan untuk seseorang artis itu dapat mengekalkan kedudukannya.

Sebaliknya, seseorang artis itu perlu ada pakej lengkap untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur termasuklah personaliti serta aura tersendiri untuk menarik perhatian masyarakat.

Figura unggul dunia hiburan seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Sheila Majid, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza boleh dijadikan contoh terbaik apabila dapat bertahan sehingga ke hari ini.

Mereka membuktikan bahawa bakat dan personaliti yang dimiliki sebenarnya merupakan kekuatan dan menjadi tunjang utama buat mereka untuk terus diminati.

Seorang lagi penyanyi unggul, Anuar Zain juga boleh dikategorikan dalam kelompok itu kerana lebih sedekad melayari lautan seni sebagai penyanyi solo, dia masih terus digilai dan dipuja peminatnya khususnya kaum Hawa.

Pernah seorang teman bertanyakan kepada penulis, mengapa ramai wanita begitu menggilai Anuar sehingga mereka sendiri tidak pandang pada penyanyi lelaki lain yang ada di negara ini.

Untuk memberikan jawapan yang tepat, barangkali ia begitu sukar kerana soal memuja dan meminati artis ini begitu subjektif. Pandangan setiap individu itu berbeza dan ia bergantung kepada mereka sendiri atas alasan apakah mereka meminati artis itu.

Dalam kes Anuar, mungkin ada peminat yang meminatinya kerana vokal mantap dan lagu-lagu nyanyiannya. Malah, tidak kurang juga yang menyukai personalitinya dan mungkin ada yang jatuh cinta kepada Anuar kerana wajah kacaknya.

Berpeluang bertemu dengan Anuar, penulis mengambil kesempatan itu untuk bertanyakan kepada tuan punya badan dan siapa tahu barangkali Anuar mempunyai pandangan tersendiri berhubung perkara tersebut.

"Jujurnya, saya sukar memberikan jawapan yang tepat kepada soalan itu. Saya tidak tahu di manakah kelebihan saya sehingga saya diminati, dipuja dan disayangi peminat sehingga ke hari ini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diterima peminat dengan baik dan kerana itu, saya akan melakukan apa sahaja yang terbaik buat peminat kerana tidak mahu menghampakan mereka," ujar Anuar yang mula menempa nama sebagai penyanyi kanak-kanak menerusi lagu popular, Kain Pelikat bersama teman duetnya, Ellina ini dalam nada penuh rendah diri.

Anuar berkata demikian ketika ditemui usai sidang akhbar Amazing Anuar Zain April's Affair yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Buat pertama kalinya, Anuar akan menjayakan persembahan Minggu Setiausaha bersama PNB Darby Park Executives Suites yang akan berlangsung pada 6 April ini di SDCC.

Emosi

Menyambung perbualan, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini memberitahu, dia juga ada mendapat maklum balas daripada peminat setianya yang menyatakan minat mereka terhadap dirinya adalah kerana lagu-lagu nyanyiannya.

"Atas alasan itu, saya memang cukup menitik beratkan soal melodi dan lirik setiap kali mahu merakamkan album kerana saya tahu serta percaya, dengan lagu yang baik ia dapat menyampaikan jiwa dalam setiap lagu itu kepada peminat.

"Bagi saya, kalau lagu yang baik ia memudahkan penyanyi untuk menghayati dan menyelami serta larut dalam emosi lagu itu yang akhirnya akan sampai tepat kepada pendengar.

"Selain lagu yang baik, susunan muzik juga memainkan peranan penting dalam menjadikan sesebuah lagu itu lebih cantik dan sedap didengar. Saya tidak kisah kalau kalau album saya memakan masa bertahun-tahun untuk dihasilkan.

"Apa yang penting adalah kualiti dan dapat memanjangkan jangka hayat album tersebut untuk dinikmati dalam tempoh yang lama," kata Anuar yang pernah diiktiraf sebagai Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali itu lagi.

Cerewet

Anuar memang dikenali sebagai seorang yang cukup mementingkan kesempurnaan dalam apa jua yang dilakukannya terutama penghasilan album solonya.

Sudah lebih 10 tahun menjadi penyanyi solo, sehingga kini Anuar hanya melahirkan tiga buah album iaitu pada tahun 1998, 2002 dan 2007.

Justifikasi Anuar mudah. Dia tidak mahu hanya melahirkan album berdasarkan kuantiti tetapi kualiti yang ternyata berjaya memberikan impak besar kepada karier seninya.

Anuar pernah menyatakan dia tidak mahu menunggu lama untuk muncul dengan album keempatnya selepas kejayaan album ketiganya yang memuatkan lagu popular seperti Lelaki Ini, I'm The Lucky One dan Ketulusan Hati.

Namun, empat tahun sudah berlalu dan sehingga kini, bayang album itu juga tidak muncul di pasaran walaupun Anuar memberitahu kesemua lapan lagu sudah siap dirakamkan.

Jelas Anuar yang kini cukup popular dengan lagu Sedetik Lebih, dia sendiri sudah tidak mampu untuk 'berbohong' kepada peminatnya yang terus sabar menanti sejak empat tahun lalu.

"Saya harus akui memang peminat sudah marah dengan saya dan kerap bertanya bilakah album terbaru saya akan muncul (ketawa). Memang album itu sudah siap tetapi ada sedikit masalah dari segi proses adunan bunyi (mastering) yang tidak menepati piawaian saya.

"Semuanya perlu diproses semula dan ia juga bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Saya tidak kisah berbelanja lebih asalkan hasilnya memuaskan hati saya dan apa yang saya lakukan juga demi kepuasan peminat saya sendiri.

"Saya sendiri sukar meramalkan bilakah album ini akan berada di pasaran. Sebaik sahaja siap lengkap semuanya, Insya Allah, ia pasti akan dipasarkan juga nanti," jelas Anuar yang memberitahu proses adunan bunyi itu dilakukan di Sydney, Australia.

Album terbaru Anuar itu memuatkan lagu-lagu ciptaan komposer Indonesia dan Malaysia termasuk single pertama, Ku Berjanji Karna Cinta yang kini semakin mendapat tempat di corong radio.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Konsert Maher menyatukan umat Islam

Posted:

Konsert Maher menyatukan umat Islam

Konsert Maher menyatukan umat Islam

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD SHAHARANI SAIBI


MAHER Zain menampilkan imej kontemporari dalam gaya nasyid dengan suntikan R&B di dalamnya.


TERLALU ramai penyanyi nasyid dari luar negara yang berjaya meraih perhatian para peminat nasyid tempatan termasuklah Yusof Islam yang dulunya dikenali Cats Steven, tetapi ia belum mampu mengatasi populariti Maher Zain.

Penyanyi kelahiran Labenon itu membuktikan dia adalah penyanyi nasyid antarabangsa yang bukan sahaja mempunyai gaya pembawakan muzik tersendiri, malah secara tidak langsung menyatukan peminat nasyid di negara ini.

Senario itu dapat dilihat apabila dia berjaya menarik hampir 9,000 peminatnya pada konsert Maher Zain Live In Concert baru-baru ini yang disaksikan peminat daripada pelbagai lapisan fahaman politik, warna kulit dan usia.

Semuanya gara-gara mahu menghayati lagu-lagu nasyid Maher yang kuat disulami elemen muzik R&B dan world music tetapi pada masa sama tidak ketinggalan menyelitkan unsur keislaman di dalamnya seperti berjudul Insha-Allah.

Bukan setakat para peminat daripada segenap lapisan masyarakat, malah penyanyi yang berhijrah bersama keluarganya ke Sweden pada usia lapan tahun itu juga berjaya menyatukan ramai penyanyi lain di pentas konsert tersebut.

"Saya amat bersyukur kepada Allah kerana Islam telah menyatukan kita pada malam ini. Bukan setakat saya seorang tetapi malam ini saya juga berkongsi pentas dengan penyanyi nasyid lain seperti Mesut Kurtis dari Macedonia.

"Begitu juga dengan Irfan Makki dari Kanada dan Inteam dari Malaysia. Ia menunjukkan Islam itu ada di mana-mana juga di seluruh dunia dan kita bersatu malam ini kerana irama nasyid," katanya pada konsert malam itu.

Konsert yang mengenakan tiket berharga RM50 hingga RM200 itu dianjurkan sempena sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW pada 15 Februari di mana konsert tersebut pula diadakan pada 25 dan 26 Februari lalu.

Maher yang muncul dengan lagu sulungnya berjudul Allahuakbar berjaya menggamatkan ruang Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor tempat berlangsungnya konsert anjuran Inteam Records, Fero dan Awakening Entertainment itu.

Sepanjang persembahannya yang diiringi 11 pemuzik yang diketuai Eddie Marzuki itu, Maher juga banyak berkomunikasi dengan para penonton di mana ia berkisar tentang perasaannya dalam isu-isu berkaitan moral dan kemanusiaan.

Sebagai contohnya, menerusi lagu berjudul Freedom, penyanyi nasyid kontemporari itu mengaitkan soal keadilan sejagat yang sedang meletus di mana-mana termasuklah mengaitkan dengan apa yang berlaku di Mesir baru-baru ini.

"Saya menulis lagu Freedom ini dalam masa seminggu. Lagu ini tentang kebebasan sejagat di mana banyak penentangan ke atas ketidakadilan sedang berlaku misalnya di Libya dan Mesir baru-baru ini untuk renungan kita bersama.

"Lagu ini memberi banyak inspirasi kepada saya untuk terus menyampaikan mesej-mesej murni melalui lagu-lagu nasyid yang bukan sahaja mudah dihayati tetapi juga mempunyai banyak mesej murni di sebaliknya," ujarnya.

Kemunculan Maher di atas pentas pada malam itu paling gamat apabila dia menyanyikan lagu popularnya berjudul Insha Allah sebanyak tiga kali termasuklah dalam tiga versi iaitu Arab, Inggeris dan juga bahasa Melayu.

Tidak bersendirian

Maher yang muncul dengan album sulungnya berjudul Thank You Allah pada Mac 2010 turut tidak ketinggalan menyanyikan lagu-lagu popularnya yang lain seperti Always Be There, The Chosen One, Barakallah dan Open Your Eyes.

Pada konsert selama dua jam itu, Maher tidak bersendirian sebaliknya tiga artis undangannya itu turut menghiburkan penonton yang hadir, kebanyakkannya bersama-sama anggota keluarga masing-masing.

Kumpulan Inteam menjadi pembuka tirai konsert dengan menyanyikan lagu-lagu popular mereka secara medley berjudul Dia Muhammad, Kasih Kekasih, Setinggi Syurga, Nur Kasih dan Rabiatul Adawiyah.

Sementara penyanyi undangan lain seperti Irfan Makki tidak banyak menyanyikan lagu seperti berjudul Bismillah, Mother dan Waiting For The Call sebelum kemunculan Maher yang paling dinanti-nantikan para peminatnya malam itu.

Selain penonton biasa, ramai juga artis tanah air seperti Fazli Zainal, Raja Azura dan Dayang Nurfaizah yang tidak mahu ketinggalan menonton konsert penyanyi Lebanon yang mempunyai lebih sejuta peminat Malaysia di laman Facebooknya.

Amy Search yang turut hadir bersama isterinya, Norish merupakan antara penyanyi tempatan yang bukan sahaja kagum dengan kelunakan lagu-lagu nyanyian Maher Zain tetapi juga popularitinya yang mendadak itu.

"Bagi saya Maher Zain begitu cepat popular di Malaysia biarpun baru tampil dengan album pertama. Saya memang meminati lagu-lagu nyanyian beliau. Sebab itu, saya sanggup datang menonton konsert ini walaupun sibuk.

"Saya tidak terkilan kerana tidak menonton konsert Iron Maiden di Singapura pada 15 Februari lalu kerana menghormati sambutan Maulidur Rasul yang jatuh pada tarikh itu. Tetapi saya datang ke konsert ini kena pada masanya.

"Kehadiran saya kerana mahu menyokong konsert ini yang mempunyai banyak nilai murni selain tidak mahu ketinggalan melihat sendiri konsert Maher yang semakin popular ketika ini," katanya semasa ditemui Hits sebelum konsert itu bermula.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.