Adsense

Selasa, 8 Mac 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Sensasi KL

Posted: 07 Mar 2011 04:21 PM PST

Hip

pix_gal0
Ruang sempit tidak halang peminat dekati artis pujaan masing-masing

BERMACAM gelagat mencuit hati 26 finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 yang membuatkan penonton tidak kering gusi tatkala mereka mengambil alih pentas utama di ruang legar yang agak sempit di pusat beli belah The Mall, di sini kelmarin.

Penampilan istimewa barisan selebriti kesayangan ramai itu adalah bersempena jelajah ABPBH siri ke tiga selepas Shah Alam, Selangor dan Kuantan, Pahang yang dipenuhi pelbagai aktiviti menghiburkan termasuk peluang mendekati artis kesayangan.

Sehari sebelumnya diadakan uji bakat pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH). Melihat karektor gila-gila Along sepanjang mengendalikan acara yang bermula seawal jam 11 pagi itu secara tidak langsung menggamit perhatian pengunjung tidak kira tua atau muda untuk mengikuti 'kekecohan' di atas pentas.

Bukan sekadar menyanyi, setiap Top 5 tampil bersama segmen tersendiri sama ada permainan atau kuiz spontan yang sememangnya membabitkan penyertaan orang ramai sekali gus sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan padu peminat.

Paling sukar dikikis dari ingatan apabila calon akhir Pelakon Komedi Lelaki itu mengundang seorang makcik untuk beraksi dengannya bagai berjalan di atas permaidani merah ke malam kemuncak ABPBH dan tidak semena-mena dia mengangkat wanita yang dianggap seperti ibunya itu hingga mengundang sorakan ramai.

Antara yang mendapat sorakan gemuruh adalah aktor kelahiran Singapura, Aaron Aziz yang pertama kali mengikuti jelajah ini malah dia terkejut melihat sokongan ramai selain tidak ketinggalan membawa buah tangan untuk diagihkan kepada peminat bertuah.
"Terkejut melihat ramainya manusia yang memberi sokongan padu begini. Tiada apa yang dapat saya berikan selain terima kasih tidak terhingga di atas penerimaan peminat di sini. Berada dalam senarai Top 5 juga sudah cukup mengharukan," katanya.

Lebih gamat apabila Maya Karin berkongsi pentas bersama jejaka yang sering digosip dengannya, Remy Ishak.

Pasangan yang tampak serasi sudah dua kali menyertai siri jelajah ini adalah Shaheizy Sam dan Lisa Surihani yang turut mengajak peminat meneka lagu.

Bagai diucapkan kedua-dua bintang filem Sekali Lagi itu, acara seumpama itu mampu mendekatkan mereka dengan peminat yang dilakukan bukan sekadar untuk meraih undi sebaliknya kerana keseronokan sekali gus bersantai bersama mereka.

"Bukan selalu kita dapat peluang sebegini kerana kebiasaannya kami pelakon hanya berdepan kamera dan kru. Apabila dapat bersemuka dengan orang ramai di atas pentas seperti ini, ia juga menaikkan tahap keyakinan kita," kata Shaheizy atau mesra disapa Sam.

Wajah popular lain yang terbabit dalam jelajah yang bermula seawal jam 2 petang itu ialah Angah Raja Lawak, Halim Othman, Diana Daniella, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Aizat, Mirwana, 6ixth Sense, Meet Uncle Hussein, Alyah, Shahir, Daus, Awal Ashaari, Mirwana dan tidak ketinggalan dua lagi penyampai HotFM, Suraya dan Ikhwan.

Kemunculan DJ Era FM dan hos popular, Aznil Nawawi atau Pak Nil yang turut menawarkan ganjaran istimewa membuatkan peminat tertunggu-tunggu soalannya. Begitu juga dua penyampai Sinar FM, Raja Azura dan Salih Yaacob yang membuatkan tawa penonton terus berdekah-dekah melihat aksi bersahaja mereka.

Pengunjung bertambah teruja untuk menyertai acara yang diadakan kerana mereka bukan saja mendapat hadiah, malah turut berpeluang menaiki kereta Nissan Grand Livina dan Nissan Teana, kedua-duanya tajaan Edaran Tan Chong Motor bersama finalis.

Sepanjang lima jam acara hiburan silih berganti, ada saja gelagat menggeletek hati, selain aktiviti wajib mengenakan rakan artis dengan pelbagai permainan dan acara di luar jangkaan membabitkan peminat. Namun segmen tanpa sengaja itulah pemangkin membuatkan peminat setia menanti ke penghujung acara.

Walau jam sudah hampir menginjak ke angka 7 malam, pengunjung tidak berganjak kerana menantikan persembahan Meet Uncle Hussein dengan lagu Drama King disusuli juara Shahir bersama lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan sekali gus menutup tirai jelajah ABPBH 2010 siri ketiga.

Penaja ABPBH juga tidak ketinggalan memeriahkan acara yang berlangsung selama dua hari itu apabila turut membuka gerai promosi seperti Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Orang Kampung Corporation (M) Sdn Bhd yang mengeluarkan Chantek.

Penaja lain adalah Rafflesia/Mandalay, Holiday Villa Subang Hotel & Suites, EuroModa Gulati's, Resorts World Genting, SimplySiti, Naza Primera Sdn Bhd, POTO Travel & Tours Sdn Bhd, SINARMAS Travel & Tours Sdn Bhd, TV3 dan Hot FM sebagai penyiar rasmi serta Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIM).

Selepas The Mall, Kuala Lumpur jelajah ABPBH 2010 meneruskan promosinya di Village Mall Sungai Petani, Kedah pada 11 dan 12 Mac, Kompleks Pasir Gudang, Johor (19 dan 20 Mac) diakhiri Klang Parade, Selangor pada 25 hingga 27 Mac ini.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lebih 2 juta tonton Waktu Rehat

Posted: 07 Mar 2011 04:19 PM PST

Hip

KISAH santai berkisar gelagat 10 sahabat baik dan suka duka alam persekolahan terbitan Saluran Disney, Waktu Rehat, mencatat sejarah tersendiri apabila diikuti 2.08 juta penonton sejak dilancarkan pada 31 Ogos tahun lalu.

Tidak hairan, program kapsul yang bersiaran pada setiap Sabtu dan Ahad itu disambung untuk musim kedua melihatkan maklum balas di luar jangkaan, khususnya golongan sasaran berusia 4 tahun ke atas.

Menonjolkan situasi lebih dramatik, paparan musim baru bermula 12 Mac ini turut menampilkan perkembangan setiap karektor selain memperkenalkan karektor baru bernama Adam lakonan Ashmen Iskandar Weiss, yang digambarkan sebagai bakal ahli muzik berbakat besar. Pengarah Pemasaran dan Kreatif, Disney Channels Asia Tenggara, Jennifer Ng, berkata sambutan penonton terhadap Waktu Rehat menyemarakkan semangat seluruh produksi untuk menghasilkan siri lebih bermanfaat dan menghiburkan dengan jalan cerita melucukan.

"Santai, lucu dan dekat dengan penonton membuatkan program kapsul ini mencatat jumlah rating yang tinggi setiap minggu walau pun hanya lima minit dipaparkan malah daripada Fanpage, kita dapati penggemar menyukai watak dan jalinan antara watak.

"Bagi musim baru ini, kami akan mengundang lebih ramai selebriti dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan secara tidak langsung memperkenalkan figura terkenal serta pencapaian mereka bagi menyuntik semangat golongan sasaran," katanya pada majlis pelancaran Waktu Rehat musim baru.

Mengulas mengenai kemunculan budak baru di Sekolah Menengah Jalan Mas, Adam, katanya episod berkenaan mempunyai pengertian tersendiri iaitu menyingkap keterbukaan masyarakat yang secara simbolik diwakili kelompok murid terbabit terhadap kehadiran orang baru.
"Kebiasaannya orang baru perlu menyesuaikan diri dan dalam episod yang turut memperkenalkan pelajar baru popular ini, situasi yang sememangnya berlaku dalam dunia realiti ditonjolkan di mana ada kalanya kelebihan membuatkan seseorang individu ditakuti hingga sukar memasuki kelompok terbabit.

"Apa pun, bukan hanya Adam, karektor lain termasuk Syed, Amirah, Faiz, Kieran, Lee Wai Chong, Suresh, Julie, Anding dan Luna juga ditonjolkan dengan segala macam konflik, namun pada pengakhiran sentiasa menggembirakan," katanya lagi.
Program itu diadaptasi daripada siri pendek Disney Channel Itali berjudul Quelli del Intervallo atau bermaksud As The Bell Rings.

Ia juga sebahagian daripada francais antarabangsa yang memasuki pasaran global seperti Sepanyol, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan China manakala di negara ini, saluran kanak-kanak itu bekerja sama dengan Red Communications Sdn Bhd menghasilkan Waktu Rehat.

"Walaupun ia lebih dulu 'menakluk' negara barat, pengisian di negara ini masih disesuaikan dengan masyarakat tempatan baik dari segi skrip, pengembangan watak mahu pun situasi yang ingin dipaparkan," kata Jennifer mengulas pengisian siri kapsul itu.

Istimewanya, populariti Waktu Rehat yang turut menyerlah menerusi laman web www.wakturehat.com hasil penambahan babak belakang tabir serta aktiviti pelakonnya, pihak produksi tidak ketinggalan berkongsi pengalaman istimewa dengan penonton menerusi penganjuran pertandingan.

Peraduan yang berlangsung pada musim pertama lalu dan dikenali sebagai Waktu Rehat... Aksi memilih pelajar Sekolah Kebangsaan Saint Mary, menyaksikan Siti Hajar Rashid, 12, muncul juara apabila mengalahkan 600 penyertaan video lain dan melayakkannya muncul sebagai undangan dalam program terbabit.

Sementara itu, pelakonnya, Nicholas Cheng, 21, yang memegang watak pengawas berusia 15 tahun berkata karektor budak sekolah yang cukup tegas dalam soal disiplin sememangnya mencabar apatah lagi perlu menjiwai watak budak belasan tahun.

"Apabila di lokasi kami sentiasa berbincang untuk menghidupkan lagi suasana. Sebagai individu yang sudah lama meninggalkan zaman persekolahan, awalnya saya agak janggal dikelilingi teman belasan tahun namun kini ia semakin menyeronokkan malah mengingatkan saya memori lama," kata pelajar kolej itu.

Bagi pemegang watak Adam, Ashmen, 17, berada dalam 'keluarga' besar Waktu Rehat cukup bermakna buat dirinya kerana berpeluang bergandingan dengan mereka yang berbakat besar selain diberi kesempatan menonjolkan bakat muziknya.

"Kisah yang diketengahkan cukup menarik seperti Zombie namun dalam setiap episod kami akan menari dan menyanyi. Bukan hanya penonton yang seronok, kami di dalam set juga begitu teruja untuk menantikan setiap episod," kata pelakon berdarah campuran Jerman, Cina, Melayu itu.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.