Adsense

Jumaat, 4 Mac 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Amy Mastura tidak popular lagi?

Posted: 03 Mar 2011 05:20 PM PST


AMY Mastura mula dikenali ramai dalam bidang seni selepas menjuarai pertandingan nyanyian Asia Bagus yang mencungkil bakat-bakat penyanyi Asia yang diadakan di Jepun pada tahun 1994.

Biarpun lebih awal menceburi bidang nyanyian dengan tampil bersama album sulungnya berjudul Amy Mastura pada 1994, tetapi hari ini kariernya lebih menyerlah sebagai pelakon.

Bekas pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) ini misalnya, lebih banyak berlakon filem iaitu sebanyak 12 buah filem berbanding tujuh buah album sepanjang karier seninya.

Mula berlakon filem menerusi judul Impian pada 1996, Amy dilihat lebih menyerlah sebagai pelakon filem berbanding medium-medium lain termasuklah drama mahupun telemovie.

Bagaimanapun, kebelakangan ini populariti isteri Alvin Tham Suffian itu dalam bidang perfileman dikatakan tidak segah sewaktu zaman kemuncaknya pada tahun 1990-an.

Apatah lagi, selepas mendirikan rumahtangga dan dikurniakan dua anak, Adriana, 10, dan Adalia, 6, Amy kini lebih banyak mendapat tawaran berlakon drama televisyen (TV) berbanding filem.

Menurut pelakon dan penyanyi berusia 40 tahun ini, dia tidak berasa namanya merudum sebaliknya, terus menerima tawaran berlakon filem mahupun drama TV dan telemovie.

"Saya masih berlakon sama ada filem atau drama TV. Bezanya dulu saya lebih banyak berlakon filem tetapi kini saya meluaskan lagi ke bidang lakonan drama TV dan telemovie yang baru bagi saya.

"Selain itu, dulu semasa aktif berlakon filem, watak-watak yang saya lakonkan lebih kepada dunia remaja yang glamor tetapi sekarang ia bersesuaian dengan usia dan status saya.

"Saya masih lagi mendapat tawaran berlakon, contohnya filem Hooperz, Aku Tak Bodoh dan Damping Malam yang ditayangkan tahun lalu," katanya kepada Hits ketika ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan di sebuah restoran terkemuka itu, Amy memperkenalkan telemovie terbarunya berjudul Penanggal yang telah pun ditayangkan di Astro Ria pukul 9 malam semalam.

Hadir sama pada majlis yang diadakan santai untuk para wartawan hiburan itu ialah pelakon Penanggal yang lalin iaitu Zizan Nin, Sharifah Shahora dan Sharnaaz Ahmad.

Menerusi telemovie seram terbitan Boxlite Film Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Michael Ang itu, Amy melakonkan watak Suri yang menjadi hantu penanggal semata-mata untuk menjadi cantik.

Jelas artis yang berasal dari Ipoh, Perak ini, dia juga tidak berkecil hati apabila popularitinya dikatakan merosot daripada heroin pelakon filem popular kepada pelakon drama TV.

"Saya tidak kecil hati kalau ada orang yang beranggapan populariti saya sudah merosot, sebaliknya saya berasa seronok kerana dapat mencuba bidang lakonan baru seperti drama TV dan telemovie.

"Ini kerana, melalui dua medium lakonan itu saya berpeluang melakonkan lebih banyak watak dan masa penggambarannya juga tidak sepanjang berada di lokasi filem," ujar pemilik nama penuh Amy Mastura Suhaimi ini lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Jawapan Kekasih itu begitu teruja dan sukar melupakan pengalamannya berlakon dalam Penanggal iaitu telemovie seram pertama lakonannya.

Jelasnya, menerusi telemovie yang menjalani penggambarannya di Banting, Selangor itu dia melakonkan watak hantu penanggal yang belum pernah dilakonkannya sebelum ini.

"Banyak pengalaman baru yang saya lalui sewaktu melakonkan watak Penanggal seperti muka saya dilumurkan dengan madu lebah supaya ia kelihatan seperti darah manusia.

"Sementara jeli pula digunakan bagi menunjukkan jantung manusia dan madu juga dicampurkan dengan kopi Nescafe supaya nampak seperti organ manusia yang pekat kehitam-hitaman.

"Dua bahan itu digunakan supaya saya tidak berasa jijik dan lebih selesa kerana pada masa sama saya boleh memakannya kalau termasuk ke dalam mulut," ceritanya sambil ketawa.

Sepanjang bergelar penyanyi Amy telah menghasilkan tujuh album berjudul Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005) dan Happy (2009).

Sudah sebati

Sementara 12 filem lakonannya pula berjudul Impian (1996), Tragedi Oktober (1996), Puteri Impian (1997), Puteri Impian 2 (1998), Kuala Lumpur Universiti (1999) dan Senario Lagi (2000).

Filem-filem lain lakonannya bertajuk Trauma (2004), Bintang Hati (2004), Hooperz (2010), Aku Tak Bodoh (2010), Damping Malam (2010) dan Syhh.. Dia Datang (2011).

Sewaktu ditanya tentang bidang nyanyian, Amy berkata dia masih menyanyi dan menerima undangan mengadakan persembahan biarpun sudah dua tahun tidak merakamkan album baru.

"Saya bermula dalam bidang nyanyian dan lebih cenderung sebagai penyanyi. Jadi bidang nyanyian sudah sebati dengan karier seni saya selain bidang lakonan yang menyusul kemudiannya," ujarnya.

Sementara itu, pengarah Penanggal, Michael Ang berkata, dia menaruh kepercayaan terhadap Amy bukan sahaja kerana bakat lakonannya tetapi komitmen pelakon terbabit.

Katanya, Amy bukan sahaja berdisiplin sewaktu berada di lokasi penggambaran Penanggal tetapi hubungannya dengan para pelakon lain juga akrab dan memudahkan pembikinan telemovie itu.

"Secara keseluruhan sepanjang sembilan hari penggambaran telemovie itu Amy memberi komitmen yang baik, apatah lagi kebanyakkan penggambaran diadakan pada waktu malam.

"Amy bukan sahaja sanggup melakonkan adegan yang memerlukan mukanya ditempel dengan madu dan Nescafe tetapi juga sanggup berendam lama dalam kolam sewaktu di lokasi tersebut.

"Saya dapati Amy juga seorang yang boleh melakonkan sesuatu adegan itu secara spontan selepas saya menyebut 'action' biarpun pada mulanya dia seperti kurang yakin," katanya.

Penanggal mengisahkan tentang Razak (lakonan Zizan Nin, seorang lelaki bisu yang mati pucuk dan telah 10 tahun meninggalkan kampungnya kerana merajuk dengan cemuhan masyarakat di situ.

Tidak lama selepas itu, Razak kembali ke kampungnya bersama seorang isteri yang dikenali sebagai Suri di mana sekali lagi kepulangannya mendapat cemuhan orang-orang kampung.

Cemuhan itu timbul kerana ramai yang tidak percaya lelaki mati pucuk seperti Razak boleh mendapat isteri yang secantik Suri di mana ia turut dicemburi ramai lelaki di kampung itu.

google: amy mastura, amy mastura facebook, amy mastura blog, amy mastura twitter, amy mastura myspace, amy mastura blog, gambar amy mastura, terkini terbaru amy mastura, amy mastura dan anak, amy mastura dan suami, gambar amy mastura dan keluarga, amy mastura hot, amy mastura seksi, amy mastura terkini, amy mastura wiki, amy mastura bio, amy mastura profile, amy mastura profil,

Eja semakin lantang bersuara

Posted: 03 Mar 2011 05:19 PM PST


SELAMA 15 tahun melayari bahtera seni, memang tidak dinafikan impak yang diberikan oleh pelakon jelita ini bukan kecil-kecil anak.

Hadir dengan persona yang cukup menawan telah meletakkan nama Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih popular dengan panggilan Eja sebagai salah seorang aktres di dalam liga yang tersendiri.

Mula menempa nama menerusi drama bersiri Rahsia Demi Rahsia sekitar lewat tahun 90-an, Eja terus terbang tinggi mencipta nama sehingga dia mampu berdiri teguh seperti mana hari ini.

Namun, selepas 15 tahun menjadi seorang aktres, Eja dengan penuh terbuka memberitahu dia kini semakin lantang bersuara seandainya ada perkara yang kurang menyenangkan hatinya.

Memang agak mengejutkan sewaktu Eja membuka cerita itu kerana jika dilihat kepada luaran dan personalitinya yang lemah lembut itu, pasti ramai tidak menyangka Eja mempunyai sisi lain yang mampu membuat orang sekeliling kaget dengan tindakannya.

"Saya rasa selepas 15 tahun di dalam industri dan dengan status saya sebagai seorang ibu sekarang ini, saya tidak boleh lagi membazir masa di lokasi terutama sekali jika saya perlu menunggu untuk masa yang agak lama.

"Dalam erti kata lain, saya menjadi semakin cerewet tetapi cerewet saya itu tidak membawa konotasi buruk. Kelantangan saya mempunyai sebab tersendiri dan nampaknya pihak produksi dan krew yang bekerja dengan saya faham dengan situasi saya.

"Dengan usia saya yang menghampiri 40 tahun, saya mudah menjadi penat dan akhirnya ia membuatkan saya dengan pantas untuk berasa marah," jelas pelakon kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini tanpa selindung.

Eja berkata demikian usai majlis pelancaran drama bersiri Mantera Anjasmoro yang mengisi slot Seram di TV3 di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Drama terbitan Padi Pictures Sdn. Bhd., itu diterbitkan sebanyak 13 episod mula ditayangkan malam ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah drama tersebut, Aidilfitri Mohamed Yunos dan barisan pelakon lain iaitu Adi Putra, Fouziah Gous dan Raja Norbaizura.

Menyambung perbualan, Eja tidak menafikan memang dia sendiri ada terdengar kata-kata orang sekeliling yang mengatakan dirinya sudah jauh berubah.

Lebih tepat lagi, pada pandangan mereka, Eja kini bukan seperti Eja yang mereka kenali dulu sehingga dia dilabelkan sebagai seorang yang cukup garang.

"Saya memang sedar ada yang mengatakan saya sebegitu tetapi seperti mana yang saya katakan tadi, saya melakukannya atas sebab tersendiri dan bukannya mahu menunjukkan saya ini diva atau sebagainya.

"Bagi saya, dalam setiap produksi apa yang penting adalah perancangan dan pengurusan masa yang tepat agar semuanya berlangsung dengan lancar.

"Disebabkan itu, saya cukup selesa jika dapat berlakon di bawah produksi yang cukup mengutamakan soal ketepatan masa dan pengurusan yang cekap. Sebagai seorang yang dilahirkan berbintang Capricorn, saya memang mementingkan kesempurnaan," ujar Eja dalam nada tegas sambil memberitahu perihal itu juga diamalkan oleh teman-teman seperjuangannya yang lain.

Populariti bukan agenda

Memang diakui, satu ketika dulu, wajah Eja boleh dikatakan kerap menghiasi kaca televisyen sehingga meletakkan nama Eja sebaris dengan pelakon wanita terkenal tempatan yang lain.

Namun, sejak beberapa tahun ini atau lebih tepat lagi selepas dia mengandung dan melahirkan anak, namanya seakan sepi dan wajahnya juga jarang ditonton.

Bertanyakan kepada Eja perihal tersebut, sedikit pun dia tidak melatah malah memberikan jawapannya dengan disulami senyuman manis di wajah lembutnya itu.

Dalam hal ini, aktres filem Sepi, Kayangan dan Sara ini masih lagi berpegang teguh kepada nasihat Allahyarham Hani Mohsin Hanafi yang terus segar di mindanya.

"Katanya, biarlah kerjaya kita itu yang akan bercakap tentang diri kita dan sememangnya ia sudah terbukti untuk diri saya.

"Bukan untuk mendabik dada atau riak, tetapi, sehingga ke hari ini, peminat dan penonton masih lagi boleh mengingati setiap drama serta watak yang saya bawakan.

"Saya memang mengelak untuk muncul kerap di televisyen melainkan skrip dan watak yang diberikan benar-benar memberi kepuasan kepada saya.

"Adalah lebih baik jika peminat sendiri mengingati hasil kerja kita daripada wajah kita terlalu banyak di televisyen sehinggakan satu drama pun tidak memberikan impak kepada masyarakat," tutur pelakon yang pernah membintangi drama Salam Taj Mahal dan Rindu Semakin Jauh ini penuh berhemah.

Syarat baru Eja

Sejak kebelakangan ini, memang dapat dilihat Eja semakin berani berlakon dalam karya dari genre seram dan thriller.

Bermula dengan filem Janin dan kemudiannya, drama bersiri Durja Ningsun yang pernah menghiasi slot Seram di TV3 sebelum ini, ternyata Eja semakin berani menongkah arus.

Mana tidaknya, jika dilihat kepada portfolionya, Eja lebih selesa membintangi drama dan filem yang bercorak drama.

Sedangkan sebelum ini, Eja pernah menyatakan dia agak sukar untuk membuka hatinya membintangi filem atau drama bercorak sedemikian. Bukan kerana takut tetapi dia sendiri berasa kurang selesa.

Dan terbaru, Mantera Asmaradono yang menggandingkan Eja bersama Adi Putra untuk kali kedua selepas Mya Zara.

"Memang seboleh-bolehnya saya mahu mengelak daripada membintangi karya sebegitu kerana ia menuntut emosi dan permainan watak yang cukup mendalam serta berat sehingga ia meletihkan saya.

"Tetapi, atas sebab jalan ceritanya serta watak yang diberikan bukan karya yang tipikal seperti mana lazimnya, ia membuatkan saya tertarik untuk berlakon.

"Itulah juga alasan mengapa saya membintangi Mantera Anjasmoro yang bagi saya lain daripada yang lain. Itu juga syarat saya jika ada pihak yang mahu mengambil saya berlakon dalam mana-mana karya berunsurkan seram," katanya terus-terang yang memegang watak Sabrina dalam drama tersebut.

Buat peminat Eja, jangan lupa temu janji anda pada setiap hari Khamis pukul 9.30 malam untuk menyaksikan drama bersiri Mantera Anjasmoro di TV3.