Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Boleh berlakon dengan AzadFAEZAH ELAI enggan mencampuradukkan antara kerja dan masalah peribadinya. LUMRAH seorang anak seni yang sememangnya tidak dapat lari daripada dilanda kontroversi hangat, begitu jua yang terpaksa dilalui oleh Faezah Elai meskipun baru empat tahun bergelar sebagai pelakon. Ketika dia sedang berusaha keras untuk mencipta nama, tiba-tiba namanya terheret ke kancah kontroversi apabila Faezah dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan Heykal Hanifah yang sudah berumah tangga menyebabkan berlaku pergeseran antara Heykal dan isterinya. Lebih menyulitkan lagi keadaan, pihak yang dikatakan sebagai punca sehingga timbulnya kontroversi tersebut adalah bekas teman lelakinya iaitu Azad Jazmin yang juga seorang pelakon. Mengulas mengenai perkara tersebut, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Cinta & Keadilan itu menganggap segala yang berlaku itu telah pun selesai. "Saya sangat bersyukur kerana kini sudah tidak ada pihak lagi yang terus bercerita mengenai perkara tersebut. "Apa yang lebih penting adalah terus beri tumpuan kepada karier saya sekarang ini tanpa menghiraukan kontroversi yang berlaku sebelum ini. "Lagipun peguam saya sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Azad supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. Apabila tiada lagi kenyataan yang dikeluarkannya, jadi saya anggap perkara ini selesai," jelasnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem Cun baru-baru ini. Sementara itu, ketika ditanya adakah dia bersetuju sekiranya ditawarkan berlakon bersama-sama Azad pada masa akan datang, Faezah,29, menjelaskan dia tidak ada masalah untuk menerima tawaran berkenaan. Gadis tomboi Menurutnya lagi, sebagai seorang pelakon dia harus bertindak secara lebih profesional dan tidak mencampuradukkan antara kerja dengan masalah peribadi. "Dunia hiburan kita pun tidaklah besar dan sekirannya kami bertemu di mana-mana majlis sekalipun, saya tidak keberatan untuk bertegur sapa dengannya kerana saya anggap tiada masalah di antara saya dengannya," ujarnya. Sementara itu mengenai pengarah yang telah dikaitkan dengan dirinya itu, akui Faezah hubungannya dengan Heykal memang tidak lebih daripada seorang kawan dan sehingga kini dia masih bekerja di bawah pengarah tersebut. FAEZAH (dua dari kiri) melakonkan karektor gadis tomboi dalam filem Cun. "Sehingga kini hubungan kami sebagai kawan tetap baik dan ketika ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Asmara 2 di bawah arahan Heykal sendiri," ujarnya. Tentunya masih ramai lagi yang mengingati karektor Faezah sebagai seorang gadis tomboi bernama Sofea dalam drama Sutera Maya kira-kira dua tahun yang lalu. Ternyata dalam drama tersebut, dia telah berjaya membawakan watak tomboi yang diberikan sehingga mendapat pujian daripada ramai penonton yang melihatnya begitu berkesan dengan watak tersebut. Sementara untuk filem terbarunya berjudul Cun arahan Osman Ali, dia sekali lagi telah diberikan watak yang sama iaitu gadis tomboi bernama Tom di samping pelakon popular iaitu Remy Ishak dan Maya Karin yang banyak melakonkan babak romantis dalam filem itu. Ketika ditanya adakah dia benar-benar seorang gadis tomboi dalam dunia sebenar, Faezah menafikannya dan menganggap dirinya sama seperti gadis-gadis normal yang lain. "Sebagai seorang pelakon saya hanya membawakan watak yang diberikan oleh pengarah dengan sebaik mungkin. Namun itu tidak bermakna karektor saya di dalam dan luar lakonan adalah sama. "Biarpun ada yang melihat saya mampu membawakan watak gadis tomboi dengan begitu berkesan, tetapi saya tidak mahu peminat salah sangka kerana karektor saya di luar memang berbeza," jelas gadis kelahiran Pulau Pinang itu. Remy dan Maya
Dalam pada itu, Faezah tidak menafikan bahawa sebenarnya dia juga turut memiliki beberapa rakan wanita yang berperwatakan seperti lelaki dan sebab itu dia tidak mengalami masalah untuk membawakan watak sedemikian. Dalam filem Cun, Faezah memegang watak sebagai Tom, seorang gadis tomboi yang berasal dari negeri Kedah dan juga pembantu kepada Luna Latisya lakonan Maya Karin. Sementara itu, ketika ditanya tentang pandangannya terhadap Remy Ishak dan Maya Karin, dia menyifatkan kedua-duanya sebagai pelakon yang cukup hebat. "Ini adalah kali pertama saya berlakon di samping Remy dan Maya. Apa yang boleh saya katakan, lakonan mereka memang sangat baik dan saya juga banyak belajar daripada mereka ketika berada di lokasi. "Pada masa yang sama, hubungan dengan pelakon-pelakon yang lain juga agak rapat. Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, kami seolah-olah seperti sebuah keluarga dan saya rasa sangat gembira," luahnya. Filem seram Sepanjang empat tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, tidak dinafikan Faezah kerap berlakon di dalam filem yang lebih bercorak komedi. Selain Otai dan Cun, sebuah lagi filem berunsur komedi lakonannya yang bakal ditayangkan berjudul Tolong Awekku Pontianak. Ketika ditanya adakah dia lebih selesa dengan filem yang bercorak sedemikian, dia menyatakan bahawa sebagai seorang pelakon yang sedang mencipta nama dia akan menerima apa sahaja watak yang diberikan. "Karier lakonan saya baru mencecah empat tahun dan boleh dikatakan ia masih baru lagi. Jadi saya tidaklah terlalu selektif untuk memilih tawaran lakonan yang diberikan. "Malah, saya juga tidak kisah untuk membawakan apa sahaja watak yang diberikan. Cuma kalau sering diberikan watak yang hampir sama sahaja, mungkin saya akan fikir terlebih dahulu sebelum menerimanya," jelasnya. Tambah Faezah, dalam tempoh terdekat ini, dia akan tampil dalam filem terbaru berjudul Senjakala yang akan ditayangkan pada pertengahan April ini. Senjakala merupakan sebuah filem seram terbaru arahan Ahmad Idham yang turut menampilkan gandingan pelakon popular seperti Liyana Jasmay, Kamal Adli dan pendatang baru Zahiril Adzim. Menurutnya, memandangkan kali pertama dia membintangi sebuah filem seram, dia mengakui pada mulanya agak sukar buat dirinya untuk membawakan watak yang diberikan. "Tidak dinafikan memang agak sukar kerana saya sendiri belum ada pengalaman berlakon dalam drama seram. Namun saya anggap ia sebagai satu cabaran dalam usaha untuk mengembangkan lagi karier lakonan saya," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Tawaran hebat Sinar, Era FMOleh RONI HIDAYAT RIDWAN MERIAH. Majlis ramah mesra AMP Radio Network, Astro bersama media untuk memperkenalkan sembilan stesen radio di bawah naungannya baru-baru ini. KEMUNCULAN begitu banyak stesen radio swasta semenjak sedekad yang lalu dilihat telah merancakkan industri muzik di negara ini. Ia telah memberi kelebihan kepada para pendengar yang mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih stesen radio yang dirasakan mampu memenuhi selera mereka. Selain menyajikan lagu-lagu terkini dan diminati ramai, stesen-stesen radio swasta juga turut tampil dengan penyampai radio yang menampilkan gaya penyampaian yang lebih segar dan ceria. Bagaimanapun, strategi untuk memikat pendengar tidak lagi bergantung kepada penyiaran lagu dan penyampai radio semata-mata. Kini, langkah terbaru yang diambil ialah dengan menganjurkan program dengan tawaran hadiah yang lumayan. AMP Radio Network yang menjadi naungan kepada beberapa stesen radio swasta terkenal seperti Era FM dan Sinar FM turut tidak ketinggalan untuk menghasilkan program menarik untuk para pendengar. Sinar FM yang kini merupakan stesen radio swasta nombor satu negara misalnya telah memperkenalkan program yang dikenali sebagai Perkataan Pertama Di Sinar. Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said berkata, program berkenaan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM75,000 yang boleh direbut oleh pendengar stesen radio tersebut. Jelasnya, program yang berlangsung sepanjang bulan Mac itu hanya memerlukan pendengar mengingati perkataan pertama sesebuah lagu. Mereka hanya diberi 10 saat untuk memberitahu apakah bait pertama lagu yang akan diputarkan oleh penyampai. "Sekiranya pendengar berjaya memberi jawapan tepat, sebanyak RM350 akan diberikan. Sekiranya gagal, jumlah wang tersebut akan dicampurkan dengan jumlah wang tunai di slot yang berikutnya. "Selain itu, akan ada satu segmen bonus setiap hari dan para pendengar akan berpeluang untuk memenangi RM1,000 lagi sebagai tambahan pada RM350 yang diperoleh," ujarnya. Bagi Era FM pula, mereka turut tidak ketinggalan untuk menambat hati pendengar setia dengan memperkenalkan peraduan yang dikenali sebagai Aznil vs Muzik. Menerusi peraduan yang bermula sejak 28 Februari lalu itu, para pendengar berpeluang untuk memenangi hadiah harian berupa produk Singer bernilai RM2,000 setiap hari. Untuk menyertainya, para pemanggil perlu menjadi pemanggil pertama dan kemudian mereka dikehendaki menjawab soalan sama ada berkaitan tentang diri Aznil atau muzik. Selain Sinar FM dan Era FM, stesen radio swasta yang turut bernaung di bawah AMP Radio seperti My FM, Hitz FM, Mix FM, X FM, Lite FM dan THR FM turut menganjurkan program menarik mereka untuk pendengar setia. Persaingan sihat Sebagai stesen radio yang paling ramai pendengar, Rostam turut mengakui memang satu cabaran buat dirinya bersama penyampai radio tersebut mahu mengekalkan status nombor satu itu. Menurutnya, apa yang perlu dilakukan pada masa ini adalah dengan memperkenalkan program yang agak berbeza dengan stesen radio lain, disamping mengekalkan program yang mendapat sambutan baik daripada pendengar. "Kalau hendak capai takhta nombor satu memang mudah tetapi adalah sukar untuk mengekalkannya. Namun saya melihat ini semua adalah satu persaingan sihat dalam industri penyiaran radio. "Yang lebih penting untuk terus kekal di puncak, kami sesekali tidak akan terikut-ikut dengan cara stesen radio swasta lain. Apa yang kami lakukan juga adalah mengikut kehendak pendengar," ujarnya. Sementara itu, Era FM yang pernah menjadi stesen radio nombor satu negara beberapa tahun yang lalu mahu memastikan stesen radio mereka akan terus menjadi pilihan pendengar. Penolong Pengurus Saluran Era FM, Rizal Sahimy yang ditemui sewaktu majlis pelancaran program terbaru AMP Radio memberitahu bahawa lagu sebenarnya memainkan peranan yang cukup penting untuk memikat para pendengar. Jelasnya lagi, stesen radio berkenaan sememangnya sangat mementingkan lagu-lagu yang menjadi pilihan ramai untuk disiarkan, di samping memperkenalkan program yang menawarkan hadiah kepada pendengar sebagai satu tarikan. "Untuk bulan ini, kami merancang untuk menghasilkan peraduan Aznil vs Muzik. Pemilihan Aznil dibuat berdasarkan popularitinya pada masa ini dan kami turut berbangga kerana dia merupakan sebahagian dari keluarga Era FM," ujarnya. Menurut Rizal lagi, meskipun Aznil kelihatan agak menonjol sebagai penyampai di Era FM, tetapi dia tidak menafikan bahawa penyampai lain juga sangat berdedikasi dan turut memainkan peranan penting. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Cyrus goda Followill
MILEY CYRUS dilaporkan menghantar SMS menerusi telefon bimbitnya untuk menggoda Jared Followill yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Kings Of Leon. Cyrus dan Followill yang mula digosip bercinta selepas mereka bersua pada majlis yang diadakan selepas berlangsungnya MTV Europe Music Awards 2010 di Madrid, Sepanyol November tahun lepas. Sejak itu, mereka berdua dikatakan sering berbalas SMS antara satu sama lain. Satu sumber memberitahu laman web HollywoodLife.com: "Miley sentiasa mahu mengujakan Jared. Dia selalu menghantar SMS yang menggoda kepada Jared. Setakat ini Jared menyukai kandungan SMS yang dihantar Miley kepadanya itu." Tambahnya: "Jared gemar menunjukkan SMS yang diterimanya daripada Miley. Dia fikir Miley sangat cantik dan dia begitu teruja apabila Miley berterusan menghantar SMS yang menggoda kepadanya." Sebelum ini Cyrus, 18, dikatakan berpisah dengan kekasihnya, Liam Hemsworth selepas berkenalan dengan Followill di Sepanyol. Namun dia mengakui sudah meminati Followill sejak tahun 2009 lagi. Followill, 24, pula sebelum ini bercinta dengan model Alisa Torres tetapi mereka berpisah pada tahun 2009. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |