Adsense

Jumaat, 11 Mac 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Diana dah tak gerun lagi

Posted: 10 Mar 2011 05:52 AM PST

KEPADA mereka yang belum pernah bekerja dengan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), 48, pasti akan terasa gerun untuk berhadapan dengannya. Gelaran diva yang dipegangnya dan kelantangan suaranya kala mengeluarkan kata membuatkan ramai yang bimbang untuk bekerja dengannya apatah lagi pelakon baru yang baru hendak mencuba nasib.

Bagaimanapun kelantangan mulutnya bukan bermaksud hendak tunjuk lagak atau ego selaku pelakon veteran yang dihormati tetapi sebagai orang berpengalaman dalam industri, 'sakit matanya' apabila melihat generasi baru warga seni buat kerja sambil lewa.

Ogy yang dipertemukan buat kali kedua di lokasi filem ...Dalam Botol dengan Diana Danielle Danny Beeson, 20, berkata, dia tiada masalah langsung berlakon dengan pelakon jelita itu.

Kali pertama mereka berlakon bersama dalam filem Magika sebagai ibu dan anak di mana keserasian mereka berdua sudah terserlah di lokasi filem itu.

"Apabila belum mengenali hati budi seseorang, kita boleh melemparkan apa saja tanggapan dan pandangan terhadapnya. Samalah situasi saya dengan Diana, apabila sudah mesra keakraban kami di luar lokasi pun macam anak beranak.

"Tiada masalah bekerja dengannya kerana dia sentiasa bersedia apabila tiba di lokasi. Dari segi lakonan juga dia sangat 'memberi'. Kalau saya seorang saja yang beriya-iya berlakon tetapi pasangan saya tidak mampu 'memberi', nescaya adegan itu tidak akan menjadi.


"Misalnya untuk babak akhir bila mana saya tahu Rubidin (Arja Lee) yang sepatutnya berkahwin dengan Dina (Diana) sudah tiada anunya. Saya tidak menjelaskan perkara itu dengan kata-kata tetapi dengan cara saya cuba membuang solekan Dina.

"Air mata kami berdua yang gugur cukup menjelaskan situasi dan konflik yang sebenarnya. Untuk adegan itu, saya dan Khir Rahman berbincang bagi mencari cara terbaik untuk melontarkan emosi masing-masing tanpa berdialog," katanya.

Tambah Ogy, kalau dia mula bersuara mesti ada sebabnya.

"Siapa pun akan 'hangat hati' kalau ada pelakon yang datang ke lokasi tanpa membuat persediaan. Tiba di lokasi baru hendak tengok skrip dan hendak mengkaji watak sendiri. Sikap begitu hanya membuang masa orang lain dan banyak kerja tergendala.


"Setiap detik masa yang berjalan adalah wang. Ada lokasi yang disewa mengikut kiraan jam. Jika hendak bertahan lama dalam industri mesti berdisiplin, menepati waktu, menghormati orang dan mempersiapkan fikiran untuk menjadi pelakon yang berjaya serta berwibawa.

"Saya tiada masalah bekerja dengan sesiapa pun asalkan mereka fokus dan selalu bersedia sebelum turun ke lokasi. Filem membabitkan kos yang tinggi jadi jangan bebankan produser dengan sikap kita yang negatif. Saya sendiri membaca skrip berulang kali sehingga betul-betul faham apa diperlukan oleh watak itu dan jalan ceritanya.


"Selain itu saya turut baca dialog pelakon lain kerana sesama pelakon perlu ada sikap memberi dan menerima. Jangan mengutamakan watak sendiri saja, selami juga watak orang lain terutama pelakon yang ada adegan bersama kita barulah kita dapat mempersembahkan lakonan yang berkesan," katanya.

Menurut Ogy, skrip filem ini juga tidak menerangkan dengan panjang lebar siapa Sherry iaitu wataknya dalam cerita itu. Tetapi katanya, penonton tahu salasilah keluarga Sherry menerusi dialog antara Dina dan Rubidin yang mana setiap wanita dalam keluarganya ditinggalkan suami termasuk dia sendiri.

"Oleh itu Sherry tidak mahu sejarah itu berulang pada anaknya, Dina. Namun ia terjadi juga apabila lelaki yang bakal dikahwininya sudah tiada anu.

"Saya juga gembira dapat bekerja dengan Khir kerana dia 'berani' menegur saya dan kami selalu bertukar pendapat. Berapa lama pun pengalaman saya berlakon dan sehebat mana pun lakonan saya, tetapi pengarah perlu tahu apa yang dimahukannya.


"Jadi dia kena beritahu kepada pelakon apa yang diperlukan untuk menghidupkan watak dan jalan cerita filem itu. Selebihnya pelakon dan pengarah boleh berbincang. Saya sendiri pun takut hendak membawakan watak Sherry kerana sangat berat dan penuh pergolakan emosi," katanya.

Sementara itu Diana berkata, apabila dia mendapatkan tawaran itu dia bimbang macam manalah hendak membawakan watak Dina.

"Dina adalah gadis kampung yang selamba tetapi dia bukan tomboi. Apapun, saya senang bekerja dengan kak Ogy dan abang Khir. Saya dan kak Ogy pernah berlakon dalam Magika jadi rasa gerun berhadapannya di lokasi ...Dalam Botol tiada lagi.

"Waktu berlakon dalam Magika dulu, apabila dapat tahu Ogy menjadi ibu saya, memang kecut perut walaupun saya dengannya hanya ada satu babak saja.

"Walaupun, tiada banyak babak dengannya, kami sangat mesra di lokasi kerana dia melayan dan memanjakan saya seperti anaknya sendiri. Kami banyak berbual dan caranya itu membuatkan saya selesa dengannya. Tetapi bila tiba bab kerja, buat betul-betul.

"Sampai bila pun tiada yang dapat menandinginya. Mudah-mudahan saya akan menjadi sehebatnya suatu hari nanti. Bekerja dengannya memberi inspirasi kepada saya untuk memberi yang terbaik.

"Luahan emosi kak Ogy sebagai mama saya dalam ...Dalam Botol, menyentap tangkai hati membuatkan saya turut mudah mengalirkan air mata membayangkan kehancuran dan kekecewaan hati Dina apabila tahu perkara sebenar.


"Babak terakhir perkahwinan sangat emosional dan saya dapat luahkan emosi melihatkan tenaga serta lakonan yang kak Ogy beri. Apabila saya tengok kak Ogy menangis, rasa sedih itu terus ada dalam diri saya dan dengan mudah air mata mengalir.

"Penghargaan yang sangat besar dapat berlakon dengan kak Ogy. Menerusi filem ini saya banyak belajar perkara baru dari sudut lakonan terutama bahasa tubuh. Tanpa berdialog pun tetapi dengan bahasa tubuh yang mengesankan, penonton dapat memahami apa yang berlaku," katanya.

Diana menambah lagi, dia juga seronok bekerja dengan Khir kerana pengarah itu tahu apa yang dimahukan dan apa pelakon kena buat.


Pun begitu kata Diana, pada sesi latihan dengan Khir, dia pun sama seperti seorang lagi pelakon filem itu, Rosnan Abdul Rahman (Jem). Mereka tidak tahu apa yang Khir mahu mereka buat untuk watak masing-masing.


"Semua yang saya buat salah kerana abang Khir sudah ada bayangan karakter untuk semua watak dalam filem itu. Jadi dia mahu saya berjalan dan bercakap seperti yang dia mahu. Dia hendak karakter watak itu sebanyak mungkin menyamai apa yang dia bayangkan. Abang Khir sangat teliti," katanya yang baru saja selesai berlakon filem Bara Jiwa dan akan muncul dalam telefilem dia berangkat ke Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Ogy dan Diana ditemui pada majlis pratonton ...Dalam Botol di GSC The Gardens, Midvalley, malam kelmarin.


Pelakon lain turut hadir, Arja Lee, Wan Raja (Ghaus) Normah Damanhuri, Rosnan Abdul Rahman (Jem).


Filem ...Dalam Botol mengisahkan percintaan lelaki gay, bisex dan penukaran jantina. Cerita ini diilhamkan berdasar kisah benar seorang pemuda yang masih hidup. 'Anunya' masih tersimpan dalam botol di rumahnya.


Matlamat filem ini dibuat supaya dijadikan iktibar dan pengajaran kepada masyarakat terutama kesan buruk apabila manusia sanggup menukar jantina demi mengejar cinta yang mustahil.


Ruby atau nama sebenarnya Rubidin dan Ghaus pasangan bercinta sejenis. Dek kerana terlalu mencintai Ghaus, Rubidin sanggup berkorban mengubah identitinya kepada Ruby dengan membuat pembedahan menukar jantina. Bukan calang-calang pengorbanan dilakukan Ruby namun perhitungan Ruby salah kerana Ghaus tidak dapat menerimanya dalam keadaan fizikal seperti seorang wanita sekali gus menyingkirkan Ruby daripada hidupnya.


Keadaan bertambah sulit apabila hormon lelaki dalam tubuh Ruby kembali menyerlah dan dia ingin menjadi lelaki semula. Malah Ruby jatuh cinta dengan seorang gadis baik budi. Namun Ruby sedar jasadnya bukan lagi seperti seorang lelaki tulen kerana alat sulitnya tiada lagi dan hidup bertuhankan nafsu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cukuplah ganggu Karyawan

Posted: 10 Mar 2011 05:46 AM PST

"CUKUP-CUKUPLAH mengganggu Persatuan Karyawan dan biarkan kami hidup aman damai supaya dapat melaksanakan aktiviti yang membawa kebaikan kepada ahli." Itulah luahan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez kepada bekas Pengerusi Karyawan, Zaienal Abidin Omar.

Katanya, banyak projek yang dirancang tidak dapat dilaksanakan kerana sibuk dengan perkara-perkara yang disebabkan pihak luar. Paling dikesalkan Freddie apabila tiada projek maka tiada sumber kewangan persatuan dan ini menyebabkan Karyawan tidak mampu meneruskan pembayaran Skim Pencen kepada artis veteran yang dijalankan sejak enam tahun lalu. "Pembayaran kepada 22 artis veteran terpaksa dihentikan November tahun lalu kerana masalah kewangan dan berjanji akan menyambung semula pembayaran itu apabila dapat mengumpul dana.


"Antara projek Karyawan ialah mengadakan Pesta Lawak yang mengumpulkan pelawak tanah air dalam satu persembahan pada April ini. "Begitu juga majlis Malam Warisan Budaya dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang mengumpulkan pemuzik tradisional dari pelbagai kaum di Malaysia juga April ini.

"Bagaimanapun, jika perjalanan persatuan sentiasa diganggu orang luar, agak sukar untuk kami melaksanakan projek yang dirancang," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.


Kata Freddie, apabila Zaienal meletak jawatan sebagai Pengerusi Karyawan atas permintaan ahli pada 2006, pihaknya menyangka beliau ikhlas dengan membiarkan persatuan meneruskan perjuangannya untuk membela nasib ahli dan artis tanah air. "Hakikatnya tidak, kerana sejak tiga tahun ini macam-macam dilakukannya. Beliau menggunakan seniman veteran Datuk Aziz Sattar untuk menjatuhkan saya hingga membuat pelbagai tuduhan bersama laporan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan tindakan mahkamah. "Saya memujuk Aziz supaya tidak menjadi dalang dalam hal ini kerana menghormati dia sebagai artis veteran tetapi akhirnya terpaksa membuat keputusan menyedihkan dengan memecatnya dari persatuan.


"Apabila Zaienal membawa kes itu ke mahkamah, mahkamah meminta Karyawan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan apabila perkara itu dilakukan pada 29 Ogos lalu, Zaienal membawa samseng hingga berlaku kekecohan dan tidak jadi mengadakan AGM.

"Tidak cukup membawa samseng, Zaienal juga mendakwa saya ditampar seorang individu kerana saya biadap apabila mengatakan Aziz Sattar orang tua bodoh. "Saya menafikan kedua-dua tuduhan itu kerana ia memang tidak berlaku. Kalau benar, mana individu yang dimaksudkan itu sebagaimana janji Zaienal dalam sidang media," katanya.


Freddie kesal kerana terlalu banyak kenyataan bohong yang dikeluarkan Zaienal antaranya dia mendakwa sebagai pengasas Karyawan. Hakikat sebenarnya, kata Freddie, idea menubuhkan Karyawan adalah dari dirinya yang ketika itu menjadi Presiden MACP dan Kesatuan Pemuzik Malaysia.

"Ketika itu, Zaienal aktif memperjuangkan masalah cetak rompak yang melanda industri muzik tanah air melalui Badan Banteras Cetak Rompak yang ditaja Umno. "Saya bangga dengan semangat Zaienal dan melihat ada yang boleh dibantunya kalau berjuang dalam persatuan. "Sebab itulah saya mengajak dia menyertai Karyawan pada 1998 tetapi tidak boleh dilantik sebagai Presiden untuk persatuan naungan artis kerana dia bukan artis. "Itulah sebabnya satu jawatan khas disediakan untuknya sebagai Pengerusi. "Selepas beberapa tahun, kita nampak dia lebih ghairah mengejar publisiti berbanding memperjuangkan persatuan.


"Antaranya membabitkan artis terkenal, Datuk Sharifah Aini hingga membuat lima laporan polis terhadap Zaienal dan menyifatkan beliau tidak layak menjadi Pengerusi Karyawan. "Pada 2005, apabila Karyawan mengundang menteri sebagai tetamu kenamaan untuk satu projek, jawapan kami terima ialah sedia hadir jika Zaienal tiada dalam majlis itu. Kami terpaksa akur dengan syarat itu.


"Karyawan juga pernah dipulaukan media gara-gara tindakannya menuduh pengarang satu akhbar sebagai rasuah tanpa mempunyai bukti. "Melihat segala tindakannya, persatuan memanggilnya dan menasihatkannya meletak jawatan dengan cara terhormat," katanya.


Freddie berkata, apa yang dikesalkan Zaienal terus mencari ruang untuk menghentam Karyawan. Terbaru, kata Freddie, Zaienal memberi kenyataan mengenai isu tiada kaitan dengan dirinya tetapi membabitkan Pengurus Performer's And Artises Right (M) Sdn Bhd (Prism), Ong Peng Chu yang meminta Freddie meminta maaf atas kenyataannya mengenai isu royalti artis.


"Zaienal turut mengulas sedangkan dia bukan ahli Prism dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam persatuan artis. Cuma, saya lihat namanya turut ada dalam senarai Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Skrip Malaysia (SWAM) 2011/2012 sebagai Setiausaha. Hakikatnya, Zaienal bukan penulis skrip tetapi memegang jawatan dalam persatuan itu.


"Mengenai kes mahkamah sebagaimana kenyataan Peng Chu, Karyawan berasakan banyak perkara belum diselesaikan dan sebarang ramalan tidak sesuai memandangkan ada beberapa langkah seterusnya yang boleh diambil.


"Kami berhak menfailkan rayuan ke atas keputusan mahkamah di Mahkamah Rayuan dalam tempoh 30 hari dan kami masih ada tempoh berbuat demikian sehingga 14 Mac. "Kami juga akur dengan keputusan mahkamah tetapi kami tidak diarahkan meminta maaf kepada mana-mana pihak. Bagi saya, tindakan Peng Chu sebagai kurang ajar dan tidak kena dengan tempatnya kerana dia hanyalah kakitangan Prism. "Isu ini bukanlah perang peribadi antara Presiden Karyawan dan Peng Chu tetapi semuanya berlaku atas dasar polisi yang sewajarnya dituruti bagi menjamin kepentingan ahli Prism dan juga Karyawan.


"Sebenarnya, banyak persoalan mengenai Prism yang belum dijawab. Mana janji Prism untuk mengadakan pemilihan ahli lembaga pengarah Prism sebagaimana dijanjikan pada Disember 2009 apabila Karyawan mendesak mereka menjadi lebih telus. "Satu lagi persoalan mengenai ahli lembaga pengarah Prism sebagaimana tertera pada laman web mereka dikatakan ada lapan orang pengarah iaitu Datuk Aziz Bakar sebagai Pengerusi, M Nasir, Hattan, Fauziah Latiff, Zailan Razak, Datuk M Daud, Gopal dan Nacy Chiong tetapi jika dilihat kepada laporan tahunan Prism untuk tahun 2009, hanya empat pengarah dinamakan iaitu Aziz, M Daud, Gopal dan Nancy. Mana perginya pengarah lain yang merupakan artis terkenal dan aktif dalam seni? "Lebih menghairankan, apabila ditanya ahli Karyawan di kalangan kaum India, mereka tidak kenal siapa Gopal begitu juga kalangan ahli Cina, tidak kenal siapa Nancy sedangkan mereka dikatakan mewakili persatuan artis India dan persatuan artis Cina.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.