Adsense

Rabu, 16 Mac 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Mahu lasak

Posted: 15 Mar 2011 03:50 PM PDT

Hip

Puas lakonkan watak berat, Elaine Daley idam karakter lebih agresif

BIARPUN dia sebenarnya sudah berlakon hampir sedekad lalu, namun peminat nampaknya semakin mengenali siapa Elaine Daly sebaik saja namanya diumumkan sebagai Pelakon Drama TV Wanita Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2010, Februari lalu.

Hasil persembahannya sebagai jururawat yang menyokong perjuangan penentangan terhadap penjajahan Jepun di negara ini, Sybil Kathigesu, dalam drama Apa Dosaku berjaya memikat hati juri, seterusnya mengetepikan saingan empat pencabar lain iaitu Lisdawati (Sebelum Akhirat), Ellie Suriaty (Kaki), Kartina Aziz (Bebayang Fitri) dan Dira Abu Zahar (Perempuan). Elaine yang kebetulannya cucu saudara kepada watak dimainkannya itu mengaku, perhatian lebih banyak diberikan kepada seseorang pelakon apabila dia memenangi sesuatu anugerah. Dirinya tidak terkecuali daripada kebiasaan itu.

"Sudah lama juga saya berlakon. Namun hanya sejak akhir-akhir ini saya berjaya mendapat watak yang mencabar kemampuan diri. Entahlah, mungkin sebelum ini penerbit lebih melihat diri saya sebagai seorang model, lalu peranan diberikan juga lebih kurang sama.

"Pada peringkat permulaan, memang agak sukar juga untuk saya memahat nama dalam bidang ini. Namun syukurlah, kerana sejak tahun lalu lebih banyak watak berisi dapat saya jayakan.

"Drama seperti Apa Dosaku, Ku Mohon dan Menunggu Takbir Raya antara drama yang menguji keupayaan," katanya.
Menurut wanita berusia 34 tahun ini, sememangnya dia gemarkan drama berat dan peluang beraksi dalam drama arahan Bernard Chauly itu kesempatan yang cukup dihargai.

"Selain buat kajian terhadap watak yang diberikan, saya juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada Bernard. Dia membantu saya untuk menjiwai watak terbabit.

"Apatah lagi pada usia saya sekarang, pelbagai pengalaman sudah dilalui. Pengalaman itu tentunya sedikit sebanyak mematangkan diri. Lalu, saya anggap semua faktor itu membantu lakonan saya dalam drama ini.

"Pengalaman hidup antara faktor penting dalam mematangkan seseorang pelakon. Jika kita lihat di Hollywood sekalipun, ramai aktres berjaya seiring peningkatan usia mereka," ujarnya yang kelihatan anggun dalam rekaan Rizman Ruzaini untuk sesi fotografi bersama Hip ini.

Begitupun, usah menyangka Elaine kini hanya mengidamkan watak drama berat mahupun peranan air mata semata-mata, selepas anugerah berada dalam genggamannya.

"Saya suka mencuba filem aksi atau samseng. Tidak pun sebagai seorang wanita tomboy. Sebabnya, sering kali orang ramai melihat saya sebagai wanita anggun. Jadi, saya ingin melakonkan sesuatu watak yang nyata berbeza daripada apa yang mereka selalu nampak.

"Kalau dapat jadi perempuan kampung pun pasti menyeronokkan. Tetapi, ramai yang kata, saya terlalu tinggi untuk watak sedemikian," katanya sambil menguntumkan senyuman.

Hakikatnya Elaine wanita yang tinggi lampai iaitu 173 sentimeter, sesuai status model yang dipegangnya. Wanita berdarah campuran Serani dan Cina ini juga pernah bergelar Ratu Malaysia Universe 2003.

Makin galak dapat tawaran

SELEPAS pembabitannya dalam Apa Dosaku, seterusnya menggenggam trofi pada ASA 2010, wanita ini mendedahkan banyak tawaran yang datang kepadanya. Namun, sebahagiannya terpaksa diketepikan dulu kerana dirinya terikat dengan beberapa kerja di Singapura, selain turut mengagihkan waktu mengacarakan rancangan Bella di ntv7.

"Selepas Sybil, saya tidak menerima sebarang tawaran berlakon selama enam bulan lamanya. Bukan tiada undangan yang datang, tetapi saya mendapati sukar untuk saya lepaskan karakter Sybil daripada diri saya. Kemudian, saya terikat pula dengan penggambaran siri komedi berjudul Silver Lining untuk Channel 5 di Singapura, yang baru saja diselesaikan.

"Kemampuan menguasai kedua-dua bahasa, Melayu dan Inggeris, nyata banyak faedahnya. Pada ketika saya dapat berlakon dalam produksi berbahasa antarabangsa, saya juga diterima oleh peminat Melayu. Ia rahmat yang sangat saya hargai," katanya yang mengaku berjaya menajamkan lagi penguasaan bahasa Melayu apabila terbabit dalam produksi tempatan.

Mengenai desas-desus dirinya ingin mengembangkan sayap ke Jakarta, Elaine yang turut diuruskan sebuah agensi di Singapura berkata, perkara itu tidak berada dalam perancangannya, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

"Mungkin cerita itu timbul apabila saya dan teman baik, Carmen Soo, berada di sana kerana menonton konsert Datuk Sheila Majid. Sedangkan, itulah kali pertama saya ke Jakarta selepas sekian lama. Perancangan untuk menonton konsert Sheila sudah lama diatur. Bersesuaian dengan sambutan ulang tahun hari lahir saya, maka kami pun ke sana. Apatah lagi saya peminat nombor satu Sheila," ujarnya.
Namun begitu, Elaine tidak akan menolak begitu saja sekiranya suatu hari, bakatnya turut menarik minat produser sebelah sana.

Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Elaine yang mengaku banyak mendapat kata perangsang daripada penggiat seni hiburan tempatan, ketika ini turut mengusahakan perniagaan beg berjenama dirinya sendiri, Daly Bags, secara atas talian.

"Beg berkenaan dihasilkan di Indonesia, tetapi rekaannya dilakukan sendiri oleh saya. Ia baru saja dimulakan, begitupun sejak tahun lalu lagi saya sudah melakukan persediaan termasuk kajian mendalam, sebelum benar-benar mengusahakannya," katanya, sambil berpesan, peminat yang ingin mendapatkan beg itu bolehlah melayari laman http://thedalystore.com.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Masih menaruh harapan

Posted: 15 Mar 2011 03:40 PM PDT

Hip

SHEILA bersama (dari kiri) Harith, Edrie, Glenn dan Fariz selepas sidang media, baru-baru ini.

SHEILA bersama (dari kiri) Harith, Edrie, Glenn dan Fariz selepas sidang media, baru-baru ini.

Sheila tidak putus asa cari pihak sudi taja konsert solo

DATUK Sheila Majid masih terus menaruh harapan ada pihak sudi untuk menaja konsert solonya yang penuh gemilang sebagai hadiah kepada peminat yang memberi sokongan selama 35 tahun pembabitannya dalam bidang seni.

Harapan itu menunjukkan persembahannya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Oktober lalu, di Esplanade, Singapura (Disember 2010) atau Jakarta (Februari lalu), masih belum memberi kepuasan kepada penyanyi ini. "Saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental namun masalah utama kesukaran untuk mendapatkan penajaan. Saya sudah membuat kertas kerja mengenai konsert solo ini sejak tahun 2009 lagi. Saya akan lakukan apa saja buat peminat saya di sini dan selebihnya terpulang kepada sokongan daripada pihak penaja," jelasnya.

Terdahulu, penyanyi itu akan mengadakan persembahan istimewa sempena minggu setiausaha di Pusat Persidangan Sime Darby pada 7 April ini.

Bertemakan Magik Jazz, penyanyi itu akan bergandingan dengan penyanyi dari Indonesia, Glenn Fredly. Ini adalah julung kali Sheila dan Glenn bergandingan dalam persembahan yang dianjurkan Neo Magik Sdn Bhd itu.

Gabungan kedua-dua ikon terkenal Asia Tenggara itu bakal mencetuskan satu aura persembahan yang penuh bertenaga dan menjanjikan kelainan kepada tetamu yang datang dengan magis yang bakal dihasilkan di pentas persembahan.
Sambil menjamu selera makan tengah hari, 950 tetamu yang hadir bakal disajikan dengan dendangan lagu jazz seperti Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta dan Aku Cinta Padamu, lagu mantap yang sering didengar suatu ketika dulu.

Bagi Pengarah Urusan Neo Magik, Fariz Adlan, gandingan Sheila dan Glenn bakal menghasilkan konsert mini yang penuh dengan kejutan dan magisnya tersendiri yang mampu memukau tetamu.

"Gandingan Glenn dengan Sheila dibuat selepas kita menyaksikan persembahan Glenn di Java Jazz Festival di Bandung tahun lalu dan konsert Sheila di Jakarta bulan lalu.

"Kedua-dua penyanyi ini mempunyai vokal yang mantap dan ada keserasian untuk digandingkan dalam satu persembahan yang mampu memukau penonton," katanya.

Persembahan konsert mini itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon dan pelawak terkenal, Harith Iskander sebagai pengacara.

Persembahan eksklusif itu bakal menghiburkan tetamu dengan sentuhan magis daripada Acis dan Rayendra Sunito dari Indonesia bagi menggabungkan muzik kedua-dua penyanyi itu.

Rugi kalau lepaskan peluang

MESKIPUN kali pertama bergandingan dengan Sheila, namun Glenn berjanji akan memberikan persembahan terbaik buat peminat di negara ini, menerusi paduan suara bersama ratu jazz terbabit.

"Saya seronok apabila menerima jemputan ini," kata Glenn.

Walaupun sibuk dengan album terbarunya yang akan dipasarkan November depan dan aktiviti bersama Yayasan Green Muzik miliknya, Glenn tidak menolak peluang keemasan yang diberikan kepadanya itu.

Dia mengakui ada peminatnya di Indonesia mahu melihat paduan suaranya bersama Sheila di dalam konsert di sana yang dianggap bakal mencetuskan revolusi baru dalam muzik Indonesia.

Glenn amat meminati Sheila sejak sebelum dirinya bergelar penyanyi lagi, malah dia mengaku turut mempunyai koleksi album penyanyi wanita itu.

bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan dua artis terkenal ini, bolehlah membuat tempahan melalui laman web www.fatdeal.com.my atau e-mail kepada reservations@neomagik.com.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.