Berita Harian: Hip |
Posted: 09 Mar 2011 03:07 PM PST Hip HIKAYAT Merong Mahawangsa tidak mengecewakan. Memang boleh ditonton. Bukan keterlaluan untuk mengatakan persembahan filem ini setimpal dengan kos pembikinannya yang dianggarkan mencecah RM8 juta. Jangan asyik terbawa-bawa atau terlalu berfikiran tipikal, membandingkan teknologi pembikinan Hikayat Merong Mahawangsa dengan filem luar. Kos RM8 juta kalau di Hollywood mungin hanya 'di celah gigi' sahaja, tetapi di tangan KRU Studios, khususnya diketuai oleh Yusry Abdul Halim, filem Hikayat Merong Mahawangsa kelihatan jauh lebih mahal daripada bajet yang mereka gunakan. Lakonan Stephen Rahman-Hughes sebagai Merong dianggap menyakinkan. Ada kesungguhan ditunjukkan oleh pelakon ini dalam memastikan karektor Merong itu benar-benar mantap. Susuk tubuhnya yang tegap dan ketampanan di wajahnya digunakan sebaik-baiknya untuk memberi gambaran bahawa anak Melayu zaman dulu juga memiliki penampilan yang bagus.Merong digambarkan sebagai anak muda yang terbuang. Dia tidak diperlukan oleh mana-mana negara. Tapi keadaan berubah apabila Merong menerima tugasan mengiringi putera Maharaja Rom bertemu dengan puteri dari Kerajaan Negeri China. Pertemuan mereka diatur di satu tempat di tengah-tengah antara dua kuasa besar dunia pada waktu itu. Tugasan itu tidaklah mudah. Ia menjadi rumit dan berbahaya apabila puteri China itu diculik pula oleh kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Geruda. Merong sendiri hampir maut ketika cuba hendak menyelamatkan mereka. Tapi menyedari keselamatan putera dan puteri daripada dua empayar besar itu adalah tanggungjawabnya, Merong sekali lagi berperang dengan kumpulan Geruda. Adakah Merong berjaya menyatukan dua empayar besar itu, hanya dapat diketahui dengan menonton Hikayat Merong Mahawangsa yang mula ditayangkan di panggung hari ini.
Kehidupan sosialnya juga mengalami perubahan sebanyak 360 darjah. Tidak ada perkara lain yang difikirkannya, baik siang mahupun malam selain karyanya itu. Begitulah situasi sebenar yang dilalui Yusry sepanjang berada di lokasi penggambaran Hikayat Merong Mahawangsa. Bukan kerana tidak mampu untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan itu tetapi segala terpaksa ditempuhinya itu benar-benar mencabar kesabarannya. Perkara itu didedahkan sendiri oleh dua saudaranya, Norman dan Edry selepas majlis pratonton Hikayat Merong Mahawangsa di Cathay Cineleisure, e@Curve, Mutiara Damansara malam kelmarin. Kata mereka, Yusry menjaga karyanya itu umpama menatang minyak yang penuh sehingga keadaan dirinya terabai begitu saja. "Pernah sewaktu saya bercakap dengan Yusry menerusi telefon, Yusry menangis kerana tidak tahan berdepan dengan cabaran yang terpaksa ditempuhinya sewaktu mengarahkan filem ini. "Saya faham situasi yang terpaksa dilaluinya. Bukan mudah untuk mengendalikan sebuah produksi yang berskala mega seperti ini," kata Norman mengimbau kembali saat-saat awal filem itu menjalani penggambarannya. Sampuk Edry pula, perasaan kasihan timbul selepas melihat keadaan abangnya yang tidak terurus itu. "Terus terang, saya melihat Yusry macam orang gila kerana terpaksa melalui pelbagai situasi yang mencabar kesabarannya. Apapun, saya kagum dengan semangat yang ditunjukkannya itu dan alhamdulillah, selepas melihat hasilnya, kami semua merasa bangga dengan hasil kerjanya," puji Edry yang turut bertindak sebagai penerbit filem itu. Apabila dia memberikan persetujuannya untuk mengarahkan filem itu, bererti Yusry membenarkan dirinya berdepan dengan seribu satu macam halangan, apatah lagi genre filem yang bakal mendapat sentuhannya itu cukup berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini. Namun tegas pengarah, pelakon dan penyanyi ini, biar apapun cabaran yang datang, dia tetap kuatkan semangat sambil berserah kepada tuhan kerana supaya apa yang dikerjakannya itu berjaya disempurnakan dengan jayanya. "Tidak dinafikan, saya memang berada dalam keadaan tertekan sepanjang mengarahkan filem ini. Bayangkan bagaimana saya terpaksa mengendalikan krew yang jumlahnya beratus orang. Itu tidak termasuk beratus pelakon tambahan. "Bukan saja soal pelakon tetapi juga saya berdepan dengan masalah cuaca yang tidak menentu sehingga memusnahkan set yang sudah dibina. Kalau bukan kerana minat yang mendalam dan sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baru, tak mungkin filem ini dapat disiapkan seperti yang disaksikan hari ini," katanya sambil menghela nafas kelegaan. Bagaimanapun, sebagai insan seni sejati, dia tetap tidak berpuas hati dengan apa yang dihasilkannya itu. "Filem ini dihasilkan dua tahun lalu. Jadi selepas dua tahun, saya rasa sepanjang tempoh itu, masih banyak perkara yang boleh saya perbaiki," katanya mengenai filem yang menelan belanja sebanyak RM8 juta ini. Sebagai filem epik Melayu yang dikatakan hebat, Yusry turut ditanya tidakkah mereka teringin membawa filem ini ke Anugerah Academy. "Jika ada peluang apa salahnya. Bagaimanapun kami perlu mematuhi syarat yang ditetapkan, iaitu filem ini haruslah ditayangkan di Amerika Syarikat," katanya. Sediakan tiga skrip khas BIARPUN dalam filem ini ada ketika dialognya dalam bahasa Inggeris, namun sebagai Merong Mahawangsa, Stephen Rahman-Hughes perlu juga berbicara dalam bahasa Melayu. Walaupun mengakui agak sukar, namun pelakon ini mendapat bantuan daripada pengarah untuk melancarkan pertuturannya. "Yusry banyak mengajar dan membantu saya menterjemahkan setiap ayat yang saya tuturkan itu dalam bahasa Inggeris. Sebagai pelakon, saya kurang selesa kalau hanya tahu bercakap tanpa mengetahui makna sebenar dialog itu kerana ia penting untuk menghayati watak itu," jelas pelakon yang pernah membawakan watak Hang Tuah menerusi muzikal Puteri Gunung Ledang. Untuk membantu Stephen, Yusry berkata dia menyediakan tiga skrip khas bagi memudahkan pemahamannya. "Skrip pertama dalam bahasa Inggeris untuk keseluruhannya. Skrip kedua adalah terjemahan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris manakala skrip ketiga terjemahan secara langsung untuk setiap ayat," katanya. Selain Stephen, Hikayat Merong Mahawangsa diterajui pelakon tempatan dan luar negara seperti Gavin Stenhouse, Jing Liu, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Datuk Rahim Razali dan Ummi Nazeera. SINOPSIS Filem yang skripnya ditulis oleh Amir Hafizi ini mengisahkan tentang seorang nakhoda dan pahlawan yang bernama Merong Mahawangsa yang dikatakan berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain. Pada tahun 120, Empayar Rom ketika itu di bawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah. Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han. Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai perancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung pengairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Geruda. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Dengarnya...: Sudahlah lewat, buat bising pula Posted: 09 Mar 2011 03:02 PM PST Hip MELIHAT keperibadian artis wanita ini, tak sangka pula Cik Normah dia mempunyai perangai jelek. Yalah, imej yang bersopan santun, bercakap dengan nada suara semut yang kita sendiri susah nak dengar, ditambah dengan senyuman tak pernah lekang di bibir, membuatkan ramailah yang tertarik dengannya.Tapi, kata orang, air yang tenang jangan sangka tiada buaya. Malah, naga pun mungkin ada sekali. Sebaik saja dimaklumkan oleh teman Cik Normah perihal perangai sebenar artis ini, terus Cik Normah hilang rasa hormat padanya. Kata teman Cik Normah yang comel seperti teddy bear itu, artis ini sudah buat hal dalam kapal terbang. Syarikat penerbangan mana dan destinasinya, terpaksa Cik Normah rahsiakan. Apa yang membuatkan teman Cik Normah ini naik hantu dengan artis terbabit ialah dirinya yang dikatakan tidak mempunyai disiplin sehingga menyusahkan orang lain.Bayangkan kerana kelewatannya, kapal terbang yang sepatutnya berlepas pada waktu tertentu, terpaksa ditangguhkan selama setengah jam. Penumpang lain pun naik anginlah dengan sikap tidak berdisiplin artis ini. Sudahlah lambat, boleh pula dia buat muka selamba selepas apa yang berlaku. Hello! Jadi artis bukannya satu tiket untuk awak buat apa yang awak suka. Belajar-belajarlah hormat perasaan orang lain juga. Jangan nak ikut kepala sendiri. Lebih membuat kawan Cik Normah geram, boleh pula dia memekak dalam kapal terbang tu seolah-olah nak tunjuk dia seorang artis yang hebat. Lepas itu, kedengaran pula dia berkata yang dia tak sangka dapat meneruskan perjalanan walaupun lewat. Kononnya, bangga sangatlah yang kapal terbang ini sanggup menunggunya. Dia tak sedar ke, penumpang lain sudah berpeluh ketiak menahan sabar? Nasib baik tak ada penumpang yang ringan mulut memperli kelakuannya hari itu.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |