Adsense

Isnin, 21 Februari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Hanya terbaik untuk ASA 2010

Posted:

Hanya terbaik untuk ASA 2010

Hanya terbaik untuk ASA 2010

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my


DARI kiri: Elaine Daly, Fauzi Nawawi, Mohd. Fahmi Sarindi, Ashwad Ismail, Mohd. Hafizal Hamad dan Wan Syahrina Wan Ab Rahman bersama trofi kemenangan masing-masing.


ANUGERAH Seri Angkasa (ASA) mempertandingkan hasil-hasil kerja dan produk-produk yang disiarkan menerusi radio serta televisyen sama ada di stesen-stesen penyiaran kerajaan mahupun swasta.

Justeru, tidak timbul isu mengatakan sesebuah stesen radio atau televisyen itu lebih popular berbanding yang lain kerana pokok pangkalnya, yang diambil kira ialah kualiti para tenaga kerja dan bahan-bahan yang disiarkan di sesebuah stesen tersebut.

Hakikat itu dapat dilihat apabila drama berjudul Perempuan arahan Mohd. Fahmi Sarindi yang disiarkan melalui saluran TV2 RTM telah menggondol anugerah utama ASA 2010 iaitu Drama TV Terbaik.

Drama tentang perjuangan golongan wanita hari ini itu menewaskan empat lagi drama iaitu Sebelum Akhirat yang ditayangkan di TV3, Sekudus Doa Arisya (TV2), Denai Berbisik (Astro Prima) dan Anak-Anak Lorong (Astro Prima).

Menurut Mohd. Fahmi, kekuatan cerita Perempuan yang mempunyai skop luas tentang cabaran wanita hari ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian para penonton tetapi juga panel juri tanpa mengira stesen mana ia disiarkan.

"Secara tidak langsung drama ini telah mengangkat darjat golongan wanita. Ia lahir daripada idea dan hati yang ikhlas. Drama ini berkisar tentang wanita yang berhati mulia. Mesejnya bersifat sejagat.

"Contohnya, kita tidak tahu seseorang itu mungkin buruk secara luaran tetapi dalam dirinya ada sinar suci. Ia tentang dua wanita yang inginkan kebahagiaan. Mesej dan jalan cerita drama ini mempunyai tarikan tersendiri," ujarnya.

Perempuan bukan setakat merangkul Drama TV Terbaik ASA 2010 tetapi penulis skripnya, Siti Jaslina Ibrahim turut menambah kemenangan apabila mengungguli kategori Skrip Drama TV Terbaik pada anugerah berprestij itu.

Selain itu, kategori Pelakon Drama TV Lelaki Terbaik yang diraih oleh Fauzi Nawawi melalui drama bertajuk Sebelum Akhirat antara yang menjadi perhatian ramai pada anugerah yang diiktiraf oleh pihak kerajaan.

Suami kepada pelakon Lisdawati ini berkata, kemenangan itu amat bermakna dalam kerjayanya sebagai pelakon di mana ia hasil dorongan banyak pihak termasuklah isteri, anak-anak dan ibunya yang banyak menyokongnya selama ini.

"Degupan jantung saya sewaktu menerima anugerah ini paling laju sepanjang 38 tahun usia saya. Dapat tersenarai dalam kategori lima terbaik ini pun saya anggap susah, apatah lagi untuk menang. Kejayaan ini berkat doa semua pihak.

"Antaranya berkat anak-anak yang sabar dengan dugaan dalam rumahtangga saya. Ibu saya juga banyak mendidik saya soal agama dan secara tidak langsung mesej drama ini turut mengajar saya erti kehidupan di mana ia pinjaman semata-mata.

"Saya berniat menunaikan umrah bersama isteri saya tetapi dia baru habis penggambaran sebuah drama arahan Erma Fatima di Mekah. Mungkin saya akan pergi dengan ibu saya nanti. Cuma buat masa ini saya sibuk hingga Mei ini," ujarnya.

Sementara bagi pemenang kategori Pelakon Drama TV Wanita Terbaik yang dirangkul oleh Elaine Daly, dia berasa sangat teruja kerana memenangi anugerah itu selepas lapan tahun terbabit dalam bidang lakonan.

Jelas pelakon dan juga model ini, dia menganggap pengorbanan masa dan penghayatannya sewaktu melakonkan watak Shebyl dalam drama Apa Dosaku itu amat berbaloi sejurus selepas menggenggam trofi kemenangannya itu.

"Ini anugerah pertama saya sejak berlakon lapan tahun lepas. Saya berterima kasih kepada Bernard Chauly yang kini berada di Athens, Greece kerana dia banyak membantu saya berlakon dalam drama ini. Kami banyak berbincang dan berlatih.

"Kami misalnya mengambil masa sebulan membuat persiapan sebelum penggambaran drama ini termasuklah penggambaran yang mengambil masa hampir empat bulan. Saya curahkan segala penghayatan untuk watak itu.

"Watak Shebyl yang saya lakonkan itu adalah kisah benar di mana ia merupakan nenek saudara saya. Ia berlaku di Perak pada tahun 1940-an. Penerbit drama ini, Lina Tan juga banyak menolong saya dalam drama ini," katanya.

Selain Elaine, perasaan yang sama turut dikongsi oleh pengacara Sarimah Ibrahim apabila dia juga buat pertama kalinya merangkul trofi pada anugerah anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu.

Malah, lebih manis apabila saat anugerah Pengacara TV Terbaik itu berada dalam genggaman Sarimah, ia kebetulan bersamaan dengan tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-33.

"Anugerah ini suatu permulaan yang baik untuk saya hari ini, apatah lagi selepas 15 tahun saya terbabit dalam bidang ini.Terima kasih kerana Pak Nil (Aznil Nawawi) kerana tiada dalam top 5 kategori ini," tuturnya dalam nada bergurau.

Sungguhpun begitu, selebriti kacukan Melayu dan Irish ini berpendapat, empat lagi finalis dalam kategori itu iaitu Ally Iskandar, Cheryl Samad, Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar tidak kurang hebatnya.

Namun, Sarimah berpendapat adalah lebih elok agar kategori itu diperhalusi daripada segi pencalonannya bagi memastikan calon-calon yang dipertandingkan bersesuaian dengan kategori yang dipertandingkan.

"Saya berpendapat kategori ini dapat dibahagi-bahagikan kerana ada calon yang lebih tertumpu kepada pengacara rancangan hiburan, berita dan bual bicara. Ini kerana, setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing.

"Pada masa sama saya tidak menganggap anugerah ini sebagai laluan mudah untuk saya muncul pengacara Akademi Fantasia kesembilan nanti kerana untuk musim terakhir ini, biarlah ia menampilkan pengacara lama atau baru," ujarnya.

Antara kesemua penerima anugerah ASA 2010, wartawan dan penyampai berita saluran TV Astro Awani, Ashwad Ismail boleh dianggap pemenang yang paling bertuah kerana mendapat kemenangan berganda pada malam itu.

Dia boleh tersenyum puas kerana menggondol anugerah bagi kategori Penyampai Berita TV Terbaik dan Anugerah Khas Juri pada anugerah yang mendapat kerjasama daripada RTM, Media Prima dan Astro itu.

Jelas Ashwad, dia menganggap kemenangannya itu hasil sokongan semua pihak, sekali gus dikongsi dengan kesemua media massa Malaysia atas laporannya atas tragedi dalam misi Mavi Marmara yang disertainya ke Palestine tahun lalu.

"Sebagai wartawan yang tidak ada latihan ketenteraan saya anggap misi itu cukup mencabar dan saya amat bersyukur dengan anugerah ini. Ini tahun keempat saya menjadi wartawan. Saya anggap finalis lain hebat-hebat belaka.

"Apatah lagi, dalam senarai lima teratas, kategori yang saya menangi itu ada 'cikgu' saya, Zaiful Arifin iaitu orang yang banyak membimbing saya dalam bidang kewartawanan. Sebab itu, saya simpulkan ini adalah kejayaan semua orang," jelasnya.

Selain saluran TV, stesen radio juga telah membukti ASA 2010 hanya mengangkat finalisnya yang berkaliber sahaja sebagai pemenangnya tanpa mengira populariti sesebuah stesen tersebut.

Penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau Lin membuktikan dia adalah yang terbaik dalam kategori DJ Radio Wanita Terbaik pada anugerah yang 100 peratus diadili juri profesional dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara itu.

"Saya sudah buat yang terbaik untuk menjadi seorang penyampai radio. Ini kali pertama saya menang anugerah ini tetapi pada 2005 saya pernah memenangi Anugerah Interaktif Radio Terbaik pada ASA 2004," katanya.

Empat pemenang anugerah utama iaitu Drama TV Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Drama TV Lelaki Terbaik dan Pelakon Drama TV Wanita Terbaik mendapat hadiah berupa sebuah trofi dan pakej melancong ke Los Angeles.

Sementara itu, para pemenang lain pada anugerah yang disiarkan secara langsung serentak menerusi saluran TV1, TV9 dan Astro Prima itu masing-masing menerima hadiah berupa trofi dan sijil.

ASA 2010 malam kedua yang dihadiri Menteri KPKK, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu turut diserikan dengan persembahan artis-artis jemputan seperti Datuk Sharifah Aini, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Hazami dan Iqwal.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sheera sedih dituduh tidak profesional

Posted:

Sheera sedih dituduh tidak profesional

Sheera sedih dituduh tidak profesional


Bakal muncul dalam filem KL Gangster dan Aku Bukan Tomboy.


HATI mana yang tidak rasa sedih, kecewa dan tertekan apabila dituduh tidak komited dan profesional terhadap kerjaya.Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 26, berkata, bukan baru sehari dua beliau membabitkan diri dalam bidang lakonan atau sengaja melakukan perkara yang boleh merosakkan periuk nasinya.

Kata anak kepada pelakon Aznah Abdul Hamid itu, apa yang dikecohkan oleh pelakon dan penerbit A.Aida tentang peribadinya adalah tidak benar

sama sekali.

"Saya potong rambut pendek bukannya satu masalah. Dalam drama Halimah Jongang musim baru, dari awal lagi saya pakai rambut palsu.

"Lagipun saya potong rambut selepas tamat penggambaran.

"Saya menyelesaikan tanggungjawab sebagai pelakon drama tersebut tanpa cacat cela kerana semuanya dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Astro Warna di Restoran D'Saji, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Sheera yang berlakon dalam drama 13 episod berjudul Iparku Diva dan bakal disiarkan di Astro Warna, sehingga ke hari ini, beliau tidak percaya dan terkejut dengan dakwaan A.Aida yang dianggap tidak berasas itu.

A.Aida dalam satu program hiburan televisyen membuat kenyataan yang beliau kecewa dengan sikap Sheera yang dianggap melanggar kontrak drama bersiri Halimah Jongang.

A. Aida berkata, beliau akan mendakwa Sheera dan kemungkinan menghantar surat saman kepada pelakon tersebut.

Namun apabila ditanya mengenai surat saman, Sheera berkata, sehingga ke hari ini, tiada sebarang surat diterima daripada pihak A.Aida.

"Kejutan yang melanda diri saya menyebabkan saya tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan.

"Cuma apabila kenyataan daripada A.Aida disiarkan maka ramai yang menelefon bertanyakan tentang hal itu.

"Pastinya situasi itu membuatkan saya rasa tertekan. Saya harap perkara ini tidak dijadikan satu isu kerana bidang lakonan adalah tempat saya cari makan.

"Selama ini pun saya bekerja dengan ramai produser dan tidak pernah timbul masalah pun," jelasnya.

Sheera mendakwa, namanya mula mendapat tempat di hati peminat bukan kerana drama Halimah Jongang disebabkan lakonannya dalam drama terbitan Skop Productions iaitu Sembilu Kasih dan Janji Diana.

Katanya, produser atau pengarah yang mula-mula mencungkil dan mencipta namanya dalam bidang lakonan adalah Datin Rosnani Jamil, Datuk Yusuf Haslam dan Badaruddin Azmi atau Bade.

"Bukan niat saya mahu mendabik dada atau bercakap sombong tetapi orang sudah mula mengenali saya sebelum muncul dalam Halimah Jongang lagi.

"Malah rezeki saya dengan Datuk Yusuf pun tidak pernah putus.

"Kalau saya tidak profesional seperti yang didakwa, kenapa saya boleh bekerja dengan

produksi yang sama untuk lebih daripada satu drama," soalnya yang bakal muncul dengan filem KL Gangster dan Aku Bukan Tomboy.

Ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh A.Aida, Sheera mengakui emosinya amat terganggu.

Namun Sheera masih bernasib baik kerana di sebalik kekecohan yang berlaku, masih ramai yang menyokong dirinya dan mengetahui cerita sebenar di sebalik kemelut Halimah Jongang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.