Adsense

Jumaat, 18 Februari 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Siti Nurhaliza, Suami Hadiri Perasmian Masjid Bersama Sultan Kedah

Posted: 17 Feb 2011 11:25 PM PST


PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akan hadir bagi mengikuti majlis perasmian Masjid Al-Khalidiah, Kampung permatang Pasir, Kuala Muda, Kedah, Sabtu.

Masjid yang dibangunkan oleh Yayasan Nurjiwa, itu akan disempurnakan pelancarannya oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bermula pukul 11.30 pagi.

Yayasan Nurjiwa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Jumaat berkata, masjid yang dibina sejak 2009 itu telah siap sepenuhnya dan boleh digunakan.

"Sultan Kedah berkenan mencemar duli bagi merasmikan masjid berkenaan. Datuk Siti Nurhaliza dan juga suami akan hadir pada majlis itu," kata kenyataan tersebut.

Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2006 adalah satu badan kebajikan yang diilhamkan oleh pasangan suami isteri berkenaan.

Ia bertanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya anak-anak yatim dan juga mangsa bencana alam.

Yayasan itu turut berfungsi dalam pembangunan agama khasnya pembinaan serta baik pulih masjid dan surau terutamanya di kawasan kampung-kampung.

Mengaku Ada Masalah, Heboh Sam Keluar Bunkface

Posted: 17 Feb 2011 11:13 PM PST


PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Bahrom dikhabarkan bakal menarik diri daripada kumpulan tersebut dan menubuhkan sebuah kumpulan baru iaitu The Azenders.

Menurut sumber, keputusan tersebut dibuat kerana Sam mempunyai beberapa masalah dalaman dengan Bunkface selain tidak gemarkan publisiti dan dunia glamor.

Justeru itu, tempat Sam akan digantikan oleh Myo, salah seorang daripada ahli kumpulan Oh Chentaku.

"Myo sudah pun mula berlatih dan membiasakan diri dengan lagu-lagu Bunkface dan mereka bakal mengadakan sebuah persembahan khas sempena penghijrahan Sam dalam kumpulan The Azenders sekitar bulan April depan," kata sumber tersebut.

Bagaimanapun, Bunkface tidak menghasilkan sebarang lagu baru dan hanya memberi fokus kepada perniagaan syarikat mereka, Bunkface Production di mana mereka sedang dalam proses membuka sebuah studio rakaman baru serta mengeluarkan barangan cenderahati kumpulan itu.

Difahamkan ahli kumpulan Bunkface iaitu Paan dan Youk pula masing-masing turut dirisik untuk menjadi gitaris kumpulan Hujan dan One Buck Shot.


Foto kumpulan The Azenders yang diambil daripada laman sosial Facebook mereka.
Sementara itu, Sam yang dihubungi mStar Online, Rabu, menjelaskan khabar angin mengenai penarikan dirinya daripada kumpulan tersebut adalah tidak benar tetapi mengakui dia mempunyai kumpulan baru, The Azenders.

"Memang saya akui ada beberapa masalah antara saya dalam Bunkface, tetapi saya tidak menarik diri. Cuma saya lebih memberi perhatian kepada The Azenders kerana ia sebuah kumpulan yang baru.

"Ahli-ahli kumpulan baru saya terdiri daripada Kudut (dram), Izal (bass) dan Ajam (keyboard) juga mempunyai kumpulan mereka masing-masing.

"Penubuhan The Azenders ini sekadar projek sampingan saya di mana konsep muzik yang dibawakan lebih segar dan lain daripada muzik-muzik yang ada di negara kita," katanya.

Tambah Sam, buat masa ini dia akan memberi tumpuan lebih kepada The Azenders memandangkan Bunkface sedang sibuk dengan pengurusan studio rakaman yang akan dibuka tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Sam berharap agar kumpulan barunya itu dapat diterima oleh peminat-peminat muzik dengan kemunculan lagu yang berbeza.

Suria FM Tidak 'Pancing' Johan (Raja Lawak)

Posted: 17 Feb 2011 11:12 PM PST


PETALING JAYA: Desas-desus stesen radio Suria FM akan "memancing" pelawak Johan (Raja Lawak) sebagai penyampai baru stesen radio itu dinafikan oleh Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusri Abu Samah.

Yusri berkata, perkara tersebut merupakan cerita lama dan telah kedengaran sebelum mereka mengambil Sharifah Shahirah (Shira) sebagai penyampai baru untuk segmen pagi Breakfast @Suria.

"Saya akui Johan pernah di senarai pendek sebagai penyampai baru Suria FM dan kami juga ada berjumpa dan berbincang dengannya tentang hal ini.

"Namun begitu kami telah memilih Sharifah Shahirah kerana dia menepati ciri-ciri yang kami cari. Selain Johan, Zizan Raja Lawak juga antara selebriti yang di senaraikan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, bagi mengulas gosip menerusi ruangan pojok di sebuah akhbar berhubung perkara tersebut.

Tambah Yusri pemilihan Shira adalah berdasarkan karisma dan sikap versatil yang ada pada pengacara tersebut, selain memberi keseimbangan pada aura lelaki Zizi dan Halim pada segmen pagi.

"Semasa buat pemilihan ini kami memang mencari seorang pengacara yang boleh berlawak bagi menceriakan suasana pagi.

"Dan setelah membuat beberapa penilaian, kita lihat Sharifah Shahirah sebagai calon yang tepat terutama untuk bergandingan dengan Zizi dan Halim sebagai "The Kerinting 3," ujarnya.

Dalam pada itu, Yusri turut memberitahu tiada sebarang perancangan bagi menambah penyampai dalam stesen radio tersebut terutama di kalangan artis.

"Setakat ini tiada sebarang perancangan untuk menambah bilangan penyampai Suria FM. Cukuplah dengan barisan yang sudah ada ini dan kita lihat bagaimana perkembangannya," ujar Yusri.

Mengulas tentang gandingan 'The Kerinting 3', Yusri memberitahu sudah menampakkan keserasian antara ketiga-tiga penyampai itu.

"Perkembangan yang baik sejak dari awal kehadiran Shira, kami sedar dia mampu membawa pengikutnya dan penambahan bilangan pendengar.

"Kami menerima maklum balas yang positif dari pendengar tentang segmen pagi terutamanya melalui Facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Akim, Stacy Dilantik Duta 'Cornetto' Perkukuh Hubungan Cinta?

Posted: 17 Feb 2011 11:12 PM PST


KUALA LUMPUR: Sebelum ini Akim dan Stacy pernah digosipkan mempunyai hubungan istimewa dan kali ini mereka dilantik sebagai duta terbaru aiskrim Wall's Cornetto bagi kempen 'Lafazkannya dengan stail Cornetto'.

Pelantikan ini dilihat lebih menguatkan gosip bahawa mereka benar-benar bercinta.

Bagaimanapun kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut sebaliknya mengaku hanya akrab sebagai kawan dan hubungan itu profesional sebagai rakan sekerja.

Malah Akim yang dua tahun berturut-turut dipilih sebagai duta aiskrim itu menolak desas-desus kononnya dia yang mencadangkan nama Stacy untuk sama-sama menjadi duta aiskrim itu.


"Saya tidak pernah mencalonkan nama Stacy dan tidak tahu dapat menyambung kontrak buat kali kedua sebagai duta Wall's Cornetto bersama-sama Stacy.

"Jadi apabila mendapat tahu nama Stacy disebut untuk bergandingan dengan saya, sudah pasti saya gembira kerana kami berkawan baik.

"Mungkin juga pemilihan kami ini sedikit-sebanyak disebabkan gosip bercinta sebelum ini," kata Akim, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia muzik ketujuh (AF7).

Pasangan itu ditemui pada majlis sidang media dan pengumuman rasmi pelantikan mereka sebagai duta Wall' Cornetto untuk kempen 'Lafazkannya dengan stail Cornetto'.

Kedua-duanya turut menyampaikan lagu tema kempen tersebut berjudul Jahatnya Cinta gubahan Edry Abdul Halim hasil gabungan lagu Inilah Cinta oleh Akim dan Jahat oleh Stacy yang diberi sentuhan remix baru dan bertenaga.

Sebagai duta produk tersebut, Akim dan Stacy menggalakkan para remaja menyertai peraduan meluah perasaan melalui lagu merdu dan lirik yang kreatif mulai 14 Februari hingga 30 April ini.

Untuk menyertai, layari www.facebook.com/iluvcornetto dan kumpul mata daripada penutup Cornetto untuk membida artis pilihan di samping memenangi hadiah harian dan bulanan seperti iPhone 4, iKaraoke, iPod Shuffle, thumb drive, rantai kunci serta cakera padat istimewa Cornetto.

Para peminat aiskrim Wall's Cornetto perlu membeli aiskrim jenama tersebut dan hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) nombor kod yang tertera pada penutup kon minuman itu ke 36322.