Adsense

Jumaat, 18 Februari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Rasa loya pegang tahi kambing

Posted: 17 Feb 2011 06:46 AM PST

PERNAHKAH penonton melihat Danny X Factor meredah kolam menangkap udang, Nazrudin Habibur Rahman (Naz) memandu traktor padi dan Annahita Bakavoli memberi anak kambing minum susu?

Kini, aksi artis serta dua personaliti itu dapat ditonton apabila bergabung menjayakan program baru, Agro-Xplorasi. Program berkonsep pertanian ladang (Agro Farm) itu menjadi penampilan pertama menyelami dan mendapatkan gambaran evolusi perladangan yang sering dipandang sepi golongan muda.

Dengan aksi bersahaja, mereka bertanya soalan spontan kepada pengusaha ladang, kolam ikan dan pertanian dalam program 10 episod Agro-Xplorasi, yang akan disiarkan di TV3 selama satu setengah jam bermula 28 Februari, jam 7.30 malam.

Tiga karakter dan berlainan konti, program baru berkonsep aktiviti luar ini membawa Annahita, Danny dan Naz meninjau pelbagai bentuk pertanian dan peladangan moden diusahakan di beberapa daerah di Malaysia.


Antaranya, meninjau ternakan lembu dan kambing integrasi, tanaman sayur-sayuran organik, penternakan ikan arowana, kolam udang, sarang burung walit berkualiti tinggi dan banyak lain memenangi pelbagai anugerah kecemerlangan dalam bidang diceburi.


Dengan watak ceria, Naz dan Danny tampil dalam lima episod masing-masing, bergandingan dengan pengacara wanita, Annahita yang akan muncul dalam semua episod.

Naz yang juga pengacara The Breakfast Show NTV7 berkata, Agro-Xplorasi satu program pengembaraan bersifat interaktif.

"Program melihat lebih dekat setiap sektor pertanian dan penternakan. Penggambaran ada kepelbagaian dan padat dengan info. Selepas beberapa minggu, saya seronok menjayakannya kerana terlalu banyak benda baru dipelajari.

"Pengalaman menarik? Pertama, berpeluang memandu traktor seperti program saya minati iaitu 'Bob The Builder'. Kedua, berasa loya ketika merakam babak di tapak timbunan najis lembu dan memegang tahi kambing.

"Apapun, Agro-Xplorasi memberi perspektif lebih segar terhadap golongan muda menceburi pertanian. Saya kagum sewaktu bertemu seorang jurutera kapal terbang menceburi bidang perladangan disebabkan minat mendalam sejak kecil.

"Dia sendiri membuat peralatan digunakan di ladang seluas kira-kira 12 hektar," katanya.

Pelakon drama dan filem, Danny yang meminati pertanian, berkata, mengendali program berkonsep 'outdoor' memberi penanda aras baru dalam kariernya.

"Saya memang sukakan pertanian dan aktiviti luar. Jika dapat program masuk ke ladang getah, lebih baik kerana atuk saya memang penoreh getah. Saya suka tugas dilaksanakan dengan sabar walaupun terpaksa berdepan serangan nyamuk!

"Jika di lokasi penggambaran filem atau drama, kebebasan tidak sama seperti apa dinikmati dalam penggambaran Agro-Xplorasi. Malah, mencari maklumat tepat untuk dikongsi bersama penonton menjadi satu cabaran baru. Jika silap, sudah tentu memberi impak besar.

"Pada satu tahap, melihat ternakan udang dan ikan arowana membuat semangat berkobar-kobar mendalami definisi istilah 'petani moden berteknologi tinggi'.

"Perladangan satu benda asing jarang diberi perhatian golongan muda kerana tidak 'glamor'. Saya harap penonton saksikan program ini.

"Jika rajin dan dedikasi, ini bidang untuk golongan muda. Saya harap lebih ramai golongan muda mendapat manfaat dan mendapat gambaran baru terhadap potensi perladangan atau pertanian untuk dijadikan kerjaya menjamin masa depan," katanya.

Danny atau Mohd Khardanie Anwa, 31, bakal mengikat tali pertunangan pada 20 Mac depan. Selain berlakon, Danny baru selesai menyiapkan program pengacaraan Kuali O Kuali untuk TV3.

Annahita, bekas pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) dan mengacara program baru, Kronologi Eksklusif Siasatan (KES), berkata, cara penyampaian Agro-Xplorasi menyeronokkan dan lebih relaks.

"Penonton menyaksikan pengacara mengajukan soalan spontan seolah-olah mereka sendiri bertanya pengusaha ladang berkenaan.

"Program sangat 'real' dan jarang diketengahkan. Ia seperti gabungan Jalan-Jalan Cari Makan dan Cuti-Cuti Malaysia ditambah elemen baru lebih menarik.

"Kami harap menerima reaksi baik memandangkan setiap personaliti ada peminat berbeza. Apapun, banyak aspek menarik dan baru untuk ditonton. Paling penting, saya tidak terburu-buru menjayakan program ini kerana dapat memberikan 100 peratus komitmen," katanya.

Program Agro-Xplorasi membawa tiga pengacara berkenaan menjelajah ke Kuala Kangsar (Perak), Endau Rompin (Johor), Jerangau (Terengganu), Jelebu (Negeri Sembilan), Tok Bali (Kelantan) dan beberapa lokasi lain. Majlis pelancaran program ini berlangsung di Sri Pentas, jam 9 pagi ini.

PROFIL

Nama: Nazrudin Habibur Rahman (Naz)
Tarikh Lahir: 9 November 1978
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Karier: Pengacara program dan pelakon
Mengacara: Disney Malaysia, My Australian Adventure, Mystarz LG (TV3), Celebriti Karaoke (NTV7)
Drama: Ghost (Pelakon Utama, 8TV)
Pencapaian: Pemenang Best Drama Series (Shout Awards 2009), Pemenang Acara Pengacara Kegemaran (Favorite TV Host, Shout Awards 2009) dan kini sebagai pengacara The Breakfast Show NTV7, Agro-Xplorasi.

PROFIL

Nama: Annahita Bakavoli Mehdi Bakavoli
Tarikh Lahir: 25 Ogos 1982
Tempat Lahir: Pulau Pinang
Karier: Pelakon dan pengacara
Mengacara: Hit1(RTM) selama tiga musim bersama Azwan Ali, Sihat Jelita (RTM), Wanita Hari Ini (hos jemputan), Tmnet streamlive Karnival Jom Heboh, Kronologi Ekslusif Siasatan (Kes)
Pendidikan: Sarjana Muda Undang-undang (UiTM).
Pencapaian: Dewi Remaja Karangkraf 2003.
Sitkom: Spanar Jaya (NTV7), Pak Tam Masuk Kondo (RTM)
Drama: Marikas (Slot Samarinda TV3)
Filem: Bujang Senang dan Cinta Terakhir

PROFIL

Nama: Mohd Khardanie Anwa (Danny X-Factor)
Tarikh Lahir: 19 April 1980
Tempat Lahir: Kota Bharu, Kelantan
Karier: Penyanyi berkumpulan, pengacara, pelakon dan penerbit
Mengacara: Kuali O Kuali, Agro-Xplorasi
Drama: Sitkom Fara (TV3), Drama Bersiri 2x5, Sari Maya (TV9)
Filem: Budak Kelantan, Seri Dewi Malam, Idola, KL Menjerit, Belukar (Pelakon dan Penerbit)Pendidikan: Sedang mengikuti Diploma Pengajian Perniagaan (DBS-PJJ-UiTM)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kalau padi katakan padi

Posted: 17 Feb 2011 06:21 AM PST

PEMENTASAN Bangsawan Perdana Siti Zulaikha (BPSZ) kelolaan produksi di bawah arahan Raja Azri Raja Kamaruzzaman (Azrey), 33, yang dijangka berlangsung di Auditorium Taman Budaya Negeri Melaka pada 26 dan 27 Februari ini, bagaikan berkubur menjadi sebuah angan-angan.

Ini kerana, kurang dua minggu untuk dipentaskan selepas lebih sebulan mengadakan latihan, Azrey bersama pelakon pimpinannya seolah diketepikan pihak penganjur juga penaja.

Dipercayai, ketika ini terdapat produksi baru bersama pelakon yang berbeza mengambil alih tugas Azrey yang sebelum ini diberi mandat mengarahkan BPSZ manakala penganjur dan penajanya pula masih pihak yang sama.

Produksi baru itu khabarnya sudah pun menjalankan latihan dan akan meneruskan matlamat mementaskan BPSZ seperti tarikh yang dirancang berlokasikan tempat sama.


Persoalannya, apakah nasib yang bakal di hadapi Azrey serta pelakon yang masih berpegang teguh kepada kepemimpinan pengarah itu dalam meneraju BPSZ?


Azrey yang ditemui dalam sidang media tergempar di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rabu lalu, mahukan penjelasan daripada pihak yang berkenaan. Kali terakhir bertemu dengan mereka pada 10 Februari lalu di bangunan sama.

"Memang ketika itu ada perbincangan dilakukan mengenai perancangan pementasan ini termasuk bayaran artis bersaksikan semua artis yang ada pada malam ini.

"Hasil perbincangan itu, saya mendapat arahan daripada individu paling penting dalam penganjuran ini merangkap penaja untuk meneruskan latihan dan persembahan seperti biasa," katanya.

Azrey menambah, sejak itu sehinggalah kini, pihak terbabit tidak pernah menjenguk mereka berlatih. Bagaimanapun latihan tetap dijalankan seperti biasa mengenangkan arahan yang diberi.

Sesuatu yang aneh mula dirasakan kerana setiap kali mahu berurusan, Azrey mengalami kesukaran berhubung dengan pihak berkenaan. Sehinggalah Selasa lalu, Azrey menerima kiriman SMS dan berjanji untuk bertemu dengannya pada Rabu.

"Namun, sehingga sekarang, tiada sebarang panggilan diterima untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Ini membayangkan seolah produksi di bawah kelolaan saya tidak diperlukan.

"Justeru, sidang media ini diadakan untuk mengetahui status kami apakah akan meneruskan persembahan di Melaka ataupun tidak. Jika benar produksi kami ini diketepikan, saya ingin melihat surat rasmi mengatakan khidmat kami ditamatkan dan surat itu mestilah ditandatangani individu paling teratas dalam senarai penganjur dan penajaan teater ini.

"Andai benar kami semua tidak lagi diperlukan, selesaikan apa yang perlu dibayar. Tiada yang setimpal melainkan bayaran penuh.

Ini kerana semua yang terbabit memberi komitmen tinggi sehingga sanggup mengorbankan masa dengan keluarga, menolak tawaran berlakon dan mengetepikan kerja semata-mata untuk menjayakan pementasan bangsawan ini.

"Promosi sudah dijalankan dan ramai yang sudah tahu siapa pengarah dan pelakonnya. Pembatalan ini mencalarkan maruah semua yang terbabit.

"Itu adalah kesan paling menyakitkan berbanding soal bayaran kami yang tidak dibayar ini atau isu apa sekalipun. Bagaimanapun, terus-terang sekiranya mereka mahu saya bersama semua pelakon meneruskan pementasan ini, kami akan melakukannya kerana kami sudah pun menjalani latihan sekian lama.

"Semua orang meletakkan harapan yang tinggi untuk membuat persembahan seperti perancangan asal," katanya.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, pihak yang terbabit dalam penganjuran BPSZ adalah Pertubuhan 1Malaysia bekerjasama dengan Pertubuhan Teater Klasik Perak dan Pertubuhan Rumpun Seni dan Teater Shah Alam (Resam).

Teater ini pada awalnya membabitkan 80 pelakon termasuk penari dan pemuzik orkestra, manakala Ani Mayuni diberi kepercayaan sebagai teraju utama, Siti Zulaikha, Dj Pool (Sultan Zainal Ulung), Azza ( Putri Nurmanjalela), Khaty Azean (Permaisuri Tua), Syukor Yon (Sultan Arman Ulung) dan Eida Moin (Mak Inang). Latihan sudah dijalankan sejak dua minggu lalu.

Ani Mayuni menerusi komennya, mengakui cukup menyedihkan jika tidak dapat membuat persembahan di Melaka kerana semua orang memberi komitmen cukup tinggi sepanjang latihan yang diadakan empat kali seminggu selama sebulan.

"Jika dibatalkan begitu, tentu saja saya berasa amat kecewa. Saya paling bersimpati dengan mereka yang baru pertama kali terbabit dalam pementasan teater dan ada yang menolak tawaran lain termasuk datang dari jauh untuk teater ini. Begitu juga pengarah, demam sekalipun tetap komited memantau latihan.

"Apa yang kami lakukan bukan untuk orang lain tetapi memikul tanggungjawab membawa nama penganjur. Setiap hari bersemangat berlatih dan begitu teruja untuk menjayakan pementasan ini," katanya.

Usaha menghubungi salah seorang wakil penganjur dan penaja untuk mendapatkan
komen mereka gagal, apabila individu berkenaan memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat untuk memberi penjelasan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.