Berita Harian: Hip |
Posted: 11 Feb 2011 03:51 PM PST Hip PENYEBARAN fitnah bukanlah perkara baru dalam dunia hiburan. Sejak dulu, pada ketika media cetak dan elektronik yang menjadi tumpuan peminat, hinggalah ke zaman kemajuan internet, khabar angin atau cerita rekaan terus berleluasa. Cuma, cara sebaran saja yang mungkin berbeza. Sudah ramai artis, tempatan mahupun antarabangsa, yang menjadi mangsa khabar tidak benar seperti itu. Antaranya ialah penyanyi Kanada yang cukup popular dengan lagu When You're Gone, Avril Lavigne. Awal tahun ini, kecoh di internet apabila penyanyi berusia 26 tahun dari Ontario itu dikatakan meninggal dunia selepas mengalami kemalangan sewaktu meluncur di pusat luncur salji terkenal, Resort Whistler Blackcomb, 125 kilometer di utara Vancouver. Avril yang bercuti bersama teman dan juga keluarganya ketika itu dilaporkan hilang kawalan sewaktu meluncur dan melanggar pokok dengan kadar kelajuan amat tinggi, menyebabkan kematian serta-merta. Ketika kemalangan itu berlaku, Avril memakai topi keledar dan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.Bagaimanapun, berita yang di petik di laman sesawang Global Associated News itu ternyata palsu. Bukan Avril yang ditimpa kemalangan tetapi teman lelakinya, Brody Jenner, yang tercedera sewaktu bermain sukan luncur air di Kepulauan Hawaii. Secara kebetulan, sewaktu berita kematian Avril itu tersebar, Brody pada masa yang sama mendedahkan kemalangan yang menimpa dirinya di laman twitter miliknya, menyebabkan banyak pihak menyangka laporan kemalangan membabitkan penyanyi yang turut bergelar pelakon dan komposer itu benar. Brody dalam laman twitter itu turut memaparkan foto lengannya yang menerima jahitan akibat kecuaiannya. Ternyata Avril menjadi mangsa laporan berita palsu yang sebelum ini pernah melanda beberapa selebriti, antaranya Adam Sandler, Owen Wilson dan Charlie Sheen. Sewaktu kejadian, Avril sebenarnya sibuk mengadakan persembahan sempena acara New Year's Rockin' Eve untuk saluran ABC.
Tak suka disamakan dengan Madonna KETIKA ini, Avril rancak mempromosikan album terbaru berjudul Goodbye Lullaby yang bakal berada di pasaran Mac depan. Antara negara yang dikunjunginya ialah Paris. Di sana, Avril sempat ditemubual dalam sebuah program bual bicara iaitu Kyle and Jackie O Show. Menerusi program itu, penyanyi yang terkenal dengan imej punk rock ini meluahkan rasa kurang selesa apabila sering dibandingkan dengan ramai selebriti termasuk ikon pop, Madonna. "Saya sememangnya tak suka apabila sering dibandingkan dengan Madonna. Saya ialah saya dan dia ialah dia. Kami orang yang berbeza," katanya saat mengulas artikel sebuah majalah yang menyamakannya dengan penyanyi sensasi itu. Bagaimanapun tegas penyanyi ini, pendiriannya itu bukanlah bermakna dia tidak menyukai atau tidak mempunyai rasa hormat terhadap Madonna. "Saya menghormati Madonna kerana selain mempunyai karier nyanyian yang hebat serta semangat kerja keras yang tinggi, dia juga mempunyai kehidupan peribadi yang seimbang iaitu sebagai artis dan juga ibu," ujarnya yang mahu menjadikan perkara itu sebagai contoh. Kongsi pengalaman menerusi lagu DUA tahun dalam pembikinan, kini album studio keempat Avril menanti masa sesuai untuk dipasarkan. Walaupun tinggal sebulan saja lagi untuk berada di rak kedai muzik, namun single pertama Avril berjudul What The Hell sudah pun kedengaran di corong radio. Untuk album ini, Avril masih meneruskan kerjasama dengan komposer terkenal seperti Deryck Whibley (anggota kumpulan Sum 41 yang juga bekas suaminya), Evan Taubenfeld, Butch Walker serta Max Martin. Selama dua tahun tanpa sebarang buah tangan terbaru, kali ini Avril akan berkongsi pengalaman peribadinya menerusi lagu yang ditulis sendiri, selain menyuntik elemen kelainan dari segi bunyian muzik. Selain irama rancak yang menjadi tanda dagangnya, nuansa muzik awal 50-an yang dinyanyikan penyanyi wanita berkumpulan ialah antara elemen diselitkan dalam lagunya yang berjudul Stop Standing There. Lagu lain yang turut dimuatkan ialah Smile, Push, Wish You Were Here dan Goodbye. Selain berkecimpung dalam bidang muzik, Avril juga mempunyai jenama pakaiannya sendiri di bawah jenama Abbey Dawn, yang semakin melebarkan sayapnya hingga ke 50 negara.
|
Posted: 11 Feb 2011 03:48 PM PST Hip Danny Boyle kembali dengan sebuah lagi filem yang pasti menyentuh perasaan penontonFILEM 127 Hours arahan Danny Boyle yang digarap daripada buku berjudul Between a Rock and a Hard Place, pasti menjadi tumpuan apabila ia ditayangkan pada 3 Mac ini. Pengarah yang pernah mendapat durian runtuh selepas kejayaan Slumdog Millionaire tahun lalu, sekali lagi mendekati penonton dengan filem berunsurkan kisah benar ini. Sekali lagi dicalonkan untuk pengiktirafan tertinggi, Filem Terbaik, pada Anugerah Academy yang akan berlangsung 28 Februari ini, filem terbabit turut menyaksikan pelakon utamanya, James Franco, disenaraikan ke peringkat akhir dalam kategori Aktor Terbaik pada anugerah sama. Franco yang popular dengan watak Harry Osborn dalam filem bersiri Spider-Man ini pernah muncul di dalam filem Howl, Date Night dan Eat, Pray, Love pada tahun lalu. Bersesuaian dengan bakatnya, pujian setimpal harus diberikan kepada Franco kerana dia berjaya menjiwai watak serta membawa karakter Aron Ralston, pendaki yang terperangkap di celah rekahan batu dengan baik sekali.Ralston seorang pengembara yang ceria dan yakin dengan kebolehannya sendiri serta berani menanggung risiko. Namun sebuah pengembaraan yang ditempuhinya berakhir dengan tragedi, yang meninggalkan kesan seumur hidup, sekali gus menarik minat pengarah berkaliber itu mengadaptasikan kisahnya dalam filem. Filem garapan Boyle yang ditayangkan selama 102 minit ini tidak membosankan walaupun sebahagian besar jalan cerita hanya memfokuskan kepada usaha Ralston untuk menyelamatkan dirinya. Pengarah bijak menyelitkan adegan menghiburkan, seperti memasukkan unsur jenaka walaupun ketika Ralston dirundung malang, sebagaimana dia bijak memuatkan unsur kasih sayang yang mampu menyentuh perasaan.
Seperti mana filem Slumdog Millionaire yang memilih Mumbai sebagai lokasi menariknya, filem 127 Hours pula berlatar belakangkan kawasan pergunungan di Utah, Blue John Canyon. Drama ini memaparkan kisah benar dilalui seorang pendaki tegar, Aron Ralston, yang terperangkap selama 127 jam di sebuah kawasan pergunungan. Malang tidak berbau, ketika melakukan aktiviti kegemarannya, Ralston tergelincir seterusnya tersepit di celah lurah sempit. Pelbagai cara dilakukan untuk melepaskan tangannya dari himpitan batu namun segala usahanya tidak mendatangkan hasil, sehingga dia nekad mencederakan diri sendiri. Dengan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku, Boyle bijak menyelami perasaan takut yang dialami Ralston, secara tidak langsung membuatkan penonton turut rasa berdebar. Penonton pasti akan menutup mata apabila tiba babak menyaksikan Ralston melakukan sesuatu yang 'gila' ke atas dirinya, demi memboloskan diri. Begitu juga paparan keperitan dialami pengembara ini sepanjang tersepit di celah rekahan terbabit. Sumber air dan makanan terhad membuatkan lelaki ini terpaksa meminum air kencingnya sendiri. Memang menggelikan, tetapi inilah antara satu cara membolehkan dia untuk terus hidup. Penantian itu suatu penyeksaan. Itulah yang dirasakan pendaki tegar ini, yang menunggu seseorang datang menyelamatkannya walaupun dia tahu kemungkinan itu agak tipis. Keresahan itu pula mampu ditonjolkan Franco dengan cukup baik, yang mengajak penonton merasai sama keperitan dilalui. Penonton juga akan kagum dengan semangat Ralston, yang nyata tidak mudah berputus asa dalam hidup. Semangat itulah yang ingin diserlahkan Boyle dalam filem terbaru arahannya ini. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |