Berita Harian: Hip |
Posted: 04 Feb 2011 05:03 PM PST Hip KEDUA-DUA bintang ini sememangnya mempunyai pengikut yang ramai. Masing-masing utuh mencipta nama dalam industri seni dek bakat hebat yang dimiliki. Jika Cher menyerlah dalam kedua-dua bidang, lakonan mahupun nyanyian, Christina Aguilera pula tidak disangkal lagi antara penyanyi dengan vokal paling mantap ketika ini. Lalu, apabila pengarah Steven Antin menggandingkan legenda dunia hiburan Hollywood itu bersama penyanyi Genie in a Bottle berusia 30 terbabit dalam filem Burlesque, sudah semestinya segala tumpuan terarah kepada judul drama muzikal ini. Christina yang turut dikenali menerusi lagu Beautiful dan I Turn To You buat julung kalinya diberikan peranan utama dalam sebuah filem, apabila beberapa kemunculannya sebelum ini hanyalah sebagai artis undangan, ataupun sekadar meminjamkan suara seperti mana dilakukannya untuk filem Shark Tale, enam tahun lalu.Sebelum itu, dia pernah membabitkan diri dengan sebuah lagi drama muzikal, Moulin Rouge (2001), apabila menyanyikan lagu popular Lady Marmalade bersama Lil Kim, Mya dan Pink untuk filem terbabit. Kali ini, menerusi kemunculan terbaru, penonton pastinya akan terhibur dengan 10 lagu yang dimuatkan dalam filem ini di mana lapan daripadanya dinyanyikan Christina, manakala dua lagi oleh Cher. Lebih menarik, lagu You Haven't Seen The Last Of Me nyanyian penghibur berusia 64 tahun itu, yang turut dimuatkan dalam Burlesque, dinobatkan sebagai Lagu Asal Terbaik pada Anugerah Golden Globe ke-68, baru-baru ini.
Selain mereka berdua, filem sepanjang 119 minit ini juga dibarisi bintang Hollywood yang terkenal lain seperti Eric Dane, Cam Gigandet, Stanley Tucci dan Kristen Bell. Burlesque berkisar mengenai impian seorang gadis pinggiran kota, Ali, lakonan Christina, yang datang ke Los Angeles untuk menjadi seorang penyanyi. Dari satu ke satu uji bakat dihadirinya, namun tiada seorang pun yang sudi mengambilnya sebagai penyanyi. Kemudian, Ali menemui sebuah teater di mana pertunjukan tarian dan muzik sering diadakan, dikenali sebagai The Burlesque Lounge. Tertarik dengan persembahan diadakan, Ali mencuba nasibnya dengan berjumpa pemilik kelab itu, Tess. Pada mulanya, Ali diterima bekerja sebagai seorang pelayan di Burlesque, dan hanya mampu memerhatikan persembahan dari bawah pentas. Di situ Ali turut berkenalan dengan seorang pelayan bar yang juga pemuzik di tempat berkenaan, Jack, lakonan Cam Gigandet. Ali semakin rapat dengan Jack dan dalam diam, Jack mencintai Ali walaupun jejaka itu sebenarnya sudah pun bertunang. Konflik kian mencengkam apabila rumah sewa Ali dimasuki perompak, menyebabkan dirinya terpaksa menumpang di rumah Jack. Ali tidak mempunyai saudara terdekat manakala kedua-dua orang tuanya meninggal dunia sewaktu dia kecil lagi. Ali memberanikan diri untuk mencuba nasib, dengan menghadiri uji bakat anjuran Tess. Dia diambil sebagai penari, yang secara tidak langsung menimbulkan perasaan cemburu Nikki. Watak antagonis, Nikki, lakonan Kristen Bell, seorang gadis bermasalah dan penari utama di Burlesque. Dia menyimpan perasaan dendam kerana rasa cemburunya terhadap Ali. Nikki secara senyap-senyap merancang sesuatu untuk menjatuhkan gadis terbabit. Sebaliknya, niat jahatnya itu membuka peluang untuk Ali menonjolkan bakat sebenarnya. Saat itu, Ali membuktikan kepada Tess bahawa dia juga berkebolehan untuk menyanyi. Akhirnya, Ali atau nama sebenarnya Alice menjadi tarikan utama Burlesque. Dengan suara yang sangat merdu, dia mampu memukau sesiapa saja yang mendengarnya. Selama ini, hanya Tess saja yang mampu bernyanyi di pentas itu secara langsung. Selebihnya, mereka menggunakan teknik 'miming'. Disebabkan kehebatan vokal Ali, The Burlesque Lounge dapat mengembalikan zaman kegemilangannya, secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung. Apabila nama Ali kian mekar, muncul pula watak antagonis, Marcus (Eric Dane) yang menawarkan gadis itu peluang keemasan untuk mencipta populariti lebih besar lagi. Syaratnya, dia harus meninggalkan Burlesque. Namun adakah Ali akan terus terpedaya dengan janji manis Marcus? Adakah Nikki akan terus membalas dendam? Dan adakah The Burlesque Lounge akan terus beroperasi? Bagaimana pula hubungan Ali dan Jack? Sarat tarian seksi Peminat drama muzikal pastinya tidak mahu terlepas menonton filem Burlesque yang padat dengan elemen drama dan persembahan yang menghiburkan. Jika penonton lelaki mungkin berasakan filem ini akan benar-benar mencabar kelelakian mereka, penonton wanita pula akan cemburu terhadap kecantikan barisan gadis berbakat dalam filem ini. Burlesque yang menemui peminat mulai 17 Februari ini adalah untuk tontonan 18 tahun ke atas, dek tarian dan pakaian seksi serta pergerakan fizikal yang menggiurkan di dalamnya. Filem ini turut memaparkan elemen cinta dan kasih sayang yang kuat, bukan hanya sesama insan, malah kepada sesuatu yang benar-benar meninggalkan kesan di jiwa. Elemen ini jelas dapat dilihat apabila Tess berkeras dan bersusah payah menyelamatkan kelabnya daripada dijual. Ia turut mengajak penonton untuk mengenal erti sikap tidak mengenap putus asa dan bijak menggunakan bakat yang ada untuk mencapai impian, seperti yang ditonjolkan oleh watak Ali. Dari seorang gadis biasa, Ali menjadi seorang diva dengan bakat nyanyian sekali gus menjadi tarikan utama Burlesque. |
Mesti tonton: Beruang comel pencuri Posted: 04 Feb 2011 05:00 PM PST Hip HAIWAN comel gempal berbulu yang bijak tapi cemerkap, serta petah bercakap. Itulah gambaran paling tepat untuk watak kartun Yogi Bear. Siapa yang tidak kenal watak kartun ciptaan Hanna-Barbera, Yogi Bear dan Boo Boo, yang menemui penonton sejak dari 1958 lagi. Ia muncul kartun bersiri pertama yang memenangi anugerah pada Anugerah Emmy, menerusi rancangan The Huckleberry Hound Show.Kini, Yogi Bear kembali menemui peminat, tetapi dalam bentuk animasi yang ditayangkan dalam versi 3D, dengan menggabungkan teknologi imejan janaan komputer dengan aksi sebenar. Kartun yang asalnya dicipta untuk hiburan terutama kanak-kanak ini kini diadaptasikan ke dalam filem yang santai, sesuai untuk tontonan umum. Filem selama sejam 20 minit ini memaparkan drama ringan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga kerana ia bukan sekadar hiburan malah memaparkan pengajaran dan nilai moral yang tinggi.
Yogi Bear arahan Eric Brevig ini berkisar mengenai seekor beruang coklat yang boleh bercakap, memakai topi dan baju berkolar. Berbeza dengan beruang lain, Yogi tidak mencari makanan dengan menangkap ikan menggunakan tangannya mahupun pergi berburu ke dalam hutan. Sebaliknya, Yogi, yang meminjam suara Dan Aykroyd, tinggal di Taman Jellystone, mengenyangkan perutnya dengan mencuri bakul makanan dibawa oleh pengunjung yang datang berkelah ke lokasi terbabit. Beruang bijak ini berkebolehan mencipta mesin yang boleh membuatkan dia memiliki bakul makanan dalam apa bentuk sekalipun. Juga, Yogi seekor beruang yang tidak berfikir panjang dan bertindak mengikut emosinya tanpa menilai baik dan buruknya sesuatu keputusan itu. Konflik bermula apabila kediaman Yogi dan rakan-rakannya, Taman Jellystone, diarahkan untuk ditutup segera, kerana ia tidak mendatangkan hasil kepada negara. Taman Jollystone, yang mengambil lokasi ladang pokok pinus di barat Auckland, New Zealand, ialah sebuah lokasi menarik tetapi semakin kurang menjadi pilihan orang ramai untuk bersantai. Bukan sekadar Yogi akan hilang habitatnya, malah Renjer Smith bakal hilang kerjayanya sebagai penjaga keamanan dan ketenteraman di taman berkenaan. Renjer Smith, watak yang dipegang oleh Tom Cavanagh, yang berkhidmat di taman itu sejak 10 tahun lalu kini terpaksa mencari cara memulihkan pendapatan taman terbabit bagi mengelakkan ia daripada dijual. Bagi menyelamatkan Taman Jellystone, Renjer Smith perlu mengumpulkan sejumlah wang yang banyak dalam masa seminggu. Kemudian muncul Rachel, seorang pembuat filem dokumentari yang datang ke lokasi berkenaan untuk menghasilkan dokumentari mengenai Yogi, secara tidak langsung terbabit dalam usaha menyelamatkan tempat perkelahan itu. Rachel yang dilakonkan Anna Faris berganding bersama Renjer Smith dalam usaha mereka menganjurkan sebuah pesta untuk mengumpul wang. Dalam senyap, Rachel dan Smith saling menyukai di antara satu sama lain. Sayangnya, kedua-dua watak ini kurang menonjol. Jika ia diserlahkan lagi, tentunya animasi ini muncul sebagai judul yang lebih kuat lagi. Bagaimanapun, Yogi dan Boo Boo merosakkan pesta berkenaan menyebabkan Taman Jellystone jatuh ke tangan watak antagonis, Gabenor Brown. Selain Yogi, watak utama beruang comel dan naif, Boo Boo, membuatkan filem ini bertambah menarik. Sesiapa pun tidak dapat menjangka bahawa suaranya yang comel ini sebenarnya milik pelakon dan penyanyi terkenal, Justin Timberlake. Ternyata Justin bijak memperdayakan penonton apabila ia langsung tidak dibayangi suara pop yang selalu didengar menerusi lagu popular nyanyiannya. Sementara itu, usaha dilakukan oleh Smith dan Rachel gagal sehinggalah Yogi dan Boo Boo mulai sedar mereka perlu bekerjasama untuk menyelamatkan taman yang berusia 100 tahun itu daripada jatuh ke tangan Brown. Peminat setia kartun ini pastinya tidak mahu melepaskan peluang menonton filem animasi yang julung kali dipersembahkan dalam bentuk filem. Hadir sebagai hiburan ringan lagi santai, ia judul terbaik untuk ditonton bersama keluarga mahupun si dia tercinta. INFO Filem: Yogi Bear
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |